Saturday, March 5, 2011

KENANGAN 27.

BELA DIRI LUAR NEGARA.

Pada masa lampau, jarang sekali kita mendengar ahli-ahli SC yang membicarakan jenis ilmu bela diri dari negara asing. Semuanya penuh yakin bahawa SC sememangnya hebat. Hal yang demikian sekurang-kurangnya menunjukkan bahawa ahli SC mempunyai keyakinan tebal terhadap silatnya. Semuanya berpuas hati dan mengakui bahawa SC adalah satu-satunya silat Melayu yang hebat. SC adalah bertanggungjawab dan mempunyai keistimewaan yang tidak ada tolok bandingnya dalam dunia seni bela diri.

Mempelajari seni bela diri dari luar negera merupakan satu fahaman yang asing dalam kalangan ahli SC. Secara bandingan, kita yakin bahawa SC lebih bermutu sama ada dari segi teknik atau dari segi taktik, berbanding dengan seni bela diri dari luar negara. Nampaknya, minat ahli SC terhadap seni bela diri dari luar negara adalah tersangat kurang. Tidak ada sebarang sebaran maklumat antara sesama ahli berkenaan seni bela diri tersebut. Saya tak pernah dengar mereka yang belajar SC akhirnya bergiat dalam seni bela diri dari luar negara. Cuma yang ada adalah mereka yang memang telah pelajari seni bela diri tersebut yang akhirnya mempelajari SC.

Pengalaman saya dengan seni bela diri itu adalah dalam dua situasi yang berbeza. Pertamanya ialah pengalaman ’bercuba’ dengan Jurulatih bela diri luar yang bertali pinggang hitam. Keduanya pengalaman saya menerima Jurulatih tali pinggang hitam sebagai ’ anak murid’ di kelas saya.

Dalam situasi pengalaman pertama, ada kaitan dengan pengalaman mencuba pada kelebihan yang ada pada diri saya. Ketika itu, umur saya masih muda iaitu sekitar dua puluhan. Kisah bermula apabila saya berkesempatan melihat latihan bela diri tersebut di pusat tentera, Kuala Lumpur. Ketika itu saya menumpang tinggal di rumah saudara, dalam kem tentera. Maka mudahlah pergerakan saya ke mana-mana.

Kelas seni bela diri tersebut dikendalikan oleh seorang Jurulatih berbangsa Melayu. Beliau bertali pinggang hitam. Banyak jalurnya. Saya difahamkan kemudian betapa beliau mendapat latihan khusus di Korea.

Sedang asyik melihat latihan mereka, Jurulatih berkenaan menghampiri saya. Diajukan pertanyaan kepada saya sama ada saya berminat dengan seni bela dirinya. Lantas saya menjawab, ”Tak ada minat”. Apabila dia bertanyakan kenapa, maka saya masih ingat jawapan ringkas saya, ”Sebab tak standart.”

Jawapan saya, tidak menyenangkan beliau. Apabila dia mempelawa untuk mencuba, dengan serta merta saya menjawab, ”Boleh juga.” Saya tanggal jam di tangan dan maju ke dalam gelanggang. Saya kira tidak kurang tiga puluh orang muridnya berada dalam gelanggang berkenaan.

Saya yakin bahawa keberanian saya telah mengejutkan beliau. Ketika bersalam, beliau berkata supaya bercuba cara Islam. Tumbukan saya yang pertama telah disambut dengan sepakannya. Tersangat kuat. Tapi saya boleh tahan. Yakin pada mandi. Tumbukan berikut adalah secara tumbuk serang. Bukan mudah Jurulatih berkenaan membuat buah. Kelam kabut. Ketika itulah penasihat kelab seni bela dirinya tiba dan menghentikan ’pertarungan”. Tiada yang kalah dan tiada yang menang.

Walau bagaimanapun, pengalaman yang saya terima itu memberi pengajaran kepada saya. Pengajaran tersebut saya jadikan nasihat berguna kepada anak didik SC yang saya pimpin kemudiannya. Antara lain, saya berpesan. Kalau bercuba dengan sesiapapun, jangan percaya pada gerak dan kata-katanya. Katanya lembut, tapi keras. Katanya cara Islam tapi tidak sedemikian. Itulah strategi musuh untuk menguasai kita. Itulah nasihat saya atas pengalaman yang diperoleh waktu umur yang muda.

Namun begitu, saya dapat satu kepuasan pada diri. Rupa-rupanya saya sangat berani. Bukan cakap besar, tapi cakap benar. Tidak gentar langsung apabila berdepan dengan seni bela diri dari luar negara. Pelajaran kita hebat sekali. Penumbuk saya sangat menjadi. Bertali pinggang hitampun kelam kabut dibuatnya. Maka berpesanlah saya pada anak didik saya sendiri. Kuasai benar-benar penumbuk kita. Kuasai hingga kedatangannya sukar ditelah. Jangan sesekali memberi tabik hormat. Banyak ruginya.

Dalam situasi pengalaman saya yang kedua, elok juga saya berkongsi bersama. Saya menerima seorang pesilat yang bertaraf Jurulatih dari seni bela diri lain. Beliau juga bertali pinggang hitam. Dalam hal yang demikian, saya sangat berhati-hati dengan individu ini. Kalau beliau seorang Jurulatih dan bertali pinggang hitam, tentulah sifatnya adalah sebagai pengembang seni bela yang dipelajarinya itu.

Jangkaan saya tepat. Di samping belajar SC, beliau juga bertindak menyebarkan seni bela asalnya. Beliau adalah sebagai Jurulatih profesional dalam seni bela diri tersebut. Diri saya berkata-kata. Apakah gunanya beliau mempelajari SC dan dalam masa yang sama cuba mengembangkan bela dirinya yang asal.

Daripada maklumat anak didik saya, baru saya faham. Rupa-rupanya beliau telah bercuba dengan anak didik saya itu. Kehebatan kita menyebabkan beliau tertarik dengan SC. Beliau rela mempelajari SC semata-mata ingin mempelajari rahsia kehebatan kita yang ada.
Timbul perasaan curiga di hati saya. Perasaan itu menyebabkan saya tidak begitu berminat mencurah segala ilmu SC padanya. Saya khuatir, ilmu yang dia dapat akan dipergunakan untuk nilai tambah pengajaran seni bela dirinya. Kehendak saya, seboleh-bolehnya beliau tidak meneruskan pelajaran.

SC memberi ruang kepada sesiapa sahaja untuk mendapatkan ilmunya. Syarat pentingnya ialah beragama Islam. Oleh itu, menghalang beliau daripada menceburi kegiatan SC, tentunya mustahil. Sebaliknya, saya perlu menerima keahliannya. Tambahan pula kemasukannya adalah melalui anak murid SC sendiri. Perasaan curiga saya tetap ada. Pastinya beliau akan menggunakan ilmu SC dalam pengajaran seni bela dirinya yang sedia ada sebelumnya.

Akhirnya ahli berkenaan berhenti begitu sahaja. Saya rasa beliau faham akan isyarat pelakuan yang kami berikan. Lebih-lebih lagi saya perhatikan, minat belajarnya tidak bersungguh. Jenis mengumpul buah. Nampak jelas bukan pelajaran yang ingin dituntut. Tapi mencari rahsia besar yang ada dalam persilatan kita.

Berdasarkan pengalaman yang saya tempuhi, selain seni bela diri orang Melayu, elok juga jika kita mempunyai pengetahuan tentang seni bela diri dari luar negara. Namun begitu, berhati-hati. Jangan cuba menyebarkan pengetahuan tentang bela diri tersebut. Lebih-lebih lagi kepada ahli SC yang lain. Setakat perbincangan dalam kelas-kelas kemahiran, saya rasa elok juga dilakukan.

Oleh itu, dalam konteks pengetahuan diri, rujukan dan pengetahuan kita tidak sepatutnya mempengaruhi orang lain. Jangan timbulkan suasana gerun atau tidak senang dalam kalangan ahli kita. Hanya berbincang sebagai renungan. Buatlah rujukan. Baca buku-buku mengenai seni bela diri tersebut.

Walaupun saya ada pengetahuan dan pengalaman, tapi saya tetap berbangga kerana diri saya berada dalam SC. Saya tidak pernah pun berbincang dengan rakan SC yang lain tentang kehebatan silat-silat lain sama ada silat itu berasal dari dalam atau luar negara. Lebih-lebih lagi perbincangan dilakukan semasa kelas silat SC berlangsung. Apabila ahli kita sendiri menceritakan kelebihan orang lain, sesungguhnya mereka telah menyentuh dan melukai hati ahli SC yang lain.

Itu sebabnya saya selalu tegaskan betapa Jurulatih berperanan untuk menyemai keyakinan dan kepercayaan bahawa SC adalah silat yang sebaik-baiknya. Tidak ada yang hebat melainkan SC. Maka pupuklah kata-kata tersebut dalam hati sunabari penuntut kita. Pertahankan kehebatan SC. Tapi, kehebatan SC yang mana satu. Tak payah ragu-ragu. SC Pusaka Hanafi. Yang menjadi pusaka, itulah kebenarannya. Sekian.