Tuesday, September 22, 2009

MENERAJUI KEBENARAN

Bulan Ramadhan telah pergi. Kita rayakan dengan Aidil Fitri. Ramai juga yang tak selamat di bulan Ramadhan. Tak ikut peraturan. Terlebih makan dan minum. Ada yang sesak nafas, terus mati. Ada yang ke klinik kerana darah tinggi. Kencing manis terus menjadi. Gara-gara nafsu menguasai diri. Tapi doa telah kita beri. ‘Selamat berpuasa’ terus diingatkan. Kini kita doakan melalui ucapan selamat hari raya. Ketika rayapun tak tentu selamatnya. Berjaya berpuasa tapi tak berjaya di jalan raya. Macam-macam terjadi apabila nafsu menguasai diri. Akal ditolak ke tepi. Ada yang putus tangan dek kerana bunga api.

Semasa berpuasa ramai yang sedar diri. Sama-sama menyeru rakan-rakan agar berusaha mencari kebenaran. Kemudian diseru agar menerajui kebenaran tersebut. Dikatakan itulah kebenaran hakiki. Dikait-kaitkan hakiki dengan hakikat. Berlanjutan pulak dengan makrifat dan pelbagai lagi kata penyedap. Rata-rata tak tentu hala. Semestinya dalam konteks silat kita.

Dalam Silat Cekak, sifat kebenaran terlalu umum. Bila kita mengajak rakan-rakan mencari kebenaran, maka kebenaran apa yang kita kehendaki. Kebenaran silatkah. Kebenaran persatuankah atau kebenaran peribadikah.

Mencari kebenaran dalam konteks persatuan, saya rasa mudah sekali. Penerajunya semesti berdasarkan lantikan. Lantikan ini berdasarkan suara ramai. Sama ada orang itu ikhlas atau tidak dalam perjuangan persatuannya, bukanlah perkara utama. Perkara yang penting lantikannya telah disahkan dalam mesyuarat agung. Maka bolehlah dia tunjukkan kuasa dan kewibawan dalam mentadbir persatuan.

Landasan perjuangannya berkitabkan undang-undang dan peraturan persatuan. Itulah perlembagaan persatuan namanya. Ahli-ahli persatuan memainkan peranan utama untuk memacu persatuan dan sekarang ini akademik ke arah hala tuju yang sebenarnya. Timbullah konsep ‘Yang ramai disatukan, yang satu diramaikan’. Dengan cara itu mereka akan dapat membina satu rangkaian ahli-ahli lama dan ahli-ahli baru yang mahir berpersatuan untuk menerajui agenda besar dan utama persatuan di masa akan datang. Apakah maksud agenda besar tersebut. Kena tanya pegawai-pegawai eksekutifnya.

Ahli-ahli persatuan akan mengutamakan amanah dalam konteks menjalankan tugas. Nafsu yang disentuh berkait dengan tugas dan jawatan. Tapi jangan bernafsu sangat sebab akan mengancam kedudukan penjawat jawatan yang lain. Keinginan nafsu untuk memikul amanah yang tidak layak dibawanya akan merosak dan memburukkan nama dan mencacatkan perjalanan persatuan. Lebih hina lagi bagi ahli-ahli yang sedemikian akan hilang semangatnya yang berkobar-kobar dalam persatuan dan akhirnya akan hilang daripada persatuan. Timbul kekesalan bahawa diri mereka selama ini telah dipergunakan dek tak mampu menjalankan amanah persatuan. Itulah kebenaran dalam persatuan. Pinjaman kata.

Pengorbanannya dalam persatuan akan dikira hebat ketika menjawat jawatan dan ketika masih dikehendaki. Habis tinggi penghormatan padanya ialah anugerah pingat atau pemberian imbuhan yang tertentu. Puncak segala-galanya ialah kuasa. Bila ada kuasa maka perlulah dipertahankan atau dikekalkan. Pelbagai cara boleh digunakan. Memburuk-buruk orang lain dan mengangkat diri adalah kaedah yang biasa. Jika ada wang maka bolehlah menabur wang bagi mendapatkan sokongan. Taburan wang boleh jadi dalam bentuk benda. Malangnya apabila kehilangan jawatan maka pengaruhnya akan beransur hilang. Namanya pun semakin dilupakan. Satu sifat yang pasti, lagi lama kita menjawat jawatan maka lagi ramai yang akan membenci. Tapi ramai yang tidak sedar diri. Mungkin kerana sifat inilah dalam sektor kerajaan, tempoh masa penjawat awam untuk satu-satu jawatan tertinggi, selalunya tidak lama. Takut kekurangan idea. Itulah juga kebenaran yang ada dalam persatuan.

Mencari kebenaran dalam konteks silat lain pula hala tujunya. Penerajunya semestinya berdasarkan mandat. Mandat ini tidak boleh dilakukan secara suara ramai. Suara masyarakat jauh sekali. Mandat ada kaitan dengan konsep mewarisi dan diwarisi. Keikhlasan menerajui kebenaran dalam silat adalah menjadi perkara utama. Ilmu yang ada perlu diturunkan tanpa ada tokok tambah dan tidak pula dikurangi.

Landasan perjalanannya berdasarkan adat dan adab yang berlangsung dari masa ke masa. Ahli-ahli silat memainkan peranan untuk menyebarkan ilmu silat itu ke segenap pelusuk tempat. Timbullah konsep, “Dari satu menjadi ramai dan dari ramai menjadi lebih ramai. ”Satu itu guru yang akan melahirkan anak muridnya. Anak murid tersebut akan meramaikan lagi ahli silat yang lain tanpa ada batasnya.

Amanah dalam konteks silat ialah memelihara ilmu silat tersebut tanpa mengubahnya sesuka hati. Isi pelajarannya tidak disembunyikan. Para penuntut yang belajar silat ini perlu dipastikan apabila tamat nanti akan menguasai sepenuhnya akan segala aspek ilmu yang ada dalam SC. Setiap ahli perlu bernafsu besar untuk terus menerus membanyakkan pusat-pusat latihan silat. Ahli-ahli ini perlu melengkapkan diri dengan ilmu SC supaya ilmu yang diturunkan kepada penuntutnya memberi makna yang sejati. Itulah kebenaran yang ada dalam perjuangan silat.

Pengorbanan dalam silat dikira hebat jika murid yang dilahirkan dapat menguasai keseluruhan pelajaran yang disampaikan. Penghormatan yang diberi kepada mereka ini tidak berupa pingat atau sijil. Sebaliknya mereka menjadi bahan rujukan sesama ahli. Itulah penghormatan yang tertinggi. Lagi lama kita berada dalam dunia persilatan maka lagi hebatlah pergerakan kita. Itu juga adalah kebenaran yang ada dalam dunia persilatan.

Mencari kebenaran peribadi ada kaitannya dengan kepentingan diri. Penerajunya ialah diri sendiri. Kebenarannya hanya diri sendiri yang tahu. Orang lain tidak boleh tahu akan tujuan diri melainkan kita sendiri memberitahu. Telunjuk lurus kelengkeng berkait adalah asas perjuangannya.

Landasan perjuangannya pula berkitabkan keuntungan. Ahli-ahli persatuan akan dijadikan alat untuk memenuhi hajatnya. Lihatlah apa jenis keuntungan tersebut. Kalau CNI maka ahli-ahli akan dilantik sebagai pengedarnya. Jualan langsung adalah prinsipnya. Maka timbullah konsep payung. Mottonya akan berbunyi, “Dari satu menjadi ramai. Dari ramai untuk yang satu.” Yang satu itu ialah yang empunya diri, perancang utama.

Dengan cara ini mereka akan dapat membina satu rangkaian ahli-ahli lama dan ahli-ahli baru yang mahir berurusan berorientasikan keuntungan untuk menerajui agenda besar dan utama kepentingan diri di masa akan datang dalam persatuan. Maka silat dan persatuan akan dijadikan alat. Sukar dikesan aktiviti dan niat mereka. Nampak ikhlas kerana cekap menggoda. Kalah pondan siam dibuatnya. Dalam bidang perniagaan, pengorbanan mereka dikira hebat jika dapat membentuk jaringan komunikasi dalam pengedaran barangan yang menjadi punca utama kepentingan. Dalam bidang kepentingan politik, pengorbanan mereka dikira hebat apabila menjawat jawatan tinggi dalam persatuan.

Mereka mengutamakan amanah dalam konteks simpan tujuan, simpan barang dan simpan keuntungan. Jangan curi tulang atau curi barang. Mereka juga perlu bernafsu besar untuk meramaikan pelanggan atau penyokong. Kedinginan nafsu untuk memikul amanah yang tidak layak dibawanya akan merosak dan memburukkan nama kumpulan kepentingan. Maka yang lainnya akan hilang semangatnya yang berkobar-kobar dan akhirnya akan hilang daripada dunia kepentingan. Itulah kebenaran dalam diri yang berkepentingan.

Sebagai ahli yang telah menceburi SC, fikir-fikirlah ke mana tujuan penglibatan kita dalam SC. Kita yang menentukan hala tuju diri sendiri. Hanya diri yang boleh menjawabnya secara jujur. Dalam Persatuan, Yang lama hulurkan idea, yang baru sumbangkan tenaga. Dalam Silat, Yang lama turunkan pengalamian, Yang baru timba pengalaman. Dalam perniagaan, Yang lama tunjukkan jalan, yang baru cari pelanggan. Konteks kuasa, Yang lama susun idea, Yang baru jadi kuda. Rancangkan strategi anda.

Sekian dulu setakat ini.