Wednesday, May 6, 2009

KEISTIMEWAAN SC

Sebut sahaja Silat Cekak maka tergambar betapa hebatnya Silat Cekak yang telah dizahirkan oleh Allahyarham Ustaz Hanafi; dan tentunya bukan dizahirkan oleh masyarakat. Kehebatan Silat Cekak adalah kerana silat ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Sudah semestinyalah perbezaan antara sesuatu yang biasa dengan sesuatu yang luar kebiasaan adalah kerana keluarbiasaannya. Keistimewaan ini adalah sesuatu yang luar dari kebiasaan dalam konteks persilatan Melayu. Oleh itu, perkara yang menjadi keistimewaan ini perlu dijaga, disemai dan disebarkan di kalangan ahli silat bagi menjamin kehebatan SC terus berkekalan dan dipandang tinggi di sisi masyarakat. Usaha-usaha ini memerlukan sifat luar dari kebiasaan atau dikenali sebagai extra-ordinary. Hal ini demikian, sebarang usaha yang bersifat luar biasa ini atau extra-ordinary akan menghasilkan pencapaian yang juga bersifat extra-ordinary.

Dari aspek fizikal silat, terlalu banyak keistimewaannya yang merupakan sesuatu yang luar dari kebiasaan. Dalam artikal yang terdahulu, banyak aspek yang telah dibincangkan. Keistimewaan ini termasuklah cara SC menunggu serangan, cara SC dipersembahkan dan pelbagai lagi. Ahli-ahli silat perlu memahami falsafah, konsep dan prinsip setiap satu pergerakan dalam SC. Penguasaan falsafah, konsep dan prinsip ini akan memudahkan kita membicarakan erti isi dan kulit, senjata dan sarung atau ”wali jantan dan wali betina”.

Cekak itu indah, maka kita perlu jaga dan faham akan keindahannya. Tafsiran Cekak sendiri telah menceritakan keistimewaannya. Keistimewaan inilah melambangkan kehebatan dan keyunikannya. Sebagai ahli silat maka semestinya menjadi tanggungjawab kita menguasai semua tafsiran yang ada. Termasuklah timbul satu tafsiran baru yang menghubungkan SC sebagai pusaka mutlak yang bersandarkan juga dengan air mutlak. Setakat ini, inilah pendapat terkini yang lahir daripada golongan masyarakat dalam akademi silat.

Silat itu juga indah. Maka kita juga perlulah mengetahui keindahannya yang telah menjadi suatu keistimewaannya juga. Oleh sebab perkataan silat itu adalah daripada bahasa kita maka dengan megahnya kita dapat mendakwa bahawa silat adalah pergerakan seni bela diri yang hanya terdapat dalam kalangan bangsa Melayu sahaja. Tidak ada bangsa lain yang memiliki silat.

Silat Cekak dizahirkan oleh Ustaz Hanafi dan bukannya masyarakat. Akan tetapi silat adalah lahir daripada masyarakat Melayu. Oleh sebab SC berada dalam lingkungan masyarakat Melayu maka kita tidak boleh lari daripada kenyataan bahawa SC kita juga mengalami proses pembudayaan bangsa Melayu. Apa saja budaya orang Melayu, budaya tersebut akan meresap dalam persilatan kita. Cuma yang berbezanya adalah bentuk dan pengisian budaya tersebut.
Dalam masyarakat Melayu, banyak peraturan yang menjadi ikutan tapi tidak bertulis dan diturun dari satu generasi ke satu genarasi yang lain. Peraturan tidak bertulis ini juga dapat dianggap sebagai adat dan adab yang diperturunkan atau diwarisi sejak zaman berzaman. Semua ahli masyarakat tetap mengakui peraturan-peraturan tersebut dan mengamalkan peraturan-peraturan tidak bertulis itu dalam konteks harian. Kesungguhan mengamalkannya ditunjukkan melalui kata-kata, ”Biar mati anak jangan mati adat”. Tapi amalan inilah yang cuba diketepikan oleh generasi baru yang ada sekarang.

Jika kita berdasarkan akal, maka banyak sekali adat dan adab kita yang dikira tidak logik dan tidak sesuai. Pastinya sesuatu yang bertentangan dengan agama, patut kita tolak. Adat dan adab yang lain jika cuba ditolak maka akan menghilangkan identiti silat kita sebagai seni bela diri bangsa Melayu.

Banyak sekali adat dan adab yang berkaitan dengan bidang persilatan dalam budaya Melayu. Misalnya adat menerima murid silat, penamat silat dan perkara yang pentingnya ialah adat berguru. Mandat dalam menjalankan tugas sebagai guru juga adalah terkandung dalam adat dan adab yang tidak bertulis. Malangnya, berdasarkan keadaan inilah, ada antara mereka yang menggunakan akal fikiran membuat tafsiran sendiri tentang adat dan adab tersebut.

Dalam bidang persilatan Silat Cekak, adat dan adab memainkan peranan. Dalam tulisan ini saya kurang menyentuh tentang adat-adat yang ada dalam silat kita. Saya lebih suka menyentuh dan menyingkap kenangan tentang adab yang telah diwarisi dari masa ke masa oleh ahli silat kita dalam konteks hubungan sesama rakan dan ketika menyampaikan ilmu silat dalam kalangan murid.

Mungkin panduan tentang peranan Jurulatih atau Penyelia Kelas telah dikeluarkan sebagai panduan dan ikutan. Itu adalah dokumen tentang peraturan yang perlu dipatuhi dan disahkan secara bertulis. Namun terdapat peraturan-peraturan yang menjadi amalan tetapi tidak bertulis, malah sangat sukar dinyatakan melalui perkataan atau ayat. Mungkin di sini boleh kita berkongsi sedikit sebanyak tentang adab yang tidak bertulis tapi pernah dilaksanakan. Fokas utama saya ialah ketika berada dalam kelas latihan.

Dulu-dulu, dan pastinya sekarang, telah menjadi lumrah sesama kita untuk bersalam ketika berjumpa. Kalau lima kali jumpa maka lima kalilah salamnya. Ketika bersalam, mata akan bertentang mata. Kita akan merenung mata atau muka kawan kita ketika bersalam. Dari mata turun ke hati. Prinsip bersalam ini meliputi amalan ketika berada dalam kelas-kelas latihan. Mustahil penuntut yang baru sampai ke kelasnya akan terus bersilat tanpa bersalam terlebih dahulu. Kalau dikirakan berapa kali salam, saya rasa banyak kali.
a. Perjumpaan awal silat.
b. Perpisahan di akhir kelas silat
c. Ketika mengambil buah daripada jurulatih
d. Dan ketika jurulatih menunjukkan adab sebelum membetulkan buah-buah yang salah di kalangan penuntutnya.
e. Apabila menerima kunjungan ahli luar

Darablah berapa ramai bilangan ahli ketika itu. Tahulah kita berapa kali tangan kita dihulurkan untuk memberi salam.

Saya sangat menekankan adab berhubung dengan seseorang dalam kelas latihan. Adab ini bersandarkan pada tahap dan kedudukan seseorang. Kedudukan ini meliputi dua aspek utama iaitu ilmu dan kekananannya. Orang-orang ini perlu diberi perhatian dan keutamaan. Dalam aspek kekananan, orang yang terkanan dalam satu-satu kelas biasanya adalah merupakan ’wakil’ guru dalam proses penyampaian ilmu. Dulu-dulu sebelum saya ’mengajar’ di kelas-kelas silat, kami perlu berjumpa guru dan bersalam meminta izin dan restu bagi menjalankan tugas. Tapi kini akibat halangan masa dan jarak, wakil guru dalam setiap kelas perlu berperanan seolah-olah seperti guru yang menjalankan tanggungjwab mereka. Itu sebabnya jika ada pembantu sekalipun, mereka harus meminta izin daripada wakil guru berkenaan sebelum mengajar silat. Keadaan ini seolah-olah kita meletakkan kedudukan atau hiraki dalam kelas kita. Tetapi sebenarnya inilah adab yang perlu diketengahkan hingga membolehkan kelas-kelas tersebut berada dalam suasana yang ceria dan harmonis.

Apabila ada pelawat-pelawat SC daripada luar yang melawat kelas kita, mereka akan disambut dengan mesra dan meletakkan mereka di tahap yang sepatutnya. Tambahan pula jika mereka tersebut ada kaitan dengan ilmu dan kekananan mereka dalam SC.

Adab inilah yang akan menjadikan kelas-kelas latihan tersebut berjalan dalam suasana hormat-menghormati. Apabila telah tiada adab menghormati ilmu dan kekananan ini lagi maka berpecahlah kelas-kelas latihan tersebut dari masa ke masa. Maka timbullah suasana tidak selesa atau tidak seronok sesama kita. Tapi adab ini tidak bertulis dan sukar ditulis.

Sekian setakat ini.