Monday, August 17, 2009

AHLI SILAT ATAU AHLI PERSATUAN

AHLI SILAT ATAU AHLI PERSATUAN.

Hakikatnya konsep ahli silat dengan ahli persatuan adalah berbeza. Sepanjang saya bersama Ustaz, Allahyarham tidak pernah mengumumkan bilangan ahli SC. Berbeza dengan silat-silat Melayu lain yang megah mengumumkan bilangan ahli yang beratus-ratus ribu. Akhirnya mereka terperangkap dalam mesyuarat PESAKA apabila Ustaz mencadangkan yuran keahlian Pesaka berdasarkan bilangan ahli.

Apabila kita menerima borang dan mengisi butir-butir peribadi, setelah diluluskan oleh satu jawatankuasa dalam mesyuarat maka kita didaftar sebagai ahli persatuan silat tersebut. Sebaliknya untuk menjadi ahli silat maka kita perlu melalui atau menerusi proses adat dan adab yang ditetapkan. Kebanyakan prosesnya tidak bertulis. Ijazah perlu diikuti dan akhirnya kita akan dimandikan dalam acara penamat silat. Tapi ramai yang menyangka bila tamat maka tamatlah kegiatan dan menghaibkan diri. Tak pernah jumpa-jumpa lagi dalam kelas silat.

Kalau ada orang yang bertanyakan kita apakah tujuan kita bersilat maka pada saya jangan lupa skop perbincangan kita tersebut. Adakah isi percakapan kita berdasarkan minat menjadi ahli persatuan atau sebenarnya berminat menjadi ahli silat. Kedua-dua konsep ahli tersebut adalah sangat berbeza.

Jikalau kita mementingkan sebagai ahli persatuan maka kita akan menumpukan perhatian pada peraturan-peraturan yang wujud hasil daripada penubuhan persatuan tersebut. Keputusannya adalah secara demokrasi melalui mesyuarat agung atau mesyuarat perwakilan. Peraturan yang dinyatakan dalam perlembagaan tak boleh diubah melainkan dalam mesyuarat agung dengan kuota-kuota tertentu. Tulisan peraturan tersebut membolehkan ramai ahli membuat tafsiran. Maka timbullah pertengkaran sesama ahli untuk menegakkan pendapat masing-masing.

Jika kita mementingkan pengenalan sebagai ahli silat maka adat dan adab adalah merupakan sumber rujukan. Kebanyakan adat dan adab ini tidak bertulis tapi telah diterima pakai dan berlangsung dari satu jenerasi ke satu jenerasi yang lain. Adat dan adab ini tidak susah untuk dilaksanakan. Jarang ada perbahasan tentang tafsirannya. Hal ini demikian kerana ketua adat mempunyai kuasa mendatori untuk mentafsir atau melakukan perubahan. Itu sebabnya kerap kali kita lihat guru dalam SC boleh menyesuaikan kehendak-kehendak adat mengikut situasi semasa. Maka adat dan adab tersebut adalah lebih anjal. Berbeza dengan peraturan persatuan yang mengongkong daya fikir kita hingga menjurus ke arah putar belit dengan cara memberi pelbagai alasan untuk mencapai niat di hati.

Sebagai ahli silat kita mementingkan aspek keberkatan guru. Keberkatan adalah sesuatu yang sukar diterangkan melainkan seseorang itu dapat merasainya sahaja. Umpama gula yang manis. Manisannya tidak boleh diterangkan melainkan dirasai sendiri oleh individu tersebut. Keberkatan ada kaitannya dengan kemenjadian. Sesuatu gerak itu tidak akan menjadi melainkan atas kehendak Yang Empunya Gerak. Di sinilah keberkatan guru memainkan peranan penting. Jika kita menitikberatkan keberkatan guru maka guru yang ada biarlah guru yang sebenar-benar guru. Walaupun ada karektor tentang konsep sebenar guru, tetapi yang penting guru yang terlantik itu mempunyai punca kuasa atas lantikannya. Maknanya pelantikannya adalah sahih dan sah. Kesahihah dan kesahan pelantikan guru tersebut erat kaitannya dengan mandat daripada guru yang terdahulu. Kebiasaannya mandat yang ada erat kaitannya dengan keturunan dan warisan dan bukan umumnya daripada masyarakat.

Dari segi adat dan adab kita menerima hakikat pelantikan secara itu. Oleh itu kalau kita benar-benar ingin menjadi seorang ahli silat, titik beratkan soal ini. Kalau setakat tak kisah sebagai ahli persatuan maka kita tak kisah siapa gurunya. Konsep lantikan berdasarkan suara ramai atau berdasarkan badan khas semuanya terikat dengan persatuan dan tertulis dalam perlembagaan. Tugas sebagai guru menjadi terbuka. Maka samalah tarafnya dengan seni bela diri yang lain hatta ada persamaannya dengan seni bela diri yang diimport dari luar negara.

Pada ahli persatuan, siapapun boleh dilantik bersandarkan suara ramai. Keturunan guru tidak menjadi penting. Di samping itu soal keberkatan tidak lagi menjadi pokok utama. Yang penting bagi mereka ialah kefahaman dan latihan yang bersungguh-sungguh terutama melalui kursus-kursus yang dianjurkan dari masa ke masa. Pelantikan guru hanyalah memenuhi keperluan dan tidak begitu diambil berat. Guru tidak berkuasa bagi menentukan hala tuju silat. Yang pentingnya ialah sokongan ahli secara sulit atau secara angkat tangan. Lama-lama pasti akan muncul politik wang dan hubungan. Pengaruh boleh dijual beli. Kehebatan guru bukan berdasarkan kebolehan silat tetapi berdasarkan hubungan. Oleh itu jika kita mementingkan aspek keberkatan dalam pembelajaran silat maka beratkan pada pelantikan guru yang layak. Layak di sini ialah guru yang telah menerima mandat.

Sebagai ahli silat, kita mempunyai banyak kebebasan untuk berfikir dan bertindak. Semua ini berlaku kerana tidak ada undang-undang atau peraturan-peraturan bertulis. Secara langsung kita mempunyai kebebasan berfikir dan bertindak. Risikonya adalah kurang. Habis kuat, kita akan dimarahi oleh guru atau dinasihati oleh guru yang bertindak sebagai pelindung adat dan adab tersebut. Hal ini agak berbeza jika dibandingkan sebagai ahli persatuan. Kita perlu mematuhi peraturan yang diterima pakai. Keengganan mematuhi peraturan akan menyebabkan kita boleh dikenakan sesuatu tindakan. Itu sebabnya kita sering mendengar berlakunya pemecatan atau tindakan pergantungan ke atas ahli. Semuanya atas sifat kita sebagai ahli persatuan. Sebagai ahli silat, mana pernah guru memecat keahlian melainkan tidak mengiktirafnya sebagai murid. Tapi keistimewaan murid itu memperoleh ilmu tidak boleh ditarik balik. Ilmu yang ada tetap berada dalam dadanya. Namun begitu jangan lupa akan konsep keberkatan. Itulah keistimewaan yang hakiki yang tidak boleh dijual beli.

Kalau kita menentukan penglibatan kita sebagai ahli silat maka fokas kita terhadap silat adalah lebih jelas. Aktiviti kita dalam SC juga berfokas pada kegiatan silat. Kedudukannya dalam persatuan hanya menjadikan persatuan sebagai alat untuk mengembangkan silat. Hal ini berbeza dengan ahli persatuan yang berfokaskan persatuan. Banyak cabang yang menyebabkan mereka perlu berfikir. Puncaknya ialah merebut jawatan. Untuk mendapatkan jawatan mereka perlu menyusun pelbagai strategi. Mendapat jawatan bermakna ada kedudukan. Mereka yang tidak mempunyai pegangan yang kukuh akan menjadikan kedudukan itu sebagai batu loncatan bagi menyebarkan pengaruh. Akibatnya tumpuan kepada silat semakin kurang. Dunia glamour semakin mendapat tempat. Kedudukan juga adalah kuasa. Orang yang berkuasa akan berusaha untuk mempertahankan kuasa. Bila kuasa hilang maka mereka akan berusaha untuk mengembalikannya. Maka tersebarlah politik silat dalam SC. Itulah salah satu punca pecah belah dalam silat.

Saya menulis dalam ruangan ini oleh sebab dalam SC terdapat dua haluan yang berbeza. Satu haluan benar-benar berfokaskan silat dan perjuangannya dan satu haluan lagi menghabiskan masa dengan peraturan-peraturan persatuan dan sanggup melemahkan perjuangan silat itu sendiri. Soal adat dan adab bukanlah menjadi sumber rujukan utama mereka. Sumber rujukan utamanya ialah peraturan yang terkandung dalam perlembagaan. Peraturan ini sanggup digunakan untuk membantutkan sebarang kegiatan silat yang difikirkan tidak sesuai pada pandangan mereka.

Apabila ada ahli yang bertanya pada saya tentang kedudukannya dalam persatuan yang berbeza, maka saya akan beri mereka untuk membuat pilihan sama ada mementingkan kemenjadian sebagai ahli silat atau mementingkan kemenjadian sebagai ahli persatuan. Kalau mementingkan silat maka kita perlu nyatakan tentang keperluan mementingkan asal usul guru yang membawa silat tersebut. Kalau sebaliknya, buatlah apa yang patut.

Sekian dan terima kasih.