Friday, September 11, 2009

sambungan...BUAT JADI HEBAT

Sambungan... BUAT BETUL-BETUL

Berdasarkan tulisan lalu, peranan Jurulatih untuk membuktikan kehebatan SC adalah perlu. Kita akui bahawa bukan semua penuntut yang ‘tahan’ untuk menerima pukulan yang ada. Oleh itu peranan kita ialah menyesuaikan kadar pukulan pada kelainan kebolehan dan kelainan ketahanan penuntut kita. Ketika menjadi Jurulatih, pada setiap kelas, saya akan memilih ‘tagan’ dalam kalangan penuntut yang ada. Penuntut ini semula jadinya tampak tahan menerima pukulan, kasar dan taf. Oleh itu setiap buah yang perlu dibuktikan kemantapannya akan dibuktikan melalui penuntut berkenaan. Setakat pengalaman saya, cara sedemikian tidak mendatangkan sebarang masalah. Semua penuntut berpuas hati. Jika penuntut lain ingin merasai kehendak sebenar setiap buah, maka kita akan memenuhi hajat mereka tersebut. Biarlah mereka merasainya. Tapi jangan sesekali menggunakan pukulan zapin atau tampar nyamuk kuak rentang. Amat memalukan. Macam tak cukup yang satu lagi.

Seperti yang dinyatakan, sebagai penuntut, berilah tumpuan sepenuhnya pada gerak dan gerakan yang dilakukan oleh Jurulatih. Walaupun kadang kala penerangannya tidak sama dengan ketika dia membuat buah, kita tetap menghormatinya. Setiap Jurulatih tersebut ada kelebihan dan ada juga kelemahannya. Kadang kala, kalau kita memahami kelemahan mereka maka kita boleh memahami bahawa teguran atau kemarahan mereka kerap kali kerana menutup kelemahan mereka yang ada. Selalunya mereka akan mengatakan bahawa penumbuk kita tak betul atau suruh kita tumbuk betul-betul. Macamlah kita main-main. Pada hal mereka susah membuat buah. Sepatutnya sebagai Jurulatih apa bentuk tumbukanpun boleh diambil walaupun mungkin menjadi buah yang lain. Begitu juga mungkin Jurulatih akan marah apabila kita banyak bertanya. Berkemungkinan besar kerana mereka kurang pengetahuan mengenainya. Untuk menutup kelemahan maka akan disuruh kita jangan banyak bertanya atau disimpan jawapan di lain masa yang entah bila kunjung tiba.

Tumpuan pada pergerakan Jurulatih ada kalanya amat sukar. Pengalaman semasa belajar dulu, kadang kala gerakan yang dibuat oleh Ustaz, sukar difahami secara sepintas lalu tanpa ada daya pengamatan yang tertumpu. Pergerakan Ustaz tidak menentu. Tapi tindak balasnya amat laju. Pernah dalam satu kelas, Ustaz menyerang dalam kadar perlahan tapi cuba dipintas oleh penuntut dengan laju. Secepat gerak, Ustaz memintas kembali gerak penuntut tersebut sambil memberi ‘habuannya’. Sukar dilihat bagaimana gerak itu terjadi tanpa pengamatan tertumpu. Semua orang kagum. Tapi saya dapat satu pengajaran daripadanya. Kebolehan kita selalunya suka dicuba oleh pihak lain.

Hal yang sedemikian dapat dijadikan iktibar kepada kita. Dari segi gerak, konsep percaya boleh, yakin jangan, perlu diambil kira. Konsep ini juga termasuk pada rakan bersilat kita. Ketika membuat buah sama ada dalam latihan atau sebagainya, kita perlu sentiasa waspada. Katanya perlahan tapi dibuatnya laju. Sentiasa berwaspada adalah kunci utama konsep selamat. Dalam gerak tindak balas kita adalah merupakan gerak laku yang penting. Misalnya, pada kebiasaannya kita telah memahami gerak dan boleh membuat jangkaan gerak pada buah yang dilakukan. Jika geraknya menyimpang daripada jangkaan kita maka biasakan diri untuk bertindak. Nasiblah jenis akibat yang diterima mereka. Selalunya, gunakan perkataan ‘sorry’. Biasanya habis cerita.

Setiap ilmu yang kita peroleh, ucapkan terima kasih. Ucapan ini selalunya ditunjukkan melalui perbuatan salam. Pada buah-buah yang kita terima, di samping mendapatkan kebenaran hakiki, sertakan persoalan dalam hati bagi memuaskan diri. Kalau betul Jurulatihnya, timbulkan perasaan ragu-ragu di hati. Tapi berhati-hati. Bukan semua Jurulatih suka akan sikap tersebut. Pilihlah antara mereka yang berfikiran terbuka. Pada Jurulatih tersebut, mereka akan cuba memberikan jawapan atas persoalan yang kita beri. Cuma, janganlah kita terlalu mereka-reka. Biarlah berpijak di bumi nyata. Ekorannya, maka sangguplah kita menerima padahnya kerana suka bertanya. Tapi tak apa. Apabila kita yang bertanya maka jawapannya secara perbuatan akan diberi pada kita. Tentunya sakit lebih kuat dari biasa. Pasti puas kalau Jurulatih tersebut ikhlas. Berkatnya kita akan dapat. Secara langsung akan menjadikan kita lebih mengerti akan hala tuju setiap buah yang kita miliki. Namun begitu, sungguh malang jika Jurulatih kita tak langsung mengerti. Tanyaan kita disangkanya mencabar. Digasaknya kita tak tentu hala. Setakat kata-kata boleh juga kita berkira. Tapi kalau perbuatan amat malang jadinya. Mengajar dan menunjuk secara tidak ikhlas maka kesan buruk yang akan menimpa. Sakitpun dapat, bencipun ada.

Persoalan akan lebih banyak timbul apabila kita selalu berimiginasi. Tapi ingat. Imiginasi tersebut biarlah berpijak di bumi nyata. Imiginasi penting sebagai salah satu faktor motivasi. Tokoh-tokoh koperat yang berjaya kebanyakannya hasil daripada imiginasi yang ada. Apatah lagi dalam silat. Berimiginasilah diri sebagai pendekar yang hebat. Hal ini demikian akan menyebabkan kita selalu bertanyakan soalan kenapa dan bagaimana. Secara langsung otak kita dapat berfikir pada setiap gerak yang kita miliki secara terperinci. Jika ini terjadi maka proses mengambil buah sangat kita fahami. Kita boleh menjangka akan apa yang akan terjadi. Samalah agaknya dengan fikiran sedar kita ketika menuju ke satu-satu tempat. Semasa dalam perjalanan, apa yang berlaku semuanya kita sedari. Keadaan ini tentunya berbeza dengan mereka yang sampai ke destinasinya tanpa menyedari apa yang berlaku sepanjang perjalanan. Orang jenis ini temangu-mangu seolah-olah berada dalam fikiran separuh sedar.

Percayalah. Jika kita tahu apa yang kita lakukan dan menjadi kebiasaan dalam kehidupan harian maka akan lahir sikap berhati-hati dalam diri kita. Sikap yang terus berulang akan membentuk nilai yang tinggi dan merupakan sebagai sebahagian daripada perwatakan kita. Aplikasikan dalam pembelajaran SC. Akhirnya gerak yang berlaku dan terbentuk adalah merupakan gerak semula jadi. Semula jadi yang disertakan dengan pemikiran yang berulang pada diri kita. Secara langsung penerimaan kita pada satu-satu buah itu akan lebih mantap. Kemantapan ini pula akan menambahkan keyakinan pada diri kita terhadap SC. Maka baharulah keyakinan kita dalam SC berasas. Cakap kita akan serupa bikin. Bila kita menjadi Jurulatih nanti, tindakan kita akan menjadi lebih tenang. Setiap persoalan daripada penuntut akan kita layan dengan seikhlas hati. Bukan kerana mereka ingin menduga tetapi sememangnya ikhlas ingin mengetahuinya. Bila kita ikhlas, Insyaallah, penuntut yang kita lahirkan lebih bermutu tinggi. Tapi ingat. Kena sentiasa turun padang. Kalau tidak, habis mereka cabut lari, walaupun kita tahu masih ada capek di kaki. Tapi tak sedar diri.

Semasa kita sedang belajar tentu ada Jurulatih yang ikhlas menerangkan tentang kelebehan luar fizikal yang ada dalam SC. Berikan tumpuan pada kenyataan mereka. Jadikan satu azam untuk mencapainya. Ketika saya menuntut dulu, banyak kelebihan tambahan yang disogokkan dalam pemikiran kami. Salah satu kelebihan yang menarik perhatian saya ialah tentang penumbuk ‘tak nampak’ yang ada dalam SC. Kami diyakinkan ketika itu bahawa penumbuk serang yang ada dalam SC adalah merupakan peluru berpandu yang tidak boleh dikesan dengan mudah ketika serangannya. Tiba-tiba sampai. Tak nampak. Hingga dikatakan calitlah kapur di mana-mana bahagian badan. Bila Cekak menyerang, penumbuk tersebut akan sampai ke tempat yang dituju. Maka ada yang mengatakan bahawa penumbuk SC juga adalah merupakan penumbuk calit kapur.

Bukan main yakin dan sedapnya cerita Jurulatih berkenaan. Bila ditanya bagaimana caranya maka dijawab tunggulah masanya. Apapun alasan mereka, konsep penumbuk tersebut mula terpahat pada pemikiran saya. Keinginan mencari dan menguasainya sangat membara. Setiap gerak tumbuk Jurulatih terutamanya penumbuk daripada Ustaz, akan saya beri tumpuan. Maklumlah pada tanggapan saya, jika penumbuk mereka ‘menjadi’ maka bentuk penumbuk mereka tak akan ‘lari’ daripada coraknya. Akhirnya benarlah dan bukannya dongengan semata. Bukan setakat cerita. Tapi bagaimana caranya ye!

Tapi kata biasa, bukan semua pencerita telah sampai ke makamnya. Sangkaan saya benar. Setelah tamat dan menerima cara penumbuk SC maka sahlah ketika belajar dulu ada penumbuk Jurulatih yang menjadi seperti yang dimaksudkan dan ada antara mereka yang auta sahaja. Bila berlatih bersama mereka setelah tamat, nampak benar ada yang cakap tak serupa bikinnya. Tambahan pula mereka yang asyik bertabit atau ‘menjual’ penumbuk terlebih dahulu sebelum melakukan serangan. Pada hemat saya, mereka yang tersebut itu, kurang berupaya menguasai konsep ‘menghilangkan’ penumbuknya. Bak kata pepatah, “Umpama jauh panggang dari api.” Banyak teknik yang terpaksa dibetuli dan dipelajari. Tapi,mana tahu. Mungkin pulak mereka hebat sekali. Namun begitu ada juga yang termimpi-mimpi untuk menguasinya. Diubahnya pelajaran sebagai cara menguasai. Penuntut diajar berdiri selari. Dikatakan penumbuk lebih cepat dan sukar dikesan. Tetapi gopoh sekali. Hilang proses untuk menguasainya. Itulah akibat suka makan makanan segera. Mee segera, ayam segera dan semuanya segera. Gerak silatpun ingin yang segera.

Kalau pemikiran ingin diasak dengan konsep penumbuk SC carilah kebenaran konsep calit kapur dan konsep peluru berpandu. Bukan senang untuk dituntut menjadi sebati. Tetapi yang pentingnya ilmu itu ada dan ketabahan memilikinyapun mesti ada. Walau bagaimanapun jangan sangka hanya itulah jenis penumbuk yang ada dalam SC. Teringat-ingat lagi jenis penumbuk yang ada pada Ustaz. Penumbuk Ustaz adalah pelbagai. Bukan setakat calit kapur atau konsep peluru berpandu yang memerlukan kadar penumbuk yang laju. Hebat sungguh strategi penumbuk kita. Sangat menarik hati. Susah nak cerita. Banyak helah dan falsafahnya. Sengaja saya singkapkan kain ke peha. Sampaikan ke anunya. Usahakan sendiri. Itu sebabnya ketika zaman saya ramai yang yakin bahawa kalau SC bergaduh, menang tetap menang. Kalaupun tak menang, akan tetap di tahap seri. Kalah jauh sekali. Tapi jangan mudah pulak kita cakap sedemikian rupa kalau tak lihat kebolehan diri yang ada. Zaman saya dahulu juga, ramai yang suka mencuba. Tapi tak ada masalah. Keyakinan telah ada. Cuma jumpa juga Ustaz untuk mendapat petua-petua. Petua yang diperolah itu adalah merupakan kelebihan pada mereka yang berjumpa. Diri sungguh berasa bangga. Keputusan ‘bertry’, kemenangan di pihak kita. Boleh dikira pusingannya.
Untuk mempastikan ilmu yang kita peroleh mempunyai kesinambungan sepanjang masa maka eloklah jika kita membantu kelas yang ada. Jadilah Jurulatih separuh masa. Jangan sepenuh masa. Nanti ingin jadi guru utama. Bukalah kelas di mana-mana. Ilmu yang ada jika disebarkan seterusnya akan menambahkan kekuatan ingatan dan kesebatian di dada. Tapi jangan lupa. Kita membuka kelas kerana ingin mengembangkan ilmu SC. Itu merupakan perjuangan hakiki peringkat kita. Jangan bermegah pulak pada sesetengah yang ada pada ketika ini. Membuka kelas di tempat ‘sesama sendiri’. Itulah golongan hakprak yang tak rerti-reti tentang perjuangan hakiki.

Sekian sahaja setakat ini.