Monday, October 12, 2009

UNIFORM SILAT

Semua pelakuan diri kita dalam SC perlu berdasarkan pada adat dan adab persilatan. Persoalannya, sejauh mana kita memahami dan mempraktikkan adat dan adab yang ada. Pada saya, kalau nak praktikkan adat dan adab maka buatlah dengan bersungguh-sungguh dan merangkumi segala aspek dalam SC. Aspek-aspek tersebut sama ada dari segi pelakuan kita, tutur kata atau aktiviti persilatan kita sendiri. Banyak aspek yang saya telah sentuh dalam penulisan yang lalu. Perbincangan saya kali ini adalah menyentuh tentang uniform silat.

Biasanya, uniform silat digunakan dalam dua keadaan iaitu semasa mengajar SC dan semasa membuat pertunjukan. Untuk membuat pertunjukan, uniform boleh dipinjam. Tidak cantik membuat pertunjukan tanpa memakai uniform. Uniform ini bersekali dengan bengkung dan tanjaknya. Ada disiplin tertentu atas pemakaiannya. Ketika mengajar SC, memakai uniform dikira perlu. Yang saya lihat, lengkapnya beruniform, memadai dengan ikatan bengkung tanpa tanjaknya kerana bengkung, baju dan seluar akan terus kekal. Kalau jatuh juga maka ada sesuatu yang tak kena. Pasti bukan jatuh kerana niat tak betul tapi cara memakainya yang salah.

Ikatan guru dengan murid juga berdasarkan pada adat dan adab beruniform. Dari segi adat dan adabnya, memakai uniform semasa mengajar membuktikan bahawa Jurulatih itu ada mandat untuk mengajar. Itulah punca kuasanya. Tak perlu dibawa sijil setiap kali melatih penuntut untuk membuktikan mandat telah diberi. Sijil hanya berguna tatkala membuka kelas-kelas latihan atau cawangan untuk urusan pentadbiran. Sekali untuk sepanjang tahun.

Zaman saya dulu, untuk memiliki uniform silat bukannya senang. Kebenaran memiliki dan kebenaran memakai uniform dikira sebagai satu anugerah guru walaupun kita menggunakan wang sendiri. Syarat utama mesti tamat silat. Hal ini tentunya amat berbeza dengan silat-silat Melayu yang lain. Pada mereka, hari pertama turun ke gelanggang maka pakaian rasmi silat perlu digunakan. Dalam SC, prinsip sedemikian tidak diamalkan.

Lambang SC pada uniform juga telah mengalami beberapa perubahan. Zaman saya, kami menggunakan ‘dai’ putih dan cap kain bagi meletakkan lambang. Lambangnya di tengah-tengah dengan perkataan jawi ‘Ahmad Muhammad’. Tapi dikatakan timbul fitnah. Mana boleh perkataan itu dipijak ketika membuat buah jatuh. Saya tak ada komen. Saya berpandangan, segala-galanya bergantung pada fikiran yang ada pada kita. Fikiran akan melahirkan gambaran. Misalnya, orang yang kuat nafsunya, melihat seluar dalam pun akan terbayang perkara yang bukan-bukan hingga boleh mengeluarkan ‘gam’. Yang paling dahsyat lagi ada yang melihat awan tapi terbayangkan pelakuan atas ranjang. Sungguh kuat daya ta’kulannya. Namun begitu, apa yang pentingnya ialah silat kita ada uniform. Lambang pada uniform itu, buatlah mana yang patut.

Warna unifom kita juga ada konsepnya. Perkataan Inggeris selalu disebut. ‘Blue Black’ ada maknanya. Kita difahamkan bahawa perkataan itu membawa maksud siang dan malam. Perkataan siang dan malam juga ada falsafahnya. Secara umum, SC boleh digunakan sepanjang masa, saat dan ketika.

Saya masih ingat satu peristiwa berkaitan uniform. Suatu masa yang lalu, terdapat seorang Jurulatih yang tidak berminat untuk turun ke kelas lagi. Ustaz telah mengarahkan supaya uniformnya diambil balik. Maka berusahalah kami untuk mendapatkannya semula. Oleh sebab uniform itu dibelinya maka terpaksa dibeli balik uniform tersebut. Itulah sepanjang pengalaman saya bagaimana Ustaz menarik balik uniform yang telah diberi pada seorang Jurulatih yang malas untuk turun kelas lagi. Menarik balik uniform bermakna Ustaz manarik balik mandat atau menarik balik punca kuasa mengajar silat daripada Jurulatih tersebut.

Ketika itu saya berfikir tentang peristiwa penarikan uniform tersebut. Sememangnya prinsip pemilikan uniform di masa-masa yang lalu amat ketat sekali. Apatah lagi kalau ahli silat itu belum menamatkan pengajian SC. Jauh panggang dari api baginya untuk memiliki uniform silat. Mungkin keadaan ini agak berbeza dalam zaman sekarang.

Saya teringat juga tentang budaya bangsa kita yang berkaitan dengan anugerah pakaian. Memberi persalinan pakaian sebagai tanda penghormatan dalam banyak aspek adalah merupakan salah satu budaya istana bangsa kita. Misalnya, apabila terlantik seseorang pembesar atau pahlawan, maka Sultan akan menganugerahi sepersalinan pakaian. Hal itu demikian adalah kerana penganugerahan itu merupakan satu penghormatan yang amat tinggi dalam konteks pengiktirafan. Bukankah SC juga berasal dari istana. Tidak salah, malah tersangat cantik jika budaya itu diteruskan dalam adat dan adab persilatan kita.

Saya berpendapat bahawa jika uniform silat diberi pada setiap Jurulatih, adalah juga merupakan satu penghormatan dan pengiktirafan daripada guru kepada anak muridnya. Jurulatih akan berasa bangga dan bermotivasi tinggi. Pemberian itu juga adalah lambang punca kuasa kepada Jurulatih itu untuk meneruskan amanah ilmu kepada penuntutnya. Pada saya, itu sebabnya apabila Jurulatih itu tidak mahu meneruskan amanah yang diberi maka uniform tersebut perlu ditarik balik. Mungkin dari segi teknikalnya, oleh sebab uniform itu tidak diberi secara percuma maka penarikan uniform itu perlu disertakan dengan pembayaran balik kos pembelian yang telah dibuat oleh Jurulatih tersebut.

Pada pendapat saya, selain daripada kaitan dengan mandat dan punca kuasa, pemberian uniform tersebut dapat merangsang gerak hati setiap Jurulatih untuk terus menyumbangkan tenaga dan masanya demi berjuang mengembangkan SC. Konsep ‘kerana Allah’ berkait rapat dengan keizinan Tuhan membolehkan seseorang itu berperanan sebagai Jurulatih. Oleh itu, peranan mereka perlu dihargai.

Selama ini penghargaan terhadap Jurulatih dilambangkan dengan anugerah sijil dan beberapa hadiah sampingan. Pernah mereka menerima baju batik, beg, payung dan pernah juga mendapat hadiah pengerat kuku. Pastinya ada Jurulatih yang berkuku panjang ketika mengajar SC. Belum ada lagi yang mendapat anugerah uniform secara rasmi. Apapun bentuk cenderamata yang diberi, pengiktirafan pada Jurulatih memang dilakukan oleh silat kita. Satu motivasi yang dikira baik.

Di cawangan saya, pengiktirafan pada Jurulatih diluaskan lagi melalui pemberian beberapa cenderamata setiap tahun. Pemberian ini pernah termasuk sepersalinan ‘bush jecket’ untuk setiap Jurulatih. Warna hijau pulak tu. Lambang kekitaan.

Saya berpendapat, kalau kita meraikan diri sendiri lebih mudah berbanding dengan mengharapkan orang lain meraikan kita. Oleh sebab itu, pada saya, usaha-usaha meraikan Jurulatih di peringkat cawangan perlu dijalankan di samping keraian yang diterima di peringkat pusat. Walau bagaimanapun anisiatif penghargaan ini banyak bergantung pada kepimpinan di peringkat cawangan. Kalau kekurangan duit, belanja makanpun jadilah.

Semua pemberian cenderamata tersebut adalah merupakan satu pengiktirafan dan satu penghormatan. Namun, apabila dikaitkan dengan mandat dan punca kuasa, setakat pemberian cenderamata sahaja adalah tidak memadai.

Berdasarkan itulah maka saya pernah membuat cadangan supaya mengamalkan konsep pemberian mandat sebagai wakil SC kepada Jurulatih dibuat melalui pemberian atau penganugerahan uniform silat. Secara simbolik juga apabila Jurulatih itu ‘menderhaka’ atau tidak mahu atau tidak berminat lagi berperanan sebagai Jurulatih maka uniform itu berhak ditarik balik oleh Guru SC. Konsep ini nampaknya dipersetujui di peringkat awal dan dijalankan di cawangan saya. Malangnya ramai pulak yang dengki atas pandangan saya. Kaki cucuk dan manusia fitnah serta manusia toksid telah melatah. Saya telah dikutuk sebagai seorang yang nak percuma sahaja. Saya tenang sahaja. Rupa-rupanya ramai dalam kalangan kita yang bercakap tentang adat dan adab tapi hakikatnya buta kayu.

Pada pandangan saya, selama ini apabila ada Jurulatih yang berpaling tadah, penarikan mandat secara simbolik tak dapat dilakukan. Mandat atau punca kuasa pada Jurulatih menjalankan peranannya hanya terletak pada sijil yang dianugerahi pada setiap perhimpunan Jurulatih. Ikrar dibaca tanda kesetiaan. Tapi akhirnya ada yang tak setia. Bagaimana mandat tersebut hendak ditarik balik. Menarik balik sijil, nampak peliknya. Menarik ilmu, khayalan semata.

Seperti yang pernah saya nyatakan terdahulu, ilmu bukannya umpama tali yang boleh ditarik-tarik. Sekali ilmu telah diberi maka ilmu itu terus berada pada si penerima. Ketandusan ilmu yang dimilikinya bukan kerana ditarik-tarik tapi kerana beberapa faktor psaikologi. Pokok pangkalnya adalah kerana ilmu itu tidak diamal atau tidak mahu diamalkan lagi. Adatnya, kalau sudah membenci guru maka ilmu itu secara langsung turut dibenci. Ilmu yang tidak diamalkan lagi akan berkarat dan punah beransur-ansur. Namun, terdapat juga kalangan ramai yang membenci guru tapi ilmu yang diberi tetap diamalkan. Ilmu yang diamal akan terus berkembang. Apabila disebarkan maka akan terus berakar teguh dalam diri pengamalnya. Mana mungkin di tarik-tarik. Tengoklah mereka yang durhaka pada SC. Elok saja penyebaran ilmu SC yang dibawanya.

Akan tetapi ada yang hidup dalam dunia khayalan. Apabila menderhaka pada guru dikatakan ilmu tersebut akan melayang. Paling melucukan apabila disaran supaya ilmu tersebut perlu dimuntahkan kembali tanda derhaka pada guru. Mana boleh ilmu dimuntah-muntah. Orang yang muntah biasanya dikaitkan dengan mengandung. Benih yang tersemai tetap tak akan keluar. Muntahlah banyak kali. Dalam konteks muntahan ilmu, lucu sekali. Muntah kerana menurunkan ilmu memang ada dalam cerita Si Badang. Muntah kerana mengeluarkan ilmu, Malaysian Book Of Record-lah jawabnya. Kalau begitu, ramai yang hilang ilmu dek kerana muntah. Kalau cirit lagi teruk agaknya.

Dalam konteks inilah maka jika uniform dianugerahi maka uniform juga boleh diambil balik tanda menarik balik mandat atau punca kuasanya. Tidak perlu berkhayal sebagai tanda ilmu melayang dek hilang taat setia.

Sekian sahaja setakat ini.