Apabila saya ditanya tentang istilah pakar dalam SC, sukar untuk menjawab. Saya selalu kaitkan pakar dalam istilah perubatan. Sebut pakar, tergambar istilah doktor pakar. Kepakaran mereka merujuk pada sesuatu bidang yang tidak menyeluruh dalam disiplin perubatan.
Setahu saya dalam SC, tidak ada tafsiran khusus yang dikeluarkan oleh mana-mana LPT Silat-Silat Cekak dari dulu hingga sekarang tentang istilah pakar. Setakat diri berasa pakar dalam satu-satu bidang, tidak ada sebarang peraturan atau undang-undang persatuan yang melarangnya daripada berbuat demikian. Walau bagaimanapun tafsiran pakar ahli SC dalam satu-satu aspek atau bidang, banyak yang diperasankan oleh para ahli sendiri. Hal ini menular ke pengetahuan ahli-ahli lain dan berkembang dari masa ke masa. Tidak ada sebarang usaha untuk menilai pendapat tersebut. Hal ini demikian kerana pada adatnya kalau ramai yang pakar dalam SC, maka eloklah. Dakwaan atas kepakaran dalam SC menunjukkan sifat ambil berat dan yakin dalam pembelajaran SC.
Saya yakin satu masa nanti, pengiktirafan atas kepakaran ahli dalam SC akan menjadi agenda utama dalam pemberian pengiktirafan atau pemberian sebarang bentuk anugerah. Kalau SC diilmiahkan, pasti pengiktirafan atas kepakaran seseorang dapat dibuat melalui pemberian sijil seperti sarjana muda SC atau sarjana tua SC atau seterusnya doktor falsafah SC atau dan lain-lain lagi.
Setakat ini kita amat jarang menggunakan istilah pakar bagi merujuk kehebatan seseorang dalam SC. Mungkin belum tiba masanya lagi atau mungkin kerana sifat rendah diri. Istilah yang selalu digunakan ialah hebat. Seseorang yang hebat dirujuk pada kehebatannya bersilat sama ada dalam satu-satu bidang atau meliputi keseluruhan pelajaran SC. Namun begitu, kehebatan ini dibuat atas pelbagai tafsiran menurut daya pemikiran seseorang.
Hebat pada saya adalah berdasarkan prinsip-prinsip tertentu. Pertamanya saya akan lihat dari segi kaedah geraknya. Kaedah kita adalah tetap dan tidak perlu ditokok tambah. Beberapa konsep dan prinsip dalam kaedah adalah perlu dititikberatkan dan selalu saya perhatikan. Di sebalik Kaedah A, B C dan D, konsep seni dan sukan, konsep satu buka satu tutup, nampak lembut tapi keras, konsep gelek luar dan dalam, dan pelbagai lagi amalan dan prinsip kaedah dalam SC selalu saya perhatikan. Kegagalan menguasainya akan mempengaruhi tafsiran saya tentang kehebatan seseorang yang bersilat.
Perkara kedua yang saya lihat ialah ketepatan geraknya ketika membuat atau mengambil buah. Tangan dan kaki perlu bergerak selari dalam gerak yang satu. Konsep-konsep kejutan, pukulan, gerak tangan dan gerak kaki, saat dan ketika melakukan gerak dan banyak lagi prinsip tertentu, amat saya beratkan untuk mengiktiraf kehebatan seseorang dalam SC. Konsep-konsep tersebut perlu bersepadu. Keseluruhannya dilihat pada buah yang dihasilkan sama ada ketika menunggu serangan atau ketika menyerang. Perbuatannya menampakkan ada kesudahannya. Sekerat-sekerat tak main. Kalau kunci, ada penyudahnya. Kalau pukulan, juga ada penyudahnya.
Perkara ketiga yang saya tekankan ialah ketangkasan pesilat itu bersilat. Geraknya hebat, berseni dan tersusun. Di sinilah terserlahnya konsep jantan. Ketika bersilat nampak sangat ngaumannya. Kalau nak dikiaskan, boleh dirujuk pada sifat anu kita. Pada kebiasaannya anu kita lembut. Tapi ketika berjuang nampak hebat anunya berkembang. Sifat fizikal anunya bertukar garang dan nampak menyinga untuk berjuang. Pasti kemenangan yang dicari. Garangnya tidak ada ukuran. Itulah gambaran pada mereka yang tangkas ketika bersilat yang dapat disamaertikan dengan anu kita. Agaknya.
Ukuran badan tidak menjadi faktor utama. Sama ada kurus, gemuk, tinggi atau rendah, tidak menghalang perbuatan tangkasnya. Sejauh manakah pesilat itu menyesuaikan fizikalnya dengan keperluan pandai silat. Akan tetapi ukuran terakhir yang selalu saya gunakan ialah stemina pada ahli berkenaan. Ketika bersilat tidak nampak penatnya. Mereka berupaya mengawal penafasan dan ketahanan diri. Boleh bersilat beberapa kali. Kalau diukur nafasnya, dari buah jatuh, bersambung dengan buah potong dan bersambung dengan buah umum, steminanya tetap selari. Itulah ukuran hebat seseorang dalam SC menurut tafsiran saya sendiri.
Kehebatan seseorang pesilat juga ada kaitan dengan akal fikirannya. Untuk membina daya ‘berakal’ dalam SC, rajin-rajinlah berlatih. Sistem pelajaran yang telah disusun oleh Ustaz adalah memadai untuk membina daya akal kita. Jangan diubah-ubah susunannya. Kesannya buruk dalam jangka masa panjang. Pengalaman kita bersilat juga akan banyak membantu bagi membina akal yang mantap sebagai ahli silat dan ketika bersilat.
Akal yang mantap adalah tersangat penting. Kita boleh membuat keputusan dengan tepat sama ada perlu menyerang atau bertahan atau kedua-duanya sekali. Saat dan ketika kita bertindak banyak dipengaruhi oleh akal fikiran kita. Selain prinsip bertahan atau menyerang, akal akan dapat memandu kita membuat keputusan tentang keperluan keluar dari medan persaingan silat melalui konsep enam tolak enam. Juga akal akan dapat membantu kita menjadi pesilat yang memiliki sifat kemudahlenturan dalam gerak. Falsafah pakai tak pakai dan sebaliknya akan mudah dipraktikkan. Orang yang hebat dalam silat juga memiliki gerak yang tersangat cantik. Tindakannya adalah bertepatan dengan waktu. Gerak boleh diusahakan dalam latihan dan boleh juga diusahakan secara memohon kepada yang Empunya gerak. Saya selalu menekankan aspek itu dalam tulisan yang lalu.
Selain daripada itu, kehebatan seseorang itu juga dikaitkan dengan kefahaman yang dimilikinya. Kefahaman ini dapat disampai dan dikupas dengan sempurna dalam kalangan ahli yang bertanya. Tidak ada tangguh-menangguh penerangan ke suatu masa, kecuali bukan hak untuk menerimanya. Mereka yang hebat juga berpakaian lengkap dengan pelbagai petua yang diturunkan oleh Ustaz. Petua adalah pelengkap ilmu yang diwariskan oleh Ustaz. Melalui pemilikan pelbagai petua maka kehebatannya bersilat pada kebiasaannya akan diiktiraf oleh ahli yang lain. Gerak silat mereka adalah selari dengan kefahaman dan percakapan yang dikeluarkan. Cakap adalah serupa bikin. Kita yang menyaksikan gerak silat mereka tentu dapat mengukur dan mengklasifikasikan gerak silat mereka tersebut. Kecualilah hebatnya mereka dalam persilatan KK. Tak dapat nak tonton kehebatan anunya menyerang 'musuh' atau bertahan daripada serangan 'musuh'. Mungkin cakap tak serupa bikin.
Kadang kala, apa yang saya perhatikan, dalam SC menjadi Jurulatih tidak semata-mata bergantung pada kehebatannya bersilat. Dalam zaman saya, ramai antara kami yang hebat bersilat tapi Ustaz tidak melantik mereka menjadi Jurulatih. Sebaliknya ramai juga yang tidak ‘hebat’ bersilat tapi dilantik sebagai Jurulatih.
Namun begitu, Jurulatih itu mempunyai kelebihan yang tersendiri. Mereka dapat menyampaikan isi pelajaran SC kepada para penuntut dengan jelas sama ada secara lisan atau secara praktis. Jelaslah betapa hebat atau pakar sahaja, tidak memadai untuk dilantik sebagai Jurulatih.
Berdasarkan tafsiran saya tersebut, tergambar generasi lama yang hebat sezaman saya. Nama-nama PA, JO, Nasir, Amruddin, Tombei, PW, Nordin dan beberapa nama yang lain masih terpahat di hati saya akan kehebatan mereka. Walaupun berlainan kem tapi rasanya mereka masih berfahamkan SC yang diwariskan oleh Ustaz Hanafi. Minta maaf pada generasi baru yang saya tak ingat nama.
Dalam pemerhatian saya, ketika ini ramai kalangan mereka yang hebat telah mula muncul mengambil alih kegemilangan dan kehebatan ahli-ahli yang telah lama dan bangka. Teruskan perjuangan dalam SC. Silat – bukannya persatuan semata.
Sekian ulasan ringkas tentang erti pakar pada tafsiran saya.