Monday, August 31, 2009

BAJAI ILMU YANG ADA

Setiap perbuatan itu bergantung pada niat dan kesempatan. Ada niat dan ada kesempatan maka jadilah apa yang dihajati. Ada niat tapi kesempatan tidak ada, perbuatan tersebut tidak akan berlaku. Begitu juga sebaliknya. Jika ada kesempatan tapi tidak ada niat maka perbuatan itu juga tidak akan berlaku.

Dalam konteks penulisan mahupun lisan, di samping niat dan kesempatan, terdapat satu faktor lagi iaitu idea atau apa yang ingin ditulis atau diucapkan. Idea ini tidak boleh dipaksa-paksa. Idea perlu datang dengan sendirinya. Makamnya sama dengan konsep ilham. Bila ilham datang, penulisan atau pertuturan akan turut lancar tanpa boleh ditahan-tahan. Itu sebabnya kadang kala saya rajin menulis dan ada kalanya penulisan saya amat berkala. Semuanya bergantung pada idea atau ilham yang tidak boleh dipaksa-paksa kedatangannya.

Dalam zaman Ustaz, ada juga pertanyaan anak muridnya tidak dapat dilayan secara spontan pada satu-satu ketika. Kadang kala Ustaz hendak bercakap tapi semacam ada satu halangan pada dirinya. Hal yang demikian telah membantutkan kelancarannya daripada bercakap. Jawapan kepada persoalan tersebut akan ditangguhkan kepada satu masa yang lain. Jika sememangnya Ustaz berniat untuk menjawab soalan tersebut dalam masa yang sesuai dan ilhamnya datang, maka pertuturannya akan berjalan lancar. Semua jawapan kepada persoalan akan dijawab secara spontan. Kaedah memberi jawapan adalah pelbagai. Jika persoalan tersebut berat maka Ustaz akan mengenakan songkok sebelum berlisan bagi menjawabnya.

Ketika usia saya sebegini maka banyak perkara yang saya baru mengerti akan sifat dan tingkah laku Ustaz tempoh masa yang lalu. Tapi kesempatan saya untuk berlisan agak terhad sangat ketika ini. Mereka yang ingin bertanya pun telah banyak yang pandai dan telah menguasai hingga tak kisah untuk menghilangkan diri. Takut terpengaruh atau dipengaruhi. Harga diri.

Dalam zaman Ustaz, ada juga anak muridnya yang menghilangkan diri. Banyak faktor yang menjadikan mereka sedemikian. Ada juga antara mereka yang berasa seolah-olah pelajaran yang ada, cukup buat diri dan tidak perlu ditambah lagi. Dengan ilmu yang ada mereka yakin boleh meneruskan perjuangan dalam konteks kepentingan diri sendiri. Pada kebanyakan ahli ketika itu, menghilangkan diri tidak mendatangkan apa-apa kesan kepada ahli silat yang lain. Apatah lagi kepada guru. Kita menganggap habuan mereka telah terhenti. Kita lebih banyak bersimpati. Dalam konteks silat, mereka itu tak akan dapat pergi sejauh mana. Ilmu yang ada telah dihilangkan puncanya dan akhirnya ilmu itu akan layu begitu saja. Hal ini demikian bukan kerana ilmu itu ditarik oleh guru. Ilmu bukannya tali yang boleh ditarik-tarik. Tapi layu kerana tidak dijurusi selalu. Mereka lupa tentang faktor menyuburi dan membajai ilmu. Orang yang boleh membajanya adalah orang yang menjadi punca ilmu itu diperoleh. Orang itulah juga yang sentiasa menjiwai ilmu tersebut. Jika dibiarkan berterusan, akan jadilah mereka yang menjauhi orang yang menjadi punca ilmu itu umpama manusia yang bodoh sombong sepanjang masa dan sepanjang hayatnya. Itu sebabnya kita selalu disarankan supaya mempunyai konteks antara guru dan murid. Konteks ini akan mencetuskan ‘spark’ atau percikan yang boleh menyemarakkan ilmu yang sedia ada. Kalau bersilat, bertambah hebat silatnya. Dari sudut kefahaman, maka lagi mantap kefahamannya. Oleh itu dapat kita katakan bahawa membajai ilmu yang ada samalah konsepnya dengan menyuburkan, menyemarakkan dan memantapkan ilmu tersebut. Jika ilmu yang ada tidak disuburkan dari masa ke masa, maka ilmu yang ada semakin malap dan tumpul. Ilham yang utama pasti tak kunjung tiba.

Kalau senjata keris umpamanya, keris itu perlu disepuh bagi menghalangnya berkarat. Alat menyepuhnya adalah pelbagai. Biasanya air kelapa dan batang pisang sebagai pilihan utama. Kata tok guru, pada manusia, hati yang berkarat boleh dicuci dengan cara banyak bersedekah dan berpuasa. Bagaimana pula dengan ilmu yang ada. Ilmu ini akan terus berkembang dan terus mantap apabila dibajai seterusnya oleh orang yang menjadi punca kepada ilmu tersebut. Dalam konteks silat, maka ilmu itu akan terus berkesan sama ada pada gerak fizikalnya atau pada fahaman falsafah, konsep dan prinsip silat itu sendiri jika terus mendampingi orang yang menjadi punca ilmu itu diperoleh. Itu sebabnya hubungan yang erat antara guru dan murid tidak boleh diputuskan begitu saja. Walaupun kita menyangka bahawa hubungan ini boleh dilanjutkan dengan guru yang lain, tetapi hakikatnya tetap tidak sama. Keserasiannya adalah berbeza. Maka kemasinannya juga turut berbeza.

Ada yang mendakwa bahawa apabila kita menjauhkan diri daripada guru maka ilmu yang ada pada kita akan ditarik oleh guru tersebut. Kita tak akan mempunyai apa-apa lagi. Itulah pandangan kebanyakan orang yang tidak menggunakan pemikiran yang sihat. Mereka ini terpengaruh dengan sifat amarah. Kenyataan mereka semata-mata bagi menakutkan ahli yang lain. Ilmu bukannya benda yang boleh diberi dan diambil dengan sewenang-wenangnya. Tetapi banyak faktor psikologi yang menyebabkan ilmu ini terus malap pada mereka yang telah menjauhi punca ilmu dimiliki. Paling malang apabila ilmu tersebut umpama pokok yang sangat layu. Hidup segan mati tak mahu.

Daripada satu segi, apabila kita membenci guru atau menjauhi punca ilmu itu maka semestinya ilmu tersebut hilang keberkatannya. Hal ini demikian kerana apabila kita membenci guru tersebut secara langsung maka kita juga akan membenci sesuatu yang berkaitan dengannya. Ilmu yang diberi oleh guru berkenaan akan ditinggalkan tanpa dipraktikkan secara berterusan. Semakin lama, semakin terhakis ilmu tersebut dalam pemikirannya. Akhirnya ilmu itu akan hilang langsung daripada penguasaannya. Maka bukanlah ilmu itu ditarik balik tapi ilmu itu sendiri yang telah hilang dan terhakis secara perlahan-lahan.

Daripada segi yang lain, ilmu yang dimiliki perlu dibajai dan disuburkan. Persoalan tetap akan timbul dari masa ke masa berkaitan dengan sebarang ilmu yang kita miliki. Jika ego menguasai perasaan maka persoalan tersebut akan cuba dihuraikan atas tahap yang ada. Tapi ini pasti tidak akan memberi kepuasan kepada diri sendiri. Ilmu yang ada tidak akan berkembang dan berada dalam tahap yang sama. Lama-kelamaan ilmu itu juga akan menjadi layu dan tidak berkesan. Akibatnya ilmu itu juga akan terkarat perlahan-lahan.

Ada juga antara mereka yang menolak terus akan ilmu yang telah diberi oleh bekas gurunya. Dia akan mencari guru yang baru. Ilmu baru yang diperolehnya akan menggantikan ilmu yang asal dari masa ke masa. Secara langsung maka ilmu asalnya akan lenyap begitu sahaja tanpa perlu ditarik-tarik oleh mantan gurunya. Itu sebabnya kita selalu disarankan supaya sentiasa mendampingi guru kita. Ilmu ini perlu disubur dan dibajai. Konsep guru adalah luas. Sebarang ilmu yang kita peroleh dari mereka maka itulah guru kita. Jangan pencilkan mereka. Kelak akan menyebabkan punca ilmu daripada mereka akan malap sikit demi sikit. Ketajamannya akan semakin tumpul, kesegarannya akan semakin layu dan kemasinannya akan semakin tawar.
Kepada generasi baru kumpulan sana, berhati-hatilah dengan penguasaan ilmu SC yang ada. Ingat kembali akan punca ilmu itu diperoleh. Konsep berterima kasih juga patut ada. Hatta Jurulatih yang menjadi punca ilmu itu diperoleh, juga patut diambil kira. Itu juga ingatan yang selalu diberi oleh Ustaz kepada saya. Ilmu yang ada perlu sentiasa disuburi dan dibajai supaya ilmu tersebut terus bersemarak dan mantap. Kita takut dengan situasi yang ada sekarang. Ramai antara kita yang lebih mementingkan penglibatan dan tumpuan dalam persatuan hingga lupa akan penguasaan diri dalam silat. Oleh sebab pentingkan persatuan, kita lebih banyak tertawa dek jawatan yang ada. Ilmu SC yang ada telah lupa dijurus dengan air dan dibajai dengan pelbagai jenis vitamin, protein dan sebagainya. Jadilah mereka sebagai manusia bodoh sombong dan berperasan hebat dalam SC. Hakikatnya mereka akan kehilangan ilham dan kelancaran lisan berilmukan SC. Kalau adapun nampak sangat kelatnya.

Sekian setakat ini.