Sunday, October 4, 2009

ULAR AIR

Ketika menonton drama Indonesia juga, nampak sangat peranan kaki cucuk yang memporakperandakan institusi keluarga. Rata-rata semua filemnya berwatak begitu. Sifat filem tersebut bercirikan perbuatan menabur fitnah dan tidak berterus terang. Peranan watak jahat, sungguh licin dan licik umpama ular. Amat berbisa. Malas nak ikuti ceritanya secara berterusan. Geram. Tapi tengok juga.

Menyentuh tentang ular, seingat saya, dalam ceramah Ustaz, Allahyarham ada menyebut tentang binatang ular dalam ceramahnya sebagai bandingan dengan manusia. Binatang ular ini dirujuk sebagai makhluk berbisa yang mematuk mangsa tanpa ada niat memakannya. Tidak seperti harimau atau singa. Membunuh dengan tujuan, kerana itulah makanan binatang tersebut. Manusia jenis ular ini adalah manusia yang bersifat khianat. Mereka tidak bertanggungjawab atas perbuatan terkutuk yang dilakukan. Oleh sebab itu adalah tabiatnya maka apa yang dilakukan terutama memfitnah adalah merupakan satu perbuatan yang biasa sahaja pada mereka. Ramai yang mentafsir sifat mereka sebagai manusia yang tidak berhati perut. Langsung tidak ada perasaan kesal kerana itulah nilai mereka. Pada hal kesannya amat besar sekali pada masa depan manusia.

Ditambah lagi dengan perkataan air. Kita yang hidup atas darat kurang mengetahui akan apa yang berlaku dalam air. Sifat ular air dirujuk kepada perbuatan mereka yang sukar dikesan. Kalau dapat dikesanpun sukar dibukti akan perbuatan yang mereka lakukan.

Kita tidak boleh mengubah nilai yang ada pada seseorang itu. Cuma usaha sahaja yang dapat kita lakukan bagi menyedarkan mereka. Tapi mereka tak akan sedar-sedar. Hal ini demikian kerana nilai yang wujud itu adalah hasil perulangan sikap yang ada pada mereka. Sikap yang terbentuk itu akibat kebiasaan yang mereka lakukan seharian. Apabila telah menjadi nilai pada diri mereka maka amat sukar sekali untuk dipisahkan daripada sifat yang ada dalam tubuh badan mereka.

Ustaz juga ada mengkiaskan golongan jahat yang tidak boleh berubah itu dengan binatang biawak. Didiklah binatang itu dengan apa cara pun atau hidangkannya dengan makanan yang enak daripada apa jenis pun. Akhirnya binatang itu akan tetap memilih bangkai sebagai makanan kegemaran. Begitu juga dengan sifat manusia yang dapat disamakan dengan biawak tersebut. Berilah kesedaran atau nasihat setinggi gunung mana sekali pun. Akhirnya mereka akan tetap berbalik pada sikap dan sifat asal yang merupakan nilai diri mereka sendiri yang amat sukar untuk berubah.

Kalau Ustaz telah menyentuh dan menegaskan dalam syarahannya tentang binatang tersebut, sudah tentu ada kaitannya dengan sifat yang ada pada manusia. Ahli-ahli SC pun manusia. Kita tidak boleh lari daripada sifat tersebut jika kita tidak ada kesedaran dan keinsafan. Maka kesedaran perlu diberi sebagai usaha agar perbuatan khianat tersebut dapat dibendung demi mengurangkan politik silat yang boleh memporakperandakan alam persilatan kita yang terbina kukuh begitu lama.

Kadang kala mereka yang bersifat khianat tersebut digelar sebagai manusia toksid yang boleh memusnahkan ahli silat secara beransur-ansur. Mereka mempunyai sifat-sifat yang tersendiri. Cuba kita perhatikan manusia yang ada di sekeliling kita. Dalam konteks SC, cuba-cuba kenal pasti mereka. Sekurang-kurangnya kita boleh menghindari mereka daripada mempengaruhi diri kita daripada menjadi alat atau makhluk perosak di bumi SC. Kenalilah sifat mereka. Saya cuba bayangkan wajah-wajah mereka dengan sifat-sifatnya yang bersepadu. Kenapa agaknya mereka sedemikian rupa. Namun begitu, kadang kala saya membuat kesimpulan sendiri. Mungkin itulah sifat umum manusia. Syaitan selalu merasuk manusia. Diri kitapun tidak terkecuali. Sifat-sifat buruk tersebut mungkin ada pada kita. Kita juga melakukannya tanpa disedari. Tapi keadaan ini perlu disedari agar diri sendiri tidak terjebak pada pelakuan tersebut yang amat keji. Maka jadilah perbezaan sesama kita sama ada kita boleh berfikir atau tidak. Mereka yang tidak berfikir akan terus bergelumang dengan perbuatan tersebut tanpa ada batasan atau sempadannya. Semata-mata bagi memuaskan diri.

Saya dapat bayangkan gelagat mereka yang kurang berusaha, kurang bersungguh-sungguh atau kurang meminati silat, sama ada aspek fizikal atau aspek kefahaman. Tumpuan lebih banyak dalam bentuk pengurusan. Dalam SC, mereka lebih banyak bercakap daripada turun padang. Sebaliknya dalam persatuan mereka tersangat aktif. Bila ada perayaan maka mereka menampakkan sebagai pengurus hakiki. Selalu tersenyum kambing kerana kerap dipuji. Orang yang bersilat membuat pertunjukan nampak setengah mati kerana dipukul dan dikunci. Oleh itu dalam bidang persilatan, pengetahuan mereka ternampak kurang. Penguasaan mereka dalam alam persilatan juga nampak sangat kekurangannya. Cakap bukan main. Banyak berteori. Inilah golongan yang selalu menangguhkan jawapan. Kalau ada jawapanpun sering menimbulkan kekeliruan. Pada yang kurang bertanya akan menjadikan cakap mereka paling utama. Bukan kerana isi bicara tapi cara bicara yang menyakinkan semua. Dalam kelas latihan, berlatih pun tidak menunjukkan minat yang bersungguh. Lebih banyak menjadi pemerhati. Macam musang yang bersifat aktif berdasarkan hari.

Golongan ini selalu menyembunyikan kenyataan walaupun kadang kala bertentangan dengan kehendak mereka sendiri. Mereka takut membuat kenyataan dan tidak berterus terang, semata-mata menjaga kepentingan diri. Sifat mereka umpama pengampu yang sangat hebat. Sebagai contoh, sebelum kita berpecah dulu timbul isu tentang gelaran guru. Banyak pendapat yang bertentangan. Akhirnya mereka mengeluarkan kenyataan menunjukkan penegasan dan tanda setujunya dengan kenyataan guru. Tapi bila berpecah, mereka tersingkir. Bukan main lagi reaksi mereka. Membuat kenyataan yang bertentangan. Tidak bersetuju pulak dengan gelagat guru. Mulalah memberi pelbagai alasan untuk menyelamatkan kedudukan dan menunjukkan ketegasan.

Manusia toksid ini juga adalah golongan yang pernah kecewa. Lihatlah zaman-zaman guru yang ada. Masa Ustaz dulu mereka tak ada benda. Bila timbul zaman PA mereka mula mencucuk untuk mendapatkan kuasa. Zaman seterusnya terasa diri mereka berkuasa tapi akhir-akhirnya mereka mula diketepikan. Itu sebabnya bila ada isu mereka berada dalam barisan depan semata-mata untuk melepaskan geram.

Sifat yang lain ialah mereka inginkan penghormatan. Tapi penghormatan itu tidak diperoleh. Mulalah diri terasa tidak dihargai langsung. Ke hulu ke hilirlah melepaskan perasaan. Maka tersemailah perasaan tidak puas hati. Perasaan ini terus menerus disuburi. Apabila minyak berjumpa dengan api maka semakin merebaklah ke segenap negeri. Ajaran agama yang menegah kita mencanangkan keburukan orang telah diketepi. Hati berasa puas mencanang perasaan tak puas hati. Kalau prinsip agamapun boleh diketepi masakan prinsip SC boleh diikuti. Mereka tidak ada kesedaran diri. Tidak peduli tentang perjuangan SC yang hakiki. Buat sesuka hati. Itulah antara gambaran umum perwatakan mereka. Mungkin kitapun ada perwatakan tersebut sebab kita juga adalah manusia. Oleh itu, Ustaz selalu menegaskan betapa perlunya taubat setiap hari. Kata Ustaz sekurang-kurangnya seratus kali. Diberinya ayat-ayat taubat yang paling mudah untuk kita tuturkan setiap hari.

Kadang kala saya terfikir. Memang nilai adalah sesuatu yang sukar diubah umpama kiasan biawak. Tapi biawak adalah sejenis binatang tanpa akal. Tapi kita adalah manusia. Tuhan memberi akal yang sempurna kepada kita. Kenapa tidak kita menarik perhatian pada akal untuk berfikir.

Seperti kefahaman dalam SC yang diterima. Menjadi fitrah manusia ketika dilahirkan tak pandai berbohong dan bertaraf amat mulia. Seperti kata Ustaz, ketika dilahirkan, kita tak bawapun satu benda. Melainkan apa yang ada. Kemudian setelah mengalami proses kehidupan, mereka mula berubah. Timbullah sifat-sifat yang pelbagai seperti malas, bohong dan boleh melakukan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan fitrah asal manusia. Fahaman ’TA’ mula bertapak. Namun begitu, sampai ke satu tahap mereka akan kembali sedar dan akan cuba memperbaiki diri sama seperti sifat-sifat semula jadi semasa bayi. Perubahan ini pastinya kerana telah tua atau berpenyakit untuk meninggalkan dunia. Agaknya. Tapi bagi ahli-ahli silat yang rajin mandi silat, ada kelainannya. Tambahan pula jika mandi silat telah menjadi. Walaupun tak cukup tua tapi telah ingin pulang pulih sedia kala seperti ketika bayi keluar daripada perut ibunya. Kembali kepada fitrah diri sebagai manusia. Itu sebabnya ramai yang tumpang sekaki minta guru ’menjampikan’ lebihan limau semasa majlis ijazah.

Tapi menjadi lumrah manusia. Orang yang cemerlang adalah orang yang hendah berubah selalu sama ada duniawi atau ukrawi. Orang yang terpedaya adalah orang yang tidak suka pada perubahan. Manakala orang yang celaka akan berterusan berbuat jahat, menabur fitnah dan benci pada perubahan. Orang yang tidak mahu berubah akan terus menabur fitnah. Mereka umpama lalat. Di mana tempat yang disinggah akan menjadikan tempat tersebut porak peranda. Musnah hubungan yang sedia ada. Itulah sifat manusia yang bernafsu kuda.

Walau bagaimanapun, bagi mereka yang ingin berubah maka mereka akan mencari titik pemulaan bagi membolehkan mereka berubah. Untuk itu ingatlah pepatah kita yang ada mengatakan, “Sesat dihujung jalan, kembali ke pangkal jalan.” Tapi mereka mesti tahu kesesatan itu berada di mana. Kenalah muhasabah dan beristiqamah. Ilmu mestilah ada. Rajinlah bertanya.

Dalam konteks diri kita, janganlah kita tergolong sebagai manusia toksid. Percayalah pada ajaran-ajaran kita. Ustaz selalu membuat syarahan agama. Untuk syarahan sesiapapun, jangan asyik mendengar sedapnya. Catatan mesti ada. Manusia tak boleh mengubah manusia lain. Tapi dengan bersifat ikhlas dengan Allah, diri kita boleh berubah dan Allah akan membantu kita mengubah orang lain. Menurut tok guru, kalau seseorang itu boleh berubah maka Allah akan mengubah orang yang berada di sekelilingnya. Oleh itu jangan risau orang lain yang tak boleh berubah. Kita ubah diri kita dulu. Lihat di rumah, kalau suami berubah, lama-lama isteri dan anak-anak akan ikut berubah. Dalam silat, kalau para pendokongnya mahu berubah maka ahli-ahli SC yang lain pasti berubah. Apa yang perlu berubah. Duduklah berbincang.

Dalam konteks silat, kita perlu berusaha untuk menghindari pelakuan-pelakuan yang saya bincangkan di atas. Walaupun bukan mudah untuk kita berbuat demikian, akan tetapi kita perlu berusaha ke arah perubahan. Kata Tok Guru, kalau ingin berubah maka hati kena baru – suci hati dengan solat, sedekah dan sebagainya. Kita juga perlu fikir cara baru. Fikir dengan hebat. Orang yang berfikir secara sederhana tidak akan cemerlang sampai ke mati pun.
Sekian setakat ini.