Friday, October 2, 2009

KESUNGGUHAN

Selalu saya sentuh tajuk ini. Tak jemu-jemu kita mengingatkan sesama kita betapa perlunya kesungguhan. Sesuailah dengan istilah kesungguhan itu sendiri. Pada dasarnya jika penuntut bersungguh belajar dan Jurulatih pula bersungguh mengajar maka akan terserlah kehebatan dan kedua-dua pihak akan menjadi hebat. Dalam tulisan ini kita akan menumpukan perhatian tentang konsep kesungguhan dalam konteks SC.

Dalam gerak fizikal, saya telah menyentuhnya banyak kali. Kesungguhan belajar meliputi kesungguhan kita membuat buah dan menimbulkan pertanyaan dan persoalan. Hal ini demikian akan menyebabkan kita lebih mudah menguasai SC. Bersungguh-sunguhlah untuk menguasai kaedah membuat buah, pukulan dan tangkapan. Dalami sebenar-benarnya falsafah setiap buah dalam SC. Caranya telah dibincang dalam tulisan lalu. Di samping itu kita perlu jaga keaslian setiap buah terutama ketika kita melakukan gerak. Gerak pukulan dan gerak jatuhan perlu diasaskan kepada gerak semula jadi. Jangan berdasarkan gerak yang dibuat-buat. Ramai yang tahu tapi ramai yang alpa.

Hinggakan kadang kala menyebabkan logik pergerakan kita tidak kesampaian. Paling malang sekali apabila gerak-gerak tersebut berkekalan dalam kelas-kelas latihan. Maka banyaklah rosaknya keaslian buah-buah SC dalam keadaan kita mendakwa pelajaran yang kita bawa adalah sebagai pusaka Hanafi. Saya berkeyakinan hal ini demikian disebabkan oleh empat faktor besar yang mempengaruhi kecelaruan buah-buah yang ada.

Pertamanya faktor pertunjukan. Kita terlalu banyak membuang masa untuk menyakinkan orang. Kadang kala gerak-gerak buah terpaksa diubah semata-mata untuk memenuhi kepuasan penonton. Ustaz pernah membuat teguran dalam satu perjumpaan dengan pendokong SC ketika itu kerana Ustaz juga tidak berpuas hati. Kalau diikutkan hatinya Ustaz hanya membenarkan kita membuat pertunjukan setakat kaedah dan buah asas sahaja.

Pelajaran Papan sekeping juga telah banyak mempengaruhi gerak silat pelajaran kita. Papan Sekeping adalah acara dalam pertandingan. Ketika bertanding semestinya teknik dan taktik kita gunakan. Sepatutnya pelajaran SC pada papan sekeping dihadkan setakat pertandingan. Di samping itu papan sekeping digunakan bagi membuktikan bahawa SC boleh bersilat di tempat yang sempit hatta atas papan sekeping. Sebelum konsep ini ditiru oleh orang lain terutamanya pesaing kita ketika itu iaitu SK, maka konsep Silat Cekak Silat Papan Sekeping perlu diketengahkan dan perlu mendapat pengiktirafan terlebih dahulu berbanding dengan silat lain. Itulah yang difahamkan oleh Ustaz kepada saya ketika itu.
Malangnya terdapat sesetengah pusat latihan yang menjadikan papan sekeping sebagai pelajaran dalam kelas latihan. Banyaklah buah silat yang disesuaikan dengan prinsip berdiri atas papan sekeping yang selebar ngam-ngam dua kaki berdiri. Rosak buah-buah kita yang ada. Itu sebabnya gerak buah-buah SC seperi Pasung Kemanga, Paras dan Kilas Depan, diperbaharui teknik pengambilannya, sesuai dengan gerak atas papan sekeping. Pada hal, mana ada papan sekeping ketika kita bertemu musuh. Kalau adapun papan sekeping di situ, tak mungkin kita akan berlari berdiri atas papan sekeping tersebut untuk menanti serangan. Gelak dek orang.

Faktor-faktor pertunjukan dan papan sekeping tidak menunjukkan kesudahan pada buah-buah kita. Semuanya sekerat jalan. Maka berlatihlah penuntut-penuntut kita dalam khayalan dan dalam keadaan separuh jalan. Pelakuan ini lebih teruk daripada suku jalan. Kalau suku masih jauh perjalanan. Sebaliknya yang separuh dah dekat nak sampai kesudahan. Tapi terhenti di tengah jalan. Tiada kepuasan.

Satu lagi faktor yang mempengaruhi teknik pengambilan buah-buah kita ialah kemampuan Jurulatih. Dalam faktor ini melibatkan keupayaan mereka menurunkan buah-buah kepada para penuntut dan penerangan betul tentang falsafah dan prinsip setiap buah tersebut. Saya percaya bukan semua senarai buah yang ada digemari oleh Jurulatih. Ketika terkena dengan buah yang digemarinya maka banyaklah susun katanya. Pemberian buah tersebut dilakukan dengan penuh yakin. Jika berlaku sebaliknya, berkemungkinan akan berlaku cakap tak serupa bikin. Tak heranlah akhirnya teknik mengambil buah akan beransur-ansur berubah. Paling malang buah-buah tersebut terpaksa dilenyapkan semata-mata tiada kemampuan membuat buah dengan sempurna.

Faktor keempat erat kaitannya dengan kepimpinan PA selepas Ustaz Hanafi. Ramai antara Jurulatih lama yang pandai-pandai mengubah sendiri teknik mengambil buah-buah dalam SC. Guru Utama ketika itupun tidak diambil peduli. Pelopor utamanya, siapalah lagi. Banyak program pelarasan yang dibuatnya sendiri. Pelbagai teknik buah diubah sesuka hati. Pada satu programnya yang saya hadiri, saya nampak Guru Persatuan yang sedia ada ketika ini menjalani program sebagai peserta. Penerangannya menyakitkan hati saya. Saya protes tapi ditarik ke tepi. “Biarlah dia membuat pelarasan.” Itulah alasan yang diberi. Jadinya saya pun buat tak erti. Gasaklah engkau dengan pelarasan sendiri. Rosak pusaka Hanafi. Saya tetap dengan kaedah yang saya terima sejak pelarasan zaman Ustaz Hanafi.

PA yang menerajui SC ketika itu sangat tidak berpuas hati. Kepada saya pernah diluahkan kata. Antara lain katanya, ”Saya cukup tak puas hati. Satu hari nanti saya nak suruh dia buat buah dan saya hendak hentak dengan kepala.” Itulah rentehan apabila buah yang namanya SUDAH, tidak menurut seninya.

Mungkin ada yang nakal bertanya, atas ukuran apa saya membuat penilaian. Nak jawab buat apa. Buang masa. Fahaman saya atas keyakinan berkecimpung lama. Keyakinan saya berasaskan bahawa saya tidak pernah putus dalam penglibatan SC sekian masa. Dari pelarasan pertama zaman Ustaz hingga sekarang, tetap bertali arus. Tidak terhenti di mana-mana dan tidak ternoda di mana-mana. Tambahan pula ketika awal pembukaan kelas, Ustaz kerap melawat kelas. Turun ke kelas memberi tunjuk ajar adalah perkara biasa.

Kita juga perlu terima bahawa Silat Cekak tidak dapat dipisahkan dengan ‘ilmu dalam’. Petua-petua dan amalan biasa boleh dikaitkan dengan disiplin ilmu yang menyentuh soal dalaman. Petua-petua yang tidak disertai dengan kesungguhan tidak akan memberi makna kepada si penerima. Bagilah apa jenis petuapun. Bukan mudah untuk menguasainya tanpa meletakkan keyakinan yang bersungguh-sungguh. Itu sebabnya setiap penuntut itu akan diuji terlebih dahulu. Bagi guru, kesungguhan penuntutnya adalah menjadi penguji utama sebelum menurunkan sebarang petua. Terdapat banyak aspek dalam SC yang membolehkan guru melihat dan mengkaji kesungguhan anak muridnya.

Amalan tidur atas kain putih adalah salah satu cara untuk menguji kesungguhan penuntut. Walaupun jangka masanya pendek, tapi mendatangkan bebanan kepada mereka yang tidak bersungguh. Di situ kita boleh buat tapisan. Mereka yang engkar melakukan arahan, tidak perlu meneruskan pelajaran. Kalau dalam jangka masa tiga malampun tidak menunjukkan kesungguhan, macam mana menjalani hari-hari berikutnya belajar pelajaran SC. Pasti kecundang sekerat jalan. Tapi ada yang diuji dengan cara lain. Di kelas saya sendiri ada penuntut yang dikatakan tidak boleh tidur atas kain putih tersebut. Bila tidur akan datang makhluk yang mengacaunya. Penceritaannya pun saya kurang faham. Cuma pada saya penuntut itu tidak ada kesungguhan. Lebih baik jangan meneruskan pelajaran daripada saya terus menanggung beban selaku Jurulatih..

Suruhan agar mandi silat juga merupakan satu ujian yang ada dalam SC. Banyak persoalan dalam bidang ini. Tapi jangan kita ketepikan pandangan dan pendapat sendiri. Sama ada kita perlu mandi di waktu pagi atau di waktu malam atau di hari apa atau di waktu mana, bukan satu persoalan besar. Samalah dengan perbahasan perlu membuat kunut atau tidak. Yang pentingnya ialah bersembahyang Subuh. Berbeza antara orang menunggu Subuh dengan Subuh yang menunggu orang itu. Begitu juga dengan mandi silat. Jangan banyak sangat persoalkan peraturan-peraturan mandi. Jangan persoalkan kenapa amalan bacaannya tidak dijadikan wirid atau pelbagai persoalan lagi.Yang pentingnya ialah mandi. Lebih baik seseorang atau ahli silat itu mandi silat daripada tak mandi silat. Buatlah sungguh-sungguh.

Pada saya konsep mandi juga membawa dua makna besar. Pertamanya ialah kesungguhan. Kesungguhan ini ada kaitannya dengan kesempurnaan melakukan perbuatan tersebut. “Kalau nak buat, buat sungguh-sungguh.” Itulah kata tugas yang sering dinyatakan oleh Ustaz. Kesempurnaan ini meliputi pilihan hari, pilihan waktu, pilihan masa, cara menggosok, kawasan gosokan, kaedah menggunakan tangan dan pelbagai lagi. Jangan lupa juga adab berkain basah.

Nak mandi bukannya senang. Kalau yang mandi jenis mandi kowboy lagi susah. Ketabahan ini berkaitan pula dengan berkekalan. Biarlah mandi ini kekal. Kalau tidak setiap hari, sekurang-kurangnya setiap minggu atau setiap bulan. Jangan sampai pulak ke setiap tahun.

Perbuatan mandi juga memberi makna kepada guru sebagai maklum balas tentang komitmen dan kesungguhan anak muridnya terhadap pelajaran yang diberi. Dalam kebanyakan silat, pengamalan ilmu yang diturunkan oleh guru adalah sebagai kayu pengukur sama ada guru yang berkenaan akan terus memberikan ilmu-ilmu yang lainnya atau pun tidak.

Berdasarkan pengalaman saya dengan Ustaz, prinsip ini juga pernah diamalkan oleh Ustaz. Pernah satu malam Ustaz ingin menerangkan tentang cara riadah empat anasir. Sebelum diterangkan maka Ustaz telah bertanya pada penuntut yang berkumpul ketika itu sama ada telah habis mandi ataupun belum. Depan Ustaz mana ada yang berani menipu. Mereka yang belum habis mandi, disuruhnya balik. Tinggallah kami yang telah menunaikan kewajipan seperti yang diarahkannya mendengar petua berikutnya daripada Ustaz. Itulah berkat kesungguhan.

Berdasarkan pengalaman juga, untuk mendapatkan petua-petua dalam silat kita, maka kita juga memerlukan petua untuk mendapatkan petua-petua dalam SC. Petua utamanya ialah tunjukkan kesungguhan. Bagaimana caranya. Kena usaha sendiri. Pandai-pandailah mengadun diri agar segala yang dihajati akan dipenuhi. Yang tak ada guru bagaimana pulak. Itu kena tanya mayarakat. Sebab, mereka yakin bahawa silat adalah hak masyarakat. Mereklah juga yang tersangat yakin pada penerajunya iaitu persatuan. Maka dijagalah persatuan baik-baik. Silat hancur tak apa. Persatuan mesti ada. Itulah sifat haprak namanya.

Sekian sahaja setakat ini.