Saturday, August 22, 2009

PENGALAMAN LAGI

Menyentuh soal pengalaman tentunya ramai yang mempunyai pengalaman tersendiri bersama Ustaz atau Pak Ak atau En Mat. Lain orang lain pengalamannya. Saya lebih banyak menceritakan pengalaman bersama dengan Ustaz. Daripada zaman tersebutlah saya mengenali SC dan mendapat ilmu secara khusus. Lagipun semuanya mengenengahkan pusaka Hanafi. Elok juga dibanyakkan penceritaan dalam zaman Ustaz Hanafi.

Tentulah pusaka Hanafi ini tidak terhad dalam gerak silat sahaja. Mungkin harta atau benda peninggalan Ustaz banyak yang tiada kerana gian terlelong tapi aspek-aspek lain patut ditonjolkan. Kalau ada geleri tentang Ustaz, alangkah baiknya. Tapi apakan daya. Lelongan lebih utama. Entah siapa punya idea. Saya memang menentangnya.

Mungkin penceritaan tentang pengalaman menimbulkan pelbagai implikasi. Nama pun cerita. Para pembaca pastinya pelbagai. Ada yang seronok membaca, ada yang mengambil iktibar daripada pembacaan dan ada yang meluat seolah-olah orang yang menulis ingin memunculkan diri. Gasaklah. Yang pentingnya saya ingin bercerita. Orang lain yang ada pengalaman, ceritakan pada orang lain. Kongsi pengalaman. Pengamalan itu kita sendiri yang tahu. Patut juga jangan asyik mengutuk atau mengkritik sahaja tanpa memberi apa-apa sumbangan.

Setahu saya hubungan rapat antara murid dengan Ustaz ada pelbagai jenis bergantung pada suasananya. Hubungan rapat dalam era Haji Sirat, dalam era Jalan Putera dan dalam era rumah Ustaz di Keramat tentunya tak sama.

Masa di Lorong Haji Sirat, nampak benar daifnya silat kita. Ahli yang berkeretapun amat kurang. Berjalan kaki ke UITM, ke Universiti Malaya dan kelas-kelas berdekatan untuk mengajar silat adalah perkara biasa. Ustaz tinggal sendirian di rumah itu. Banyak peristiwa berlaku. Banyak pengalaman yang saya ada. Ada antara pengalaman yang nak dicerita di ruangan ini tapi rasa-rasanya tak mungkin kesampaian maksudnya.

Masyarakat sekelilingpun di peringkat awal tidak senang dengan kehadiran kita. Di satu malam kedengaran macam bunyi dentuman. Saya tak boleh tidur. Ustaz mengerti. Itulah mainan dunia katanya. Di Lorong Haji Sirat-lah saya mendapat kebenaran tentang SC.

Di tempat itu juga saya mendapat pengalaman langsung tentang cabaran daripada seni bela diri lain ala siam dari pantai timur. Cabaran itu adalah ekoran daripada perayaan sepuluh tahun SC di Padang Kelab Sulaiman, Kampung Baru. Persembahan SC ketika itu boleh dikatakan asing pada sesetengah masyarakat silat Melayu. Kita menunjukkan bagaimana SC mematikan gerak-gerak silat lain. Ramai yang geram dan tidak hairanlah apabila timbul cabaran daripada mereka yang benar-benar rasa tercabar. Selesai perayaan tersebut, saya bergegas ke rumah persatuan di Lorong Haji Sirat. Maklumlah seperti dikata, masa saya banyak di sana. Saya tak pasti tentang orang lain yang ada di situ. Yang pastinya ketika itu Ustaz memang ada dan Pak Wan juga. Bunyi dering telefon dan telefon diangkat oleh Pak Wan. Nampak Pak Wan berkata tegas. Kemudian ditekupnya telefon itu dengan tangan dan bersuara pada Ustaz yang ada di situ. Katanya, “Panggilan daripada Mat Apolo minta try.”
Ustaz tenang sahaja dan bersuara. Seingat saya, antara kata-kata Allahyarham, “Boleh!. Dapatkan permit dan kita buat di stadium. Syaratnya timbang mesti sama berat. Kalah menang berdasarkan patah, pengsan atau mati.” Begitu tegas suara yakin daripada Ustaz. Pak Wan pun tegas menyahut cabarannya. Tapi selepas itu tak dengar apa-apa berita pun.

Walaupun pertunjukan kita seolah-olah menafikan kehebatan silat lain, itu tidak bermakna kita bebas untuk merendah-rendahkan silat Melayu umumnya. Ada ikrarnya pada kita. Jangan mencaci silat Melayu yang lain. Pernah pada satu ketika saya mengulas tentang silat saya yang ada sebelum belajar SC. Saya canangkan kelemahannya. Orang lain suka. Ustaz senyum sahaja. Setelah selesai, orang mula tak ada, Ustaz memanggil saya. Katanya antara lain,”Kamu kenali silat, bukankah daripada silat itu. Kenapa kamu caci akan silat yang mula memberi ruang dan memperkenalkan kamu dengan silat Melayu.” Itulah antara lain kata-katanya. Saya terkedu. Kata-katanya saya tetap jadikan pengajaran yang tidak mudah untuk dilupakan.

Hubungan sesama ahli di Lorong itu amat rapat. Tambahan pula umur masih muda-muda. Kadang-kadang cara melawakpun tak tentu hala, walaupun ketika kami sedang dilatih Ustaz. Mainan ‘pas kentut’ pun ada. Yang lucu dan berani, apabila tiada orang yang nak dipaskan, perlahan-perlahan rapat dengan ustaz dan membuat sentuhan seolah-olah telah dipaskan kepadanya. Orang lain tersenyum saja. Saya tak tahu sama ada Ustaz perasan atau tidak. Tapi itulah salah satu mainan yang ada menunjukkan betapa akrabnya hubungan sesama kami. Tak ada riak akan jadi penderhaka. Banyak lagi pengalaman yang ada. Takut terpanjang tulisan ini pula.

Apabila berpindah ke Jalan Putera, standard kita terangkat sedikit. Tapi di peringkat awal, kekuatan persatuan tak banyak yang ada. Kerap kali juga mengajar silat di kelas UPM dan ITM Shah Alam hanya bermotor sahaja. Bila hujan lebat, apa nak di kata. Basah kuyup jawabnya. Teringat kisah saya di satu malam bersama-sama saudara Megat dan Pak Wan. Dalam perjalanan balik dengan motor, kami basah kuyup. Tak tahan dengan hujan yang lebat maka terpaksa berhenti di sebuah kedai. Restoran pulak tu. Terpandang makanan yang ada dalam kedai tersebut, lapar tiba-tiba datang. Duit sendiri tak berapa ada. Tapi malam itu kami ada memungut yuran daripada pelajar. Bertekadlah kami gunakan sikit daripada duit itu buat melegakan tekak dan perut yang keroncong. Bila sampai ke pejabat, kami berjumpa Ustaz. Perlahan-perlahan memberi penjelasan. Takut-takut pun ada. Tapi Ustaz tak ambil peduli dan tak ambil hati. Allahyarham tersenyum sahaja. Lega.

Di tempat itu, Ustaz tinggal dalam sebuah bilik. Banyak kenangan di situ. Mungkin di lain masa boleh cerita. Satu hal yang saya tak boleh lupa, di situlah Ustaz selalu bermain dengan cucunya. Kurus budaknya. Pandai bermesra seperti bapanya. Semua pihak menyenanginya seperti mana Ustaz menyenanginya. Bila Ustaz dah tak ada, ramai pulak yang tak senang dengannya. Itulah maianan dunia namanya.

Banyak kenangan di Jalan Putera. Sesetengahnya ada saya ceritakan dalam tulisan terdahulu. Ada masa saya akan ceritakan lagi tentang gelagat-gelagat ahli di situ.

Ketika Ustaz berpindah ke rumahnya sendiri, kebetulan ketika itu saya telah tamat pengajian di Kuala Lumpur dan balik ke kampung. Hubungan dengan Ustaz mulai renggang di peringkat pusat. Tapi ada ketika-ketika tertentu, Ustaz kerap singgah ke tempat saya. Cawangan silat belum dibuka. Pernah juga Ustaz berjumpa saya di tempat kerja. Apabila cawangan telah dibuka, kunjungan Ustaz lebih teratur dan hubungan Ustaz dengan ahli cawangan semakin mesra.

Bagaimana kita boleh mengukur hubungan rapat ahli-ahli lama dengan Ustaz. Saya rasa hanya masing-masing yang tahu. Kalau ada yang menceritakan hubungannya dengan Ustaz, itu tidak semestinya beliau lebih rapat daripada yang lain. Saya sendiripun tidak pernah membanding atau mengukur bentuk hubungan tersebut dengan orang lain. Saya hanya bercerita atas apa yang saya alami. Tapi sepanjang pemerhatian saya, Ustaz memang menghormati sangat beberapa individu tertentu di Bukit Mertajam yang mungkin sama angkatan dengannya. Tiga nama serangkai di sana sentiasa diutamakan. Merekapun pernah menjawat jawatan AJK Pusat. Hubungan rapat antara ahli dengan Ustaz pastinya berbeza ketika Ustaz berada di Lorong Haji Sirat, Jalan Putera dan di rumahnya Keramat.

Semasa zaman saya, ada yang menjadi rapat dengan Ustaz kerana tugas memandu kereta Ustaz ke merata tempat. Mungkin banyak juga perkara yang mereka tahu. Selain itu, ada yang Ustaz berhubung dengan mereka secara rasmi atas jawatan yang mereka pikul. Ustaz juga menghormati mereka atas anisiatif untuk mengembangkan SC. Mereka pun tak banyak karenahnya. Mungkin di akhir-akhir zaman Ustaz nampak sedikit besar kepalanya. Tapi ramai juga yang rapat dengan Ustaz kerana menumpang dengar cerita-cerita Ustaz sahaja.

Ustaz juga amat menghormati kalangan ahli yang ada bergelar doktor dan lawyer. Sampai sekarang mereka ada dalam MMT nampaknya. Dalam banyak majlis, mereka diletakkan di tempat kehormat. Tapi entah bagaimana kadang-kadang saya pun tak sangka. Penghormatan yang diterima dari Ustaz dulunya, macam buat-buat tak hairan. Kalau Ustaz dah tiada maka sepatutnya penghormatan itu perlu diberi pada keluarga. Lain pulak yang jadinya. Itulah bezanya antara ahli silat dengan ahli persatuan, agaknya. Ahli silat akan mementingkan adat dan adab manakala ahli persatuan akan menjadikan perlembagaan dan peraturan persatuan sebagai kitab dan rujukannya. Al-Quran pun boleh dialatkan. Buat pengesahan sementara. Apa punya pangsa.

Orang-orang yang melakukan pepecahan dalam SC adalah mereka yang pernah bersama dengan Ustaz. Sama-sama bersusah payah untuk menyebarkan SC di serata negara. Satu ketika dulu, hubungan sesama mereka sangat akrab. Ada antara mereka yang dibawa masuk mengenali SC adalah juga kerana desakan atau nasihat sesama mereka.

Apabila Ustaz telah tiada, pepecahan mula ketara. Tentu banyak alasan dan sebabnya. Ke manakah hala tuju mereka. Pada saya itu semua bergantung pada pengalaman yang ada bersama Ustaz. Sekurang-kurangnya untuk menghormati kawan, janganlah dihukum perbezaan pendapat tersebut. Pengalamannya berbeza. Pemikiranpun berbeza dan akhirnya kepentingannya pun turut berbeza. Ada yang Ustaz war-warkan kebolehan diri mereka dalam silat, akhirnya perasan sebagai pengganti Ustaz. Cuba berlagak menjadi Ustaz. Tapi akhirnya terpecat sebab lagaknya nampak sangat. Tapi ada yang berlagak diam-diam hanya melayan bisikan hati. Lagak itu akhirnya tiba. Tapi sayangnya ngaumannya tidak sekuat mana. Taringnya tumpul. Dah diikat tali rupanya.

Generasi baru yang berlagak sebagai pembela seperti Pak-Pak yang ada, pada saya hanyalah mengada-ngada. Tambahan lagi mereka yang tidak biasa bersua muka dengan Ustaz. Nak berlagak umpama pembela SC, nampak sangat hapraknya.

Apapun, segala-galanya menjadi kenangan sejarah. Dunia terus berputar. Apa yang berlaku tidak perlu ditoleh lagi. Buatlah apa yang patut. Tapi sejarah akan berulang kembali. Kalau tak sedar diri, apa yang dialami oleh orang yang terdahulu, pasti akan berulang kembali pada diri sendiri. Itu sebabnya selalu kita tekankan betapa pentingnya belajar daripada sejarah.
Sekian.