Friday, September 25, 2009

KEBENARAN DALAM SC

Ramai yang menyeru kita mencari kebenaran. Tapi kebenaran mereka kebanyakannya adalah berdasarkan peranan dalam Persatuan. Dikatakan perjuangan kita dianggap masih jauh lagi. Masih berliku-liku. Pelik. Saya tak pasti adakah pendapat tersebut berdasarkan perasaan atau berdasarkan kajian. Kalau masih jauh lagi maka bilakah masanya kita akan mencapai hasrat perjuangan yang diidam-idamkan setelah berbagai-bagai sambutan ulang tahun kita lakukan. Agaknya perjuangan peribadilah yang dimaksudkannya.

Dalam dunia persilatan, kebenaran yang dicari adalah jelas. Perjuangan yang dimaksudkan juga adalah jelas. Kebenaran adalah untuk peribadi manakala perjuangannya adalah untuk silat. Banyak yang dicapai.

Dulu, Silat dan Persatuan tidak kita pisah-pisahkan. Kedua-duanya bersepadu dan saling memerlukan. Bila cakap persatuan maknanya kita juga cakap silat. Bila cakap silat maka maknanya juga kita cakap persatuan. Tapi kini kata-kata tersebut sukar dipercayai kerana ada maksudnya yang tersendiri. Tujuan berpersatuan, saya tak mengerti tapi tujuan kita bersilat ada perkara yang ingin kita miliki. Kita juga perlu faham, mereka yang menjadi ahli persatuan selama ini adakah kerana silatnya atau kerana persatuannya.

Sempena dengan Perayaan 21 Tahun SC, saya pernah menulis di satu ruangan dalam Bulitin yang diterbitkan oleh cawangan saya untuk edaran ahli-ahli saya. Lebih sepuluh tahun yang lalu. Lama bangat. Ketika itu kita belum berpecah lagi. Sebagai ahli silat, saya bincangkan apakah kebenaran sebagai ahli silat yang dicari. Dalam penulisan kali ini saya memetik kembali rencana tersebut yang bertajuk ‘Ikatan SC dan Ahlinya.’ Boleh dijadikan bahan rujukan atau bahan cakapan.

Ikatan SC dan Ahlinya.

Usia Silat Cekak (SC) genap 21 tahun. Usia sebegitu sangat bererti kepada kita. Ramai yang bertanya makna “21”. Berbagai-bagai tafsiran kita dengar. Rata-rata, semuanya benar belaka. Pada kita makna “21” tidak perlu dibahaskan. Perkara yang penting setelah 21 tahun berjuang, apakah telah tercapai matlamat kita? Inilah persoalan yang menarik. Adakah perjuangan kita masih lagi berada dalam landasan yang telah diasaskan atau landasan tersebut harus diperbaharui?

Bukanlah menjadi tugas kita untuk menjawab persoalan tersebut. Kita ada organisasi dan pemimpin. Sebagai ahli, kita harus mempercayai dan menaruh keyakinan kepada corak kepimpinan mereka. Mereka lebih arif dalam bidang tersebut. Biarlah mereka yang mengkaji dan menentukan arah berikutnya. Pendapat kita masih lagi boleh diketengahkan. Organisasi persatuan kita adalah bercorak demokrasi. Selagi mereka bersetuju mendengar pendapat kita, kita boleh bersuara.

Pernah suatu ketika Allahyarham Ustaz Hanafi berkata kepada saya bahawa konsep penyampaian SC kepada penuntut bukanlah berdasarkan konsep ‘ajar’ tetapi menekankan konsep ‘pandu’ kerana semuanya telah ada pada mereka. Oleh sebab kurang disedari, adalah menjadi tanggungjawab kita memupuk sikap dan tingkah laku yang telahpun terasas pada diri mereka. Inilah asas sebenar ikatan antara SC dengan penuntutnya.

Memandu dalam kontak di atas adalah mendidik. Perkara yang dididik adalah bermaksud pendidikan. Banyak tafsiran mengenai pendidikan. Tafsiran yang paling senang, pendidikan membawa maksud:

“Menyatakan sesuatu kepada seseorang yang tidak mengetahui secara terancang hingga mengubahkan pengetahuannya daripada tidak tahu kepada mengetahui dan mengamalkannya.”

Pendidikan yang disampaikan melalui SC meliputi pendidikan formal, informal dan tidak formal. Pendidikan terpupuk dalam masa proses pembelajaran Silat Cekak. Dalam rencana ini, saya akan membincangkan dari sudut ikatan kita dengan pembelajaran SC selaras dengan apa yang ingin dipupuk.

Selama sekurang-kurangnya 6 bulan kita bersilat, kita terikat dengan organisasi dan tunjuk ajar yang diberi oleh Jurulatih. Secara langsung sama ada kita sedari atau tidak, terdapat beberapa perubahan yang mempengaruhi peribadi kita. Akan tetapi kita harus faham, pendidikan hanya berkesan apabila penuntut atau pengamalnya menghayati pembelajaran.

1. Pemupukan Sifat Yang Matang

Seseorang yang gembira apabila mendapatkan sesuatu dan berduka apabila kehilangannya, dikatakan sebagai kurang matang dan masih keanak-anakan. Keadaan ini samalah seperti penuntut silat yang akan bergembira apabila bersilat dengan baik dan berduka apabila pelajaran tidak menjadi. Biasanya sifat itu timbul hasil perasaan rendah diri dan kurang daya keyakinan. Jika perasaan ini terbawa-bawa, akan mengurangkan daya usaha dan akan terus tenggelam dalam suasana ketidakcekapan bersilat.

Ketangkasan yang semulajadi wujud pada kita, amat sukar diubah tapi tidak mustahil untuk berubah. Sebagai penuntut SC adalah menjadi hak mereka untuk menuntut pengajaran yang sempurna dari jurulatih. Dalam soal ini, adalah menjadi hak jurulatih untuk menuntut agar penuntut-penuntut SC belajar dengan sebaik-baiknya, tekun dan sabar. Soal ikhlas adalah penting dan amat berharga di dunia ini.

Apabila kita memahami keadaan tersebut maka kita akan mengetahui peranan kita sebenarnya. Seorang jurulatih akan berusaha bersungguh-sungguh menjadikan penuntutnya cekap manakala di pihak penuntut akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menguasai pelajaran yang diberi. Kelemahan yang wujud tidak mudah diterima atau dikesali sebaliknya akan berusaha untuk memperbaikinya.

Apabila setiap pihak dapat memahami tanggungjawab dan hak masing-masing, disinilah lahirnya sifat kematangan yang melambangkan kesempurnaan berfikir. Kita tidak akan mudah membuat kesimpulan pada diri sendiri tanpa usaha. Sebaliknya kita tetap rela mendapat tunjuk ajar dari jurulatih. Kematangan adalah pendorong kuat ke arah kejayaan kita menguasai dunia persilatan SC.

2. Pemupukan Sifat Berani

Berani bermaksud tidak takut atau tabah menghadapi bahaya dan kesulitan. Jika mahu mengerjakan sesuatu, hendaklah disertai dengan keberanian. Kebiasaannya keberanian akan lahir setelah wujudnya keyakinan. Manakala keyakinan ada kaitannya dengan aspek kepercayaan dan keikhlasan. Sifat gelisah dan tidak tenang menghadapi sesuatu adalah sifat semula jadi manusia. Seorang yang bersifat berani adalah orang yang telah dapat mengkaji kedudukan dan kebolehan dirinya. Dengan memahami kedudukan dan keupayaannya sendiri, sifat berani dalam semua hal akan timbul.

Sejauh mana SC berperanan membentuk sifat berani dalam kalangan penuntutnya. Jawapannya dapat diberi dengan meninjau bentuk pendidikan yang diterima sepanjang pembelajaran Silat Cekak.

Pelajaran SC jelas menitikberatkan menunggu serangan musuh pada pemulaan pelajarannya. Pelajaran yang sedemikian amat besar ertinya. Penuntut dididik dengan pengetahuan penguasaan diri terlebih dahulu apabila berhadapan dengan musuh. Kemudian baharulah diperkenalkan kaedah menyerang.

Corak pembelajaran yang sedemikian akan melahirkan aspek keyakinan kepada penuntut secara sedar atau tidak. Jika kita yakin pada diri, baharulah boleh bertindak terhadap yang lainnya. Inilah sifat berani yang sebenar-benarnya kerana reaksi kita adalah berdasarkan pemikiran dan kajian. Mereka yang bertindak sedemikian lebih tenang dan tidak emosional. Jika sebarang tindakan tanpa berdasarkan pemikiran, sifat mereka adalah menceroboh. Mereka tidak dapat menguasai diri dan menurut hawa nafsu. Walaupun mereka berani bertindak dan melakukan sesuatu, itu bukanlah keberanian yang hakiki.

Perkara yang jelas, pelajaran SC lebih menitikberatkan segi menjaga diri supaya terlatih dengan sifat keberanian, bukan mengganas atau menceroboh. Hanya bila terpaksa demi keselamatan diri, baharulah Cekak menyerang.

3. Pemupukan Sifat Bertanggungjawab

Membincangkan tajuk ini, kita perlu menjawab dua soalan iaitu sejauh mana kita bertanggungjawab pada diri dan sejauh mana silat yang dipelajari bertanggungjawab terhadap diri kita.

Bertanggungjawab adalah kemestian. Malah istilah bertanggungjawab itu sendiri dikaitkan dengan istilah mesti. Mesti adalah bermaksud patut dan wajar dalam keadaan tidak boleh tidak.

Apabila kita bersilat, kita mesti mempastikan kebolehan untuk diri bertanggungjawab dan silat tersebut berkebolehan bertanggungjawab terhadap diri kita. Dalam keadaan kita menghadapi satu-satu ancaman dan dugaan, tidak ada siapa yang boleh menolong melainkan ilmu yang dipelajari.

Dalam hal ini adalah terbukti SC bukanlah sejenis silat permainan atau pertunjukan. SC mempunyai kaedah-kaedah yang tetap, lengkap dengan buah-buah pukulan yang cukup dan kemas serta kunci-kunci tangkapan yang tidak perlu dipersoalkan. Pembelajarannya meliputi aspek menunggu serangan dan menyerang sama ada dengan tangan kosong atau apabila musuh menggunakan senjata.

Sistem pelajarannya yang lengkap membuktikan SC boleh dan sesuai dijadikan silat yang bertanggungjawab terhadap diri kita. Kita yang mempelajarinya perlu bersungguh-sungguh. Melalui keikhlasan dan kesungguhan, amat mudah untuk menguasai SC.

Secara langsung nilai-nilai keyakinan dan keberanian akan terpupuk dalam jiwa. Nilai-nilai inilah yang penting yang menjadikan kita dapat bertanggungjawab pada diri sendiri. Dalam sesuatu pertarungan, di samping mutu silat yang dikuasai, hati juga menjadi ukuran yang sangat penting. Jika silat yang dipelajari bermutu, tetapi hati tidak cekal dan penakut, kita tidak berupaya bertanggungjawab terhadap diri sendiri. Ilmu yang dituntut kurang berfaedah.

Bagi memastikan diri kita benar-benar dapat bertanggungjawab, kita rela diasuh dan sanggup menghadapi pelbagai macam kepayahan. Kepayahan yang ditempuhi menjadikan ilmu yang dipelajari sungguh bernilai dan bermakna yang tidak dapat dinilaikan dengan wang ringgit. Lebih lama menceburkan diri, lebih banyak pengetahuan yang diperoleh.

4. Memupuk Pemikiran Yang Rasional

Ketika kita masuk ke kelas memulakan pelajaran SC, ramai penuntut yang tertanya-tanya. Kita tidak memulakan pelajaran dengan sebarang jenis upacara. Ketika bersilat, jika ada yang terseliuh atau tercedera, tidak ada rawatan segera yang boleh menyembuhkan kecederaan. Dalam hal ini SC memupuk kita mengakui hakikat sebenar tanpa bersumberkan faktor khayalan. Ini adalah bersesuaian dengan perjuangan SC seperti yang termaktub dalam perlembagaan iaitu untuk membasmi ilmu tahayul dan kurafat yang terdapat dalam ilmu persilatan Melayu.

Pemikiran penuntut adalah diarahkan kepada pemikiran yang tepat dan rasional serta bernas. Sesuatu yang luar biasa harus difahami secara objektif. Menurut Allahyarham Ustaz Hanafi, mengkaji perkara luar biasa dalam ajaran akidah Islam terdapat 7 jenis:

i. Mukjizat

Perkara luar biasa yang berlaku pada diri para Rasul. Contohnya terbelah bulan, bercakap binatang, menghidupkan orang mati dan kitab suci Al-Quran.

ii. Keramat

Perkara luar biasa yang berlaku pada diri orang yang Soleh di kalangan orang Islam. Contohnya singgahsana Puteri Balqis dari Yaman dapat diterbangkan oleh ‘Asif’ ke Palestin hanya sekelip mata sahaja.

iii. Maunah

Perkara yang berlaku pada mukmin umumnya tanpa apa-apa sebab daripadanya. Contohnya orang yang jatuh ke dalam sungai atau berlanggar kereta yang mengorbankan semua orang tetapi dia terselamat.

iv. Irhas

Perkara luar biasa yang berlaku pada seseorang yang bakal menjadi Nabi atau Rasul. Contohnya apa yang berlaku kepada Nabi Isa yang dapat bercakap dalam buaian dan awan meneduhnya.

v. Istidraj

Perkara yang luar biasa yang berlaku pada seseorang yang jahat untuk mendorongnya dalam kesesatan seperti yang berlaku pada Hindu, Buddha atau sesiapa sahaja yang tidak mengikut ajaran Islam zahir dan batin.

vi. Sihir

Perkara yang luar biasa yang berlaku pada seseorang melalui cara yang dipelajarinya. Contohnya memotong kepala, membunuh dan sebagainya.

vii. Ihanah

Perkara yang luar biasa yang berlaku pada seseorang yang mengaku nabi seperti Musailamatul Kahzab yang ingin mengubati orang buta sebelah matanya tetapi akhirnya kedua-dua matanya menjadi buta.

Pada kita, sesuatu yang luar biasa, mesti disesuaikan dengan kategori di atas. Mungkin mereka selalu merujukkan sesuatu yang luar biasa dalam kategori iii. Namun harus kita ingat, Ma’unah tidak mungkin berlaku pada semua orang biasa dalam semua keadaan. Ma’unah diberi pada beberapa ketika kepada orang-orang tertentu dalam keadaan tertentu dan penting.

Perkara luar biasa yang didapati secara belajar dan terpaksa menjadi ahli, itulah sihir namanya. Hukum sihir adalah haram. Sihir tidak semestinya memanggil nama jin tetapi sering juga penggunaan nama Allah dan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Ramai ahli ilmu kebatinan di Asia ini yang tidak Islam seperti bomoh-bomoh Siam, ketika mengamalkan kebatinan, menyebut nama Allah. Ketika menipu Adam di Syurga dahulupun, Iblis menyebut nama Allah hingga tertipu Adam. Disangkanya itu adalah kehendak Allah.

Ramai yang mendakwa perkara luar biasa yang ada padanya ada kaitannya dengan Malaikat. Kita harus faham, makhluk ghaib yang diketahui menolong manusia adalah jin dan malaikat. Tetapi menurut Ustaz, pertolongan Malaikat hanyalah kepada Wali-Wali sahaja yang ternyata sifat-sifat ketakwaannya pada zahir dan batin. Wali itupun tidak meminta untuk membuat sesuatu yang aneh-aneh atau yang luar biasa. Perkara itu datang kepadanya sekali sekala tanpa disedarinya.

Memang ada hubungan antara Malaikat dengan manusia seperti yang dijelaskan oleh Al-Quran yang saya petik hasil dari pengumpulan dan kajian Allahyarham Ustaz. Menurut Ustaz Hanafi, bentuk hubungan antara Malaikat dan manusia adalah seperti yang berikut:

1. Mendoakan kepada manusia untuk mengeluarkan mereka dari kegelapan.
2. Memohon ampun kepada manusia di dunia ini supaya dijauhkan dari dosa di samping supaya dimasukkan ke dalam Syurga.
3. Menjaga dan mengawal manusia pada waktu siang dan malam.
4. Meneguhkan peribadi orang Mukmin dengan menyampaikan berita baik.
5. Memberi bantuan dan pertolongan kepada orang Mukmin dalam bentuk yang tidak diketahui.
6. Bantuan sebagai tentera Allah dalam bentuk yang tidak diketahui.
7. Memberi kedamaian dan memperteguhkan pendirian orang Mukmin ketika menghadapi musuh.

Menurut Ustaz Hanafi lagi, sebagai pengamal SC kita telah dididik supaya berhati-hati dengan menggunakan akal fikiran yang diberi oleh Allah dengan sebaik-baiknya. Jika setakat berkebolehan mengeluarkan batu arkib dari celah jari atau cincin tembaga secara ghaib, bukanlah sesuatu yang menarik. Sebaliknya jika mereka berkebolehan mengeluarkan batu berlian, permata atau cincin emas dan boleh diberi secara percuma kepada yang hadir, patut sangat kita memberi perhatian. Kita juga harus kritis. Jika mereka berkebolehan melalui perantaraan Malaikat, masalah Kominis, rampasan bangunan AIA oleh Tentera Merah Jepun dan sebarang ancaman Negara dapat dibanteras dengan senang dan sekelip mata.

Ustaz menegaskan bahawa, perkara yang jelas, perlakuan demikian diambil peranan oleh Jin. Sifat jin selama-lamanya bertujuan membakar, memusnah dan menghancurkan akidah manusia sesuai dengan kejadiannya dari api. Itulah sebabnya Allah sering memperingatkan manusia supaya menjauhkan diri dari Jin.

Walaupun ditegaskan oleh Al-Quran bahawa terdapat makhluk jin dari golongan Islam dan ada yang soleh; namun tiada ditegaskan atau digalakkan untuk kita membuat hubungan dengan mereka apatah lagi mengikat janji persahabatan.

Sebagai pengamal SC, kita digalakkan berfikiran tepat dan ini sentiasa terpupuk dan dipupuk dari masa ke masa. Biarlah kita berpijak di bumi nyata. Dapatlah kemahiran melalui kebolehan dua tangan dan dua kaki yang dianugerahkan oleh Allah. Ini adalah lebih selamat dan lebih logik dan rasional.

KESIMPULAN

Sebagai pengamal SC, kita mempunyai prinsip dan matlamat hasil didikan dan pemupukan sikap sewaktu kita mempelajari SC. Ini semua telah mempengaruhi peribadi kita ke arah lebih berkemampuan sebagai seorang manusia. Kita patut bersyukur kerana berada dalam persekitaran ini.

Banyak aspek lain yang tidak dapat dibincangkan dalam ruangan yang terhad ini. InsyaAllah, dalam terbitan yang lain, perkara ini akan dibincangkan lagi dari aspek yang lain pula.

Para pembaca sekalian.

Itulah harapan saya sejak dulu lagi yang amat mementingkan peranan dan faedah yang patut kita peroleh hasil kegiatan kita bersilat dalam SC. Banayak ’perkara’ yang saya dapat. Menjadi tanggungjawab saya pula memulangkan perkara tersebut kepada generasi berikut. Itupun pada mereka yang mahu.

Kerap kali saya khuatir dengan perkembangan sekarang. Pengisian kefahaman silat mula dilupakan. Masa lebih banyak terbuang memikirkan persengketaan. Sejak pepecahan dengan CM. Kerana persatuan juga kita sanggup mengorbankan masa, pergi ke merata-rata pusat latihan untuk membuat penjelasan atas kebenaran persatuan. Bukannya kebenaran silat. Tujuannya satu. Hentikan perkembangan SC yang sedia ada yang berlainan payungnya. Apabila sesuatu cawangan menganjurkan program, kita sanggup berjumpa penaungnya dengan amaran supaya aktiviti silat itu dihentikan atas alasan persatuannya tidak sah. Maka kegiatan SC disekat. Apakah ertinya perjuangan SC.

Ketika kita berpecah daripada Cekak Malaysia, kumpulan sana menggunakan tekanan yang sama. Mengorbankan masa merata-rata. Perkembangan silat entah ke mana. Kini tiba pula giliran kita. Kumpulan asal mengadakan sekatan. Kerana kepentingan persatuan maka Silat Cekak dikorbankan. Cuba kita kaji kembali. Siapakah pertualang-pertualang silat kita. Bilakah penglibatan mereka. Inilah kumpulan baru yang tiada roh persilatan. Matlamatnya ialah kuasa. Kuasa hanya ada dalam persatuan. Akan tetapi, dalam silat kuasa merujuk pada kebolehan dan kehandalan bersilat. Orang-orang yang berkebolehan dalam silat juga ada pengaruh. Pengaruh itu adalah kuasa. Pengaruh dan kuasa inilah yang sangat ditakuti. Macam-macam cap diberi bagi menimbuklkan suasana sakit hati. Pemutus yang baik ialah singkirkan mereka. Caranya ialah melalui kuasa yang ada dalam persatuan. Haprak betul kumpulan penyingkir itu. Hati yang kematu.

Sekian setakat ini.