Thursday, December 10, 2009

PETUA

Dalam SC, “Petua” selalau dianggap oleh penuntut SC sebagai ‘ilmu’ yang hebat. Keupayaan memilikinya daripada Ustaz akan dianggap satu penghormatan tertinggi. Sebagai salah seorang anak muridnya, petua-petua sentiasa dicari dan diharapkan daripada Ustaz. Bila dapat petua, hati berasa puas. Terasa diri berada satu pada tahap tertinggi berbanding dengan mereka yang tiada dapat petua tersebut.

Pada masa dulu-dulu, kita sukar mengukur sejauh mana seseorang itu memiliki petua-petua yang diturunkan oleh Ustaz. Hal ini demikian kerana masing-masing cuba merahsiakan apa yang dia dapat. “Pandai dapat, pandai simpan”. Itulah falsafah diri setiap ahli. Oleh itu sukar diukur kelebihan seseorang. Akan tetapi yang pastinya, sesiapa yang rapat dengan Ustaz maka mestinya dia memiki kelebihan yang mungkin lebih, berbanding dengan mereka yang kurang rapat dengan Ustaz.

Dalam tulisan ini, saya akan membincangkan kefahaman saya tentang petua yang ada dalam SC. Rujukan saya adalah fikiran saya berdasarkan apa yang saya faham selama berada dalam SC. Saya tak terikat dengan bahan-bahan rujukan yang lain terutamanya pendapat-pendapat orang lain atau buku-buku rujukan. Semuanya berdasarkan kaedah IT.

Bak kata pepatah Melayu, “Luas perjalanan, banyak pengalaman.” Orang-orang yang berpengalaman adalah terdiri daripada mereka yang telah berumur. Kita selalu kaitkan mereka dengan istilah orang tua-tua. Tak hairanlah ada perkataan ‘tua’ dalam istilah Petua.

Mereka mempunyai ilmu yang terhasil daripada pengalaman, pemerhatian dan kajian. Ilmu yang terhasil itu adalah berdasarkan bidang khusus yang mereka minati atau bidang yang mereka ceburi. Kalau secara kajian saintifik, pasti akan digelar sebagai teori. Teori terhasil daripada kajian benar yang berlaku. Istilah teori tentunya berbeza dengan istilah hipotesis. Hepotisis lebih mirip pada andaian atau sesuatu yang belum terjadi atau tidak pasti jadianya.

Pada mereka yang memberi petua, kalau bidangnya silat maka nasihat yang mereka turunkan akan menjadi petua pada yang lainnya. Tentunya orang itu seorang pendekar atau ‘pandai silat’. Kalau bidangnya anu keras maka nasihat yang mereka turunkan akan menjadi petua pada mereka yang kurang berpengalaman. Tentunya orang itu ‘mahir seks atau kaki seks.’ Kalau bidang agama, nasihat yang diberi akan menjadi petua pada yang jahil atau orang yang kurang mengerti tentang agamanya. Tentunya daripada orang alim agama. Dapat kita simpulkan bahawa petua-petua itu adalah merupakan satu formula berbentuk nasihat pelakuan yang patut diamalkan. Orang yang memberi petua adalah dianggap berpetua.

Teringat saya akan satu peristiwa ketika Ustaz membincangkan ilmu-ilmu hebat yang ada dalam masyarakat Melayu. Ustaz mengupas ilmu Kipas Nandung, Pasak Bumi, Ibu Gayung, Seni Gedang dan puncak ilmu dalam amalan hebat orang Melayu ialah BS. Kebanyakannya bersandarkan pada sesuatu yang tak perlu saya bincangkan di sini. Tapi Ustaz mengatakan bahawa kaedah mengamalkannya tidak akan diberi pada kami ketika itu. Sebabnya ialah ilmu-ilmu Melayu tersebut tidak sesuai dengan amalan penuntut SC. Maknanya, untuk mengamal ilmu-ilmu tersebut perlu ada petuanya. Kecualilah dengan ilmu BS yang mempunyai tafsiran sendiri dari segi amalannya dan sering dipertikaikan antara orang-orang hebat dalam SC dari segi pemilikannya. Kecuali di sini bermaksud pengamalan dan kemenjadiannya adalah berasaskan kehendak Tuhan. Kalau benarlah ilmu ini ada kemenjadiannya, pasti ramai yang terpeleut mulut, kaki atau tangannya kerana bersangka buruk pada pengamalnya. No komen.

Pada kita yang inginkan petua maka pada pendapat saya, kita perlu lihat ilmu orang berkenaan berdasarkan antara aspek 3P, mengikut bidang-bidang yang tertentu. Aspek-aspek itu adalah Pengalaman atau Pengalamiannya, Pemerhatiannya dan Pengkajiannya. Setakat berbicara berdasarkan pengetahuan umum sahaja, maka kurang maknanya. Saya kira kurang ‘masin’ petua yang kita dapat daripada mereka yang tidak mengalaminya. Contoh yang paling mudah, apabila kita inginkan petua atau nasihat tentang perjalanan di Singapura. Setakat dengar cerita tanpa orang itu pernah pergi ke tempat tersebut adalah kurang maknanya. Begitu juga dengan keinginan kita untuk memiliki ilmu anu keras. Kalau orang yang memberi itu memang hebat pengalamannya kerana terbukti katil yang sering patah, raungan yang mengaum setiap malam maka petua yang kita miliki tersebut akan memberi makna.

Oleh itu, sebarang petua yang kita dapat perlu diyakini punca dan kegunaannya. Keyakinan ini akan membolehkan kita mengamal atau menjadikannya sebagai panduan. Jika tidak, petua yang kita peroleh hanyalah setakat pengetahuan atau setakat ikutan kawan-kawan kita yang lain untuk memilikinya.

Dalam pengalaman saya dalam persilatan SC, ketokohan Ustaz Hanafi adalah tidak boleh dinafikan. Ustaz mempunyai pengalaman yang luas dan pengalaman luas itu seiring dengan pengalamiannya dalam pahit maung berjuang untuk mendaulatkan SC. Ilmu silatnya yang luas adalah hasil pengkajiannya. Hasil pemerhatiannya bersama pendekar-pendekar hebat di zaman silam telah meletakkan satu kepercayaan penuh dalam kalangan penuntut atau anak muridnya untuk mendapatklan khidmat nasihat atau petua-petua daripada Ustaz yang berkaitan dengan bidang persilatan, kefahaman dan ilmu dalam kehidupan seharian.

Kerana kepercayaan dan penghormatan yang penuh pada Ustaz, telah menyebabkan generasi lalu sanggup menghabiskan masa bagi mendapatkan petua-petua daripada Ustaz. Kedatangannya di cawangan-cawangan amat dialu-alukan. Berkumpullah anak muridnya untuk mendapatkan sebarang jenis petua yang dikira amat berguna dalam kehidupan seharian dan dalam dunia persilatan. Walaupun ribut petir melanda, jumpa Ustaz, mesti jumpa.

Daripada pemerhatian saya, Ustaz menurunkan petua-petuanya melalui strateginya yang tertentu. Strategi itu diasaskan pada prinsip kesungguhan dalam kalangan anak muridnya untuk memiliki petua-petua daripadanya. Aspek kesungguhan anak murid ini dapat dilihat dalam pelbagai situasi.

Di suatu ketika, semasa Ustaz ingin menurunkan satu-satu petua, ditanyanya terlebih dahulu pada mereka yang belum habis mandi silat. Mereka yang belum habis mandi, disuruhnya balik. Tinggallah mereka yang telah habis mandi untuk menerima petua selanjutnya. Dalam situasi yang lain, Ustaz mengewar-warkan tentang adanya sesuatu petua yang tertentu dalam hal yang berkaitan. Anak muridnya tertunggu-tunggu dan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan petua tersebut. Tiba masa yang sesuai maka petua tersebut diturunkan oleh Ustaz kepada anak murid itu yang sangat berkeinginan . Dalam situasi yang lain ketika anak muridnya berkumpul untuk mendapatkan ‘sesuatu’, Ustaz terus berlalu ke bilik tidurnya. Terpaksalah mereka yang bersungguh mendapatkan ilmu, menunggu hingga Ustaz keluar daripada biliknya. Biasanya jam satu pagi atau dua pagi maka Ustaz akan keluar daripada biliknya dan memulakan bicaranya. Beruntunglah mereka yang menunggu pada malam itu setelah bersungguh-sungguh bagi mendapatkan petua yang amat berguna. Tidak hairanlah ramai kalangan orang-orang lama yang banyak memiliki petua-petua yang telah diturunkan oleh Ustaz. Pada generasi baru, rapat-rapatlah diri dengan mereka tersebut. Hormatilah mereka yang pernah hebat dalam persilatan dan bukannya terhad hebatnya dalam persatuan.

Banyak petua yang ada dalam SC. Kalau berdasarkan bidang persilatan, petua-petuanya adalah bermula daripada turun ke kelas, semasa bersilat dan selepas bersilat. Bagi menguatkan otot dan memantaskan pergerakan, petua amalan harian telah diberi oleh Ustaz. Petua-petua yang berkait rapat dengan kehidupan harian adalah amat banyak dan tidak terbilang. Pastinya, petua-petua ini diberatkan amalannya dalam kalangan Jurulatihnya kerana Jurulatih adalah merupakan wakil Ustaz dalam meneruskan perjuangan dalam bidang persilatan. Adatnya, hebat Jurulatih maka hebatlah SC.

Sekian setakat ini.