Salah satu punca pepecahan adalah kerana wujudnya manusia toksid seperti yang dibincangkan dalam penulisan terdahulu. Manusia ini mula muncul di zaman Ustaz lagi. Namun begitu pada zaman Ustaz tidak ada siapa yang berani menonjolkan diri. Api yang mula menyala, cepat-cepat Ustaz padam. Ramai yang kena amaran. Cara amaran adalah pelbagai. Ada yang tersingkir daripada persatuan. Tapi kadang-kadang ada juga rasa terkilan. Terkilan apabila api yang mula bernyala disiramkan minyak oleh watak tertentu. Dikabarkan pada Ustaz dengan disertakan sekali imbuhan dan penambahan. Tafsiran fitnahlah perbuatan itu. Kegiatan mereka agak licik dan hebat. Sangat sukar dikesan kecuali mereka yang faham akan situasi kebenaran. Tergambar di kepala atas saya wajah-wajah tersingkir akibat fitnah. H Dagu tak akan saya lupa. Menyewa di rumah persatuan Jalan Putera. Macam-macam tuduhan dilemparkan kepadanya kerana nampak tak bekerja tapi berupaya membayar rumah sewa. Mengedar dadah ada dikata. Buktinya tiada tapi diucap sebagai penyedap bicara. Fitnahlah tu namanya. Begitu juga dengan wajah-wajah lain yang tak boleh saya sebut nama. Tersingkir kerana fitnah yang hebat. Kalau difilemkan akan nampak kesedihannya. Mulut becok punca utama. Pada hal kita selalu diingatkan betapa Tuhan menganugerahkan kita dua mata dan dua telinga. Gunakanlah mata dan telingan itu berkali-kali sebelum mulut yang satu mudah membuat bicara. Tapi apa nak dikata. Rupa-rupanya mulut pun ada dua. Bayangkan filem-filem Indon seperti yang saya nyata. Itulah sifat mereka.
Dalam zaman Pak Ak, kumpulan jenis ini sangat berani. Mereka mula meracuni pemikiran ahli. Fahaman ahli yang pada mulanya mantap dengan kefahaman silat, mula diganti dengan fahaman baru hasil ciptaan mereka sendiri. Zaman seterusnya tidak kurang hebatnya. Nasib baik juga bila berpecah, kumpulan tersebut terbahagi dua. Jika tidak ramai lagi yang merana.
Nasib saya juga pernah terkena. Tapi dalam zaman Ustaz dan PA, fitnah mereka kurang berkesan. Kedudukan saya tidak mudah goyah di sisi guru. Mereka faham hala tuju. Apakah yang difitnahkan. Kalau sudah baca tulisan saya maka tentu tahu akan maksudnya. Sekurang-kurangnya sikap saya yang mendahulukan silat daripada persatuan, amat tidak disenangi mereka. Arahan tanpa tandatangan guru utama, tak pernah saya jelingkan mata. Hal yang sedemikian amat memarahkan mereka. Maklumlah. Persatuan itu bukankah kuasa namanya. Di zaman En Mat peranan mereka hebat sekali. Cucuk-mencucuk lumrah utama. Kalau sepuluh kali cucuk tak akan dua atau tiga cucukan tidak mengena. Orang kanan sendiri pun dicucuk sedemikian rupa. Lentok juga akhirnya. Jadi semacam pondan tua.
Keadaan ini samalah seperti yang ada sekarang. Fitnah-memfitnah bermaharaja lela. Fahaman silat yang sedia ada dalam kalangan ahli telah cuba dikesampingkan dengan memasukkan fahaman baru persatuan. Hilang semangat yang utuh pada SC. Ketika menyambut perayaan ulang tahun SC kali ke-40, saya pernah mengulas tentang pepecahan antara CH dengan CM. Pada masa itu CH belum berpecah. Ketika majlis tersebut berjalan, saya memang diketepikan. Tak dijemput langsung. Maklumlah ketika itu saya selalu dicap sebagai penghalang. Habis manis sepah dibuang.
Saya cuba menarik perhatian para pembaca tentang isi penulisan yang saya maksudkan. Adakah sama keadaannya dengan apa yang berlaku sekarang. Bacalah tulisan dulu yang pernah saya tuliskan. Pendirian saya dalam tulisan ini tetap sama dan tulisan tersebut tidak diubah. Bertahun yang lalu.
“Banyak pengalaman yang saya singkap ketika berada dalam SC. Sesuatu yang saya tak boleh terima sepanjang pengalaman saya ialah pepecahan. Kenapa mesti terjadinya pepecahan. Mana perginya ikatan mesra dan janji setia dengan Allahyarham Ustaz.
Semua sahabat dan para pendokong SC telah diingatkan; janji hormat dan setia bukan setakat dengan diri Us sahaja. Kaum keluarganya mesti dijaga diletakkan taraf yang sama. Semua orang faham dan mengakuinya.
Us ada sahabat-sahabat yang mempunyai ikatan yang teristimewa. Kenapa mereka ini ditentang. Mana perginya perbincangan. Lebih malang lagi yang menentang adalah orang yang ditatang oleh yang kena tentang. Sahabat-sahabat tersebut memegang teraju pentadbiran. Merekalah yang mengangkat martabat orang yang akhirnya menentang mereka sendiri. Sungguh malang.
Di satu pihak, sahabat kita sanggup dipergunakan. Penyerahan berlaku. Tapi apa akan jadi dengan orang yang menentang. Tentu akan tenggelam. Akhirnya buat pakatan. Lupa serahan. Terjadilah pepecahan.
Saya kenal benar dengan sahabat kita itu. Sama-sama dalam AJK Pusat ketika itu. Tak banyak cakap dalam mesyuarat. Pastinya kekurangan idea. Pernah turun ke kelas bersama dalam pelarasan utama. Turut apa yang diselaraskan. Tidak popular; Cuma terkenal kerana pernah try dengan Us. Itu sahaja.
Bila Us menyahut suratan ilahi, bukan tiba-tiba beliau terlantik sebagai GU. Ada kumpulan yang bersetuju dengan pelantikan tersebut atas dasar amanah. Ini memandangkan umurnya dan ‘mungkin’ kebolehannya. ”Mungkin” kerana ramai lagi yang setanding. Saya rasa kalau bukan faktor umur, orang tak lantik.
Kaki penentang ambil peluang merapatkan diri. Bertindak sebagai pembela. Mengacum di sana sini. Ketika sahabat kita ijazah, kakitangannya menyebarkan fitnah. Itulah kerja mereka. Sahabat-sahabat lama terus dengan tanggungjawab yang dipikul. Tiada masa turun ke bawah menangkis fitnah yang disibarkan.
Bila keadaan bertambah buruk, pastinya kita sayangkan SC. Kalau orang boleh melantik kenapa tidak boleh menggugur. Kalau mandat boleh diberi kenapa tidak boleh ditarik. Rupa-rupanya bukan mudah. Pengaruhnya amat tebal di peringkat bawah. Usaha memfitnah membawa hasil. Ahli berpecah-belah.
Betul juga; kalau Penaungnya sudah tiada, ahli-ahli yang mengampu akan ke mana. Pasti hilang. Kalau meludah ke langit pasti akan jatuh ke muka sendiri. Tidak hairanlah mereka terpaksa berjuang mati-matian mempastikan sahabat kita terus berkuasa. Hilang maruah kerana tamakkan kuasa. Itulah masalahnya kalau bunga diberi kepada kera.
Apapun pepecahan telah berlaku. Pada saya SCH adalah merupakan kesinambungan yang hakiki. Mungkin kerana kehendak peraturan pertubuhan, kita terpaksa menukar strategi. Tetapi SC adalah SCH dan SCH itu adalah SC. Yang lain tak sah.
Sekian sahaja untuk saya berkongsi pengalaman di sidang ini beberapa kali.”
Berdasarkan penulisan saya tersebut, cuba bandingkan sifat-sifat manusia yang wujud di akhir zaman Pak Ak yang telah menyebabkan pepecahan. Bandingkan dengan manusia-manusia yang wujud di zaman En. Mat sebelum kita berpecah. Apakah sikap dan sifat yang ada pada mereka.
Yang pastinya ialah sifat hormatkan pada Mak Teh mulai reda dan mungkin telah tiada. Kalau setakat bantuan kewangan mungkin berbentuk luaran sahaja. Pada hal penghormatan yang berkekalan itu adalah merupakan salah satu amanah yang diberi oleh Ustaz kepada orang-orang kanannya pada satu masa yang lalu. Tapi ke mana perginya amanah tersebut. Generasi baru pasti kurang mengetahuinya. Cuma sekadar melihat betapa Mak Teh sentiasa diletakkan pada satu kedudukan yang tinggi terutama pada setiap majlis yang diadakan oleh SC dalam masa yang lalu. Hal ini demikian membuktikan bahawa ketika itu amanah yang ditinggalkan oleh Ustaz terhadap keluarganya diberi perhatian yang hebat dan sepenuhnya. Segala-galanya berjalan menurut landasan.
Rupa-rupanya banyak amanah Ustaz hanya berbentuk lakonan sahaja. Tidak ikhlas. Sekerat jalan. Kini, pesanan entah ke mana. Tapi saya senang dengan diri saya. Sentiasa tidak berubah. Teringat kata-kata Ustaz. ”Ikan di laut tetap tidak masin walaupun air sekelilingnya masin. Kalau nak masinkan ikan terpaksalah dibubuh garam di daratan.” Walaupun orang menganggap saya bedebah, anggapan itu adalah daripada orang yang berkepentingan. Cis! Bedebah. Aku tetap dengan pesanan guruku. ‘Yang tiada tetap tiada. Andai kata yang tiada boleh ada, adakah dia boleh menerima akan apa yang ada.’
Sekian sahaja setakat ini.