Monday, September 14, 2009

PERANAN DALAM SC

Ilmu yang ada dalam SC begitu luas sekali. Perkara yang penting ialah kita jangan berpuas hati dengan apa yang ada sahaja. Mungkin kita pun tak tahu dengan apa yang kita belum ada. Oleh itu berdampinglah dengan guru dan orang-orang lama. Kalau ilmu tidak lengkap ketika itu maka banyak yang rugi pada kita.Timbalah ilmu sebanyak mungkin ketika kita masih muda. Apabila sampai ke tahap tua maka kita lebih suka memberi daripada menerima. Sikap belajar mulai reda. Maklumlah umur yang lanjut dikatakan sebagai tanda banyak ilmu. Hal ini demikian hanya berguna pada mereka yang inginkan ilmu sebagai ahli silat. Jika ingin popular sebagai ahli persatuan maka lain pulak akan ceritanya.

Saya berkeyakinan bahawa sepanjang penglibatan kita dalam SC asas penglibatan kita dari awal hingga akhirnya perlu meliputi kepada empat perkara. Pertamanya kita perlu mempercayai SC yang kita pelajari. Kepercayaan perlu disertai dengan mengamalkan ilmu-ilmu yang ada dalam SC. Kesebatian ilmu SC, memerlukan tindakan kita untuk menyebarkannya kepada orang lain. Proses penyebaran ini perlu dilakukan dengan kesabaran dan ketabahan. Di situlah puncak penglibatan kita sebelum kita lenyap atau dilenyapkan dalam alam persilatan.

Mempelajari SC bermakna kita perlu menerima kenyataan seadanya. Letakkan kepercayaan sepenuhnya pada SC. Saya pernah nyatakan dahulu betapa SC adalah dianggap sebagai silat akhir zaman. Kita percaya hanya SC satu-satunya silat yang boleh bertanggungjawab dan menjadi teman setia kita pada bila-bila masa. Mempercayai bahawa SC adalah silat yang hebat hanya atas penceritaan adalah tidak memadai. Kepercayaan ini perlu sepenuh hati. Alami dan usahakan penguasaannya sepenuh hati.

Kalau kita mempercayai sepenuh hati maka kita tidak boleh berpisah dengan adat dan adabnya. Kekuatan SC adalah terletak pada inti sari pelajarannya. Kehebatannya juga bukan kerana wujudnya persatuan yang mendukung pergerakannya. Kita percaya bahawa SC boleh berdiri sendiri tanpa wujudnya persatuan. Namun dek kerana undang-undang negara yang memerlukan penubuhan persatuan maka perlulah diadakan persatuan. Oleh itu persatuan hanyalah alat untuk membolehkan pergerakan SC berkembang maju. Kalaulah persatuan sebagai alat maka segala peraturan dan undang-undang persatuan yang bersabit dengan silat tidak boleh dijadikan mutlak. Sebaliknya kata-kata guru yang berkaitan dengan silat adalah lebih mutlak. Atas sikap ini sungguh melucukan apabila peraturan persatuan yang ada dijadikan alat untuk menyingkirkan guru silat. Itulah kerja golongan haprak yang hilang kepercayaan pada kedaulatan silat.

Kita juga perlu mengakui bahawa kepercayaan terhadap SC juga bermaksud kuasa mutlaknya perlu dikekalkan sepanjang masa. Kuasa ini perlu ada pada guru yang mewarisi silat ini. Guru silat merupakan jawatan hakiki dalam silat. Lantikannya adalah berdasarkan mandat. Mandat ini erat kaitannya dengan konsep diwarisi dan mewarisi. Kalau kita mempercayai SC maka konsep kepercayaan ini juga perlu meliputi kuasa yang ada pada guru. Kalau guru dipisahkan dengan persatuan, nampak sangat anunya.

Kepercayaan pada SC juga meliputi kepercayaan pada gerak silatnya berserta petua-petua, falsafah dan konsep yang berkaitan dengan SC. Kita percaya tentang wujudnya petua yang membolehkan tangan menjadi keras. Kita percaya tentang kelebihan mandinya. Kita percaya tentang ilmu ‘jolok’ setiap pagi dan pelbagai jenis petua lagi. Kita percaya bahawa sekali Cekak menyerang akan mengkelamkabutkan musuh kita. Kita percaya dengan buah-buah jatuhnya dan kita percaya dengan buah-buah potongnya. Kepercayaan ini perlu meliputi semua.

Kepercayaan pada SC perlu disertakan dengan pengamalan. Setelah kita percaya SC maka kita perlu amalkan disiplin dan pengajaran yang ada. Di samping gerak fizikalnya, petua-petua yang diberi jangan setakat teori sahaja. Aplikasikan dalam kehidupan seharian.

Konsep mandi dilakukan selalu. Kaedah ‘jolok’ perlu berterusan. Kalau sudah percaya betapa pukulan yang diterima setakat biru sahaja tanpa bengkak maka teruskan pengamalan petua tersebut. Gerak fizikal yang ada dalam SC terus dimahirkan dengan pelbagai cara. Pelajaran ‘seri’ diberi tumpuan supaya pelajaran tersebut benar-benar memberi makna dalam situasi pergaduhan.

Walau bagaimanapun perkara yang paling penting sekali ialah mengamalkan ajaran SC dalam kehidupan seharian. Banyak perkara yang telah dibincangkan termasuk erti kemerdekaan. Amalkan konsep adat dan adab dalam SC. Soal mandat jadikan satu kemestian. SC mengajar kita supaya berhati-hati. Konsep percaya boleh, yakin jangan perlu sangat diambil kira dalam kehidupan seharian. Gerak silat sesama rakanpun menyebabkan kita berhati-hati, apatah lagi gerak-gerak hati orang yang lain. Bezakan antara perjuangan dan kepentingan. Antara keikhlasan dan kepuraan. Walaupun tidak semestinya kita berjaya tapi sekurang-kurangnya kita telah mencuba.

Konsep jangkaan dalam silat perlu diaplikasikan. Sebelum membuat jangkaan pastinya ada petanda. Petanda ini lahir dari gerak laku dan tutur kata. Kita perlu berwaspada. Setiap kata dan setiap gerak ada tujuannya. Perlulah kita sedaya upaya mentafsirnya. Sebelum kita berpecah, riak hati saya telah membuat tafsiran tentang kekecohan yang bakal menimpa. Tapi maklumlah dah pandai. Akhirnya terima saja habuan yang menimpa. Dalam membuat jangkaan, kadang kala kita berjaya dan kadang kala kita gagal. Tapi kalau kita sentiasa berwaspada, selalunya kita akan berjaya.


Setelah kita menguasai segala ilmu yang ada dalam SC, menjadi tugas kita untuk menyebarkan ilmu tersebut kepada masyarakat lainnya. Berusahalah membantu kelas-kelas latihan yang ada. Itulah perjuangan yang hakiki di peringkat kita. Jika berpeluang, mohonlah jawatan sebagai Jurulatih. Sambil kita menyebarkan ilmu, secara langsung kita akan dapat memantapkan ilmu yang sedia ada.

Dalam usaha menyebarkan SC kita tidak terlepas daripada karenah peraturan persatuan. Lebih-lebih lagi jika persatuan ini diwakili oleh mereka yang ada kepentingan. Tanggungjawab mereka pada persatuan telah melebihi daripada tanggungjawab terhadap silat. Banyaklah karenah yang timbul. Itulah sebabnya ketika penglibatan saya terdahulu, selalu sangat saya persetankan karenah persatuan. Ramai yang berasa marah dan berusaha mengetepikan saya. Mereka boleh pinggirkan saya daripada persatuan tapi gagal untuk meminggirkan saya dalam persilatan. Kecualilah kerana ada orang dalam.

Dalam usaha-usaha kita untuk menyebarkan ilmu SC, kita harus bersifat sabar dan tabah hati. Mungkin membuka kelas-kelas latihan di tempat-tempat yang belum pernah silat bertapak lebih banyak rintangannya berbanding dengan tempat-tempat yang telah ada silat. Mungkin juga sebaliknya. Banyak pancaroba yang terpaksa kita tempuhi. Jika tanpa ada perasaan cekal, biasanya kita akan kuncundang. Ramai yang mempunyai pengalaman dalam bidang ini.

Berdasarkan perbincangan di atas dapat kita rumuskan betapa kita perlu meletakkan kepercayaan sepenuh hati pada SC. Setelah percaya, amalkan segala pengajarannya. Setelah kita menguasainya maka sebarkan pada ahli-ahli yang lain. Proses penyebaran ini perlu disertai dengan ketabahan dan kesabaran. Ingat. Persatuan adalah alat pada silat. Bukannya silat sebagai alat pada persatuan. Mintak maaf pada geng anu.

Jika ini telah kita lakukan maka sesuailah kita mengingati akan usaha-usaha yang telah dilakukan oleh Ustaz Hanafi. Setakat membaca Yassin memperingati Ustaz, tidak memadai. Itu hanya bentuk aktiviti. Aplikasikan sifat mengenang budi. Mengajar silat dan menyebarkannya adalah lebih bererti. Lebih bererti pada orang yang telah meninggalkan ilmu yang kita sentiasa manfaatkannya. Banyak ganjaran yang diperoleh Ustaz. Sesuai dengan makna pusaka Hanafi. Cuma pusaka yang apa agaknya.

Sekian sahaja setakat ini.