Wednesday, March 2, 2011

KENANGAN 25.

PENGALAMAN KEBATINAN.

Saya berpengalaman untuk mendapatkan pengalamian dalam konsep ’ilmu kebatinan’. Dalam tulisan ini, saya akan menceritakan kisah benar yang berlaku pada diri saya dalam proses menuntut ’ilmu batin’ dalam masyarakat Melayu.

Walau bagaimanapun sebelum menuntut ilmu tersebut, hasrat saya dilahirkan pada Ustaz terlebih dahulu. Saya memohon kebenaran untuk mendalami ilmu yang dikatakan kebatinan dalam masyarakat Melayu. Alasan saya ialah untuk lebih memahami maksud percakapan Ustaz kepada saya dari masa ke masa yang lalu. Saya juga berjanji, penglibatan saya adalah telus bersama rakan-rakan yang rela bersama untuk menuntut. Ustaz tersenyum. Saya tafsirkan Ustaz telah memberi izin. Saya ambil peluang untuk mendalami ilmu tersebut.

Bagi mengawasi diri daripada ’terhanyut’, saya libatkan rakan yang lain. Nama Fuad dan Mahadi tidak boleh dilupakan. Dalam tulisan ini saya ceritakan pengalaman saya menimba ilmu ’batin’ bersama mereka. Penglibatan mereka bersama saya, amat besar maknanya. Setiap kali habis pelajaran, maka kami akan berbincang tentang asal usul kejadian sesuatu ilmu bekenaan. Kami berikrar dan berjanji untuk saling mengingati antara satu sama lain. Hal yang demikian supaya kami tidak akan ’terhanyut’ tanpa ada dahan yang dapat berpaut untuk berpatah balik.

Pengalaman mencari ilmu batin telah menyebabkan kami menempuh pelbagai pengalaman baru. Pengalaman tersebut begitu asing dengan ajaran-ajaran yang diberi oleh Ustaz. Dalam proses pencarian ilmu itu, kepelbagaian pengalaman itu melibatkan perbuatan yang sekarang ini saya anggap tersangat ganjil dan tidak masuk akal.

Namun begitu, kami tetap saling mengingati tentang peringatan atau pemikiran Ustaz sebelum ini. Ajaran yang kami ada sentiasa dijadikan batasan. Setiap kali kami berbincang, ajaran Ustaz itu sentiasa dijadikan bandingan. Alhamdulillah. Banyak selamatnya.

Pelbagai guru yang kononnya handal telah kami temui. Semua guru berkenaan ada ilmu ’luar biasanya’. Oleh kerana keluarbiasaan ilmu mereka menyebabkan kami berpengalaman bertapa di Pulau Dayang Bunting, ’menarik semangat’ dari kubur Hang Jebat dan Hang Kasturi di Melaka, mendapatkan batu cincin secara ghaib dari ’langit’ dan menarik batu ’hikmat’ dari perut bumi. Semuanya saya alami secara nyata. Bukannya sesaja cerita. Terlibat sama dan memerhati pelakuan ’guru’ yang ada.

Dalam tulisan ini saya akan menyentuh pengalaman mencari ilmu kebatinan dalam beberapa perkara sahaja. Antara lain, mendapat cincin dari ’langit’ dan menerima tembakan di badan. Cerita-cerita lain tentang ’tepuk lantai turun kueh, keris masuk ke sarung dengan sendirinya, keris yang boleh menegak tanpa dibantu, menarik jin dan dimasukkan dalam botol serta banyak lagi, semuanya kami alami dan dikaji asal usul puncanya. Boleh kongsi pengalaman bila berjumpa.

Pengalaman mendapatkan cincin dari langit menarik juga untuk diceritakan sebagai berkongsi pengalaman. Satu malam, kami dikehendaki berkumpul dalam sebuah gelanggang. Tuan gurunya berpakaian hitam dengan lilitan kain hitam di kepala. Beliau duduk atas kerusi berhadapan dengan kami. Kami duduk bersila di atas tanah berpasir. Ketika itu tidak kurang dua puluh orang turut bersama. Termasuk tua dan muda. Kami masih pertengahan usia. Terdengar suaranya mengarah, ”Sila ambil air sembahyang terlebih dahulu.” Bergegaslah kami ke pancuran yang tersedia. Berbaris menunggu giliran.

Setelah ambil air sembahyang, kami duduk bersila di hadapannya. Beliau bersyarah tentang ’kawan’ ghaibnya. Pelbagai nama disebut. Susah diingat. Cuma, ada satu nama yang terlekat dalam kepala saya. ’Dang Dang Si Garang-Garang’. Dikatakan kawannya itu pahlawan yang garang. Syarahan beliau mengisahkan kehandalan ’orang kapitnya’ yang berjuang menentang penjajah yang datang ke alam Melayu. Entah bila berlaku. Dikatakan telah beratus tahun. Kami dengar sahaja. Tak ada bukti kebenaran.

Setelah bersyarah hingga hampir larut malam, beliau memejamkan mata membuat ’gerakan’. Tiba-tiba tuan guru membuat ’tangkapan’. Saya memerhatikan saja gelagatnya. Rupa-rupanya tangkapan yang dilakukan ialah tangkapan batu-batu yang dikatakan berkhasiat dan hikmat. Seorang demi seorang dipanggil untuk menerima habuan. Jika habis, dilakukan lagi gerak ’tangkapan’. Habis kesemua ahli yang menunggu dapat batu berkenaan. Semuanya nampak puas hati. Kami pun turut menerima habuan batu tersebut. Tapi kami tidak mudah membuat sebarang kesimpulan.

Pada malam berikutnya, kami membuat perjumpaan. Kami berbincang tentang kebolehan guru tersebut. Apa logiknya menangkap batu secara luar dari kebiasaan. Mana punca batu-batu tersebut. Masa berganti masa. Akhirnya terpecah rahsia apabila orang kanannya berpaling tadah. Daripada orang kanan tersebut, kami peroleh pengetahuan.

Sebelum majlis berkenaan, beliau menggunakan ’orang kanannya’ itu untuk membeli batu-batu berkenaan di belakang ’lokin’. Jenis batu arkid. Lima ringgit dapat segenggam. Bukannya asli. Campur plastik. Yang menghantar batu-batu tersebut adalah orang suruhannya yang bukan jenis kita. Makhluk lain. Itulah peranan jin rupanya. Berdasarkan maklumat, kami bakar batu berkenaan. Nampak cairnya. Terlintas di hati kami tentang orang-orang lain yang menerima jenis batu yang sama. Batu itu diikat dengan suasa. Dipakai dengan tujuan menolak bala. Tertipu hidup-hidup rupanya.

Itu sebabnya Ustaz pernah berpesan kepada saya. Setakat dapat mengeluarkan cincin atau batu arkid, bukanlah satu perkara yang boleh dibanggakan. Sebaliknya, jika orang berkenaan dapat mengeluarkan cincin emas atau batu-batu pertama, maka itulah kehebatan yang ada pada ’guru’ berkenaan. Baru puas kita menuntut pada guru yang sedemikian.

Ustaz terkenang pada seorang yang ’handal’ bergelar Sheikh dari Lenggong. Kehandalannya ialah mengeluarkan cincin secara ghaib bagi dijadikan pendinding. Tembak tak lut. Namanya sangat terkenal. Pada Ustaz, apakah handal namanya. Jika hanya dapat mengeluarkan cincin tembaga. Kalau cincin emas bertatahkan permata, maka barulah hebat namanya. Tak rugi mengeluarkan belanja ikut ikhlas jika dapatannya lebih berharga.

Begitu juga dengan dakwaan ’bomoh’ yang boleh menyembuhkan penyakit darah tinggi atau kencing manis. Kedua-dua penyakit itu dituntut pengubatannya oleh masyarakat dunia. Kalau ubatnya hebat, pasti bomoh berkenaan menjadi kaya raya. Dunia memerlukan kepakaran dalam pengubatan penyakit berkenaan. Tentunya pengamal perubatan atau bomoh berkenaan akan dapat membina istana sebagai kediamannya. Lengkap dengan kenderaan kapal terbang peribadinya. Kalau setakat masih duduk di rumah yama sama, apa jenis kehebatan dan kebolehannya mengubati penyakit yang berleluasa tersebut. Cakap saja.

Satu lagi peristiwa luar biasa yang saya alami ialah menguji tembakan di badan. Dengan amalan dan tangkal di pinggang, saya dan dua orang rakan, pernah ditembak sebanyak dua kali, menggunakan senapang patah. Betul-betul ditembak dan bukan main-main. Terasa hebat juga setelah melalui ujian. Namun, kejayaan ujian ditembak mengundang prasangka dalam kalangan kami yang sentiasa berbincang. Benarkah kami tidak lut dek tembakan. Rupa-rupanya ada muslihat yang sukar diceritakan dalam tulisan ini. Ada masa bolehlah kita berbincang secara lisan.

Sekali lagi kami terbayang akan wajah mereka yang mengambil ilmu yang sama dari guru yang sama. Pasti keyakinan yang wujud dalam kalangan mereka lebih banyak bersifat membabi buta. Kalaulah berlaku situasi yang sebenar, maka mati kataklah jawabnya. Tapi gurunya pasti ada jawapan jika ilmu yang diberi tidak menjadi. Sekurang-kurangnya dia akan hubungkan dengan kelalaian mandi wajib atau sebagainya. Semuanya adalah untuk menutup segala penipuan yang dilakukan.

Akhirnya kami banyak mengetahui tentang perkara sebenar ilmu batin yang ada dalam masyarakat Melayu. Ada yang menipu, ada yang menggunakan jin dan ada yang benar-benar mengharapkan kemenjadian sesuatu yang luar biasa atas kehendak Tuhan.

Banyak rahsia guru yang kami ketahui. Hal yang demikian tidak menyenangkan mereka. Namun begitu, usaha-usaha kami menarik diri dari kumpulan tersebut amat payah sekali. Berhadapan secara bersemuka, mereka tidak berani. Tambahan pula saya mempunyai pengikut silat SC yang ramai. Oleh itu, kerap kali juga mereka menghantar pengikut yang ’tidak boleh nampak’. Namun begitu SC ada cara mengatasinya.

Pernah dua kali terjadi apabila terbentuk lapisan awan di tengah-tengah kelas SC semasa saya mengendalikan latihan di suatu malam. Tingginya lebih kurang empat kaki dari atas kepala. Kami buat-buat tak erti sahaja. Cukup masa kepulan awan tersebut ghaib begitu saja. Antara kami saling berpandang muka. Walaupun ada gerunnya, tapi ahli SC sentiasa bersiap sedia.

Bagi menenangkan keadaan, kebetulan pula saya mengambil keputusan menerima surat tawaran mengikuti latihan Silat Olahraga di Johor Bahru. Saya mewakili negeri Perak. Setiap negeri menghantar seorang guru silat. Maka, jadilah saya seorang pesilat muda daripada negeri ke kursus tersebut.

Berada di tengah-tengah kumpulan guru silat daripada seluruh negeri, benar-benar memberi pengalaman bererti. Saya mengambil peluang untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang ilmu batin silat melayu. Mungkin kerana umur saya yang muda, menjadikan guru-guru silat yang ada suka benar menurunkan ilmu mereka kepada saya. Kalau pengkerasnya tidak ada maka mereka sanggup menyediakan pengkeras tersebut untuk saya.

Di situlah saya belajar pelbagai ilmu kebatinan silat Melayu. Dan di situlah juga saya mengetahui dengan lebih lanjut amalan-amalan tentang ibu gayung, pasak bumi, kipas nandung, seni gedang dan sebagainya. Nampaknya konsep ’berkapit’ tetap ada. Walau bagaimanapun saya tidak pernah mengamalkannya.

Berdasarkan pengalaman, benarlah kata-kata Ustaz. Ilmu kita banyak songehnya. Banyak yang bersandar pada jin dan banyak juga bersandarkan pada tipu helah. Berhati-hatilah ketika ingin menuntut ilmu-ilmu ’gah’ tersebut. Sepanjang kita berada dalam SC, gerak fizikal dan kefahaman yang ada, amat mencukupi dan memadai untuk menjaga kita di bumi kenyataan. Saya yakin dan percaya, amalan-amalan berupa mandi, perlu sentiasa dibuat. Amalan tersebut bukannya setakat bacaan. Ada perbuatan yang perlu dilakukan. Cakap berserta perbuatan adalah lebih hebat.
Sekian.