Wednesday, March 9, 2011

KENANGAN 28.

SC TERBUKTI.

Pada kebiasaannya, mereka yang berbincang tentang keistimewaan atau kelebihan seni bela diri yang lain adalah kerana mereka berasa kagum dengan seni bela itu. Tidak kiralah sama ada seni bela diri itu dari dalam negara atau dari luar negara. Kadang kala, perbualan mereka seolah-olah menafikan diri mereka sendiri adalah ahli SC. Sepatutnya, kalau asyik mengkagumi seni bela diri lain, maka eloklah tinggalkan SC dan tuntutlah seni-seni bela diri tersebut.

Walau bagaimanapun, mereka tetap dan masih berada dalam SC. Hal yang demikian menunjukkan bahawa mereka masih sayang pada SC. ”Ditelan mati emak, diluah mati bapak.” Satu segi mereka berasa was-was, satu segi yang lain masih menaruh harapan pada SC. Sifat mereka itu samalah dengan mereka yang menentang kepemimpinan SC yang dipimpin oleh En Mat. Sepatutnya, kalau tak suka maka keluarlah dari persatuan. Tetapi, sebaliknya berlaku. Masih terus berada dalam persatuan. Hal yang demikian menjadikan mereka bersifat pengacau, pemecah belah dan pembantut perjuangan SC. Hinggakan mereka sanggup berjuang mati-matian untuk menutup kelas-kelas SC di merata negeri. Sungguh haprak.

Dalam konteks persilatan, kita perlu tahu tentang pelakuan para pesilat SC, tetapi masih mengagung-agungkan seni bela diri yang lain. Sepatutnya perhatian, tumpuan dan kesetiaan perlu diberi secara seratus peratus pada SC. Hal yang demikian mungkin ada banyak sebabnya.

Saya berpendapat, mereka tentulah membandingkan gerak seni bela diri lain dengan ilmu yang mereka ada dalam SC. Saya yakin, ’kekurangan’ ilmu SC yang ada pada mereka akan menyebabkan pesilat itu berasa seni bela diri lain itu, ada kelebihannya. Sebaliknya, jika mereka berasa ilmu pengetahuan dan penguasaan SC pada dirinya hebat dan lebih bermakna, akan menjadikan diri mereka tersangat yakin pada SC. Kelebihan dan keyakinan SC yang ada pada dirinya akan menyebabkan pintu hatinya tertutup pada seni-seni bela diri yang lain.

Saya selalu mengingatkan para Jurulatih. Jikalau ada dalam kalangan ahli-ahli SC yang membincangkan kelebihan seni bela diri yang lain, Jurulatih perlu sensitif. Jangan marahkan mereka. Mereka yang berminat dengan seni bela diri yang lain, mungkin disebabkan oleh beberapa faktor yang tertentu. Pelakuan mereka boleh dijadikan kayu ukur untuk melihat sejauh mana keberkesanan para Jurulatih menyampaikan ilmu SC kepada mereka.

Para Jurulatih perlu mengetahui aspek psikologi hingga menyebabkan pesilatnya suka bercakap tentang seni bela diri lain. Hal yang demikian kerana ada juga pesilat yang suka membincangkan persilatan lain, terdiri dari mereka yang menguasai SC. Pada saya, kalaupun pesilat itu menguasai dan mengetahui kelebihan SC, tapi terpaut dengan seni bela diri lain, bermakna kepentingan dirinya mengatasi pegangan diri dalam silat.

Pesilat yang sedemikian selalu ingin menonjol diri. Agaknya, apabila ada pengetahuan lain tentang seni bela diri, akan menyebabkan beliau akan menjadi tempat rujukan. Maka akan terasalah dirinya lebih hebat dari rakan yang lain. Agaknya, nak bercakap tentang SC, tentunya golongan ini kekurangan modal. Modal lebih banyak pada seni bela diri lain.

Selain daripada faktor di atas, pesilat yang suka membincangkan seni bela diri lain, dapat dihubungkan dengan faktor kedangkalan ilmu SC yang ada padanya. Saya yakin bahawa pesilat berkenaan kurang mendalami atau kurang didedahkan oleh pihak yang bertanggunjawab tentang kehebatan dan keistimewan hakiki yang ada dalam SC. Kalau pesilat itu mengetahui kelebihan SC, pasti dia tidak akan berminat dengan bela diri yang lain.

Dua faktor yang saya nyatakan di atas adalah merujuk pada mereka yang bersifat rendah diri dan kurang keyakinan pada SC. Sifat mereka, di satu segi berasa yakin, manakala satu segi yang lain akan berasa was-was. Hiduplah mereka dalam SC dengan perasaan, ”Nak keluar rasa sayang. Nak tunggu tak rasa yakin.”

Walau bagaimanapun, ada juga dalam kalangan pesilat yang suka mengkaji persilatan lain untuk memantapkan ilmu persilatan yang ada pada dirinya. Minat mengkaji adalah didorong oleh pelbagai faktor.

Salah satu faktor yang menarik minat mereka untuk mengkaji persilatan Melayu yang lain, ada kaitan dengan nama-nama silat yang ada dalam senarai buah SC. Mereka difahamkan betapa silat-silat tersebut adalah merupakan silat Melayu yang asli. Sifat nagetif yang berkaitan dengan siapa tiru siapa, tidak mendatangkan persoalan. Fikiran mereka adalah luas dan terbuka. Saya telah menyentuh persoalan ini dalam tulisan yang terdahulu.

Mereka juga tertarik dengan prinsip bahawa silat-silat yang ada dalam senarai SC, mempunyai kelebihan-kelebihannya. Kita senaraikan dalam pengenalan buah sebagai keputusan. Seiring dengan itu, ahli-ahli SC telah berikrar supaya tidak mencaci silat-silat Melayu tersebut. Malah kita digalakkan untuk mengetahuinya dengan lebih jelas dan lebih lanjut. Suasana yang sebegitu juga telah menarik minat para Jurulatih atau pesilat untuk mengetahui dengan lebih luas tentang silat-silat Melayu yang tersenarai dalam buah-buah SC.

Minat mereka semakin bertambah apabila Ustaz sendiri melahirkan hasrat untuk menubuhkan akademik silat di bangunan baru. Saya difahamkan bahawa asas idea Ustaz dalam akademik silat itu ialah memberi ruang kepada ahli untuk mengetahui dengan lebih tepat tentang seni-seni bela diri tersebut. Dalam akademik itu, ahli-ahli SC akan diberi latihan dan peluang untuk mempelajari seni-seni silat Melayu asli itu.

Ketika saya telah berpindah ke cawangan, difahamkan Ustaz telah mengambil seorang guru silat Melayu dari utara. Tak salah saya, dari Perlis untuk mengajar silat Melayu asli dalam kalangan penuntut SC. Gerak silat itu umpama burung Rajawali. Cantik dan berseni. Penuntut kita telah membuat persembahan dalam satu majlis perayaan SC.

Nampaknya hajat Ustaz menubuhkan akademik silat, tidak tercapai ketika itu. Namun begitu hajat Ustaz dilanjutkan oleh orang-orang kanannya yang kini menjadi orang kiri. Turun pangkat dalam bidang persilatan. Maka tertubuhlah juga akademik silat. Tapi dalam bentuk baru. Peranan utamanya ialah menutup seberapa banyak kelas-kelas silat SC yang tidak sehaluan.

Saya difahamkan bahawa konsep ”Pusaka Hanafi” telah ditukarkan kepada ”Konsep Masyarakat.” Maka hak untuk mengembangkan SC adalah berasaskan masyarakat. Maka hilanglah adat dan adab bersilat seperti yang selalu dilaung-laungkan dulu. Strategi. Ada peluang terbuka menjadi guru. Dalam konteks ilmiah, guru dapat dijelmakan dalam pelbagai peranan, pengenalan dan bentuk. Pemikiran strategik.

Berdasarkan pelbagai situasi yang berkaitan dengan pengkajian pada silat-silat Melayu yang lain, saya berfikir juga untuk menjelmakan hasrat itu di cawangan saya. Saya mengambil langkah untuk meluaskan pembelajaran silat Melayu dalam kalangan pesilat-pesilat SC di cawangan saya. Hasrat saya itu dinyatakan juga pada Ustaz. Daripada riak muka dan tutur kata, Ustaz tidak menghalang.

Dalam perbincangan di peringkat jawatankuasa cawangan, kami telah memilih dua orang guru untuk berkongsi ilmu persilatan dengan pesilat-pesilat di cawangan saya. Persilatan mereka ada kaitan dengan nama buah dalam senarai buah SC. Mungkin pada rakan-rakan, tindakan saya adalah luar dari kebiasaan. Namun begitu, pada diri saya, hal yang demikian adalah merupakan satu kebiasaan.

Semasa saya bertugas sebagai Jurulatih, saya sempat menamatkan satu jenis pesilatan Melayu di suatu tempat. Geraknya lebih banyak berbentuk silat tari dan menggunakan tapak empat. Silat itu tidak ada persatuan. Dengan seorang kawan, kami menuntut selama tiga bulan. Kami berdua sahaja. Ketika majlis tamat, kami dihidangi pulut sebagai tanda kesyukuran. Silat tersebut juga ada kelebihan. Rupa-rupanya, silat itu juga ada pemotong buahnya. Maka banyak gunanya pada saya sebagai alasan untuk menguatkan hujah betapa pesilat SC perlu sentiasa bersedia.

Oleh sebab cawangan kami mempelawa kehadiran guru-guru yang didatang khas, maka pengambilan ahli baru ditangguhkan. Namun begitu, kegiatan kelas kemahiran tetap dijalankan setiap minggu sekali. Tiga hari yang lain diuntukkan pada pengajaran silat Melayu asli dalam kalangan kami. Hari yang selebihnya adalah untuk berehat dengan keluarga.

Salah seorang daripada guru berkenaan, mempunyai juga fahaman tentang konsep ilmu batin yang tersendiri. Daripada guru itu, saya berkesempatan mempelajari gerak, bersilat secara ikat mata dan memecahkan buah keras dengan menggunakan tangan. Ada muslihatnya. Rahsia. Ilmu lain yang berkaitan dengan ibu gayung dan memadamkan api menggunakan tangan, turut dituntut. Hebat sekali. Semuanya ada diterangkan punca. Ada muslihatnya. Cuma saya dan dua rakan pesilat lain yang berkesempatan mengetahuinya kerana kami telah pergi ke rumah.

Silat-silat yang kami pelajari itu ada juga kelebihannya. Mereka mementingkan tangkapan dan langkah-melangkah sebagai usaha melarikan diri dari medan pertarungan. Menarik dan menambahkan pengetahuan kami pada gerak persilatan Melayu.

Pelajaran silat Melayu lain yang kami tuntut, menambahkan lagi perasaan cinta pada SC. Sesungguhnya SC tetap mempunyai kelebihan yang tersendiri. Umpama kita melawat negara lain, negara sendiri juga yang lebih baik. Itu sebabnya saya selalu sarankan supaya pesilat kita patut berasa bangga dengan apa yang telah diwariskan Ustaz. Setiap gerak tangan dan kaki, ada maknanya . Oleh itu jangan diubah-ubah gerak, seni dan buahnya. Kalau ubah, tentu ada yang menjadi pincang.

Para Jurulatih memainkan peranan agar dapat menyemaikan sikap betapa bangganya kita berada dalam SC. Banyak kelebihannya. Itu sebabnya, persoalan pesilat tentang apa pun yang berkaitan dengan SC, perlu dijawab dengan sepenuh hati dan berhati-hati. Jangan ditangguh jawapan mereka.

Kalau persoalan mereka tidak dijawab segera, akan menyebabkan mereka akan berasa kekurangan sesuatu pada diri. Akhirnya akan menarik minat mereka untuk merujuk pada pesilatan atau seni bela diri yang lain. Pada saya, orang yang akan memperkecilkan SC adalah ahli SC sendiri. Dan orang yang memperbesarkan SC adalah ahli SC sendiri. Kitalah yang akan menentukan jatuh atau bangunnya SC. Sekian.