Friday, May 22, 2009

TELAH BERUBAH

Adatnya, sejarah tidak pernah menipu kita. Banyak perkara yang kita boleh pelajari daripada sejarah. Melalui sejarah banyak pengajaran yang kita peroleh. Pengajaran tersebut mengajar kita erti kebenaran, erti kekuatan, erti ketegasan, erti kepentingan, erti kenyataan dan banyak erti lagi. Ada manusia yang dapat menjadikan pengajaran daripada sejarah sebagai batasan atau sempadan dalam tindak tanduk mereka di dunia ini. Tapi ada yang buta sejarah. Apa yang berlaku, semacam tidak mendatangkan apa-apa impak pada diri. Buta sejarah adalah lambang manusia yang buta kayu. Banyak faktor yang menyebabkan seseorang itu menjadi buta kayu. Faktor-faktor ini termasuklah kepentingan hubungan, kepentingan perniagaan, kepentingan jawatan dan banyak lagi kepentingan yang menguntungkan atas sifat kepentingan diri sendiri. Inilah golongan manusia cerdik yang untung batu timbul dan untung sabut, tenggelam.

Saya teringat akan satu peristiwa sejarah. Dalam satu mesyuarat agung sempena menyambut perayaan 10 tahun Silat Cekak, terdapat agenda pemilihan Presiden SC. Seiring dengan itu terdapat usul untuk menjadikan Guru Utama secara automatik menjadi Presiden SC seumur hidup. Maka berlakulah perbahasan dalam mesyuarat. Saya adalah penentang utama akan usul tersebut. Pandangan saya disokong kuat oleh pewakilan daripada Kedah. Antara mereka yang banyak bercakap menyokong pendapat saya termasuklah adik arwah Ustaz sendiri.

Ketika itu saya berpendapat bahawa memadai Guru Utama sebagai Presiden sahaja dan tidaklah perlu kita meletakkan beliau sebagai Presiden seumur hidup. Sebarang usaha menjadikan beliau berjawatan seumur hidup, saya rasakan seolah-olah menjadikan kita tidak mempunyai kepercayaan penuh akan kepimpinannya. Hasrat tersebut juga saya rasakan lahir daripada prasangka buruk bahawa akan ada antara ahli yang bakal mencabar kepimpinannya sebagai presiden. Mana mungkin perkara sebegini akan terjadi dalam konteks wujudnya hubungan yang beradab antara murid dan gurunya. Namun begitu, Pendapat kami dilawan secara bersungguh oleh Pak A dan Pak N. Mereka tetap mahukan Guru Utama dijadikan sebagai Presiden seumur hidup.

Walau bagaimanapun, tentangan saya pada usul tersebut telah dikalahkan melalui undian. Maka diisytiharlah bahawa Guru Utama sebagai Presiden seumur hidup Silat Cekak. Ketika itu tidak ada undi sulit. Yang ada cuma anu yang sulit.

Setelah bermesyuarat, saya dipanggil oleh puak-puak tersebut untuk menerangkan mengapa perlunya usul tersebut disokong. Mungkin menjaga hati agaknya walaupun pada hakikatnya saya akur dengan keputusan ahli. Mereka menegaskan bahawa setelah usul itu diterima maka dapatlah kita menyekat golongan yang berkepentingan daripada menguasai SC. Satu daripada alasan mereka, pada ketika itu telah ada trend kemasukan ahli-ahli politik dalam SC. Mereka ini pandai bercakap, mempunyai pengikut dan boleh mempengaruhi ahli. Mereka boleh bertanding ke jawatan Presiden dan mudah menguasai Persatuan. Maka sekurang-kurangnya dengan usul tersebut akan dapat menyekat mereka daripada berbuat demikian. Guru Silat akan terus menguasai persatuan untuk dijadikan alat bagi mengembangkan persilatan.

Ketika itu konsep silat dan persatuan tidak boleh dipisahkan menjadi satu pegangan walau pun kadang kala ada perbahasan di peringkat awal. Konsep silat dan persatuan tidak boleh dipisahkan, telah dipertahan dan dikembangkan oleh para pendokong SC ketika itu terutamanya Pak-Pak yang ada dalam persatuan. Hampir kesemua ahli ketika itu tetap menerima konsep bahawa Silat dan Persatuan tidak boleh dipisahkan sama sekali umpama irama dan lagu. Guru Utama mesti menjadi Presiden persatuan dan pemilihannya dalam mesyuarat agung hanya secara formal sahaja.

Dunia sentiasa berubah. Ketika Pak Ak menjadi pewaris atas dasar pemegang amanah, beliau juga tetap menjadi Presiden. Akan tetapi pada peringkat awal lagi, kesetiaan ahli terhadap kepimpinannya telah berbelah bahagi. Ada yang berasa goyah kerana sesuatu sebab yang ada dalam hati. Sebab yang berada dalam hati inilah ditafsirkan sebagai usaha untuk menjadi Presiden persatuan. Tapi ada juga yang berasa diri itu layak sebagai pengganti Guru. Termasuklah Pak W dan Pak J. Tapi Pak W ada pengikutnya tersendiri kerana beliau sering bersyarah. Tapi Pak J agak pendiam dan tak banyak cakap. Namun, tindak tanduknya menjadi lumrah hakikat di hati. Tekalah sendiri supaya boleh berfikir.

Pada masa ini juga polimik ’silat tidak boleh dipisahkan dengan persatuan’ kembali semula. Berbahaslah ahli akan konsep tersebut. Pengikut supaya dipisahkan silat dan persatuan telah mula bertapak. Tapi perbahasan tersebut bukanlah menjadi isu utama. Hanya timbul cakap-cakap belakang tentang kelemahan guru memimpin persatuan. Isu utamanya timbul, apabila ada manusia-manusia yang seakan-akan cuba merampas kepimpinan persatuan.

Maka timbul lagi usul untuk menjadikan Guru Utama sebagai Presiden seumur hidup. Berbahaslah lagi dalam satu mesyuarat agung yang diadakan di Kampung Baharu kalau tak silap saya. Kali ini saya mendiamkan diri. Penetangan akan usul tersebut tetap lahir daripada cawangan yang sering dianggap kiri. Seorang hamba Allah yang kini entah mana terbangnya prinsip diri dan menjadi penceramah KUP telah menentang keras akan usul tersebut. Dengan tegas beliau menuding jari kepada Presiden untuk bertanyakan hasrat hati Presiden sendiri sama ada ingin menjadi presiden seumur hidup atau sebaliknya. Pegangan kami masih mantap bahawa Presiden perlu diberi kepercayaan memimpin persatuan, apatah lagi memimpin silat. Apa perlunya menjadi presiden seumur hidup atas landasan bahawa semua ahli akan sentiasa mentaati kepimpinannya. Semua ahli akan sanggup jatuh dan bangun bersama guru walau apa pun yang terjadi. Tapi itu hanya kata pendapat.

Puak-puak yang menentang pendapat saya pada zaman Ustaz dulu hanya mendiamkan diri. Semacam ada sesuatu niat di hati. Akhirnya usul tersebut tewas dan Guru Utama hanya setakat menjadi Presiden yang perlu bertanding berdasarkan kehendak peraturan. Walau bagaimanapun pada mesyuarat pemilihan berikutnya, sekali lagi usul menjadikan Guru Utama sebagai Presden seumur hidup telah dibawa dan diterima oleh ahli tanpa ada bangkangan. Pastinya murid Guru berkenaan telah semakin ramai.

Dalam era kepimpinan En Mat, beliau juga telah menjadi Guru Utama merangkap Presiden seumur hidup. Malangnya beliau telah disingkirkan oleh MMK dan bukannya oleh ahli dalam Mesyuarat Agung. Saya rasa macam karton sikit. Adakah sah pemecatan tersebut. Elok juga kalau dibawa ke mahkamah. Politik Perak telah banyak mengajar kita.

Kini dunia SC semakin haru biru. Haru biru kerana wujudnya manusia-manusia biru. Dalam bahasa Inggeris biru adalah blue. Polimik tentang silat dan persatuan tidak timbul lagi. Apabila timbul kabinet bayangan tanpa guru yang mengajar silat sebagai presidennya, nampak jelas fahaman yang memisahkan silat dan persatuan telah menemui kemenangan. Cuma yang peliknya konsep ini dibawa oleh mereka yang bermati-matian mempertahankan pendapat bahawa silat tidak boleh dipisahkan dengan persatuan pada satu masa yang lalu. Kenapakah pendapat mereka boleh berubah dan berupaya mempengaruhi pemikiran ahli dengan begitu senang sekali. Tapi benarlah kata-kata saya bahawa, ’Yang buta kayu tetap akan buta kayunya’. Yang pastinya perubahan pegangan selama ini bukanlah kerana prinsip dan pengajaran yang mantap dalam SC tetapi kerana pendapat yang lahir selama ini adalah berpandukan pada kepentingan dan berpandukan pada orang. Maka tertipulah antara kita selama ini akan pendapat-pendapat yang dikatakan bernas daripada mereka yang dikatakan menegakkan perjuangan SC yang hakiki. Merekalah puak-puak yang bergelar Pak yang telah berjaya menyingkirkan guru daripada persatuan.

Maka sekarang ini jelaslah bahawa silat tidak boleh disepadukan dengan persatuan. Berdasarkan kepentingan mereka, SC akan dikawal oleh seorang yang bergelar guru. Tapi guru tersebut akan tunduk pada presiden persatuan yang menguasai persilatan. Guru boleh dilantik daripada kalangan ahli berpandukan peraturan persatuan yang menjadi sumber rujukan. Maka adab dan adat dalam SC akan terus diketepikan. Dalam konteks perniagaan, Silat Cekak telah ditukar kepada Akademi Silat Cekak yang dinaungi oleh sebuah Syarikat. Pengerusi Lembaga Pengarah syarikat tersebut adalah orang yang berkedudukan dan berjawatan tinggi. Lebih tinggi daripada Presiden dan guru yang mengawal silat. Silat hanya salah satu daripada aktiviti syarikat tersebut. Syarikat pastinya akan membuat aktiviti lain. Mungkin perniagaan eksport import atau aktiviti perkapalan di negara Sudan.

Maka ramailah yang menjadi alat termasuk si pengawal silat. Kadang kala diri tidak berasa telah diperalat. Mana mungkin rasa akan diri diperalatkan kerana ego yang menebal atau diri tidak dapat dimerdekakan. Atau telah beristiqamah dalam alam biru yang nyata.

Walau apa pun yang terjadi saya berasa puas selama berada dalam SC. Prinsip SC terus saya pegang dan tidak pernah berubah dari dulu hingga sekarang. SC telah mengajar erti kebebasan dan erti kemerdekaan dalam prinsip hidup saya. Dalam jawatan kerajaan mungkin banyak halangan untuk membebaskan diri dari kemelut dan kokongan pegawai atasan. Tetapi dalam SC, banyak perkara yang saya faham dan saya berasa bangga telah dapat mengalami erti kemerdekaan.

Lahirnya Cekak kerana kesedaran,
Bukan bermusuh sebagai tujuan,
Untuk mendaulatkan seni kebangsaan,
Mensesuaikan dengan makna kemerdekaan.

Dalam konteks kemerdekaan tersebut, batas atau sempadannya adalah bersumberkan adat dan adab yang ada dalam SC. Saya berasa selesa dan puas akan batasan tersebut. Apatah lagi saya adalah seorang yang berketurunan Melayu. Mana boleh dipisahkan diri kita dengan kekayaan orang Melayu yang bersumberkan adat dan adab. Itu juga merupakan salah satu cabang seni dalam kehidupan bangsa Melayu.

Mungkin ramai antara para ahli yang pernah saya didik dari dulu hingga sekarang yang membaca tulisan ini. Kuatkanlah pegangan diri ketika berada dalam SC. Jadikan SC sebagai medan untuk melatih diri menjadi manusia yang berprinsip dan mempunyai pegangan yang tidak mungkin senang untuk berubah. Ingatlah kata-kata,”Seperti ikan dilaut, airnya masih tapi ikan tetap tidak akan masin.” Kata-kata tersebut janganlah dijadikan dendangan buat halua telinga tapi jadikan asas pegangan diri kita. Ustaz sering mengungkap kata-kata tersebut. Tapi ramai yang mengkagumi kata-kata Ustaz tersebut tanpa mengambil iktibar atau pengajaran daripadanya. Dalam hal ini, jadilah medan SC sebagai sumber untuk menguatkan diri bagi mempertahankan maruah diri sendiri.

Sekian setakat ini.