Wednesday, September 16, 2009

KESEJAHTERAAN DALAM SC

Rupa-rupanya tulisan saya telah beratus muka surat. Saya akan terus menulis dalam ruang-ruang masa yang terhad. Lebih daripada tiga puluh tahun saya berkecimpung dalam SC secara berterusan. Selama tempoh tersebut banyak pengalaman yang saya peroleh. Pengalaman tersebut jika dinukilkan boleh mencecah ribuan muka surat. Insyaallah jika umur panjang. Tumpuan saya banyak berkisar pengalaman bersama Ustaz. Falsafah, konsep dan prinsip yang ada dalam SC adalah berdasarkan pengalamian, pengertian dan kefahaman saya bersama dengan Ustaz. Selama ini pengertian saya pada SC diterjemahkan melalui perbuatan selaku Jurulatih dengan turun ke kelas mengajar silat dan penyampaian secara lisan melalui komunikasi dengan para penuntut saya. Maka kali ini saya menterjemahkan pula pengertian saya pada SC dalam penulisan. Setelah bertahun-tahun menyebarkannya secara amali maka baru dua tiga tahun kebelakangan ini saya berteori. Penerimaannya macam biasa. Kalau dulupun orang akan berbelah bahagi maka sekarang ini juga keadaan yang sama akan berlaku. Mungkin ramai yang faham dan ramai yang tidak faham. Pokok pangkalnya ada juga bahan rujukan buat generasi yang akan datang.

Saya yakin bahawa kita akan terus berpecah berkali-kali. CM akan berpecah dan Akademik silat pun akan berpecah setelah guru-guru mereka tersebut tiada lagi. “Ada ulu, ada parang. Ada dulu maka ada sekarang.” Walau bagaimanapun masing-masing akan terus mengaitkan nama Ustaz Hanafi. Akan tetapi sumber rujukan zaman Ustaz Hanafi semakin kurang. Setakat lisan, mudah dilupakan. Saya kira tulisan saya akan memberi lebih makna.

Dalam penulisan saya, pengalaman bersama Ustaz dijadikan bahan utama kerana semua kita masih ingin mempusakai ilmu sebenar yang diajar oleh Ustaz. Ilmu-ilmu ini meliputi gerak fizikal dan kefahaman yang ada dalam SC. Sama ada pembaca ragu-ragu atas penceritaan saya ataupun tidak, bukanlah menjadi perkara utama kepada saya. Pada saya semua penceritaan adalah merupakan kebenaran. Tidak tergamak untuk menokok tambah atau sejengkal dijadikan sekaki. Walau bagaimanapun terdapat hal-hal yang tidak dapat saya ceritakan secara tulisan. Hal-hal ini kadang kala bertentangan dengan kefahaman yang ada. Takut jadi fitnah. Buktinya tidak ada. Hanya saya seorang yang tahu. Pertemuan empat biji mata. Mana ada penyokong saya. Tapi saya ceritakan juga pada rakan setia. Terpegun juga biji mata mereka. Agaknya.

Apa yang berlaku sekarang ada juga kesinambungan dengan era PA. Kalau ada masa yang sesuai, saya juga akan menceritakan pengalaman saya ketika berada di bawah kepimpinannya. PA juga selalu menceritakan pada saya perasaan keluh kesahnya tentang sikap penuntut-penuntut yang seangkatan dengannya. Ramai yang bersikap biadap dan membelakanginya. Dalam zamannya perubahan pada teknik-teknik mengambil buah SC amat ketara. Guru Wawasan jadi kepala. Semua orang tunduk dengan arahannya. Tetapi tidak di tempat saya. PA menyedarinya. Pada saya telah diceritakan angkara. Cuma ketika ini kita tidak berapa suka mendengar namanya. Tapi jangan lupa. PA juga adalah sebahagian daripada sejarah kita.

Tapi, yang pastinya pada pengamatan saya banyak perkara yang telah berubah. Termasuk teknik-teknik mengambil buah-buah silatnya. Bagaimana kita boleh mendakwa pusaka Hanafi jika gerakan fizikalnya diubah dan dibuang sesuka hati. Kemegahan menerima pusaka Hanafi belum lagi merujuk pada kefahaman yang ada dalam SC. Ramai antara kita membuat tafsiran sendiri. Namun begitu, kebenaran tafsirannya sukar dipertikaikan. Hal ini demikian kerana setiap orang mempunyai pengalamannya sendiri bersama Ustaz. Maka tafsiran dan pengertiannya pada kefahaman yang ada dalam SC tidak dapat lari dari kecenderongannya berfikir sendiri atas pengalaman yang mereka lalui. Walau bagaimanapun, tidak rugi bagi kita mengikuti tafsiran mereka tersebut. Soal penerimaan, itu adalah hak diri masing-masing.

Ketika ini ramai yang suka buat kerja mengikut tafsiran sendiri. Malangnya saya dapat rasakan, banyak yang melencong daripada fahaman Ustaz. Apatah lagi mereka ini tidak sezaman Ustaz atau terlibat di akhir zaman Ustaz Hanafi. Fahaman persatuan kuat sekali. Bukankah di situ terletaknya kuasa. Silat dijadikan alat. Fikiran ahli diracuni agar pertahankan persatuan demi mengekalkan kuasa mereka. Hilang budaya kita selama ini yang menghormati mereka yang hebat menguasai silat dek keracunan fahaman penghormatan kerana penguasaan jawatan dalam persatuan.

Hati begitu pelik sekali apabila mereka yang dulunya disangka faham akan kefahaman SC dengan mudah boleh berubah hati. Fahaman mantap yang diasaskan oleh Ustaz Hanafi hilang begitu sahaja. Kadang-kadang kita dapat rasakan semacam ada sesuatu yang menyebabkan mereka tidak senang dengan perubahan pucuk kepimpinan. Nampaknya konsep ‘TA” yang selalu diingatkan oleh Ustaz benar-benar telah menguasai kita. Tapi kita keliru. Kita katakan mereka terpengaruh dengan konsep ‘TA’ tersebut dengan bukti-buktinya, sebaliknya mereka juga mendakwa kita juga terpengaruh dengan konsep ‘TA’ dengan bukti-buktinya sekali. Itulah tafsiran yang ada. Kalau masing-masing mendakwa terpengaruh dengan konsep ‘TA’, maknanya pengaruh yang meresap kedua-dua puak mungkin sama sahaja.

Kerana konsep ‘TA’ jugalah ramai yang tidak selamat ketika berada dalam SC. SC lahir daripada masyarakat Melayu. Budaya yang wujud dalam masyarakat kita sangat mempengaruhi pada budaya yang ada dalam SC. Itu sebab agaknya puak-puak akademik perlu meninggalkan adat dan adab yang ada dalam SC. Hal ini demikian kerana adat dan adab tersebut berkait rapat dengan budaya Melayu yang tidak menjamin keselamatan ahli masyarakatnya.

Dalam budaya masyarakat Melayu, bukan mudah kita nak selamat. Sejak zaman berzaman istilah selamat telah digunakan. Tambahan pula ketika jalan raya kurang meluas penggunaannya. Bukannya mudah dan selamat untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Kalau sampai ke destinasinya maka kita dikira selamat. Kedatangan kita akan disambut dengan ucapan selamat. Begitu juga dalam kehidupan harian. Bukan mudah untuk hidup dalam masyarakat kita yang terkenal dengan perasaan ‘phd’-nya. Masyarakat kita juga terkenal dengan racun dan santaunya. Itu belum lagi hal-hal yang berkaitan dengan alam ghaib. Tersangat banyak jenis makhluk halus dalam masyarakat kita. Kalau hantu, ada berpuluh jenis hantu. Termasuk hantu stokin, hantu raya, hantu tetek, hantu anu, hantu cipap dan pelbagai jenis hantu lagi. Kalau jenis jin, macam-macam jin ada. Jadi, nak hidup dalam masyarakat Melayu bukannya senang dan bukannya selamat. Pertalian erat antara guru dan murid melalui ikrar tidak boleh derhaka pun tidak boleh menjamin guru itu selamat atas kedudukannya. Lihat saja apa yang terjadi dalam persatuan kita. Mana pernah berlaku anak-anak murid silat mengakhiri kedudukan guru sebagai peneraju silat.

Oleh itu, semua yang berlaku itu memberi ingatan kepada kita terutamanya pemegang jawatan dalam persatuan. Kedudukan kita dalam apa bentuk jawatan pun tidak mungkin akan berterusan selamat. Ramai yang teguh kedudukannya dalam zaman Ustaz. Bila masuk era PA, kedudukan mereka tidak selamat dan ada yang tersingkir terus daripada persatuan. Begitu juga antara mereka yang teguh di zaman PA tapi tersingkir di zaman En Mat. Jadi, janganlah difikirkan selamat pada mereka yang kuat kedudukannya di zaman En Mat. Samalah juga dengan mereka yang berasa hebat di era Akademik dan berdiri teguh di belakang En Jo. Kedudukan mereka juga tidak akan berterusan selamat. Selagi generasi kepimpinan yang sedia ada berkuasa, kita mungkin selamat. Selepas mereka telah tiada barulah diketahui tinggi rendahnya langit kita. Ketika itu berkemungkinan besar ramai yang tidak akan selamat.

Kadang-kadang saya terfikir. Mungkin kerana itulah dalam SC ada kaedah mandi. Ramai yang mengatakan sebagai mandi selamat. Maka sekurang-kurangnya mandi silat adalah merupakan satu kaedah untuk menyelamatkan kita daripada makhluk perosak dari alam ghaib dan makhluk perosak yang wujud dalam dunia ini. Falsafah di sebalik mandi ialah selamat. Selamat berkait rapat dengan kesejahteraan. Kita berharap dengan kesejahteraan yang ditujui, kehidupan dan hubungan kita dalam SC sentiasa berada dalam kesejahteraan. Tapi rupa-rupanya ramai yang tak mandi. Kadang-kadang yang wajibpun boleh lupa mandi. Tak hairanlah macam-macam boleh jadi. Ajaran Ustaz dengan mudah dilupakan. Semuanya hilang dek kerana kepentingan diri. Hilang kesejahteraan diri. Gara-gara tak mandi. Jangan diharap kesejahteraan diri dalam laungan Pusaka Hanafi.

Sekian dulu setakat ini.