Monday, August 3, 2009

MANTAPKAN PEGANGAN

Ke manakah hala tuju silat kita. Satu soalan yang mudah tapi susah dijawab. Sebabnya, tafsirannya adalah pelbagai. Sengaja saya timbulkan persoalan ini bagi membuka minda para ahli silat supaya kita sentiasa berada dalam alam sedar ketika bergiat cergas dalam SC. Umpama pergi ke satu-satu tempat. Ada antara kita yang tidak merasai atau menyedari apa-apa yang berlaku atau apa yang ada sepanjang perjalanan. Tiba-tiba telah sampai ke destinasi yang dituju. Alangkah baiknya jika sekiranya kita yang berada dalam perjalanan menuju ke satu-satu destinasi, sentiasa peka akan apa yang berlaku di sekeliling kita. Dengan itu kita akan lebih menyedarinya dan cakap-cakap dan tingkah laku kita lebih bermakna.

Untuk membincangkan hala tuju persatuan atau SC itu sendiri, bukanlah menjadi tugas utama kita. Biarlah barisan kepimpinan SC yang menentukan hala tuju pesatuan dan hala tuju SC. Pernyataan visi atau misi atau objektif persatuan mungkin boleh dikaitkan dengan hala tuju silat kita. Bagaimana dan ke mana hala tuju itu dibawa, itu menjadi persoalan yang lain dan tidak perlu sangat diambil tanggungjawab. Guru kita lebih bersifat profesional. Beliau tentu bertanggungjawab akan profesionnya.

Tapi pada saya perkara yang lebih penting ialah menentukan hala tuju kita sendiri sepanjang berada dalam SC. Dengan cara ini akan menyebabkan diri kita akan sentiasa menyedari perkembangan yang berlaku di sekeliling kita dengan lebih objektif dan tidak akan berasa diri tertipu atau berasa kecewa sepanjang penglibatan kita dalam SC.

Kalau kita ada hala tuju sendiri maka penglibatan kita dalam SC akan memberi lebih makna. Hala tuju ini berbeza antara satu sama lain. Garis panduan pembentukan hala tuju tersebut adalah bergantung pada acuan diri kita sendiri. Sudah semestinya hala tuju itu perlu bersifat positif hasil pemikiran yang diasaskan oleh guru SC. Cuma, janganlah sesekali kita memijak kepala orang lain dalam memenuhi hala tuju tersebut. Pentingkan diri kita terlebih dahulu sebelum kita mementingkan diri orang lain seperti yang selalu saya ulaskan dalam tulisan sebelum ini. Perkayakan diri kita dengan ilmu SC dengan sepenuhnya. Konsep sepenuhnya perlu diberi penekanan. Dengan itu mudahlah kita membuat perancangan dan menentukan hala tuju kita dalam SC.

Hala tuju pada diri akan lebih bermakna jika kita ada pegangan yang mantap. Pegangan dan hala tuju itu perlu bersepadu dan prosesnya adalah serentak. Pegangan dan hala tuju ini penting untuk menambahkan keyakinan kita bagi melibatkan diri secara berterusan. Jika tidak, kita akan mudah merajuk dan melakukan perbuatan di luar norma, menyimpang daripada ajaran guru dalam SC.
Lihat saja politik tanah air. Ramai yang melompat parti atau merajuk apabila tenaganya tidak diperlukan lagi. Apabila nama dipotong dalam satu-satu pencalonan maka tindakan yang paling menarik dan tepat bagi mereka ialah melompat ke parti lain sebagai membalas dendam. Membalas dendam adalah juga bertujuan melepaskan geram.

Nampaknya, politik negara pun sudah mula meresap dalam SC. Apabila nama tersingkir dalam satu-satu jawatan atau diketepikan daripada sesuatu tugasan, maka mulalah hati ingin membalas dendam sebagai tanda tidak berpuas hati dan geram. Tidak hairanlah kenapa wujud konspirasi bagi menjatuhkan guru apabila diri mula terasa diketepikan. Melompat ke silat lain adalah satu perbuatan yang mustahil bagi mereka. Maka ramailah manusia SC yang tidak tetap pendirian dan tidak tentu tujuan dek kerana tiada pegangan.

Kita berasa kagum dengan manusia yang ada dalam SC yang terus berjuang walaupun disingkirkan daripada pelbagai jawatan. Golongan ini mempunyai pendirian yang tidak mudah berubah. Hala tujunya jelas. Pegangannya kukuh. Pegangan dan hala tuju yang kukuh ini telah memantapkan pendiriannya untuk terus berjuang bagi memartabatkan perjuangan SC.

Sesungguhnya pendirian ini amat penting dalam usaha kita mencapai tahap kemerdekaan sejati dalam SC. Janganlah kita bersifat pendendam. Jika terkeluar daripada barisan kepimpinan, biarkan saja. Beri peluang kepada orang lain untuk menjalankan sebarang tugas. Teruskan usaha dan berikan tumpuan dalam perjuangan hakiki kita iaitu menyebarkan ilmu SC. Maka jiwa kita akan sentiasa tenang kerana hala tuju kita yang jelas. Hala tuju ini akan menjadi matlamat kita. Salah satu matlamat itu ialah menghasilkan penuntut yang hebat dengan ilmu SC yang hebat. Oleh itu, sesuai dengan hala tuju tersebut maka lengkapkan diri kita dengan pelbagai kemahiran bagi memudahkan proses penurunan ilmu kepada penuntut yang kita latih secara berkesan.

Jiwa yang tenang ketika berada dalam SC akan menambahkan semangat juang dan keyakinan kita pada SC. Sifat saling menghormati sesama ahli akan berlaku dengan lebih berkesan. Guru yang ada sentiasa kita hormati. Pastinya dalam keadaan guru tersebut sebagai pewaris yang sah untuk meneruskan mandat dalam SC.

Saya menulis kali ini ada kaitannya dengan rakan-rakan yang saya temui tapi telah meninggalkan perjuangan SC kerana jauh hati. Banyak faktor yang menjadikan mereka jauh hati. Saya tidak akan menerangkan alasan-alasan mereka tersebut. Memadailah saya berkongsi pengalaman dengan para pembaca dalam ruangan ini. Hal ini dilakukan bagi membuktikan bahawa dalam SC kita perlu sangat ada hala tuju dan pegangan yang mantap. Semua ini akan melahirkan pendirian yang teguh dan tidak mudah lentok ditiup dek angin.

Teringat saya tentang peristiwa ”Pingat” yang terlalu menyayukan hati bersabit pembabitan saya dalam perjuangan SC. Kalau tidak ada pegangan dan pendirian yang kukuh sukar juga bertahan dalam SC. Itulah kesimpulan akhirnya kepada diri saya.

Dalam masa Perayaan Sepuluh Tahun SC, keluar senarai pemenang Pingat Berjasa dan Pingat Setia. Kedua-dua pingat tersebut ada tahap pencapaiannya. Ketika itu mereka yang mendapat Pingat Berjasa adalah terdiri daripada mereka yang berjasa dalam ’mengembangkan’ SC. Yang mendapat Pingat Setia sudah semestinya mereka yang akan terus setia dan berdiri teguh dalam SC. ’Rebus tak empuk, bakar tak hangus.’ Agaknya. Banyak benda dan perkara yang ingin saya nyatakan. Tapi tidak sesuai agaknya dibincangkan dalam ruangan ini.

Walau bagaimanapun ramai yang setia tapi rupa-rupanya bermuka-muka. Ada berkepentingan diri dan mengamal sikap penonjolan diri. Sungguh hebat sekali lakonan mereka tanpa disedari. Itulah hasil manusia yang ada hala tuju tapi kurang ada pegangan haikiki.

Setelah sekian lama berkecimpung dalam SC, dalam satu aktiviti, Perayaan Lima Belas Tahun SC, barulah saya ditawarkan Pingat Berjasa. Malangnya saya tak boleh hadir untuk menerimanya kerana kaki tertusuk buluh. Bengkak dan tak boleh jalan. Setelah selesai perayaan, bertahun-tahun saya mengharapkan pingat yang menjadi hak saya tersebut diberi pada saya. Hampa sahaja. Dihalang oleh puak-puak tertentu. Alasannya, kalau tak datang masa acara pemberian pingat, pingat tak akan diberi. Saya rasa Ustaz pun tak tahu.

Hati saya mula memberontak. Besar sangatkah Pingat tersebut. Bukannya lesen untuk kita terus berjuang. ”Kalau tak nak bagi pada yang hak, akupun tak palor. Tapi cakap bukan main hebat. Dalam SC dikatakan pentingkan hak. Pooraah!. Cakap tak serupa bikin.” Itulah kata-kata semangat untuk diriku sendiri.

Dalam satu perayaan SC yang lain, sekali lagi saya ditawarkan pingat. Kali ini tawarannya ialah Pingat Setia. Bila dapat surat, hati bukannya gembira tapi berasa benci dan meluat. ”Baru sekarang tahu akan setia.” Selama bertahun dalam SC masih lagi dianggap mencurigakan. ”Busuk punya hati.”

Kali ini sengaja saya tak hadir dalam perayaan tersebut. Jawatankuasa menjadi gelisah. Ada seorang hamba Allah yang berpengaruh kuat cuba memujuk saya. Terpancul kata-kata saya,”Kalau you paksa-paksa, saya akan tinggalkan SC.” Kecut perut juga si hamba Allah tersebut, agaknya. Kali ini dia merayu, kalau saya tidak mahu mengambil Pingat Setia, nama saya dalam buku cenderamata tersebut minta dikekalkan. Saya tak kisah. Padan muka. Muka siapa ye! Sampai ke sudah saya tak pernah melihat Pingat Setia.

Tapi yang menariknya hinggalah ke zaman Pak Ak, apabila puak-puak tersebut kehilangan pengaruh dan entah apa mimpinya, barulah pingat berjasa yang menjadi hak saya cuba dikembalikan. Pingat Setia tidak lagi menjadi hak kerana saya telah menolaknya. Tapi yang menariknya pingat berjasa itu tidak disemat oleh Guru Utama, sebaliknya disemat oleh seorang Mufti yang terkenal dalam negara ini yang menjadi tetamu istimewa dalam satu majlis yang diadakan. Sungguh mengharukan dan sungguh mengharubirukan. Hari Ini Dalam Sejarah. Itulah tajuk filem yang berputar dalam pemikiran. Itu semua tak menjadi masalah. Ketika itu pegangan saya kukuh sekali. Hala tuju saya amat jelas. Semua yang berlaku dikira ada hikmahnya. Saya masih terus kekal dalam SC. Kalaulah saya tiada hala tuju dan tiada pegangan maka sudah tentu telah lama saya ucapkan sayunara.

Tujuan saya menulis kali ini adalah untuk menyeru generasi seterusnya supaya mempunyai hala tuju dan pegangan yang jelas. Dalam SC-lah tempat yang paling sesuai untuk melatih diri mengenali erti kemerdekaan. Fikiran kita bebas daripada dipengaruhi oleh sesiapa. Yang penting hala tuju kita jelas dan pegangan kita mantap. Dengan itu akan terpupuklah pendirian yang tetap. Tak payah beristiqamah lagi. ”Aku Adalah Aku.” Itulah kata-kata salah seorang pejuang di zaman lalu. Siapa ye!.

Perjuangan yang ikhlas tidak meminta sebarang pulangan atau pengiktirafan. Biarlah guru kita yang menentukan sebarang pengiktirafan. Itupun kalau beliau ingin mengiktiraf. Yang paling utama ialah ilmu yang ada dalam SC. Tagihlah daripada guru kita dengan adab dan sopan. Itulah perkara yang paling berharga dalam SC.

Kalau setakat pingat atau sebagainya, tengok saja ukuran. Buat replika. Gantung pada dinding buat tatapan dan pujukan diri. Bukan orang tahu. Diri sendiri yang tahu akan dirinya. Biarlah diri yang memujuk diri, kerana kita yang fahami dan tahu akan diri kita sendiri. Hargailah diri kita.

Sekian setakat ini.