KESIMPULAN BERBATIN.
Dua tajuk tulisan terdahulu tentang kebatinan dan pengalaman saya menuntut ilmu batin, mungkin akan membawa banyak tafsiran dan implikasi. Terpulang pada ahli-ahli untuk membuat tafsiran. Kalau ada yang ingin mencuba, belajarlah. Pada saya, tidak mudah menerima begitu saja percakapan Ustaz. Saya inginkan pembuktian supaya saya lebih faham.
Dalam tulisan ini, saya tidak akan membincangkan pendapat Ustaz tentang ilmu kebatinan secara panjang lebar. Tidak sesuai dan tidak mahu tersalah tafsir. Saya lebih suka berbicara lisan berbanding dengan tulisan.
Kesimpulannya, saya beranggapan bahawa tidak ada ilmu ’gah’ yang hebat dan tidak ada ilmu ’gah’ yang benar, melainkan kehebatan dan kebenaran itu ada dalam SC. Saya berkongsi pengalaman dalam penguasaan ilmu kebatinan berdasarkan apa yang saya alami ketika zaman Ustaz. Namun begitu, ilmu yang dibekali Ustaz tetap mencukupi bagi diri kita mencapai tahap ’gah’. Bukan untuk bermegah, tapi untuk kegunaan diri sendiri.
Dalam konteks sekarang, saya kurang arif dan tidak berminat untuk membuat bandingan. Saya ceritakan pengalaman bagi menunjukkan betapa ilmu yang ada dalam SC amat memadai untuk pakaian diri kita dalam konteks menjaga diri. Menjaga diri bermakna ilmu itu dapat dijadikan ’teman setia’. Kita tidak perlu membandingkan apa yang ada dalam SC dengan ilmu-ilmu lain. Tidak perlu ada persoalan sama ada ilmu kita dapat mengatasi ilmu-ilmu lain. Yakinlah dengan apa yang telah diberi oleh Guru Utama.
Ingatan saya, ketika menuntut ilmu batin, berhati-hatilah. Jika tersilap tuntut maka akan bertemanlah kita dengan makhluk lain yang tidak tentu hala. Makhluk tersebut ada alamnya. Janganlah kita memberi ruang kepada makhluk-makhluk itu untuk menembusi alam kita. Makhluk itu tentunya gembira jika kita memberi ruang kepada ’mereka’. Hilanglah sifat kita sebagai ’manusia yang terpilih’ dalam dunia ciptaan Tuhan.
Saya juga berpengalaman memanggil makhluk ghaib ke alam kita. Kerana inginkan ilmu kebatinan, saya pernah cuba mendapatkan ”teman setia.” Pelbagai cara pernah saya lakukan. Saya berasa sangat bernasib baik. Ilmu yang diberi Ustaz telah dapat memainkan peranan sebagai pendinding utama.Kalaulah tidak ada pendinding dalam SC, alamat sentiasa ada ’teman setia’ saya sepanjang masa.
Menurut kajian dari tok guru berkenaan, setiap kejadian kita maka akan ada Jin yang sama jadi dengan kita. Saya disaran supaya menyerunya bagi mewujudkan hubungan. Dikatakan bahawa teman itu akan membantu kita dalam hal-hal yang luar biasa. Maka saya ingin mencuba.
Pelbagai cara yang saya lakukan berdasarkan saranan guru berkenaan. Saya diberi bacaan mentera bagi menyeru kedatangan makhluk berkenaan. Alhamdulillah. Semuanya gagal. Saya yakin, kegagalan tersebut ada kaitan dengan amalan kita. Ketika menuntut, amalan mandi tetap dilakukan. Pekerjaan sembahyang tidak pernah diabaikan. Itulah amalan kita yang menyebabkan diri sentiasa terpelihara. Oleh itu, yakinlah pada ilmu yang ada dalam SC.
Akhirnya, saya disaran supaya berpakaian dan bersuasanakan hitam, sebagai langkah terakhir bagi mendapatkan ’teman’ tersebut. Ketika hendak tidur, saya disuruh berpakaian hitam, kelambu hitam, bantal hitam dan semuanya hitam. Ketika itu isteri saya membentak, membantah dan menghalangnya. Itulah pertama kali isteri saya bersifat demikian. Maka saya hentikan hajat saya dari sifat ingin tahu kejadian seterusnya. Pengalaman bodoh yang tidak mudah dilupakan.
Pada generasi baru, berhati-hatilah ketika menuntut sebarang bentuk ilmu kebatian yang ada hubung kait dengan makhluk lain. Banyak mudaratnya. Jangan ikutkan perasaan. Kalau diri telah terjebak dengan makhluk berkenaan, amat sukar untuk kita menarik diri. Hidup tidak akan tenteram. Resah gelisah setiap masa. Maka akan lemah tenaga batin yang sedia ada. Lemah tenaga batin, maka lemahlah kebatinan kita. Orang lain yang merana. Isteri kita.
Secara umumnya, mencari ilmu kebatinan di luar lingkungan SC, tidak akan membantu kita untuk memajukan diri. Lebih baik kita hebatkan diri dengan dunia kerjaya yang ada. Ilmu kebatinan yang tidak tentu halanya, tidak akan membantu. Sebaliknya, kebatinan diri yang sedia ada dan semula jadi pada kita perlu diasah dari masa ke masa. Sifat berani, bertanggungjawab, yakin diri, jati diri dan sebagainya adalah merupakan ilmu kebatinan hakiki yang perlu diasah dan dimantapkan setiap masa.
Zaman dulu-dulu, mungkin ilmu yang bersandar pada makhluk lain merupakan satu keperluan. Ketika itu jin atau makhluk-makluk lain adalah merupakan satu pakaian. Ramai yang tertewas dengan tipu helah makhluk berkenaan. Makhluk berkenaan pun tidak kekal selamanya. Rasanya generasi baru makhluk berkenaanpun tentunya mengalami perubahan seperti manusia. Banyak yang kaki dadah dan hidup dalam suasana moden agaknya. Lagi kuat tipu helahnya. Merekapun cari makan.
Ada yang buat lawak. Kalau nak selamat, tuntut saja ilmu batin dari Tok Batin. Dah sah ada asal usul batinnya. Tapi, syaratnya kenalah bercawat. Tak kiralah lelaki dan perempuan. Yang perempuan, bercawat besi. Tapi ada juga pendapat lain. Elok juga ilmu batin dimantapkan secara kita kuatkan tenaga batin. Kuat tenaga batin maka mantap dan kuatlah kebatinannya. Tenaga batin akan menghasilkan kesan bisa yang hebat. Cakap-cakap berkenaan mungkin ada asas dan logiknya. Menguatkan tenaga batin mungkin ada kaitan dengan kekuatan kebatinan kita. Menguat dan memiliki ilmu batin bermakna kita juga perlu ada dan sentiasa menguatkan tenaga batin. Saja-saja bincang untuk renungan kita bersama.
Orang dulu-dulu selalu mengaitkan kekuatan diri sama ada luaran atau dalaman dengan tenaga batin. Kuat tenaga batin maka diri orang itu akan sentiasa bersemangat. Secara luarannya, orang itu kelihatan ceria dan berkeyakinan. Jiwanya tenang dan kurang sifat panas baran. Maknanya, mereka yang kelihatan sugul, panas baran, tidak bersemangat, penakut dan pelbagai sifat nagetif yang lain, agaknya ada kaitan dengan kebatinan diri yang lemah. Lemah tenaga batin.
Tenaga batin terletak juga pada anunya. Kalau anunya kuat dan garang, akan mempengaruhi semangat juangnya. Bayangkan pahlawan yang handal tapi kematian anunya. Hilang sifat kelakiannya. Jiwanya lemah kerana diri terasa tidak berguna walaupun hebat di medan perang.
Oleh itu, elok juga kita kuatkan tenaga batin bagi merangsangkan semangat diri di luar dan dalam. Di situlah letaknya semangat jantan. Semangat jantan adalah terletak pada anunya. Tanpa anu yang kuat dan garang maka lemahlah perjuangannya. Itu sebab agaknya, jika anu direntap atau ditendang maka akan meraunglah orang berkenaan. Tersangat sayang. Begitulah hebatnya peranan anu yang ada pada mereka. Di situlah terletaknya kekuatan batin yang berkait dengan semangat perjuangan. Maka belajarlah bagi mendapatkan kekuatan batin tersebut.
Seperti yang dikata, kehandalan orang dulu-dulu ada kaitan dengan kekuatan anunya. Mereka mempunyai pelbagai cara untuk menguatkan tenaga batinnya. Kaedah sepuh perlu dilakukan setiap hari bagi memupuk ketahanan. Terdapat pelbagai senaman yang boleh diambil kira. Saya kurang berminat untuk membincangkan persoalan tersebut. Pengamal KK tentu faham akan maksudnya. Yang pentingnya, kekuatan batin adalah berkait rapat dengan tenaga batin. Kekuatan batin akan melahirkan sifat bersemangat yang dapat menggerakkan aspek kebatinan kita.
Apabila ada kekuatan batin maka ilmu kebatinannya akan berada di tahap yang tinggi. Kekuatan batin akan melahirkan satu tenaga yang dinamakan tenaga batin. Kekuatan tenaga batin akan mengasaskan segala-galanya. Dari tenaga tersebutlah datangnya kekuatan untuk menghadapi segala bentuk ancaman. Diri akan sentiasa berada dalam keyakinan untuk meneruskan perjuangan. Bayangkan betapa lemahnya seseorang itu jika medan perjuangan atas katilpun boleh tewas. ”Tak sempat berjuang telah tertewas.” Semangatnya akan luntur kerana berasa rendah diri.
Itu sebabnya pesilat dan Jurulatih lelaki perlu berbuat sesuatu bagi menguatkan tenaga batin. Ingat. Kekuatan tenaga batin akan mempengaruhi kekuatan batin. Kuat tenaga batin maka akan banyak membantu menaikkan semangat, keyakinan dan keberanian diri kita sendiri.
Kalau orang perempuan, di mana pulak terletaknya semangat atau tenaga batinnya. Kena bincang dengan mereka. Agaknya kekuatan batin mereka ada kaitan kepuasan yang diterima. Strateginya ialah macam mana bagi mereka tak tahan lama. Agaknya, ’mudah tewas’ akan lahirlah kepuasan diri. Bila diri puas maka itulah kepuasan batin. Kepuasan batin adalah merupakan satu tenaga batin yang akan mendatangkan kekuatan batin untuk perjuangan seterusnya. Bila ada kepuasan batin dan kuat pulak tenaga batinnya, maka itulah ilmu kebatinan yang hakiki. Suami tak akan lari ke mana-mana.
Sebagai kesimpulannya, saya ingin mengingatkan para pesilat sekarang. Dalam konteks dunia sekarang, berhatilah-hatilah ketika kita ingin mempelajari segala bentuk ilmu kebatinan yang tidak tahu puncanya. Hal yang demikian supaya kita tidak terjebak dalam dunia penipuan dan pemalsuan. Satu ketika dulu, amat mudah bagi kita mendapatkan bomoh patah yang pakar dan hebat. Tukang urutpun ramai yang hebat dan dapat membantu untuk memulihkan urat badan.
Kini, bukan susah juga bagi kita mendapatkan bomoh-bomoh patah yang hebat dan pakar. Cuma, bentuknya baru iaitu di hospital-hospital yang bercambah di negara kita sama ada hospital kerajaan atau hospita swastal. Begitu juga dengan tukang-tukang urut yang tersangat ramai ketika ini. Kepakaran mereka adalah terbukti, dapat menegangkan yang kendur dan boleh memberikan ransangan semangat kepada yang ’mati’. Tugas kita ialah berhati-hati. Konsep ’pengapit’ adalah benar dan sah. Boleh nampak dan rasa dengan mata kepala. Tak payah seru-seru memanggil makhluk yang tidak tentu puncanya.
Dalam konteks menuntut ilmu kebatinan ketika ini, untuk lebih selamat, eloklah menumpukan perhatian bagi menjaga kekuatan batin. Menjaga kekuatan batin ialah menguatkan tenaga batin. Berkorbanlah sikit bagi mendapatkan ilmu tersebut. Ramai yang telah mendapatkan ilmu KK. Kalau dah dapat, carilah keputusannya supaya tidak sia-sia ilmu yang diperoleh. Berapa raound agaknya. Atau, tewas sebelum berjuang. Jangan salahkan ilmu, tapi tengok-tengoklah caranya. Tersilap sasarannya. Brother.