Friday, May 1, 2009

TERKEJUT BERUK

Berok Terkejut.

Terkejut beruk apabila membaca kenyataan betapa ”kita harus meletakkan kepentingan pergerakan melebihi kepentingan mana-mana individu walaupun individu itu presiden mahupun guru utama.” Kalau beruk yang bukan ahli dan juga bukannya manusia pun boleh terkejut, apatah lagi manusia ahli silat dalam SC. Tapi kenyataan tersebut tidak mengejutkan saya, cuma mengejutkan beruk yang membacanya jika tanpa ada deria rasa dan perasaan. Alhamdulillah kita masih diberi akal fikiran yang sehat dan jelas selama berada dalam SC. Dengan akal yang ada akan dapat menghindari diri kita daripada berfikiran seperti beruk. Saya tidak pasti siapakah yang mengeluarkan kenyatan ini. Adakah beliau telah lama berjuang dalam SC sejak zaman Allahyarham Ustaz Hanafi ataupun kenyataan daripada ahli yang baru muncul popularitinya sejak era penderhakaan yang dilakukan oleh golongan gengster jalanan. Apapun, yang pastinya itu adalah kenyataan ahli persatuan atau ahli akademi silat dan bukannya kenyataan ahli silat.

Golongan ini kononnya sangat menjunjung tinggi perlembagaan persatuan dan sangat mematuhi undang-undang tubuh persatuan, walaupun kadangkala mereka menegaskan setakat harus sahaja untuk mentadbir persatuan mengikut undang-undang tubuh tersebut. Namun ada yang begitu taksub hingga menafikan kenyataan sebenar. Taraf perlembagaan pada mereka umpama Al-Quran dan undang-undangnya disamakan dengan hukum Tuhan. Inilah golongan yang mengenepikan adat dan adab yang turun sejak zaman berzaman. Semangat dan kenyataan ini amat sesuai dikeluarkan daripada isi hati atau isi perut ahli persatuan atau ahli akademi yang saya anggap sangat kurang pengetahuannya sebagai ahli silat. Segala-galanya berpegang pada perlembagaan. Oleh sebab perlembagaan tersebut lahir dan terhasil daripada pemikiran manusia maka berfikirlah mereka berasaskan pemikiran dan tafsiran mereka sendiri. Cuma adakah pemikiran tersebut mencapai tahap rasional ataupun hanya setakat pemikiran yang sempit.

Soal taat pada guru utama telah disalahertikan dengan perkataan taksub. Ini merupakan satu usaha yang nakal dan jahat untuk memisahkan hubungan anak murid dengan gurunya. Kalau di sekolah, murid yang sentiasa taat akan suruhan gurunya dengan membuat kerja-kerja persekolahan yang diarahkan, mematuhi arahan guru supaya berkelakuan baik, agaknya akan dipanggil murid sekolah yang taksub. Itulah pemikiran yang diluar daripada norma manusia yang semula jadi.

Golongan taksubkan perlembangaan ini, tidak habis-habis memperkatakan tentang perjuangan SC yang sebenarnya. Banyak kali saya cuba menarik perhatian pembaca tentang betapa begitu mudah mereka memperkatakan tentang perjuangan. Sejauh mana kefahaman tentang perjuangan SC, sangat kita ragui. Dikhuatiri ramai yang suka melagukan perkataan perjuangan. Sama lagaknya dengan melagukan pelbagai perkataan menjadi nyanyian yang indah tanpa mengetahui atau menjiwai seni katanya. Kalau sedap suaranya, boleh juga didengar. Tapi kalau sumbang dendangannya, berukpun cabut lari.

Ramai yang cuba membenarkan perbuatan mereka yang merosakkan perjuangan SC selama ini dengan berkonsepkan perkataan istiqamah. Ketetapan yang lahir diumpamakan suara kebenaran yang telah berjaya mengalahkan perkara yang mungkar. Mentang-mentanglah hubungan mereka diperasankan rapat dengan Tuhan maka kelebihan tersebut dianggap sentiasa berada di sisi mereka. Ukuran yang lahir daripada benak mereka dianggap gerak dari Tuhan. Oleh itu, mereka sentiasa diperasankan sebagai golongan terpilih yang ditentukan Tuhan untuk menegakkan kebenaran dalam SC. Pandangan orang lain yang begitu mahir dan tidak menunjukkan kepentingan dalam SC akan diketepikan mereka begitu saja.

Apabila mereka sentiasa beristiqamah maka tergamaklah mereka mengeluarkan fatwa bahawa,”suara ramai tidak semestinya suara benar.” Pada mereka, kalau ada sepuluh orang yang mengatakan baju putih itu adalah putih, tidak semestinya benar apabila ada seorang yang mengatakan bahawa baju putih itu adalah hitam. Lebih-lebih lagi yang seorang itu telah beristiqamah. Inilah fatwa golongan istiqamah dalam SC. Lupa akan asal usul diri dan sentiasa perasan betapa mereka diutuskan untuk memikul tanggungjawab mendaulatkan Silat Cekak akhir zaman. Mereka sanggup memecat atau membubarkan persatuan yang dianggap tidak beristiqamah. Saya sangat berkeyakinan, kalau dah banyak persatuan yang tidak bersetuju dengan pemikiran ketua persatuan, sudah tentunya ada sesuatu yang tidak kena dengan pemikiran dan tindakan atau keputusan yang selama ini dijalankan oleh puak persatuan.

Nasiblah pada SC apabila wujudnya golongan ahli yang sebegitu dalam SC. Teringatlah saya akan kata-kata tok guru satu masa dulu. Terdapat tiga manusia ”S” yang berada dalam mana-mana persatuan. Dalam tulisan yang terdahulu ada saya nyatakan rupa bentuk jenis-jenis tersebut. Jenis yang baik adalah jenis Sinaran. Apabila menjadi ahli pada mana-mana pertubuhan maka dia akan berperanan untuk memajukan persatuan. Semangat bekerja untuk memajukan persatuan sentiasa membara dan persatuan akan berkembang dengan pesatnya. Kehadiran mereka sangat diperlukan dan ketiadaannya pasti akan dirasai sesiapa sahaja yang bertemu dengannya. Sumbangan mereka sangat dihargai kerana memiliki peribadi yang baik, wajah yang cerah serta bersih dan sentiasa tersenyum. Dalam persilatan kita memang ramai golongan ini. Malangnya ada juga yang tergeliat hingga sanggup menafikan kenyataan tuntutan silat. Segala-galanya berpunca daripada isi perut yang amat busuk dan berkepentingan.

Satu jenis lagi adalah golongan ahli Siaran, yang banyak bercakap menceritakan kelebihan orang dan kelebihan persilatan. Usaha membangunkan bidang persilatan mahupun persatuan amat jauh sekali. Banyak bercakap berbanding dengan sidikit sangat bekerja. Kerap kali sifat mereka umpama cakap tak serupa bikin. Kehadiran jenis ahli ini tidak memberi sebarang kesan. Ketiadaan mereka tidak menunjukkan rasa kehilangan. Pada hakikatnya kehadiran mereka tidak menguntungkan persilatan kita. Ini berpunca daripada sikap mereka yang tidak menghiraukan kualiti kerja dan tidak mengambil berat keperluan untuk memajukan prestasi serta produktiviti. Sering kali kerja yang dilakukan bertahap ala kadar sahaja, umpama nasi kandar.

Satu jenis lagi adalah jenis Sialan. Golongan ini selalunya membawa sial pada apa jenis persatuan yang diceburi. Golongan inilah setelah berada dalam persatuan kita telah membawa sial yang besar dan merosakkan adat dan adab yang sekian lama terpahat dalam alam persilatan kita. Pemikiran yang merujuk pada tahap diri sendiri cuba diketengahkan hingga sanggup mencanggah pemikiran yang hebat. Mereka yang telah membuat keputusan yang tidak memihak dengan pemikiran mereka telah dianggap tidak mendapat maklumat yang sebenarnya. Pastinya mereka anggap tidak beristiqamah.

Inilah yang dikatakan sebagai ahli haram yang wujud dalam organisasi SC. Kewujudan mereka dalam katagori ini adalah sangat merugikan dan ketiadaan mereka lebih menguntungkan organisasi silat kita. Ahli-ahli ini sangat malang berada bersama kita. Ketiadaan mereka amat dirindukan kerana tanpa mereka, persekitaran bidang persilatan kita terasa jauh lebih aman dan selesa. Ahlak ahli jenis ini sangat buruk kerana sering mengadu domba, menabur fitnah, suka berbual perkara yang sia-sia, tidak amanah kerana mementingkan tugas untuk kepentingan diri; termasuk membuka syarikat bagi tujuan mencari untung. Inilah golongan trouble maker. Merekalah golongan yang taksubkan perlembagaan dan hukum persatuan hingga sanggup menafikan adat dan adab silat yang diperturunkan dari dulu hingga sekarang.

Berdasarkan kenyataan jahat yang dikeluarkan oleh mereka tersebut jelas menggambarkan sifat sialan yang mereka miliki dalam konteks persilatan SC. Lagi lama mereka berada dalam silat kita, maka lagi banyaklah mereka membawa sial. Oleh itu bertindaklah segera bagi menyelamatkan perjuangan suci SC yang selama ini diwar-warkan oleh Guru Utama kita.

Sekian setakat ini.