Perbuatan yang melebihi sempadan atau hadnya selalu kita anggap sebagai melampau. Perkataan melampau juga dikaitkan dengan perkataan terlalu atau tersangat. Pengertian tentang ukuran melebihi sempadan atau had adalah sesuatu yang samar-samar. Banyak tafsirannya. Perkataan melampau dalam konteks SC erat kaitannya juga dengan kepercayaan yang ada pada diri kita terhadap ajaran-ajaran SC. Kepercayaan ini meliputi hal-hal yang boleh kita nampak atau perkara-perkara yang tidak nampak. Nampak di sini sama ada menggunakan mata kepala atau mata hati. Tajuk ini sukar ditulis tapi tidak sukar untuk berlisan. Saya selalu menegaskan konsep melampau dalam kalangan penuntut di kelas saya. Berpijaklah di bumi nyata. Kali ini, saya tulis buat renungan bersama. Kalau tak kena di hati pembaca, apa nak buat. Itulah yang ada pada kefahaman yang telah terpupuk sekian lama. Itulah kepercayaan saya. Saya telah asuh pula dalam kalangan penuntut yang pernah mengikuti kelas latihan saya. Tentunya berdasarkan tafsiran dan pengertian atas ajaran ustaz.
Kepercayaan adalah sesuatu yang perlu. Kita mesti percaya pada keistimewaan yang ada pada SC. Dalam dunia persilatan alam Melayu, Ustaz pernah menegaskan bahawa SC adalah silat akhir zaman. Banyak tafsiran mengenai istilah akhir zaman. Sekurang-kurangnya kita percaya bahawa selepas kemunculan SC yang dianggap luar dari kebiasaan gerak silat Melayu, tak akan ada lagi kemunculan silat-silat Melayu lain yang menyerupai kelebihan SC. Kita juga percaya jika ada silat-silat lain yang muncul tapi menyerupai SC maka sahlah silat itu pelagiat besar. Kita pasti atas kepercayaan ini. Kita juga berpegang kukuh atas kepercayaan tersebut. Setelah percaya maka kita amalkan. Bina keyakinan diri dan tetapkan keyakinan tersebut. Keyakinan atas kepercayaan yang tidak berbelah bahagi. Sesuailah dengan konsep ilmu dan amal.
Nasihat saya pada anak buah saya. Sebelum kita berkempen untuk menegaskan kelebihan SC, maka lihatlah diri sendiri. Adakah kita telah menguasai ilmu-ilmu yang ada dalam SC dengan begitu mantap atau mantat sahaja. Adakah kefahaman yang ada telah dikuasai dan difahami. Jika semuanya lengkap, tidak salah kita mendabik dada menegaskan kelebihan SC. Cakap berdasarkan kebenaran. Konsep mendabik dada adalah ayat yang diguna pada orang yang tidak suka dengan pelakuan kita. Tapi tak ada salahnya kita mendabik dada jika menyatakan sesuatu yang benar. “Cakap benar dan bukannya cakap besar.”
Sebaliknya jika berlatih silatpun sekali sekala, kefahaman silatpun tak tentu hala dan penguasaan terhadap SC pun entah ke mana, maka berhati-hatilah ketika berbicara. Lebih baik diam sahaja. Berusaha saja membaiki diri setiap masa. Jika menegaskan kebenaran tapi diri tidak memilikinya, maka perbuatan tersebut adalah perbuatan yang melampau. Cakap tak serupa bikin. Menegakkan benang basah. Sesuailah dengan kata-kata mendabik dada. Oleh itu, berhati-hatilah ketika berbicara. Jangan jadi manusia yang bodoh sombong. Bodoh kerana tidak menguasai pelajaran SC dan sombong kerana berbicara berdasarkan benda atau kebolehan yang tak ada pada dirinya.
Kepada penuntut yang pernah mendapat bimbingan daripada saya, selalu saya tanamkan dalam jiwa mereka. Keyakinan diri biar berasas. Kalau nampak kekurangannya maka teruskan usaha. Jika berusaha pasti akan dapat hasilnya. Jika hasilnya telah kita miliki, cakaplah apa saja. Cakap benar namanya. Kita mencerita sesuatu yang kita ada. Lebih masin cakapnya. Datanglah hormat tanpa dipaksa-paksa. Tak payah pakai gelaran apa-apa. Di pangkal nama atau di akhir nama.
Dalam proses aplikasikan SC dalam hidup kita, konsep berhati-hati perlu ada. Jangan melampau atau berlebih-lebih umpama perangai mengada-ngada. Guru yang ada perlu diberi hormat setia. Tunjukkan kesetiaan pada guru dengan cara berusaha bersungguh-sungguh menyebarkan SC dalam kalangan masyarakat. Jadikan SC umpama hak kita. Hak yang ada, perlu dikongsi bersama. Silat ini bukan hak masyarakat. Kalau masyarakat telah ada, buat apa kita memberi semula kepada mereka. Tapi hak kita. Berikan pada masyarakat kita, kerana silat adalah budaya masyarakat kita. Itulah hormat hakiki yang perlu ditunjukkan pada guru kita dengan berusaha mengembangkan SC. Bezakan sifat kita dengan sifat murid lain atas konsep hormat pada guru. Ramai yang mencium tangan guru untuk menunjukkan perasaan hormatnya. Tapi habukpun tarak. Turun kelaspun malas. Malas untuk perkayakan diri sendiri. Apatah lagi turun ke kelas mengajar silat. Kembangkan silat, lagi jauh jaraknya. Mencium tangan bukannya pasport utama kesetiaan kepada guru. Jangan guna kesungguhan hidung untuk menghidu tapi gunakan kesungguhan hati, tangan dan kaki untuk mengembangkan SC. Itulah kepercayaan saya selama berpuluh-puluh tahun mendidik penuntut yang berlatih bagi mendapatkan amanah ilmu guru daripada saya. Setakat ini fahamlah mereka. Jangan suka bermuka-muka. Hipokrat gelarannya. Itulah lumrah manusia biasa. Tiada istimewanya.
Samalah juga konsep bertahlil pada guru. Kita perlu memahami hala tuju dan memahami perbuatan yang kita lakukan dalam konteks ilmu SC. Pernah Ustaz menegaskan kepada saya soal-soal yang bersangkutan dengan pahala pada mereka yang telah tiada. Pelakuan lain saya kurang pasti. Tapi meneruskan dan memanfaatkan ilmu yang ditinggalkan pasti memberi pulangan pada si mati. Rupa-rupanya ada hadis mengenainya. Fahaman ini saya terus asak dalam kalangan penuntut saya. Biar mereka faham maksud berbakti. Ilmu yang Ustaz tinggalkan adalah hebat sekali. Kembangkannya ke serata negeri. Insyaallah, pahala berganda akan terus Ustaz miliki kerana kita berjaya memanfaatkan ilmu yang ditinggalkannya kepada kita. Jangan lakukan sesuatu tanpa pengetahuan dan secara membuta tuli. Itulah perbuatan melampau namanya.
Hal-hal yang berkaitan dengan amalan dalam SC perlu dilakukan secara berhati-hati. Amalan yang dibuat, perlu disertai dengan ilmu yang benar mengenainya. Jangan ketepikan fikiran sendiri. Kalau asyik utamakan pendapat orang lain, diri sendiri akan tersepi. Hilang pegangan diri. Nanti akan wujud perbuatan melampau yang berasas pada perbuatan yang dibuat tanpa pengetahuan. Main ikutan. Seolah-olah tidak fikiran.
Masyarakat kita banyak benar kata kiasnya. Kata kias ini adalah salah satu aspek budaya kita. Ustaz banyak kali mengupas tajuk ini. Teringat saya dalam satu bicaranya. Menurut Ustaz, untuk menjadi wali, salah satu usahanya ialah kurangkan tidur. Tidur adalah kata kias. Kalau diambil makna biasa, kurang tidur maknanya banyak berjaga. Kalau asyik berjaga mana rehatnya. Itulah salah satu punca gila isim. Akhirnya boleh jadi gila. Tapi kurang tidur ada tugasnya dalam konteks kata kias. Menurut Ustaz, kurang tidur memberi maksud jangan lalai. Sentiasalah beringat pada Yang Maha Berkuasa. Apa jua perbuatan, mesti bersandar pada-Nya.
Itulah antara lain ajaran Ustaz yang menjadi pegangan dan prinsip saya terutama hal-hal yang berkaitan dengan SC. Oleh itu, kita boleh aplikasikan pada amalan SC dalam kehidupan harian silat. Sebagai contohnya ada kaitan dengan mandi. Ada yang menegaskan bahawa mandi yang tidak secara berterusan empat puluh hari akan batal amalannya. Perkataan batal memberi banyak maknanya. Setahu kita batal dikaitkan dengan amalan agama. Batal air sembahyang, batal puasa, batal haji dan pelbagai batal lagi. Semuanya berkaitan dengan amalan agama. Mandi silat bukannya amalan agama. Ada murid yang berfaham melampau. Menjadikan diri gundah gulana. Takut sangat ilmu yang diamal tidak menjadi. Sentiasa berada dalam suasana ketakutan untuk meneruskan amalan. Bukannya lahir dalam keikhlasan diri. Manalah ilmu boleh menjadi. Tapi kerisauan yang tidak memanjang. Hangat-hangat tahi ayam. Agaknya sekarang ini dah lupa pasal mandi.
Amalan mandi berturut-turut empat puluh hari adalah bukti kesungguhan daripada anak murid. Kalau empat puluh hari secara berturut-turut tak dapat dilakukan, bagaimana ingin mengerjakan amalan berhari-hari. Tentu ada yang bertanya. Kenapa angka empat puluh menjadi pilihan kita. Angka-angka keramat tujuh, empat belas, dua puluh satu dan empat puluh ada pengertian yang tersendiri dalam persilatan kita. Ustaz pernah meninggalkan persoalan kepada saya tentang tembakan meriam tentera kita. Ada yang empat belas kali tembakan dan ada yang dua puluh satu kali tembakan. Kenapa juga angka-angka tersebut digunakan.
Sambung lagi.