“Lahirnya Cekak kerana kesedaran,”
Itulah ayat pertama dalam satu rangkap pantun. Pantun-pantun Ustaz lebih mirip ke syair. Setiap ayat ada pengertiannya. Tidak ada pembayang maksud. Semuanya bermaksud. SC bukannya lahir dalam keadaan yang sedia ada. Banyak rintangan dan dugaan yang terpaksa ditempuhi. Ketika meniti kejayaan, ramai tokoh SC yang berjasa, lenyap begitu saja. Suatu ketika dulu, pengorbanan mereka sangat berharga. Sanggup berjuang atas satu kesedaran iaitu mengembangkan SC supaya menjadi pegangan masyarakat. Perjuangan mereka ikhlas. Saya katakan ikhlas kerana sepanjang pergaulan saya dengan mereka, tiada keuntungan yang dicari. Malah, mereka mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit bagi mencapai hasrat persatuan yang dipertanggungjawabkan mengembangkan SC. Saya tidak bermaksud membuat bandingan dengan tokoh-tokoh yang ada sekarang.
Ketika berada keseorangan di suatu petang, fikiran kembali melayang atas penglibatan saya dalam SC. Banyak masa dikorbankan bagi meneruskan perjuangan SC. Semangat yang berkobar-kobar di awal penglibatan langsung tidak menjangka yang SC akan berakhir dengan apa yang ada sekarang ini. Kadang-kadang terdengar bisikan betapa sia-sia pengorbanan masa selama ini. Sanggup mengorbankan perasaan keluarga terutamanya, demi dikatakan meneruskan perjuangan SC.
Dalam hal yang sedemikian, cepat-cepat diri kembali ke pangkal penglibatan. Tidak ada siapa yang mendesak supaya berkorban. Segala-galanya lahir daripada hati yang ikhlas ketika itu untuk melibatkan diri sepenuh masa dalam SC. Saya cuba bayangkan dari awal hingga ke penghabisan akan penglibatan saya dalam persilatan. Tergambar perwatakan saya bersama watak lain dalam kegiatan SC dari sejak penglibatan. Gambaran tersebut akan saya cuba nyatakan dalam penulisan.
Penulisan ini adalah secara umum. Kalau diperincikan, nanti banyak pulak muka suratnya. Memadai secara gambaran pada peristiwa sahaja. Para pembacalah yang memperincikannya. Kita tidak boleh menafikan sejarah penglibatan watak-watak yang ada. Walaupun ada yang telah berhaluan berbeza atau yang berlainan faham tapi sejarah asal penglibatan mereka dalam SC tetap tidak berubah dan tidak boleh dinafikan begitu sahaja.
Sejarah tetap sejarah. Jangan kerana dendam maka kita lupakan mereka. Itu tidak adil pada mereka yang telah mengorbankan segalanya untuk mengembangkan SC seperti yang wujud sedia ada. Kebenaran sejarah tetap ternyata. Tapi kebenaran tersebut hanya boleh dinyatakan pada mereka yang berpijak di bumi nyata.
Dalam gambaran saya, pastinya watak saya sebagai heronya. Heroinnya tidak ada kerana ahli wanitanya belum berleluasa. Oleh itu watak hero digandingkan dengan watak lain yang berupa watak sahabat atau berupa watak angkara. Tapi belum tiba masanya gambaran tersebut diskripkan dengan sepenuhnya. Banyak yang dipotong kerana masanya belum tiba. Insyaallah, adegan yang dipotong tersebut akan dikenyataankan ketika ada kesesuaian masa.
Seperti yang dinyata, sudah lebih tiga puluh tahun saya mengasuh penuntut di kelas saya dengan fahaman yang berpijak di bumi nyata. Fahaman tersebut adalah bentuk fahaman saya hasil didikan Ustaz juga. Ayat tersebut selalu diulang-ulang bagi menarik perhatian pembaca. Banyak muslihat dan tersiratnya. Susah ditulis tapi mudah berbicara. Bolehlah berbincang jika bersua muka. Tapi pengkerasnya tetap ada. Laici dan murtabak jangan dilupa. Fahaman lama. Tapi banyak gunanya.
Tidak guna menjadikan fahaman atau membicarakan aliran sebagai halua telinga atau penyedap bicara. Kalau tidak diaplikasikan pada kehidupan harian kita, maka kurang maknanya. Itulah motto pembentukan kefahaman dalam kalangan penuntut yang diasuh oleh saya dari dulu hingga sekarang.
Tapi sekarang susah sikit. Ramai yang terkapit umpama kueh sepit. Dicorakkan oleh acuan dan peraturan persatuan tanpa kebebasan membuat corak untuk diri sendiri. Pemikiran yang bebas akan jadi terkongkong. Kongkongan ini boleh menjadi asas yang kukuh untuk bertapak sifat pendendam. Bila berdendam, hilang hubungan yang terikat selama ini. Terungkai begitu sahaja. Seolah-olah tak pernah jumpa. Apabila berjumpa, nampak tawar senyum mesra. Bukan ditanyakan khabar, tapi dipersoalkan geng mana.
Masyarakat kita amat hebat sifat pendendamnya. Agaknya itu sebab salah satu budaya kita ialah memelihara saka. Saka juga akan berperanan sebagai pendinding diri dan keluarga bila sifat dendam mula berleluasa. Bila mati, kalau tak ada harta pusaka, adanya saka dah kira hebat juga.
Pada saya, apabila kita menulis dan mengenang sejarah SC, jangan lupa dari asalnya. Jangan ada sifat berdendam. Jadilah bangsa lain seketika kalau dendam tak boleh dipisahkan daripada sifat diri kita. Sejarah tetap menjadi sejarah. Jika kita ingin memulakan sejarah daripada zaman Ustaz Hanafi, ketokohan pemimpin ketika itu tidak boleh ditolak ke tepi dengan alasan ketika ini telah berubah hati.
Berdasarkan pandangan saya, kita patut bersyukur kerana masih lagi berada dalam kumpulan silat Cekak yang mengamalkan kefahaman yang jelas berdasarkan ajaran Ustaz Hanafi. Mereka yang rapat dengan Ustaz dan mengharungi pahit maung menegakkan perjuangan SC masih berada dalam persilatan Cekak Hanafi. Cuma yang terkilan sikit, kita telah berpecah dua. Satu pihak berada dalam kumpulan Guru Persatuan dan satu pihak lagi berdiri kukuh di belakang En Mat yang telah menerima mandat meneruskan perjuangan Ustaz Hanafi. Fahaman Ustaz Hanafi dalam CH masih tidak lari. Jika ada perubahan pun masih boleh bertolak ansur untuk diterima pakai.
Sahabat-sahabat Ustaz dan para pendokong SC zaman Ustaz Hanafi, ramai yang ’melarikan diri’ daripada kongkongan persatuan yang dipimpin oleh PA. Di belakang PA ketika itu terdapat tokoh-tokoh yang kurang memainkan peranan dalam menegakkan perjuangan Ustaz Hanafi di peringkat awal. Salah seorang daripada kalangan mereka tersebut ialah bakal guru pengganti PA yang lebih banyak memainkan peranan sebagai orang suruhan umpama tok siak, di zaman Ustaz. Tukang bancuh kopi, cuci pinggan, kemas rumah persatuan di lorong Haji sirat dan tukang urut adalah merupakan pengenalannya yang abadi ketika itu. Beliau mengabdikan diri pada Ustaz Hanafi. Hinggakan Ustaz mengkiaskan sifatnya sebagai pengikut yang mengenal dan mengerti akan gurunya tapi tak boleh jadi guru. Ada masa akan saya bicara tajuk ini.
Orang-orang yang pernah rapat dengan Ustaz dan berada dalam persilatan CM semakin kurang. Masih ada dua orang lagi daripada ahli kumpulan mereka yang sezaman dengan penglibatan saya pada awal zaman Ustaz Hanafi yang nampaknya bergiat cergas. Bergiat cergas menyusun strategi mendapatkan kuasa umpama Ustaz Hanafi daripada guru mereka yang semakin dekat untuk pergi. Saya tak yakin mereka tersebut mempunyai kefahaman yang tinggi seperti yang ada pada sahabat rapat Ustaz Hanafi.
Setakat menganggap diri mereka masih mempusakai Kefahaman Ustaz Hanafi, adalah umpama slogan yang dilaungkan tanpa inti dan isi. Saya tak fikir fahaman Ustaz mampu disebarkan dalam kalangan ahli mereka. Bukan mendabik dada tapi rasa-rasanya saya amat tahu akan asal usul mereka. Keupayaan mereka menguasai SC adalah kerana strategi berasaskan peraturan persatuan, bukannya adat dan adab SC. Jauh sekali atas prinsip hebat menguasai SC.
Itu sebabnya saya simpulkan betapa bertuahnya kita yang masih berada dalam persilatan CH. Fahaman Ustaz yang dianggap sebagai Pusaka Hanafi masih berlanjutan sepanjang masa. Tapi, Cekak Hanafi yang mana satu. Saya tak berminat menerokai permasalahan ini. Tugas saya hanyalah menghitamputihkan pengalaman bersama Ustaz Hanafi agar tetap ada rujukan sepanjang masa. Tafsiran dan kesesuaiannya, fikir-fikirlah sendiri. Setuju terima, tak setuju jangan cepat melatah. Fikirkan setenang mungkin.
Dalam gambaran. Ketika saya cuba merapatkan diri dengan SC pada hari pertama di suatu malam, untuk berbincang dan berbahas akan kebenaran SC dengan Ustaz Hanafi, tergambar dalam kenangan akan Setiausaha persatuan yang bernama En. Ghazali. Ketika ini selalu saya nampak peranannya sebagai pelakon drama Melayu dalam TV. Sewaktu di Lorong Hj Sirat lagi, peranannya telah bermula. Saya masih ingat lagi dalam pertemuan pertama saya dengan Ustaz, beliau ada bersama. Hanya mereka berdua. Hujan tersangat lebat. Mungkin itu sebabnya ahli yang lain tak nampak muka. Beliau terpaksa menunjuk buah silat apabila dipinta oleh Ustaz. Dalam perbualan biasa, beliau menunjukkan parut di perut. Depan pun ada, belakang pun ada. Rupanya parut itu ialah bekas tembusan peluru ketika Peristiwa 13 Mei.
Setelah saya tamat silat, penglibatan beliau masih ada. Saya berpengalaman mengajar silat bersamanya. Banyak pengalaman yang saya terima. Pengalaman itu berharga juga. Maklumlah pengalaman daripada bekas penuntut yang berminat dengan alam persilatan Melayu. Ada pegangan silat yang lain sebelum beliau terlibat dalam SC. Gerak sendeng rasanya. Teringat peristiwa ke UPM bersama kereta Fiat lamanya yang berbentuk katak. Engine di belakang. Habis mengajar silat biasanya tengah malam. Sangat pantang padanya jika semua penumpang tidur. Pernah ditekan brek mengejut memberhentikan kereta. Keretanya akan bergerak jika semuanya kembali berjaga. Lucupun ada. Geram pun ada.
Tiba-tiba beliau ghaib begitu saja. Sebabnya malas nak cerita. Salah satu puncanya ialah apabila diwujudkan cerita yang pelbagai mengenainya. Kaki fitnah yang sedia ada juga memainkan peranan menghangatkan suasana. Sejak menarik diri, tak pernah namanya disebut-sebut lagi. Namanya dilupa terus. Beliau juga seingat saya tidak pernah berhubung dengan SC. Mungkin dendamnya amat membara.
Tugas Persatuan yang ditinggalkannya semakin mantap di bawah pengurusan Pak Am. Jawatannya dalam SC bertukar seterusnya. Naik pangkat. Komitmennya pada SC tidak boleh dipersoalkan. Tapi ada yang tak suka padanya. Seperti biasalah adat berpersatuan. Tapi Ustaz banyak bergantung harap padanya. Pemikirannya kadang kala mendahului masa. Susah orang lain untuk mengikutnya. Beliau dibantu oleh dua rakan setia yang lain. Ketiga-tiga mereka menggerakkan persatuan dengan jayanya. Mereka juga telah merasai pahit maung menegakkan silat yang bersandarkan persatuan SC. Bila sebut SC maka akan tergambar wajah mereka. Persatuan SC semakin mantap dan teratur, disegani oleh kawan dan lawan. Perancang utamanya Pak Am dan Pak Nasir. Kebiasaannya Ustaz setuju sahaja dengan perancangan mereka. Tersusun dan mantap walaupun kadang kala terdapat juga sedikit pembetulan.
Kelas-kelas silat dibuka dengan penuh tanggungjawab dan fahaman silat yang disemai telah melupakan perasaan kedekut pada tenaga, masa dan harta benda. Peneraju SC ketika itu telah melalui pahit maungnya. Ketika itu perjuangan mereka sungguh ikhlas demi mendaulatkan seni kebangsaan. Hubungan sesama ahli sangat erat walaupun sekali sekala timbul juga perasaan tak puas hati. Perasaan tersebut senang dihapuskan. Daripada gelagat yang nampak, perasaan dendam tidak ketara dan amat kurang sekali. Bermasam muka hari ini, esoknya pulih kembali. Tambahan pula bersama Ustaz. Siapa yang berani mengada-ngada. Semua aktiviti persatuan berjalan lancar. Bertengkar macam manapun, perasaan hormat sesama ahli tetap ada. Masing-masing telah berjuang sepenuh hati. Kalau sesama diri tidak merai maka siapalah patut diharap bagi memberi keraian. Gerai makan adalah tempat utama.
Setelah saya kembali ke Cawangan, perkembangan SC di pusat, semakin rancak. Walau bagaimanapun, pengurusannya semakin rencam. Keperluan tenaga baru mula difikirkan. Jawatan-jawatan penting mula bertukar tangan. Setiausahanya juga bertukar tangan. Jo Black diberikan tanggungjawab. Tapi sifatnya sangat beremosi dan sangat berkepentingan. Tak hairanlah beliau cabut lari daripada sahabat sendiri untuk terus ‘menendang’ keluar kumpulan yang diakhiri dengan CH. Sangat ngam dengan ahli yang seusul bangsa dan senegeri.
Ketika itu, ahli-ahli yang ada mula diberi tanggungjawab berniaga. Apatah lagi koperasi SC mula ada. Minat berniaga mula terasas. Pengedar kain uniform pun boleh mengubah hidup menjadi berharta. Bukan setakat itu sahaja. Sikap dan sifat mereka turut berubah. Peniagaan ada kaitan dengan ahli. Ahli SC ramai sekali. Berniagalah apa saja maka untung juga akhirnya. Maka mulalah saya dengar kawan-kawan yang mula berniaga. Daripada pembekal kain membuka kedai tailor. Daripada gerai kecil menjual makanan beralih pula ke bidang restoran. Banyak lagi perkembangan yang ada. Tapi itu semua untuk perkembangan diri sahaja. Untuk persatuan tidak kurang hebatnya. Untuk silat, mula nampak pincangnya.
Di akhir zaman Ustaz, mula terbit pelbagai cerita. Generasi baru mula berkuasa. Ahli daripada pusat pengajian tinggi semakin ramai. Idea mereka semakin hebat. Beberapa pembaharuan mula diperkenalkan. Saya dengar sahaja. Sekurang-kurangnya jauh dari pusat. Tumpuan saya hanya pada silat di cawangan.
Bersambung lagi.