Perkembangan Cekak semakin rencam. Ikatan mesra sesama ahli semakin longgar. Masa ‘melawak’ semakin kurang. Selalu saya tegaskan. Persatuan itu adalah kuasa. Mereka yang ada kuasa akan cuba memelihara kuasanya. Manakala mereka yang berminat dengan kuasa akan sedaya upaya mendapatkan kuasa.
Kalau kuasa menjadi kepentingan utama maka strategi mengekal atau mendapatkan kuasa akan didahulukan. Maka mulalah wujudnya kem-kem atau kumpulan-kumpulan tertentu. Setiap kumpulan ada ketuanya yang terlantik bukan secara formal. Pengaruh kuasa disebarkan melalui penegasan bahawa kumpulan mereka sahaja yang benar.
Pada pengamatan saya, dalam zaman PA, guru yang ada selalu melayan semua kumpulan yang ada. Sifatnya sangat ramah, rendah diri dan mudah berbicara. Pada saya, satu dari kelemahannya ialah setelah selesai satu-satu majlis PA tidak terus balik. Beliau akan bersama dengan kumpulan-kumpulan yang ada untuk berbicara. Pelakuan ini sangat berbeza dengan Ustaz. Satu segi nampak akan kelebihan guru yang bergaul rapat dengan anak muridnya. Satu segi yang lain, masa itu digunakan oleh satu-satu kumpulan untuk ‘mengadu’ sama ada secara langsung atau tidak langsung. Maka, pada kumpulan yang berjaya meyakinkan guru, pasti akan mendapat tempat di hati guru. Cakap-cakap mereka mudah diterima pakai.
Nampaknya ‘cucukan’ kumpulan-kumpulan tertentu telah mengena. Nampak sangat setiausaha yang ada, bergeng hebat dengan bakal guru CM ketika ini dan iparnya. Kumpulan gelap agak namanya. Kumpulan satu lagi menjadi cacian utama. Macam-macam komen mereka. Lain kali cerita. Saya juga dengar berita tentang keberanian kumpulan mereka membuat komen pada keluarga Ustaz. Malas nak cerita. Buruk sangka dan buruk laku yang ada dan amat ketara dalam kalangan sesetengah mereka.
Tempias pepecahan mula tersebar di peringkat cawangan. Banyak cawangan yang termakan bicara. Tapi, sekali lagi saya amat gembira kerana sebarang bentuk cucukan tak termakan di cawangan saya. Cawangan saya tidak ada rumah persatuan. Kegiatan persatuan adalah di rumah peninggalan keluarga saya. Kegiatan persatuan hanya ada apabila kelas-kelas silat berlangsung. Tanpa kegiatan silat, tidak ada siapa yang berkumpul di sana. Susah untuk kumpulan-kumpulan tertentu menyebarkan fitnah dalam kalangan ahli saya. Ruang yang ada mungkin wujud ketika ahli berkumpul untuk ijazah silat. Bagus juga jika tak ada rumah persatuan di cawangan saya. Dulunya, ketiadaan rumah persatuan dijadikan satu isu yang selalu dibangkitkan oleh kepimpinan persatuan di peringkat pusat, untuk membuktikan kelemahan pengurusan saya. Sekarang baru tahu faedahnya. Busuknya hati mereka ketika itu.
Ketika PA ijazah, kumpulan ‘gelap’ cuba mempengaruhi ahli-ahli cawangan saya. Usaha mereka mempengaruhi ahli di cawangan saya , tidak menjadi langsung. Ketika mereka cuba berbicara, jika ternampak wajah saya, perbualan mereka akan beralih tajuk tentang silat. Labih-lebih lagi ketika saya bersama mereka. Saya tersenyum sahaja.
Mereka sangat faham akan fahaman saya. Pantang pada saya buat mereka mempengaruhi ‘orang-orang’ cawangan saya. Saya ketua pada mereka yang berada di cawangan saya. Mana boleh kapal bersaing nakhoda. Semua bicara mesti melalui ketua. Buat apa saya dilantik sebagai ketua cawangan jika ada pihak yang cuba campur tangan tanpa kebenaran.
Terkenang saya kisah lalu betapa keahlian koperasi tak menjadi di cawangan saya. Puncanya adalah kerana puak tertentu cuba tunjuk kuasa tanpa memikirkan saya adalah ketua di cawangan saya. Perjumpaan dalam kalangan ahli cawangan saya cuba diatur melalui arahan surat untuk mereka mengadakan kempen koperasi mereka. Seperti yang dikata, arahan surat ‘tak main’ dengan saya. Lagipun, bukannya arahan guru utama. Akibatnya, mereka hanya dapat melalui negeri cawangan saya dalam perjalanan ke negeri lain yang ada cawangan yang tunduk dengan mereka. Nasi kangkang telah terkena.
Saya selalu berpesan dengan Jurulatih saya. Jangan sesekali menimbulkan sebarang isu selain silat dalam cawangan saya. Pada saya, penuntut yang ada di cawangan jangan sesekali dirosakkan pemikiran mereka. Mereka ikhlas menimba ilmu melalui sumbangan wang yang dikenakan setiap bulan bagi mendapatkan pelajaran SC. Pastinya ilmu persilatan SC yang dicari adalah melalui pertukaran wang yang mereka beri. Bukannya ilmu politik SC yang mereka ingin perolehi. Ketegasan saya diterima oleh barisan kepimpinan di cawangan saya. Tidak ada pengaruh buruk yang boleh bertapak di cawangan saya. Saya yakin pada situasi tersebut.
Lahirnya Cekak kerana kesedaran mula dipersoalkan dalam hati saya. Kesedaran apa yang dimaksudkan mereka. Tafsirannya mula pelbagai. Banyak cabangnya. Masing-masing mengatakan perjuangan. Juga kita mula ragu akan maksud perjuangannya. Semua tafsiran adalah betul. Semuanya mengena dengan suasana dan alasan-alasan yang ada. Mulalah retak mencari belah. Sesuatu yang tidak boleh disekat. Akhirnya berpecah kumpulan dan pengikut silat terbahagi dua. Persatuan Cekak Malaysia masih menjadi tunggak utama. Persatuan tetap satu. Cuma guru sahaja yang berpecah dua. Pepecahan itu pada asalnya wujud berpaksikan pada mandat yang ada. Apapun, terbelah juga kita.
Setelah berpecah guru, maka nampak sangat semangat berdendamnya. Silat Cekak telah dilayari di bawah dua orang guru iaitu Pak Ak dan En Mat. Di belakang PA tergambar sahabat-sahabat lama saya. Muka-muka Maidin, Roslin, Safran, Adnan, Razali dan Jo Black sangat ketara. Manakala di belakang En Mat tergambar wajah setia sahabat-sahabat lama saya juga. Wajah-wajah Am brothers, Nasir, kamarul, Ustazs Yusof, Jo Marwi, Khalid Cina dan pemimpin pelapis Lan dan Li tergambar setia. Tidak kurang juga yang berada di tengah-tengah antara kepimpinan guru yang ada. Di telan mati emak, diluah mati bapak. Timbul juga harapan munusia ahli SC yang inginkan kejadian umpama kancil yang berjaya ekoran dua gajah yang berlaga. Padanya kedua-dua guru yang ada tidak mempunyai kewibawaan melainkan dirinya yang lebih hebat daripada mereka.
Walau bagaimanapun, sifat berdendam dalam kalangan murid antara kedua guru tersebut telah diterjemahkan melalui usaha-usaha yang dilakukan bagi menyekat perkembangan guru silat yang sebenarnya. Timbul fakwa baru dalam konteks SC. Ahli silat yang berpecah dianggap tidak sah dan sekali gus silat yang dibawanya juga tidak sah. Sebaliknya pihak En Mat pula mendakwa bahawa guru yang ada adalah tidak sah bersandarkan mandat yang ada dan telah tidak boleh dipertahankan lagi.
En Mat telah mula mencari muridnya dan melakukan majlis ijazah di merata-rata negeri yang menyokong konsep guru dan mandat. Ramai pendokong-pendokong SC yang lama bergiat sejak zaman Ustaz Hanafi, menyokong kuat atas mandat yang ada pada En Mat untuk menggerakkan SC. Maka lahirlah juga perbahasan tentang konsep isi dan kulit, sarung dan senjata. Kutuk mengutuk melalui surat dan SMS begitu ketara. Dendam kesumat mulai membara. Apabila nafsu dan kepentingan menguasai diri, perjuangan silat, adab dan adat sesama ahli dalam SC entah ke mana. Ikrar bersilat mudah dilupa. Memang dalam SC, ikrar mudah dilupa. Termasuk ketua pembacanya.
Oleh sebab Persatuan dikuasai oleh PA, maka mereka mempunyai kuasa yang amat besar dalam konteks persatuan. Maka mulalah mereka menunjukkan kuasa. Cawangan-cawangan Persatuan yang menyokong En Mat, habis dibubarkan. Ahli-ahli yang menyokong En Mat juga telah dipecat dengan sewenang-wenangnya bagi melepaskan perasaan dendam. Penguasa persatuan telah banyak mengorbankan masa ke sana sini bagi menerangkan kepada pihak-pihak tertentu terutamanya di pusat-pusat pengajian tinggi bagi menyekat aktiviti guru yang ada yang dianggap tidak sah.
En Mat dikatakan telah mengambil alih mandat yang ada pada PA. Cara pengambilan kuasa ditafsirkan dengan pelbagai pendapat. Ada yang mengatakan sah dan ada yang mengatakan umpama perompak yang memaksa. Bagi menentukan sikap saya dalam soal pepecahan ini maka faktor MANDAT amat saya berati. Setakat wujud penyerahan melalui perbualan kaset, pada saya masih tidak memadai. Oleh itu saya sendiri telah menghubungi Pak Ak supaya singgah ke rumah saya untuk mendengar daripada mulutnya sendiri sama ada penyerahan mandat telah dilakukan atau tidak. Beliau bersetuju dan kebetulan juga beliau dalam perjalanan balik ke Bukit Mertajam.
Pada hari yang telah ditentukan, saya memanggil rakan-rakan saya seramai dua orang untuk menjadi saksi dalam perbualan antara saya dengan Pak Ak nanti. Rupa-rupanya harapan untuk berbual secara peribadi, tidak menjadi. Sebelum sempat PA tiba ke rumah saya, saya didatangi terlebih dahulu sebuah kereta yang diketuai oleh pemimpin persatuan mereka. Mereka tersebut termasuk Maidin, Raman Botak, Pak cik Kecik dan dua orang lagi. Mereka cuba meyakinkan saya bahawa mandat yang ada pada En Mat adalah tidak sah. Seketika kemudian baru tiba PA dalam sebuah kereta yang dipandu oleh murid silatnya. Saya sendiri menyambut PA dan mempelawa masuk ke rumah. Malangnya sepatah perkataanpun beliau tidak terkata.
Majlis pertemuan tersebut lebih banyak diisi perbincangan oleh si Maidin dan Raman Botak. Pak Am dan Mak teh menjadi sasaran. Kalau ada IT akan diceritakan isi perbualan. Sekali sekala dikuat pula dengan sokongan si Kecik yang dulunya setia sungguh dengan Ustaz. Kadang kala suasana menjadi hangat apabila rakan saya melahirkan kata-kata bangkangan atas penerangan mereka. Saya cuba tenangkan keadaan. Tidak mahu wujud pergaduhan di rumah saya.
Hati saya tidak puas. PA tidak memutuskan kata seperti yang saya pinta iaitu sama ada beliau telah menyerahkan mandatnya atau tidak. Dalam perbicaraan tersebut mereka cuba buktikan bahawa mandat yang ada pada PA adalah sah. Mereka juga telah menunjukkan kelebihan-kelebihan yang ada pada PA untuk membuktikan bahawa PA adalah layak sebagai guru SC. Kelebihan PA dibuktikan umpama mukjizat. Nanti cerita kalau ada IT. Isi perbualan antara kami, semuanya bagi membuktikan konsep gila kuasa di pihak yang menentang mereka. Malangnya saya tidak mencatat tarikh dan masa dalam peristiwa di rumah saya.
Setelah beberapa jam perbincangan, mereka mengundur diri daripada rumah saya. Tidak ada satu keputusan muktamat untuk membolehkan saya membuat satu keputusan muktamat. Hajat saya untuk mendapatkan kepastian telah tidak kesampaian.
Sambung lagi.