Amat mudah bagi sesetengah pihak menyalahkan mantan Guru-Guru Utama SC atas pepecahan yang berlaku dalam sejarah SC. Seolah-olah hanya merekalah merupakan faktor utama yang telah mencemari perjuangan SC. Sejauh mana kebenaran dakwaan tersebut, sama-samalah kita fikirkan dengan hati yang ikhlas dan fikiran yang terbuka. Namun begitu, seperti yang pernah yang diberitahu oleh Guru Utama, Allahyarham Ustaz Hanafi bahawa ramai pendekar hebat di zaman silam yang jatuh atau tewas akibat angkara orang-orang kanannya. Segala kelemahan dan kekuatan guru adalah dalam pengetahuan mereka. Malang sekali apabila adanya orang kanan yang tidak amanah dan berkepentingan diri. Kalau suka disanjung, kalau benci disanggah. Kalau orang-orang kanan itu bersikap jujur, kehebatan guru akan terus terserlah. Sebaliknya jika mereka bersifat khianat, guru akan menghadapi masalah dan sering kali menemui kegagalan memimpin ahli atau muridnya. Apatah lagi jika kita lihat akan peranan guru sebagai pemegang tampuk pengurusan persatuan atau pertubuhan. Orang-orang kanan adalah merupakan salah satu faktor yang akan menentukan kejayaan pengurusan dan kepemimpinnya. Anggukan tok belatok orang-orang kanan memperlihatkan sifat kepura-puraan dan akan mewujudkan sifat tidak adanya keikhlasan. Lambat laun, sifat ini juga akhirnya akan memberi satu sumbangan besar yang boleh menjahanamkan kepimpinan yang ada.
Saya selalu menegaskan bahawa SC tidak pernah berpecah. Yang berpecah adalah persatuan yang melayarinya. SC adalah satu. Maka Gurunya juga adalah satu. Warisi dan mewarisi. Presiden Persatuan mungkin berbagai. Dalam konteks silat, yang pentingnya ialah Guru Silat yang mewarisinya daripada siapa dan kemudiannya kepada siapa. Konsep ini ramai yang buta kayu. Dari siapa dan kepada siapa adalah punca kuasa yang paling utama dalam persilatan Melayu. Tanpa mengetahui asal usul, sesuatu yang dipelajari kurang memberi makna. Malah mengahwini anak dara orang pun perlu diketahui asal usul keturunannya. Janganlah kita berfikiran umum hingga sanggup menyatakan bahawa SC adalah hak masyarakat Melayu. Kalau itulah menjadi pegangan maka sukarlah kita menjelaskan hak yang ditentukan oleh Tuhan.
Satu ketika dulu terdapat sebuah negara komunis yang menegaskan bahawa segala-galanya adalah hak negara. Hak negara itu adalah juga hak masyarakat. Malah anak-anak yang dilahirkan adalah merupakan anak negara. Negaralah yang akan menentukan masa depan anak tersebut. Tidak ada apa yang boleh didakwa sebagai hak individu. Ciptalah atau ketengahlah ciptaan apapun yang hebat. Akhirnya akan menjadi hak negara dan masyarakat. Oleh itu janganlah konsep komunis tersebut cuba dimasukkan dalam konsep SC yang berada dalam alam Melayu. Orang Melayu adalah bangsa yang terkenal dengan adat dan adabnya. Jangan tinggalkan adat dan adab tersebut. Kalau tinggal juga maka jadilah mereka bukan berjiwa Melayu tapi mungkin berjiwa Anu. Mata menjadi rambang tak tentu haluan.
Walaupun persatuan kita berpecah belah, tapi imej Ustaz tetap digunakan pada lambang mereka terutamanya yang ada laman webnya sendiri. Walaupun ada pihak yang mendakwa bahawa mantan Guru Silat Cekak berselindung di sebalik imej Ustaz Hanafi, pada hakikatnya itulah tindakan yang sebaik-baiknya. Hal ini demikian kerana pemakaian lambang tersebut merupakan satu perkembangan yang baik dan masih berbudi dan berbahasa. Masing-masing masih mengakui betapa SC ini telah diwarisi dan mewarisi oleh Ustaz Hanafi. Masing-masing juga mengakui bahawa peranan sebagai pewaris adalah merujuk kepada SC iaitu hasil tinggalan Ustaz Hanafi. Dalam konteks ini, usaha keras Allahyarham telah dapat mengembalikan semula SC di mata dunia. Pastilah beliau merupakan pewaris yang mutlak yang telah ditentukan oleh Penentu yang maha berkuasa bagi mengzahirkan semula SC. Tentunya gambar atau imej Ustaz menjadi fokas utama pada laman web mereka. Bukanlah SC dizahirkan oleh masyarakat. Semestinya ada manusia yang memainkan peranan. Kita yang menanam benih pokok tentulah hasilnya kita yang punya. Kecualilah menyemai benih di bumi komunis. Hasilnya adalah merupakan hak negara dan masyarakat.
Jika ada yang berhak atas SC maka tentu ada penerusnya. Jawatan guru hanya satu. Untuk meneruskan perjuangan, dalam istilah sekarang perlu ada punca kuasanya. Dulu-dulu dikenali sebagai mandat. Bentuk punca kuasa adalah pelbagai. Yang pastinya patah tumbuh, hilang berganti. Walau apapun alasan, ketika En Mat dilantik, tidak ada percanggahan pendapat tentang mandat yang ada padanya. Maka beliaulah penerima mandat dan penerus warisan serta mempusakai ilmu amalan SC. Jika ada pula orang lain yang ingin meneruskan perjuangan SC selepasnya maka punca kuasa atau mandat daripadanya perlu ada. Very simple. Janganlah kita menjadikan diri kita sebagai putar alam shah yang mereka-reka alasan bagi membenarkan kenyataan.
Ramai yang mendakwa akan kegagalan Guru Silat yang mengganti Ustaz untuk membawa SC seperti mana yang dibawa oleh Ustaz. Mereka inginkan pengganti yang ada, benar-benar meniru sebijik seperti yang ada pada Ustaz. Pada saya bukan mudah untuk berbuat demikian. Lihat saja bekas-bekas Perdana Menteri kita. Berlainan kepimpinan maka berlainan pulak bentuk kepemimpinannya. Dengan cara ini, negara kita bertambah maju dan berkembang pesat. Kelainan corak kepemimpinan itu adalah merupakan satu perkembangan yang sehat. Setiap pemimpin itu biasanya dirujuk pada tuntutan zamannya. Oleh itu, bukan mudah untuk memimpin berdasarkan kepimpinan Ustaz. Suasananya adalah berbeza. Para pengikutnya adalah jauh berbeza. Zaman Ustaz, para cendiakwawan dan penjawat tinggi sektor awam dan swasta amat kurang. Di zaman En Mat, bilangan mereka semakin ramai. Maka bentuk kepimpinan juga harus berbeza. Masa Ustaz, fokas utama lebih kepada silat. Masa En. Mat fokas ahli mula bercambah. Sekurang-kurangnya, minat berniaga semakin terserlah. Puncaknya, syarikat silat telah ditubuhkan. Tambahan pula ‘acuan’ Ustaz tidak sama dengan ‘acuan’ En Mat. Latar pengalaman, latar tempat dan latar-latar yang lain adalah bebeza antara zaman mereka. Ustaz merantau segenap pelusuk negara meninggalkan isteri buat sementara untuk mencari ilmu dan pengalaman. Mungkin konsep merantau adalah berbeza antara sesama mereka. Oleh itu amat mustahil bentuk kepimpinan boleh disamakan.
Ramai mengakui bahawa setiap perjuangan atau sesuatu perancangan akan ada ujiannya. Bentuknya pelbagai. Kalau ujian maka ada soalannya. Soalan adalah merupakan salah satu bentuk ujian. Sama ada soalan itu berbentuk tulisan atau lisan. Setelah mengalami ujian maka akan ada yang lulus, gagal atau keputusan yang tergantung. Lulus pula di tahap mana dan gagal juga di tahap mana. Setelah ujian, pasti ada post mortem. Mereka yang gagal, perlu dipupuk untuk meningkatkan pencapaian. Mereka yang berjaya pasti akan diberi pujian. Jangan ditengking atau dipandang rendah atau dipandang hina pada mereka yang gagal dalam ujian tersebut. Bina mereka. Bantu mereka. Tambahan pula jika yang mengambil ujian tersebut anak-anak kita. Jangan disisihkan mereka. Itulah konsep ujian namanya. Janganlah umpamakan diri kita, “Jong pecah, tikus habis lari.” Kita bukan tikus tapi kita adalah manusia yang diberi fikiran untuk berfikir dalam konteks tiada kepentingan diri.
Ramai yang mendesak supaya kita membuktikan perjuangan. Malah Guru sendiri didesak untuk membuktikan perjuangan. Malah ada antara muridnya pula yang menentukan hala tuju perjuangan. Mereka berkehendakkan guru sendiri menjalankan aktiviti berpaksikan ilmu dan kefahaman tauhid yang tinggi; bukan berselindung di sebalik gambar dan imej Allahyarham Ustaz Hanafi. Itulah akibatnya jika adat dan adab dikesampingkan. Pendapat yang dikeluarkan juga tanpa beradab. Hinggakan ukuran perjuangan pun ingin ditentukan.
Kita perlu diberi penjelasan akan maksud perjuangan. Apakah bentuk perjuangan tersebut. Adakah sama bentuk perjuangan antara murid dan guru. Penjelasan yang jelas perlu diberikan agar kita tidak mudah bercakap tentang perjuangan dalam SC. Macam-macam erti perjuangan yang ada. Hanya akademik silat yang memahami erti perjuangan tersebut, agaknya.