Thursday, March 10, 2011

KENANGAN 29.


JAGA KEBAJIKAN.


Biasanya tidak ramai atau tidak sepenuhnya ahli yang telah tamat akan aktif secara berkekalan dalam perjuangan SC. Kadang kala kita hanya dengar nama, tiba-tiba menghilangkan diri. Dalam hal ini, saya yakin sesiapa yang aktif semata-mata kerana persatuan dan berasaskan kepentingan yang tertentu atau tidak jelas kepentingan dalam persatuan, satu masa mereka akan ghaib.

Hal yang demikian telah menyebabkan saya sering mengingatkan pada Jurulatih terutamanya tentang kepentingan kesetiaan pada SC. Penglibatan mereka dalam Silat Cekak biar ikhlas dan hal demikian, fahamilah benar-benar falsafah dan matlamat Silat Cekak.

Saya pernah menulis tentang keperluan mencari ahli yang sehati dan sejiwa atau seiring dalam perjuangan. Hal yang demikian adalah sesuai dengan falsafah dan prinsip perjuangan Silat Cekak. Seboleh-bolehnya, biarlah kita berkekalan dalam persatuan Silat Cekak Ustaz Hanafi hingga menjadi seorang Jurulatih yang berwibawa.

Dalam konteks berwibawa, seseorang Jurulatih itu berkeupayaan menyampaikan ilmu dan dapat mempengaruhi ahli ke arah matlamat persatuan dan matlamat persilatan. Mereka disaran agar fahami benar-benar perjuangan SC supaya kefahaman yang ada dapat disebarkan dengan lebih berkesan dalam kalangan penuntut yang sedang dan bakal belajar.

Terlantik sebagai jurulatih akan ’mengikat’ mereka untuk berkekalan dalam persilatan dan persatuan. Kalau ini wujud, sekurang-kurangnya tidaklah perlu kita mengadakan pelantikan segera jurulatih baru setiap tahun, semata-mata menggantikan jurulatih yang sedia ada yang tidak aktif.

Dalam Silat Cekak, baru atau lama tidak menjadi hal. Perkara penting ialah bagaimana usaha menyibarkan ilmu dalam kalangan penuntut diambil kira. Perancangan yang mantap bagi mewujudkan Jurulatih pelapis perlu sentiasa diambil kira. Kita perlu mengharapkan generasi muda sebagai barisan pelapis bagi mengambil alih aktiviti persatuan dan perkembangan SC itu sendiri. Oleh itu usaha-usaha kita mewujudkan peranan pembantu jurulatih, amat berkesan dan besar maknanya dalam perkembangan SC.

Cabaran yang dihadapi Jurulatih adalah sangat banyak. Menjadi Jurulatih yang hebat, memerlukan pengorbanan yang hebat juga. Saya sering mengingatkan para Jurulatih agar penglibatan mereka dalam SC perlulah dalam jangka masa yang tidak terhad, ”Selagi nyawa dikandung badan.” Sumbangan bakti mereka biarlah berkekalan dan berkesan. Janganlah hendaknya pada satu masa nanti, peranan mereka hanya dijadikan sebagai insan dalam kenangan sejarah bagi generasi muda atau sebagai tempat untuk mendapatkan bakti semata-mata dengan alasan sebagai orang lama. Bak kata pepatah, ’ habis manis sepah dibuang.

Banyak pengharapan yang kita berikan pada Jurulatih. Dalam hal yang demikian telah menyebabkan para Jurulatih akan mengorbankan masa dan tenaga semata-mata untuk meneruskan perjuangan dalam SC. Kadang kala, pengorbanan mereka telah melukakan banyak pihak. Menyentuh perasaan orang lain bermakna melukakan hati mereka. Melalui pengalaman dan bersama-sama dengan mereka, saya amat memahami segala rintangan yang mereka hadapi. Mereka menghadapi dilema. Antara tanggungjawab sebagai ahli keluarga dengan minat silat yang ada.

Ada kalanya, minat terhadap silat telah mengatasi segalanya-galanya. Mereka sanggup mengorbankan perasaan diri sendiri. Ramai yang menumpukan perhatian pada silat hingga lupa pada tanggungjawab terhadap diri. Banyak contoh yang boleh diberi. Itu sebab agaknya, mencari bini pun kena rujuk pada orang lain. Bergantung pada individu tertentu.

Kerap kali juga penglibatan mereka ditentang oleh saudara terdekat. Sama ada dari ibu atau bapa atau adik beradik mereka. Ramai yang buat tak tahu sahaja. Demi silat, nasihat dan kata-kata mereka diketepikan begitu sahaja. Ada yang rela tersisih dari sanak saudara demi mengejar cita-cita dalam persilatan.

Paling malang sekali ada kalangan Jurulatih yang bergiat cergas dalam silat dengan mengetepikan perasaan keluarganya. Termasuk dalam golongan keluarga ialah anak dan isteri. Ada yang sanggup melukakan hati mereka. Banyak program keluarga yang ditangguhkan apabila bertentangan dengan aktiviti persilatan. Anak dan isteri memendam rasa. Ahli silat buat tak erti sahaja. Perjuangan silat kata mereka.

Saya sangat bersimpati dengan para jurulatih kita. Banyak sekali pengorbanan yang mereka berikan pada SC amnya dan pada Guru Utama khasnya. Mereka tetap tidak mengharapkan balasan walaupun kadang kala mereka kecewa dan kerap kali berada keseorangan.

Pernah terjadi pada seorang Jurulatih yang dimasukkan ke hospital kerana sakit yang tertentu di suatu zaman PA. Hanya ahli-ahli yang bergiat di peringkat cawangan sahaja yang membuat kunjungan. Ketika itu juga PA selaku Guru Utama berkunjung ke kelas kerana majlis ijazah. Padanya diceritakan tentang nasib yang menimpa Jurulatih berkenaan. Telah berada di hospital beberapa hari. Kami mengajak guru tersebut ke hospital. Tak sempat katanya. Beliau hanya mengirim salam. Sibuk agaknya. Begitulah nasib Jurulatih berkenaan. Tenaganya hanya berguna pada ketika yang diperlukan dan ketika ditentukan.

Mungkin nasib Jurulatih tersebut dapat disamakan dengan sebuah kenderaan. Ketika elok, digunakan sebagai alat pengangkutan. Bila rosak, maka kenderaan tersebut dihantar ke bengkel. Tuan punyanya akan menggunakan kenderaan lain sebagai alat pengangkutan. Bila kenderaan telah dibaiki maka kenderaan tersebut digunakan lagi dan lagi dan lagi.

Berdasarkan hal yang demikianlah maka kebajikan Jurulatih patut juga diberi keutamaan. Hargailah pengorbanan mereka. Kadang kala kita patut juga akui betapa kita sering mengabaikan kebajikan Jurulatih. Kita juga adalah Jurulatih. Hal yang demikian bermakna kita sering mengabaikan diri kita sendiri. Hargailah diri kita. Kalau kita mengharapkan orang lain menghargai diri kita maka akhirnya kita akan kecewa.

Kita tidak perlu meletakkan seratus peratus hal-hal kebajikan Jurulatih pada pusat. Di masa-masa yang lalu para Jurulatih sering juga dihargai dalam majlis Hari Tenaga Pengajar. Setiap kali perhimpunan maka setiap kali itu juga para Jurulatih diberikan hadiah berbentuk cenderamata. Walaupun tidak seberapa, pemberian tersebut sekurang-kurangnya berupa penghargaan kepada mereka.

Ketika ini penghargaan kepada Jurulatih bukan senang untuk diperoleh. Perasaan curiga mula melanda. Terpaksalah ditubuhkan pasukan bersenjatakan cermin mata. Bagi mengawasi gelagat Jurulatih yang ada. Opp. Jangan komen banyak. Nanti teruk dan buruk jadinya.

Oleh itu, demi kebajikan para Jurulatih maka bentuklah satu kaedah mantap untuk menjaga kebajikan sesama Jurulatih di peringkat pusat dan cawangan. Rancanglah sesuatu supaya pengorbanan mereka sentiasa dihargai pada setiap masa yang ada.

Di cawangan saya pada satu masa yang lalu, kebajikan Jurulatih tetap dijadikan satu agenda utama. Perhimpunan Jurulatih di peringkat cawangan tetap diadakaan setiap tahun. ’Hadiah berharga’ sentiasa disediakan. Maka dapatlah mereka menikmati baju batik atau kot atau bush jacket. Habis komanpun mereka akan dihadiahi kain pelikat sebagai simbol pengiktirafan atas pengorbanan yang mereka lakukan.

Sebagai kesimpulan, saya berharap barisan kepemimpinan akan terus menghargai sumbangan para Jurulatih walau di mana mereka berada. Berilah penghargaan dalam apa bentuk sekalipun. Sekurang-kurangnya adakan majlis kenduri kesyukuran. Tanda menghargai segala sumbangan para Jurulatih tanpa ada sebarang prasangka buruk. Usaha-usaha yang ada dilakukan sekarang, boleh diluaskan. Sekian.