Thursday, October 29, 2009

SUASANA

Sebagai salah seorang yang telah lama berkecimpung dalam alam persilatan SC, saya tidak dapat melarikan diri daripada membuat perbandingan. Perbandingan adalah berdasarkan dulu dan sekarang dalam konteks SC. Saya cuba mengelak diri daripada membuat kesimpulan tentang mana yang lebih baik. Sesuatu yang saya anggap baik, kemungkinan besar pada generasi sekarang adalah dianggap tidak baik. Apa pun, zaman saya telah berlalu. Cuma yang tinggal adalah kenangan manis atau pahit yang boleh dikongsi dengan generasi sekarang. Riaksi para pembaca adalah pelbagai. Ada yang menjadikannya sebagai sempadan, ikutan atau sebagai cemuhan. Segala-galanya juga bergantung pada tahap pemikiran yang mereka miliki.

Cuba kita ingat ketika masih dibangku sekolah. Betapa suasana dalam kelas banyak mempengaruhi gelagat kita untuk belajar. Guru yang hebat dalam kelas selalunya menekankan faktor ini. Mereka tidak akan memulakan pengajarannya jika kelas kotor, papan hitam tidak dibersihkan dan murid-murid tidak bersedia untuk belajar. Apabila pemikiran pelajar telah ditarik untuk mengikuti kelasnya maka barulah cikgu itu memulakan pengajaran. Selama empat puluh minit yang diuntukkan mengajar, digunakan dengan sepenuhnya bagi mengembangkan bakat murid yang ada. Keadaan ini mungkin amat berbeza berbanding dengan cikgu yang berada dalam kelas dan memulakan pengajaran tanpa mempedulikan anak muridnya atau suasana kelasnya. Kelas penuh dengan sampah kah atau muridnya tidur kah atau pelbagai kah lagi, jika tidak diambil kira maka pengajaran yang berlaku bergantung nasib pada penerimanya. Murid yang berminat sangat dan dapat memberi tumpuan hanya akan peroleh untung berbanding dengan sikap murid yang sambil lewa. Hubungan antara cikgu dengan anak muridnya juga tidak mesra atau mungkin renggang langsung. Mengajar umpama melepaskan batuk di tangga. Dalam tulisan kali ini saya cuba menyentuh tentang faktor suasana yang sangat mempengaruhi tindak tanduk ahli-ahli SC terutamanya ketika masih berada dalam SC.

Suasana dapat dikaitkan dengan latar. Latar terbahagi kepada beberapa aspek iaitu latar masa, latar tempat, latar ahli dan pelbagai jenis latar lagi. Latar atau suasana ini sangat mempengaruhi setiap ahli yang menuntut SC. Perbincangan saya tentunya menyingkap atas pengalaman saya sendiri. Pembaca bolehlah membuat perbandingan dengan apa yang ada dan dengan apa yang dialami.

Semasa saya muda-muda dulu, sebelum mempelajari SC, latar masyarakat kita amat mementingkan silat. Banyak gelanggang silat di merata-rata kampung. Hinggakan majlis persandingan tidak dianggap sah tanpa ada pertunjukan silat. Ketika ada perayaan-perayaan khas di peringkat negeri atau kebangsaan, pertunjukan silat akan diketengahkan. Malah, perayaan di peringkat daerah juga akan ditunjukkan permainan silat. Saya pernah melihat guru-guru silat yang berlainan aliran beradu silat sesama mereka dalam bentuk mainan atau bunga silat.

Di pusat pengajian tinggi, perkembangan silat sebagai salah satu cabang seni sangat digalakkan. Malah universiti Sains Malaysia pernah menganjurkan satu seminar tentang silat-silat Melayu dalam tahun Tujuh Puluhan. Ustaz juga pernah membentangkan kertas kerja tentang SC. Oleh sebab pemikirannya adalah berada di luar kotak pemikiran yang sedia ada, pendapatnya diserang dengan hebat. Beliau dicap dengan pelbagai cap termasuk cap golongan kiri dalam konteks silat Melayu.

Ketika itu Silat Gayung dan Silat Lincah memainkan peranan penting mencorakkan suasana persilatan di negara kita. Pertunjukan mereka dikatakan menggerunkan dan mendapat sambutan hebat dalam kalangan masyarakat. Apabila SC muncul, kemunculannya menambahkan satu lagi pesaing silat dalam tanah air. Kemudian muncul populariti silat Gayung Fatani. Kemunculan silat-silat itu menjadikan keempat-empat silat Melayu tersebut amat terkenal dan bersaing pengaruh sesama mereka. Hal ini demikian kerana pendaftaran silat-silat itu adalah di tahap kebangsaan. Di samping itu nama-nama persilatan Sendeng, Lintau, Lian dan pokulan adalah tidak kurang hebatnya. Terdapat juga serpihan-serpihan silat yang muncul akibat pepecahan yang ada. Apabila diadakan pertandingan silat di peringkat kebangsaan, muncul nama-nama silat baru. Generasi dulu tak akan lupa tentang nama Silat Rancak. Macam-macam peristiwa ada dalamnya.

Persaingan populariti sesama silat, menimbulkan suasana yang positif dalam kalangan masyarakat. Perhatian masyarakat ditarik supaya berminat dengan silat. Ramai yang mempelajari silat. Di kampung-kampung terutamanya, silat tumbuh bagaikan cendawan. Berdasarkan sinarai nama-nama persilatan yang berdaftar dengan pendaftar pertubuhan, bilangan silat hampir mencecah ribuan. Pengenalan silat tersebut dalam pelbagai nama. Ada nama silat tersebut yang menggerunkan juga.

Kemunculan SC disaingi oleh Silat Kalimah. Timbul polimik sesama mereka. Polimik ini ekoran konvensyen silat yang dianjurkan oleh USM. Publisitinya meluas kerana surat khabar dan majalah juga turut serta. Minda masyarakat ditarik untuk mengikuti perkembangan silat Cekak dan Silat Kalimah. Ada silat yang mengambil kesempatan untuk menjatuhkan SC dengan cara ditemukan dengan Silat Kalimah dalam satu majlis. Strategi Ustaz telah mengena. Usaha silat berkenaan telah gagal. Sekali gus nama SC terus menjulang dalam kalangan masyarakat.

Suasana persaingan ini juga telah menarik perhatian saya. Saya juga inginkan kepastian atas kebenaran SC sebagai silat yang hebat. Saya cuba mencari bukti. Kecenderongan mencari bukti itulah yang menyebabkan saya terjurumus dalam kancah persilatan SC. Nampaknya segala-galanya berpunca kerana wujudnya suasana yang membolehkan masyarakat, termasuk diri kita berbincang dan seterusnya berminat dengan silat.

Setiap ahli silat dalam apa jenis persilatan akan membuktikan bahawa silatnya adalah lebih baik berbanding dengan silat-silat Melayu yang ada. Mereka mencari-cari idola yang ada dalam silatnya untuk dimegahkan sebagai pendekar yang hebat dan boleh dibanggakan. Dalam Gayung, muncul nama-nama hebat dalam kalangan ahli silatnya seperti Pak Lang Yusuf, Cikgu Majid dan Cikgu Daud. Saya tahu sebab saya terlibat sama. Persilatan lain saya tak tahu. Dalam SC sendiri nama-nama Ishak Hitam dan Hassan Dahaman serta beberapa nama yang lain dapat diketengahkan sebagai idola dalam SC ketika itu. Pak Wan Nordin, Pak Nasir dan Jo Marwi kerap kali disebut-sebut juga kehebatan mereka. Antara nama-nama tersebut, mereka semakin popular apabila dihubungkan dengan sengketa ketentuan dengan silat lain di satu ketika. Itulah kenyataan yang ada ketika itu di suatu masa yang telah berlalu. Tentu banyak nama lain yang dapat dinyatakan kerana kita sendiri berada bersama mereka. Minta maaf kalau tak tersebut nama.

Ketika itu juga, kehebatan mereka diwar-warkan sesama ahli. Guru yang ada tak marah dan tidak berkecil hati. “Ular menyusur akar tak akan hilang bisanya.” Suasana ini amat memberangsangkan minat ahli dalam SC. Timbul minat yang membara dalam kalangan mereka betapa kehebatan tokoh-tokoh tersebut perlu juga diwarisi oleh diri mereka yang ada. Kerana minat untuk mewarisi kehebatan ilmu yang ada dalam SC, maka wujudlah dua keadaan dalam setiap kelas yang ada.

Pertamanya dalam setiap kelas latihan, usaha-usaha memantapkan pelajaran SC sangat diambil berat. Latihan dilakukan dengan bersungguh hati. Cawangan saya juga tidak ketinggalan. Jika masa yang diuntukkan untuk latihan adalah selama dua jam mulai lapan malam, maka pengisiannya terpenuh tanpa ada sifat ponteng. Semuanya serius menjalani latihan.

Keduanya, perbincangan dalam kelas-kelas latihan lebih banyak menyentuh kelebihan-kelebihan yang ada dalam SC. Ketika itu semua silat Melayu cuba menonjolkan kelebihan mereka. Maka adalah menjadi satu tanggungjawab pada para Jurulatih SC ketika itu untuk menonjolkan pula kelebihan yang ada dalam SC dalam kalangan ahli-ahli silat yang baru menceburi SC. Banyak kelebihan yang ada dalam SC. Tumbuk tak nampak, kena tumbuk tak sakit atau tak bengkak, langkah selamat, senaman empat anasir, konsep peluru berpandu, calit kapur dan banyak lagi kelebihan SC yang telah diwar-warkan dalam kalangan ahli. Minat ahli untuk mendalaminya memuncak. Secara langsung wujud daya penggerak dalam kalangan ahli untuk terus menyungkil ilmu-ilmu yang ada dalam SC. Secara langsung juga minat untuk mendalami SC telah menyebabkan mereka rajin bertanya. Setiap pertanyaan ada jawapannya. Ketika itu juga, generasi selepas saya masih meneruskan tradisi menambah ilmu.

Selepas Ustaz meninggalkan dunia, pada tahap awal perkembangan SC di bawah PA, semua aspek berjalan lancar. Keakraban ahli SC tetap utuh. Tradisi mencari dan menambah ilmu tetap berterusan. Cawangan saya menerima banyak lawatan sama ada secara formal atau tidak formal. Secara formal melibatkan kunjungan rasmi cawangan atau pusat latihan lain. Secara tak formal melibatkan individu yang berkunjung ke kelas saya. Mereka turun ke kelas mengikuti latihan bagi merasai suasana latihan yang berbeza. Banyak yang ditanya dan banyak yang dipelajari secara berkongsi pengalaman. Ketika itu tradisi mencari ilmu SC begitu hebat sekali.

Suasana sekarang mungkin agak berbeza. Ramai yang pandai-pandai belaka. Minat mencari ilmu semakin cetek. Tapi kita tak boleh salahkan mereka. Pasport utama perlu ada. Kata laluannya ialah ‘geng mana’. Orang yang kaya ilmunya dalam zaman Ustaz Hanafi boleh ternafi kebolehannya jika berlainan faham atau berlainan geng. Pada hal tokoh-tokoh itu juga berlandaskan ilmu daripada Ustaz Hanafi. Setiap mereka ada kebolehan dan ada keistimewaanya. Mana boleh kita ketepikan begitu sahaja. Pendapat aje.

Tapi amat mustahil jika puak CM sanggup bertanyakan ilmu dengan puak-puak CH. Maka apabila CH juga berpecah dua, mana mungkin pertanyaan diajukan pada mereka yang berlainan faham dan berlainan pegangan berlandaskan persatuan yang ada. Semakin kuranglah budaya mencari ilmu SC dek kerana suasana sengketa yang sedia ada. Masa banyak terbuang kerana menyusun strategi mengembangkan sayap persatuan. Bandingan sesama persatuan bukan lagi berdasarkan kelebihan silat yang ada. Sebaliknya bandingan yang wujud berdasarkan kebolehan penyebaran SC dalam kawasan yang SC sedia ada. Berlumba-lumbalah mereka mencari pengaruh untuk menonjolkan persatuan sendiri. Bukannya berusaha dan berlumba-lumba untuk menguasai ilmu SC yang sedia ada.

Kadang kala saya terfikir sejenak. Mana mungkin penuntut sekarang boleh mencari ilmu SC yang ada. Persoalan tentang silat tidak banyak bermain di kepala dan persoalan ini semakin kurang disogokkan oleh Jurulatih yang ada. Oleh itu mereka tak tahu apa nak tanya. Itulah kata-kata yang dilafazkan mereka. Saya hanya mendengar sahaja. Saya bersedia berkongsi pengalaman dan ilmu yang ada. Semestinyalah kefahaman saya tersebut berdasarkan tafsiran saya atas apa yang saya ada dan saya terima. Bukan semua boleh menerimanya. Pada saya, itu bukan tugas utama. Orang bertanya maka saya bercerita. Faham ke, nak terima ke , itu tugas hang pa.

Sekian setakat ini.