Saturday, September 5, 2009

BUAT JADI HEBAT

Semua penuntut yang belajar SC ingin menjadi pesilat yang hebat dan mantap. Kalau boleh kita ingin menguasai keseluruhan pelajaran gerak fizikal yang ada dalam SC, di samping mengasak diri dengan kefahaman yang jitu tentang SC. Berdasarkan pengalaman saya ketika mula belajar SC, saya juga bercita-cita sedemikian. Saya telah korbankan penglibatan diri daripada silat yang ada untuk mendapatkan kebenaran dalam konteks persilatan. Mungkin dalam tulisan kali ini kita boleh berkongsi pengalaman tentang usaha-usaha yang saya lakukan bagi mempastikan cita-cita saya itu tercapai. Kalau selama ini saya menyentuh peranan Jurulatih bagi membentuk kehebatan penuntutnya maka kali ini saya cuba bincangkan akan peranan kita sebagai penuntut bagi mendapatkan kehebatan.

Untuk terus menjadi pandai bukanlah satu perkara yang mudah. Kita perlu berusaha ke arah pencapaian matlamat tersebut. Di samping berlatih sepenuh hati, banyak usaha sampingan yang perlu kita lakukan bagi menjadikan impian kita dalam SC menjadi kenyataan.

Perkara utamanya kita mestilah memfokuskan diri kita untuk menimba ilmu pengetahuan yang ada dalam SC. Kita perlu mengakui tentang kuasa penuh yang ada pada guru kita atau wakil yang dilantik. Letakkan kepercayaan sepenuhnya pada keikhlasan mereka untuk membimbing kita. Ketepikan fahaman silat yang ada dalam diri yang mungkin bertentangan dengan fahaman SC kerana fahaman yang bertentangan itu boleh menolak penerimaan ilmu yang cuba diberi. Saya tidak dapat nafikan betapa perlunya kita mengorbankan masa untuk mempelajari SC sepenuhnya. Masa kita agak terhad. Oleh itu gunakan masa sepenuhnya dalam kegiatan silat. Elakkan diri dengan karenah persatuan yang boleh menganggu konsentrasi kita pada silat.

Semasa Jurulatih kita membuat penerangan, mata kita perlu tertumpu pada gerak yang mereka lakukan. Kita boleh sepadukan antara pendengaran, penglihatan dan pemikiran ketika Jurulatih membuat penjelasan tentang satu-satu buah tersebut. Kalau asyik mendengar penjelasan mereka sahaja, akhirnya kita akan terbuai dengan dunia khayalan. Malang pulak jika kita dapat Jurulatih yang suka membebel. Sambil mendengar, lihat perbuatan mereka ketika mereka membuat buah. Seiring dengan itu pemikiran kita berjalan untuk menyesuaikan teori tersebut dengan kebolehan diri kita sendiri.

Ketika melakukan semula buah-buah tersebut saya akan memberi tumpuan sepenuhnya. Saya cuba sedaya upaya untuk membuat buah itu dengan sesempurna yang boleh. Jika ada pukulan maka pukul betul-betul tapi tidak sampai memudaratkan. Itu sebabnya kita perlu mencari rakan pelatih yang sama tahap dengan kita. Jika kita bersifat kasar, cari rakan kasar yang lain. Dengan hal yang demikian akan menyebabkan kita akan berasa puas berlatih dan dapat mempraktikkan buah-buah yang diberi dengan sepenuh hati. Kesungguhan adalah nilai yang penting bagi meminimumkan kesilapan. Buktikan kehebatan kita pada kalangan Jurulatih atau guru yang mengajar kita.

SC dikatakan adalah sejenis silat yang juga mementingkan pukulan. Sesuailah konsep SC itu dengan makna gaduh dan ringkas. Berdasarkan falsafah tersebut, setiap buah yang saya peroleh daripada Ustaz, maka saya ‘demand’ akan kebenaran pada setiap buah tersebut sebagai bukti. Walaupun sikap tersebut kurang menyenangkan Ustaz, tapi Ustaz tetap memenuhi impian saya. Walau bagaimanapun buah-buah yang akhirnya boleh memudaratkan saya dengan serius, Ustaz tidak pernah lakukan. Saya masih lagi ingat antara lain kata-katanya, “Saya memikirkan awak masih seorang pelajar. Kalau tidak saya akan beri rasa yang betul-betul.”

Saya berasa puas dan menaruh keyakinan pada buah-buah dalam SC. Hal ini demikian kerana saya telah mengalami akan kebenarannya. Sebagai contoh, Buah Pertama. Bukan setakat pukulan dengan mengenggamkan tangan pada rusuk, Ustaz juga menunjukkan pukulan secara membuka tangan tapi membengkokkan jari. Dibuatnya betul-betul. Lagi dahsyat pukulannya berbanding dengan cara mengenggamkan penumbuk. Ketika yang lain, Ustaz menunjukkan pukulan secara membuka tangan. Hujung jari dijolokkan pada bahagian ketiak. Ya Allah! Tangan rasa macam nak tercabut. Tapi saya berasa puas. Adalah benar akan Buah pertama tersebut. Cuma kini kadang kala terkenang juga akan penuntut-penuntut sekarang yang membuat pukulan Buah Pertama dengan cara membuka tangan. Tapi ada yang kata, itulah pukulan zapin namanya.

Kerana inginkan kebenaran pada setiap buah yang ada maka saya mengerti akan makna pukulan pada lengan. Contohnya ialah Buah Kidung. Rupa-rupanya dengan pukulan yang betul akan menjadikan lutut kita secara automatik lemah dan memudahkan kita menjatuhkan pelipat. Banyak persoalan yang terjawab. Kalau tidak, bukannya senang untuk menekan pelipatnya dan membuat buah hingga musuh turun ke bawah. Saya dapat buah tersebut atas kebenaran maka saya turunkan buah tersebut seterusnya atas keyakinan. Walaupun dengan tetakan yang akan menyebabkan lutut lemah secara automatik tidak kesampaian, kebenarannya saya alami. Keyakinan atas buah tersebut disampaikan pada penuntut. Tetak, mesti tetak pada tangannya. Tapi bagaimana pulak dengan mereka yang mengambil Buah Kidung dengan pukulan membuka tangan. Rupa-rupanya ada nama baru agaknya. Itulah pukulan nyamuk kuak rentang.

Begitu juga dengan Buah Ali Patah Sudah. Apakah konsep sudahnya. Rupa-rupanya melalui buah tersebut, musuh akan hilang nikmat menelan. Semacam ada tol pada leher kita di bahagian dalam. Berhari-hari juga untuk memulihkan keadaan. Ini bukannya penceritaan, tapi kenyataan. Walau bagaimanapun kenyataan ini perlu dinyatakan. Sebagai penuntut, kita perlu tagihkan kenyataan tersebut daripada mereka yang sampaikan buah. Sekurang-kurangnya Jurulatih pun kena bersedia. Kalau tidak masakan buah itu boleh menjadi. Kalau tak menjadi mana boleh wujud kebenaran hakiki pada buah-buah yang ada. Tangkapan Ali Patah Sudah, begitu ‘rapat’ sekali. Kalau tidak mendapatkan kebenaran hakiki maka buah tersebut akan jadi ‘syok’ sendiri. Apa tidaknya. Boleh bertemu pipi.

Kita selalu mendengar dakwaan bahawa Buah Lintau boleh menyebabkan pengsan. Kadang kala kitapun ragu-ragu akan kebolehan buah tersebut. Oleh itu, tagihkan kenyataan. Berdasarkan pengalaman, memang benar bahawa buah tersebut boleh menyebabkan kita akan nampak bintang. Saya bercakap atas pengalamian. Tapi dalam pengajaran pada penuntut seterusnya, Ustaz pernah nyatakan akan kemudaratannya pada diri penerima. Mereka digalakkan menampan bahagian pinggan dengan tangan. Kita yang membuatnya, pukul tetap pukul pada bahagian tersebut dengan sepenuh hati. Baharulah dapat kebenaran hakiki.

Buah Pasung Kemanga ada falsafahnya. Tapi sekarang sudah jadi haru biru. Ada yang mengelak seratus lapan puluh darjah, ada yang campur lagi elakan dengan empat puluh lima darjah. Ada yang menyengkak siku pada rusuk untuk mematahkan tulang rusuk dan pelbagai lagi. Buatlah apa yang patut. Tapi kebenarannya, penampar kita pada penumbuknya boleh membukakan penumbuknya secara automatik. Itu sebabnya kalau menggunakan senjata, pastikan kaki kita selamat. Kalau tidak kaki kita pulak yang terkena senjata dek terlepas dari tangan lawan kita. Lawan kita sakit tangan, kita pulak sakit kaki. Tagihkan kebenaran tersebut. Baharulah kita mendapat kepuasan dalam bersilat. Cakap biarlah serupa bikin. Bagaimana kita hendak membuktikan kehebatan buah-buah dalam SC kalau kita sendiri tak pernah mengalaminya. Oleh itu, tagihkan kebenarannya agar memasinkan penerangan kita pada penuntut SC seterusnya.

Buah-buah yang saya bincangkan di atas adalah antara contoh-contoh tentang kelebihan yang perlu kita alami sendiri. Tapi jangan pulak tagihkan pengalaman patah tangan atau kaki dan juga pengalaman mati. Sampai ke tahap itu, letakkan kepercayaan pada Jurulatih kita. Tapi tentunya konsep-konsep kebenaran hakiki pada buah-buah yang lain telah terbukti. Apabila kita mendapat kebenaran hakiki pada setiap buah yang diberi maka akan menambahkan keyakinan hakiki pada diri kita. Apabila kita sampaikan pula pada penuntut berikutnya maka kita akan bercakap dengan penuh yakin.

Kita sambung lagi di lain masa.