Sunday, February 8, 2009

FAHAMI PRINSIP, KONSEP DAN FALSAFAH SC

Saya sering menggunakan istilah-istilah Prinsip, Konsep dan Falsafah. Ada yang kurang faham akan maksud penggunaannya. Dari sudut kefahaman saya, prinsip adalah pegangan atau sifat SC. Konsep adalah tafsiran atau tanggapan kita tentang prinsip silat kita. Manakala falsafahnya merujuk pada faedah dan tujuan prinsip tersebut. Falsafah itulah merupakan kebenaran kita dalam pengamalan pergerakan SC. Kalau diambil contoh berdiri lurus, kaedah tersebut merupakan prinsip kita ketika menghadapi musuh. Cara dan bentuk berdiri lurus itu adalah merupakan konsep. Falsafah berdiri lurus merujuk kepada persoalan kelebihan kita berbuat demikian dan implikasinya pada pengamal SC. Ketiga-tiga istilah tersebut tidak dapat dipisahkan kerana setiap pergerakan kita mengandungi prinsip, konsep dan ada falsafahnya yang tersendiri.

SC adalah kaya dengan prinsip, konsep dan falsafahnya. Perkara ini diterangkan dari masa ke masa oleh Guru Utama dan diperturunkan oleh Jurulatihnya. Kadangkala peranan Jurulatih mungkin agak berlebihan dengan cara menokok tambah daripada apa yang ada terutamanya berkaitan dengan guru. Kesetiaan terhadap guru sangat diambil berat. Hinggakan apabila berlaku sesuatu bala atau kemalangan terhadap penuntut, sering dikaitkan dengan kesetiaan terhadap guru. Dalam pantun Silat Cekak, ikatan guru dan murid digambarkan melalui rangkap,”Taat pada guru membawa berkat, sedikit belajar banyak yang dapat. Jika derhaka menjadi mudarat, semua ilmu tiada yang lekat.” Walau bagaimanapun, kita telah mengalami krisis kepimpinan guru setelah pemergian Ustaz Hanafi. Walaupun terdapat banyak faktor, yang jelasnya jurang antara PA dan En Mat dengan bekas murid Ustaz Hanafi tidak ada. Ramai ahli SC semasa PA yang sama ketawa atau sama berlawak ketika zaman Ustaz. Manakala di zaman En Mat, mereka pula menganggap bahawa merekalah yang mengajar En Mat di dalam kelas. Jurang yang rapat ini menjadikan salah satu factor krisis kepimpinan guru dalam SC boleh berlaku.

Namun begitu, prinsip taatkan guru perlu ada pada kalangan kita. Falsafah di sebalik ketaatan ini, ada kaitan dengan tanggungjawab yang telah ditentu dan dipilih oleh Tuhan ke atas guru berkenaan. Kita perlu menghormatinya. Sekurang-kurangnya keperluan menghormati kelebihan guru berkenaan kerana kita tidak dilantik memegang amanah tersebut melainkan gurunya. Penuntut SC telah diasuh bersifat demikian. Ketaatan adalah satu bentuk terima kasih atas ilmu yang diberi bagi mengenal dunia persilatan. Jika sikap ini menjadi sebahagian peribadi kita, akan memudahkan kita bersifat patuh pada perintah terutamanya perintah Tuhan. Mungkin konsep ini telah rosak sikit dalam suasana pembelajaran SC. Pada mereka yang faham, konsep ini perlu diperturunkan kepada generasi SC yang amat berminat dengan adat dan adabnya.
Salah satu konsep yang istimewa dalam SC ialah ketika SC menyerang. Kehebatan serangan silat cekak ialah jika musuh mengelak, pasti kena dan sekiranya ditepis dimakannya. Konsep ini bukanlah satu perkara baru dalam seni bela diri orang Melayu. Dalam Hikayat Malim Deman, ketika Malim Dewan bergaduh dengan Raja Mambang Molek, Malim Deman telah mengeluarkan kata-kata, “Hai Raja Mambang Molek, ingat-ingat, inilah gayung anak piatu, jikalau disambut kena dua, jikalau tiada disambut kena satu.’ Konsep serangan tersebut umpama peluru berpandu yang pasti akan mengena sasarannya. Begitulah keyakinan yang dilahirkan oleh Malim Deman. Keyakinan ini ada pada pengamal SC. Walaupun sebutannya mudah, akan tetapi untuk menguasai penumbuk tersebut memerlukan latihan yang berterusan dan ketabahan.

Dalam kebanyakan kelas latihan, pelajaran menyerang ini kurang dititikberatkan. Mungkin dalam masa semalam sahaja, pelajaran ini diperturunkan kepada para penuntut yang tamat. Apabila masuk pelajaran umum, kaedah menyerang dengan tepat telah dilupakan. Pada hal, pelajaran SC mempunyai kesinambungannya antara satu peringkat dengan peringkat yang lain. Menguasai kaedah akan memudahkan pelajaran asas. Penguasaan pelajaran asas akan memudahkan pelajaran buah jatuh. Penguasaan buah jatuh akan memudahkan pula penguasaan peringkat potong. Jika peringkat potong telah dikuasai sepenuhnya, dengan memberi petua penumbuk yang betul, memudahkan pengamal SC melakukan serangan. Untuk mengesahkan keberkesanan penumbuk tersebut, senarai buah umum digunakan sebagai latihan pengesahan keberkesanan penumbuk kita. Malangnya ramai yang kurang memahaminya hingga sanggup melupakan kaedah menyerang tersebut tapi sebaliknya menekankan penguasaan pelajaran buah-buah silat lain dalam peringkat umum. Hal ini amat merugikan kepada para penuntut.

Begitu juga dengan konsep enam tolak enam. Jarang sangat adanya kelas-kelas latihan yang mengaplikasikan prinsip enam tolak enam dalam pelajaran umum. Seolah-olah dengan beberapa buah yang diserikan maka dianggap sesama ahli tidak boleh beradu silat atas konsep seri. Kenyataan ini tidak tepat dan amat merugikan. Fahamilah benar-benar konsep seri dalam SC. Prinsip seri memerlukan latihan yang mantap hingga boleh digunakan ketika kita menghadai atau menyerang musuh.

Seiring dengan konsep menyerang, dikatakan juga bahawa sambil Cekak menyerang Cekak dapat menangkap musuh sesuai dengan falsafah iaitu Cekak menyerang, Cekak menangkap. Menurut penyelidikan pengamal SC, tidak ada satu silat yang lain, sekiranya menyerang ia dapat menangkap. Sejauh mana konsep ini masih diajar dan dikuasai oleh para penuntut. Pada zaman saya yang lalu, pelajaran mengenai konsep ini dihuraikan dalam masa pelajaran ‘Potong’.
Pada dasarnya pelajaran SC lebih menitikberatkan prinsip mempertahankan diri supaya penuntut terlatih dengan keberanian, bukan mengganas atau menceroboh. Hanya bila terpaksa demi keselamatan diri barulah Cekak menyerang. Ramai yang menganggap hampir sembilan puluh sembilan peratus isi pelajarannya adalah mempertahankan diri. Cuma satu peratus sahaja Cekak akan menyerang. Kata-kata ini juga kadang kala mengelirukan. Hasrat kita menyerang untuk menamatkan segera gerak musuh amat sesuai dengan kaedah serangan berpandu. Namun begitu bagi maksud menyerang dan bertindak balas, pelajaran potong lebih menyatakan maksud yang tersirat. Kata-kata Cekak menyerang dan Cekak menangkap membuktikan dalam pelajaran ‘Potong’ konsep menyerang mula ditekankan.
Penuntut-penuntut juga ditanam dengan prinsip, ‘Bila tangan digunakan musuh maka tangan pula balasannya. Jika musuh menggunakan kaki, maka kakilah balasannya tanpa menggunakan tangan menepis serangan kaki.’ Walaupun ada kekecualian, prinsip ini adalah merupakan prinsip asas dalam SC. Sepak Minang yang cuba diambil dengan kaedah tangan, amat membimbangkan. Apa yang saya perhatikan, penggunaan kaki untuk menangkis serangan kaki sangat kurang diperturunkan kepada penuntut. Hal ini amat mendukacitakan.

Selama ini penuntut-penuntut SC difahamkan bahawa kaedah yang ada dalam SC amat sesuai untuk menghadapi serangan senjata-senjata pendek. Penuntut mungkin terkeliru apabila kaedah tangan digunakan untuk menghadapi serangan tongkat yang panjang. Kaedah A hingga D amat sukar digunakan. Melainkan habuan sesak, ada kaedah-kaedah lain yang sering digunakan oleh SC. Saya kurang pasti adakah kaedah-kaedah tersebut ditunjuk pada kalangan penuntut. Apa akan jadi jika tongkat panjang tersebut digantikan dengan pedang samurai. Janganlah kita terlalu taksub hingga lupa konsep asal menunggu serangan.

Apatah lagi penuntut-penuntut SC difahamjkan dengan konsep posmen dengan surat. Untuk menyekat surat daripada diterima maka sekat sahaja si tukang kirimnya iaitu posmen. Falsafah ini bermaksud, untuk menghalang senjata-senjata daripada hingga di tubuh kita, gunakan kaedah bagi menghalang tangan yang menghantarnya. Namun begitu kaedah tersebut hanya sesuai digunakan untuk menghadapi senjata-senjata pendek. Konsep ini harus diakui dan diterima oleh pengamal SC. Janganlah kerana bersifat ego menyebabkan kita begitu yakin untuk menghadapi sebarang jenis senjata. Berpijaklah di bumi nyata. Berpeganglah pada prinsip dan konsep pergerakan SC.

Perbincangan di atas adalah antara lain yang berkaitan dengan prinsip, konsep dan falsafah yang benar-benar perlu difahami oleh pengamal SC.

Friday, February 6, 2009

DI SEBALIK FALSAFAH BERDIRI LURUS

DI SEBALIK FALSAFAH BERDIRI LURUS

Satu ketika lalu, penulisan tentang konsep, prinsip dan falsafah SC banyak sekali. Penulisan ini disalurkan dalam pelbagai penerbitan sama ada di peringkat pusat atau di peringkat cawangan. Idea penulisan adalah berdasarkan kefahaman ahli dalam falsafah SC. Ramai penulis yang muncul dalam penerbitan-penerbitan tersebut dan ini melambangkan kefahaman ahli yang jelas mengenai konsep, prinsip dan falsafah yang ada dalam SC. Penulisan mereka juga melambangkan bahawa mereka faham akan apa yang diperkatakan oleh Guru Utama. Tidak sia-sialah Guru Utama memberi syarahan dan kefahaman kepada penuntutnya. Pengetahuan ahli tidak terhad dalam bidang pergerakan silat sahaja. Di samping bersilat, mereka mempunyai banyak masa untuk membincangkan falsafah SC seperti yang diceritakan. Tambahan pula perhatian mereka lebih berfokas pada perkembangan SC. Kepentingan diri kurang menyerlah kerana masing-masing faham akan misi SC. Saya dapat rasakan bahawa tak banyak politik silat ketika itu berbanding dengan apa yang sedang berlaku sekarang. Penuntut disogok dengan dendangan pepecahan dan strategi yang berkepentingan diri.

Salah satu falsafah yang ada dalam SC ialah LURUS. Falsafah lurus adalah begitu luas dalam kefahaman SC. Perbincangan tentangnya meliputi aspek fizikal dan kefahaman.

Berdasarkan konsep kefahaman dalam SC, istilah lurus membawa pelbagai makna. Orang yang lurus kerap kali dikaitkan dengan orang yang bersifat jujur. Percakapan dan tindakan mereka lebih banyak sehala tanpa ada sebarang kepentingan dan maksud yang tersirat. Dalam pantun SC perkataan jujur memainkan peranan penting bagi kita menguasai SC dan mendapat keberkatan hasil daripada pembelajaran SC. Peranannya telah dinyatakan seperti dalam rangkap pantun yang berikut, “Silat Cekak pada lahirnya. Pengertian gerak pada batinnya. Hendaklah mahir seluruh anggota, Hendaklah jujur pada jiwanya.” Orang bersifat jujur kebiasaannya akan memudahkannya menguasai gerak yang ada dalam SC. Oleh itu, jujurlah pada diri kita, rakan-rakan dan semestinya kepada guru yang ada mandat. Mandat daripada tuan punya yang sah dalam SC.

Kita juga dianjurkan supaya memilih jalan yang lurus. Setiap hari, dalam sembahyang kita memohon supaya ditunjukkan jalan yang lurus. Dengan petunjuk lurus yang diperoleh akan menjadikan diri kita tidak terpengaruh dengan hawa nafsu dan kepentingan diri. Namun begitu, hal-hal dan cakap-cakap yang sebegini, biarlah guru kita yang mengupasnya dengan lebih lanjut

Walau bagaimanapun dalam tulisan ini saya hanya menitikberatkan istilah LURUS dalam prinsip, konsep dan falsafah berdiri lurus. Konsep berdiri lurus dalam SC adalah sebagai satu usaha membela diri dari segi fizikal. Tulisan dalam karangan ini juga adalah termasuk hasil pandangan ahli-ahli SC lain yang pelbagai tahap tapi berkaitan dengan falsafah berdiri lurus yang diterima faham daripada Guru Utama. Setengah-setengah ayat dalam karangan ini saya petik daripada pegangan umum ahli-ahli SC di satu masa yang lalu dan sering diperturunkan untuk kefahaman penuntut. Semua pengertiannya tidak menyimpang daripada apa yang disampaikan oleh Allayarham Ustaz Hanafi.

Berdiri lurus dalam SC sering dikaitkan dengan pendirian sembahyang. Walaupun kenyataan ini tidak menyenangkan beberapa pihak yang tertentu akan tetapi dalam kalangan penuntut-penuntut SC kaitan antara silat dan sembahyang telah ditegaskan dengan begitu yakin sekali. Dalam prinsip berdiri lurus ini, tapak kaki kanan dengan tapak kaki kiri tidak terlalu renggang dan tidak terlalu rapat. Jarak tapak adalah sederhana berdasarkan berdiri semula jadi kita. Pendirian yang demikian juga digunakan oleh SC dalam kaedah bela diri daripada serangan musuh. Akan tetapi, dengan pendirian lurus tegak inilah maka ramai orang yang mengatakan bahawa di situlah kelemahan SC. Namun begitu, jika dikaji dengan mendalam maka sebenarnya di situlah punca kekuatan dan kelebihan silat kita iaitu Silat Cekak. Kita berkeyakinan bahawa pendirian lurus tersebut dapat memberi keyakinan dan membawa beberapa pengertian pada diri kita sacara lahir mahupun segi falsafahnya.

Ramai yang persoalkan bahawa berdiri lurus adalah berdiri yang lemah. Pada mereka, berdiri yang kuat adalah berdiri secara kuda-kuda. Sebenarnya pada kita, berdiri secara berkuda-kuda itulah yang lemah dan boleh mendatangkan kemudaratan. Kita diyakinkan bahawa berdiri secara berkuda-kuda itu adalah pendirian yang bengkok. Adakah sesuatu yang bengkok itu kuat daripada yang lurus. Jika dikiaskan, kalau misalnya kita pergi ke hutan mencari kayu, maka sangatlah sukar kita mencari kayu-kayu yang lurus tetapi kayu yang bengkok amatlah mudah kita peroleh. Tapi kayu yang lurus boleh dibuat macam-macam. Kita boleh buat tiang rumah, meja, kerusi, papan dan berbagai bentuk lagi. Kayu bengkok hanya sesuai dibuat kayu api sahaja. Di sini, jelaslah bahawa sesuatu yang lurus banyak kegunaannya daripada yang bengkok. Begitu jugalah halnya dengan berdiri yang lurus. Berdiri lurus adalah penengah atau pusat daripada segala pergerakan sama ada pergerakan ke hadapan atau ke belakang dan pergerakan ke kiri atau ke kanan. Oleh sebab itulah pendirian lurus digunakan dalam SC kerana dengan pendirian tersebut, Cekak telah bersedia untuk menunggu pelbagai jenis serangan dari pelbagai penjuru sama ada hadapan, kiri, kanan mahupun dari belakang.

Berdiri lurus adalah berdiri yang normal bagi manusia. Munusia yang bercakap tatkala berdiri adalah melambangkan manusia yang mempunyai pendirian yang lurus atau normal dan bukannya atas pendirian yang bengkok iaitu pendirian yang dipaksa-paksa. Oleh itu, jika penuntut belajar silat dengan pendirian yang lurus maka pengamalnya akan sentiasa dapat bersedia sepanjang waktu tanpa diketahui oleh orang lain. Sebaliknya jika sedang menghadapi musuh, pasti musuh tidak tahu akan helah kita. Hal ini demikian kerana mereka melihat pendirian kita seperti pendirian orang yang tidak mahu bergaduh. Jika sekiranya kita menggunakan pendirian berkuda-kuda, musuh akan dapat mengetahui akan tipu helah kita. Mereka akan dapat membaca mana tangan atau kaki yang ‘mati’ dan mana tangan atau kaki yang ‘hidup’.

Selain daripada hujah-hujah di atas, pendirian lurus adalah kedudukan yang berada dalam posisi yang sangat rapat. Kedudukan sebegini adalah merupakan satu kelebihan dalam seni bela diri. Musuh dapat ditewaskan dalam masa yang cepat dan ringkas. Gerak yang kita lakukan adalah sangat menguntungkan. Keyakinan kita dalam posisi rapat ini kerana silat kita mempunyai kaedah yang cukup dan sempurna untuk mengawal seluruh anggota badan. Selain kaedah ABCD, kaedah gelek yang bersepadu dengan pukulan atau awasan, telah cukup untuk mengawal empat tahap anggota badan manusia. Sebagaimana pendirian lurus diambil dari gerak geri sembahyang, maka kaedah itu juga telah diambil daripada perbuatan sembahyang.

Hasil kajian pengamal SC, kelebihan-kelebihan seperti hujah di atas adalah sesuatu yang dapat dibincangkan secara ilmiah. Kajian telah dibuat tentang buruk dan baik segala macam pendirian ketika menanti serangan atau ketika menyerang dalam usaha untuk menjaga diri. Dengan penuh keyakinan, pengamal SC menerima kakikat bahawa pendirian lurus adalah pendirian yang ideal bagi menjaga diri. Pendirian yang sebegini adalah pendirian yang penuh makna di sebalik kegunaannya dalam usaha-usaha mempertahankan diri.

Pengamal SC mengamalkan konsep Cekak menunggu serangan dengan berdiri lurus, tidak berkuda-kuda dan tidak melangkah ke kiri atau ke kanan bahkan mara ke hadapan dalam gerak yang satu. Falsafah makan gerak dalam gerak adalah merupakan satu prinsip yang lebih meyakinkan hasil daripada kelebihan berdiri secara lurus. Sebab itulah kita berani menegaskan bahawa Silat Cekak pada kebenaran atau hakikatnya ialah Silat Gerak.


Sekian setakat ini. Kita bertemu di lain konsep dan falsafah buat rujukan generasi baru.

Tuesday, February 3, 2009

RINGKAS DAN MUDAH

Mempelajari SC perlu serius dan jangan ambil mudah. Ramai yang terkeliru dengan konsep mudah yang ada dalam pantun SC. Mudah dalam pantun dikaitkan dengan hidayah. Tapi ramai yang tidak mempedulikan konsep hidayah dan hanya menegaskan semata-mata bahawa SC itu mudah. Perkara yang dipermudahkan-mudahkan menyebabkan lahir sikap tidak mengambil berat. Fikiran dibuai dengan kehebatan SC tanpa merujuk pada kehebatan diri. Apabila perasaan lebih banyak menguasai diri, usaha-usaha untuk memperlengkapkan diri dengan prinsip dan falsafah SC tidak diambil berat. Mereka lebih banyak bercakap daripada mempraktikkan ilmu yang diberi. Mereka lebih rela membiarkan masyarakat luar menghormati kehebatan SC tanpa merujuk diri sendiri. Lebih malang lagi apabila sikap ini menular di kalangan Jurulatih yang diberi amanah untuk menyampaikan ilmu SC di kalangan penuntut. Kerana sikap mudahlah menyebabkan usaha menjadikan penuntut SC hebat telah diabaikan. Mereka lebih banyak bercakap bagi membuktikan kehebatan SC tanpa merujuk kebolehan para penuntut. Teringat akan pepatah yang diberi oleh rakan saya, “If you throw peanut, you can only get monkey”. Kalau modal seringgit adatnya mustahil akan dapat untung seratus. Mempelajari SC perlu bersungguh-sungguh. Kita perlu lebih banyak membuat latihan daripada banyak bercakap.

Walau bagaimanapun pada mereka yang memahami konsep mudah pada SC, sesungguhnya mereka ini boleh menguasai falsafah tersebut dengan begitu sempurna. Dalam rangkap-rangkap pantun SC banyak perkara yang dapat dihubungkan dengan konsep mudah. Memahami betapa pentingnya untuk menjaga diri sendiri maka “kita hendaklah belajar bersungguh hati. Kesungguhan ini akan memahirkan seluruh anggotanya.” Tapi jangan lupa kepada tuan punya silat yang telah diberi amanah dan mandat untuk memperkembangkan SC. “Taat kepada guru membawa berkat, sedikit belajar banyak yang dapat. Jika durhaka menjadi mudarat, semua ilmu tiada yang lekat.” Kebolehan kita bersilat banyak juga bergantung pada niat kita dalam SC. Untuk menguasai ilmu dalam SC amat mudah sekali tapi pada mereka yang mengerti.

Kesimpulannya konsep mudah ini melibatkan tiga perkara utama. Kita hendaklah belajar bersungguh hati. Jangan banyak membuang masa dengan melibatkan hal-hal persatuan yang tidak banyak memberi sumbangan pada diri kita. Kita takut penglibatan ini akan menyebabkan kita berasa sombong diri dan menafikan tujuan asal kita bersilat. Di samping itu kita hendaklah memahirkan anggota tubuh badan kita. Pergerakan dua tangan dan dua kaki biarlah mantap dan berseni. Kaedah-kaedah dalam SC perlu dikuasai dengan sepenuh hati. Kaedah-kaedah ini merupakan asas pembelajaran SC. Menguasai kaedah bermakna akan menguasai keseluruhan pergerakan dalam SC. Perkara ketiga yang paling utama ialah sikap jangan lupa akan guru yang bertanggungjawab pada silat ini. Jangan banyak bermain pilitik silat dan berkepentingan diri. Hal yang berkaitan dengan guru, biarlah dia sendiri yang selesaikan. Kalau tak sesuai maka eloklah kita undurkan diri. Jangan ditanam prasangka buruk kepada guru yang boleh menyebabkan ilmu yang kita peroleh tidak membawa keberkesanan.

Jika ketiga-tiga aspek yang saya bincangkan di atas kita kuasai maka secara langsung kita akan menjadi seorang penuntut SC yang hebat sekali. Hal ini bukannya payah sebaliknya amat mudah. Tidak banyak belanja yang perlu dikeluarkan. Semuanya bergantung pada kekuatan dan keikhlasan hati.

Mudah juga dapat dikaitkan dengan perkataan ringkas. Salah satu pengertian Cekak ialah ringkas. Tapi itu dirujuk dalam bahasa Jawa. Kebenarannya, jika kita tidak merujuk pada bahasa Jawa sekalipun maka SC tetap ringkas. Dalam kamus, ringkas bermaksud tegas, pendek dan padat. Cuba kita bayang dan gambarkan penggunaannya dalam kehidupan kita seharian. Sejak dari bangku sekolah lagi, karangan yang panjang disuruh guru kita membuat ringkasan karangan. Kalau dalam disiplin novel, digunakan istilah sinopsis. Isi cerita yang beratus helai dapat diringkaskan dalam satu muka surat sahaja. Mungkin kerana ini juga SC boleh diibaratkan sebagai segenggam. Pelajarannya merupakan intisari silat dan bukannya cabang-cabang silat yang dianggap sebagai segantang. Dalam bidang penulisan, ayat-ayat yang panjang sukar ditulis terutamanya ketika kita menemu bual akan sesiapa pun . Maka kita digalakkan supaya mempunyai kebolehan menggunakan simbol-simbol dalam penulisan yang bergelar ‘teringkas’. Begitulah konsep ringkas yang dapat kita gambarkan berdasar situasi di sekeliling kita.

Dalam konteks SC, ringkas adalah merupakan satu falsafah yang menunjukkan kelebihan SC. Kelebihan ini adalah sesuatu yang luar dari kebiasaan silat-silat Melayu. Inilah keluarbiasaan silat kita. Kita diyakinkan bahawa SC adalah silat yang benar-benar asli dan bertanggungjawab untuk menjaga diri. SC bukanlah sejenis silat permainan atau silat pulut atau silat pengantin. Hal ini demikian kerana SC tidak ada gendang dan tari-manari dan melangkah ke kiri atau ke kanan dengan langkah-langkah tapak tiga atau tapak empat. Sebaliknya tapak SC ialah tapak dua yang begitu padat dan ringkas. Pergerakan dan sistem SC adalah sesuai benar dengan gerak semula jadi manusia yang berdasarkan fikiran yang sihat, jiwa yang tenang dan ternyata kesesuaiannya dengan pinsip agama.

Oleh sebab ringkasnya SC maka silat ini boleh dijadikan teman ketika berlaku pergaduhan. Dalam senarai pengertian Cekak, dalam bahasa Minang, Cekak juga membawa maksud gaduh. Tapi seperti yang saya nyatakan di atas, bukanlah kerana adanya bahasa Minang tersebut maka disesuaikan SC sebagai silat yang boleh dibawa gaduh. Pelajarannya adalah sangat sesuai untuk dijadikan teman ketika berlaku pergaduhan. Seperti yang dinyatakan bahawa gerak langkah SC biasa sahaja. Sedangkan dalam kebanyakan silat lain, geraknya bercorak sukan yang memerlukan kekuatan. Walau bagaimanapun ahli-ahli SC boleh memahami gerak-gerak sukan tersebut. Ini bermakna SC mempunyai kelebihan menangkis musuh tanpa menghitungkan kekuatan sedangkan silat-silat lain perlu imbangan kekuatan.

Dalam pelajaran umum terdapat pelajaran berdasarkan buah-buah ringkas atau kadang kalanya dikenali sebagai buah-buah hujung. Buah-buah ini berdasarkan kaedah dan buah-buah jatuh. Untuk membuat tangkapan ketika bilangan musuh yang ramai mungkin amat sukar dan kurang praktikal. Di sinilah peranan buah-buah ringkas memberi makna. Tetapi penggunaannya biarlah berpijak di bumi nyata. Kita jangan sekali-kali dibuai dengan istilah patah, pengsan atau mati tanpa mempunyai bukti dan sokongan yang kukuh. Ramai penonton yang mencemuh dan memerli ketika pertujukan menggunakan buah-buah ringkas ini dipertontonkan dalam pertunjukan. Macam mana boleh terjadi pada musuh yang kecundang begitu mudah dengan hanya menyentuh badan musuh sahaja. Seninya tidak ada dan kadang kala terkeluar daripada seni kaedah SC.

Oleh itu, walaupun konsep ringkas dan mudah wujud dalam pembelajaran SC, para penuntut harus berhati-hati akan falsafah di sebalik konsep tersebut. Berhati-hati dan berusahalah dengan sepenuhnya untuk menguasai konsep tersebut supaya konsep ringkas dan mudah membawa makna yang maksimum pada diri sendiri.

Dalam tindak tanduk kita, cuba praktikkan konsep tersebut. Permudahkan tindakan kita dalam membuat sesuatu penyelesaian. Dalam kes pepecahan kita, permudahkan dengan cara mengadakan mesyuarat agong dengan segera. Ingatlah akan salah satu makna yang ada mengenai tafsiran perkataan Cekak yang diertikan segenggam. Segenggam dihubungkan dengan istilah padu. Padu membawa pengertian bahawa pada kalangan ahli-ahli SC terdapat perpaduan serta sifat tegas dan berpendirian. Pendirian ini sudah semestinya dirujuk pada sifat tidak bertolak ansur atas unsur-unsur yang membawa pepecahan. Syaratnya ialah jangan ada sifat berkepentingn diri.


Sekian setakat ini.

Friday, January 30, 2009

FALSAFAH SILAT CEKAK

SENI
Dalam era pepecahan ini pastinya perbincangan banyak ditumpukan pada strategi untuk menguatkan persatuan. Hal-hal yang berkaitan dengan silat mungkin kurang peratus perbicaraannya. Sudah semestilah hal ini akan merugikan penuntut-penuntut yang sedang menuntut SC. Sepatutnya mereka tidak perlu diheret dalam kancah perbincangan tentang pepecahan kita. Asuhlah mereka dengan konsep dan prinsip SC seiring dengan asuhan fizikal yang menjadi perdu pembelajaran SC. Dalam karangan ini, saya lanjutkan penulisan atas satu lagi konsep yang ada dalam SC.

Ketika kita mengajar SC, satu istilah yang sering juga kita kaitkan dengan silat kita ialah seni. Kita berkeyakinan bahawa SC penuh dengan seninya. Kerana seni yang ada dalam SC-lah menjadikan pergerakan kita dalam silat begitu tersusun dan terancang. Para penuntut diasuh dan dididik supaya mengetahui apa yang dilakukan dengan alasan yang bersebab; bukannya melakukan pergerakan sesuka hati atau secara hentam keromo sahaja. Kita dapat mengatur gerakan kita bagi menghadapi musuh. Setiap pergerakan lebih mementingkan keuntungan. Hal ini membuktikan keperluan pemikiran yang strategik dalam menghadapi musuh. Melalui sistem yang ada menjadikan pergerakan kita lebih bijaksana. Apatah lagi kaedah SC adalah hasil ciptaan manusia yang bijaksana. Kekuatan kita hanya berdasarkan tenaga yang sedia ada. Tenaga yang sedia ada ini, apabila disepadukan dengan kaedah-kaedah yang ada dalam SC boleh menjadikan kita dapat menandingi kekuatan lawan walaupun fizikal lawan tersebut lebih daripada kita.

Dalam SC, kekuatan lawan tidak dijadikan masalah utama. Malah kita selalu membandingkan kekuatan seni dengan kekuatan yang bertaraf sukan. Penuntut-penuntut diyakinkan bahawa seni yang ada dalam SC tidak memerlukan para penuntutnya mengeraskan tangan atau menambahkan otot badan bagi mencapai hasrat pahlawan. Kaedah membangkang sangat dibenci dalam pembelajaran SC. Kaedah itu dikatakan bertaraf sukan dan lebih mendatangkan kemudaratan kepada kita. Kepercayaan ini menyebabkan timbul pula pendapat yang mengatakan bahawa silat yang ditakrifkan sebagai gerak perlu menggunakan gerak yang halus dan bukannya gerak yang kasar. Gerak yang halus itu dinamakan seni.

Namun begitu kita sering keliru dengan maksud seni. Ramai yang berpendapat bahawa yang halus itu seni dan yang kasar itu bukan seni. Oleh itu, mengajar SC yang dianggap kasar, ditegah dan tidak digalakkan. Maka Mungkin kerana itulah agaknya, buah pertama dalam SC perlu dibuka penumbuk pemakan dengan alasan tidak ada seni dan akan mendatangkan kemudaratan kepada ahli.

Dalam banyak tafsiran, seni itu dianggap sebagai halus. Lebih dikelirukan apabila ditambah pula makna kehalusannya sebagai halus di dalam halus. Tak tahulah apa yang halus. Kalau dah halus apa sedapnya. Tak terasapun. Hilang kenikmatan. Saya berpendapat bahawa jika kita meletakkan sesuatu atau melakukan sesuatu menurut aturan dan sistem yang telah ditetapkan maka itulah juga dianggap seni. Seni mestilah sesuatu yang sedap dipandang dan pelakuan kita tidak kekok dalam melakukan sesuatu pergerakan tersebut. Kalau aturan kita perlu berdiri lurus dengan mendiamkan tangan menantikan serangan musuh, maka itulah seni namanya dalam SC. Sistem kita tidak berkuda. Kalau penuntut berdiri secara berkuda-kuda maka hilanglah seninya. Sebaliknya dalam kebanyakan silat Melayu, berkuda-kuda itu dianggap penting dan itu adalah merupakan seni pada mereka. Mereka pula menganggap silat kita tidak berseni. Konsep seni adalah berbeza antara satu silat dengan silat yang lain. Dakwaan seni dalam SC adalah bersandarkan pada silat kita sendiri. Tidak perlulah kita menegang urat berbahas dengan silat lain bagi membuktikan seni yang ada dalam silat kita.

Tafsiran kita tentang seni adalah berbeza dalam konteks berlainan silat. Samalah juga dengan dakwaan kita yang mengatakan bahawa SC adalah berdasarkan gerak sembahyang. Cakap-cakap yang mengaitkan sembahyang ini telah tidak menyenangkan orang lain seolah-olah gerak kita sahaja yang benar dan sah. Maka mereka juga berhujah dengan mengatakan bahawa gerak silat mereka juga berdasarkan gerak sembahyang. Apatah lagi gerak silat bertapakkan tiga. Gerak yang tidak melebihi tiga juga dianggap berdasarkan gerak dalam sembahyang. Bertengkarlah mereka hingga terpaksa melewatkan waktu sembahyang atau meninggalkan waktu sembahyang. Bertengkar tentang gerak yang berasal dari sembahyang hingga ada Sembahyang yang hilang tidak dikerjakan. Sama juga dengan ahli-ahli sekarang yang berlainan persatuan. Bertengkar tentang siapa yang benar-benar mempusakai ilmu Ustaz Hanafi. Tapi Ustaz Hanafipun tak pernah ditemui. Geli sungguh hati. Bukankah buang masa namanya apabila kita cuba menegakkan sesuatu pada mereka yang berfaham berlainan.

Berdasarkan perbincangan dengan contoh-contoh ringkas di atas, seni yang ada dalam silat kita perlu dilihat dalam tiga aspek atau prinsip utama iaitu penggunaan gerak dua tangan dan dua kaki, kekuatan fizikal dan tenaga yang ada dalam diri kita. Ketiga-tiga prinsip itu perlulah bersahaja iaitu tidak dibuat-buat dan bersepadu dalam konteks menggunakan sesuatu yang semula jadi yang ada pada diri kita. Penguasaan ketiga-tiga aspek atau prinsip itu akan membolehkan kita menguasai seni dalam SC.

Gerak dua tangan dan dua kaki, adalah perdu pergerakan silat kita. Pelajaran Kaedah amat mustahak dan merupakan asas seni dalam gerak SC. Kita jangan bersifat gopoh hingga terburu-buru untuk menyambung kaedah dengan buah asas. Amat malang apabila ada kelas-kelas latihan yang mengumpul kaedah-kaedah dalam pembelajaran satu malam atau dua malam latihan. Sepatutnya setiap kaedah diajar dalam satu sesi latihan. Ketika inilah para penuntut didedahkan tentang konsep seni yang amat berbeza dengan konsep sukan yang berlandaskan gerak membangkang. Jika kaedah penuntut mantap, seni yang dihasilkan dalam gerak SC sangat mantap. Kaedah-kaedah ini dimantapkan melalui pembelajaran buah-buah asas. Konsep segerak diperkenalkan bagi memantapkan seni dalam SC. Konsep ini berlarutan hingga ke buah jatuh. Kemantapan seni menjadikan Pelakuan gerak penuntut amat mantap, tepat dan kita yang melihatnya berasa puas. Soal gerak yang diakhiri dengan pukulan keras hanya lebih merupakan bunga-bunga dalam kekemasan buah. Bukan itu yang diutamakan. Dalam pelajaran seterusnya iaitu potong dan penamat, konsep seni disepadukan dengan kebijaksanaan mengggunakan akal. Setiap pergerakan perlu kena pada tempatnya bagi menentukan keuntungan yang maksimum. Aspek sebab dan musabab amat ditekankan. Apabila disesuaikan dengan fikiran yang sihat dan strategik, kita dapat menghasilkan pergerakan yang tepat dan menguntungkan. Di situ nampak jelas konsep seni yang ada dalam SC.

Penuntut yang berseni dalam melakukan pergerakan silat akan membangkitkan rasa puas pada orang yang melihatnya. Saya masih ingat lagi dalam satu kelas latihan silat yang diperhatikan oleh Allahyarham Ustaz Hanafi yang berada di kelas latihan tersebut. Para penuntut telah menguasai seni dalam SC ketika latihan. Ustaz berasa bersemangat dan terpanggil untuk turun ke “gelanggang” bersama penuntut untuk memantapkan pergerakan yang ada pada kalangan mereka. Itulah kuatnya tarikan seni jika para penuntut dapat menguasai seni dalam pergerakannya. Malah, mereka sendiri berasa puas setelah tamat sesi latihan. Kepuasaan itu dapat dilihat melalui perahan baju yang dipakai. Sebaliknya kita dapat saksikan sendiri para penuntut yang tidak berseni. Pergerakannya tidak tentu arah. Kita yang melihat akan berasa rimas, lemah dan mengantuk.

Untuk memantapkan seni kita dalam pergerakan, kekuatan fizikal mesti ada. Badan mesti sehat. Berat badan mesti terkawal. Gemukan perut jangan menghalang pandangan kita kepada wali jantan yang ada pada kita. Hal ini demikian kerana buah-buah yang ada dalam SC memerlukan kekuatan lengan. Mantapkan sikit lengan kita. Jangan mengharapkan apa yang ada sahaja. Tetapi itu tidak bermakna kita perlu mengangkat berat bagi membenjolkan lengan kita. Bergantunglah pada keperluan diri dan situasi mana kita berada. Kita akui betapa orang-orang dulu hanya bersandar pada latihan tangan yang semula jadi tapi amat berbeza dengan kita. Orang yang bersawah atau menoreh getah atau bekerja di kilang yang banyak menggunakan tenaga fizikal sudah mencukupi untuk menguatkan otot lengan atau otot badan dan sebagainya. Tak perlu lagi mengangkat berat atau pelbagai bentuk latihan fizikal lagi. Berbeza dengan mereka yang hanya memegang pen dan duduk dalam pendingin hawa. Latihan fizikal perlu ada. Samalah juga perbezaan antara sesama kita semasa mandi. Mereka yang mandi berkain basah pasti akan memerah kain basahan tersebut sesudah mandi. Secara langsung mereka dapat menguatkan kekuatan fizikal terutamanya lengan. Keadaan ini semestinya berbeza dengan mereka yang mandi secara bogel. Tak ada apa yang boleh diperah. Ramas tak sama dengan perah. Mereka ini perlu latihan untuk menguatkan tangan yang ada. Oleh itu jangan kita berbahas tentang kekuatan fizikal hanya bersandarkan dengan apa yang ada sahaja pada diri kita. Tidak sama antara seseorang dengan seseorang yang lain. Kalaulah fizikal kita mantap maka akan memudahkan kita melakukan gerak-gerak yang ada dalam SC. Keadaan ini akan menghasilkan seni yang indah dan mantap. Jika tidak, kita menumbuk, kita yang rebah dan jika kita diserang maka kita juga yang rebah. Mana pergi akan seninya.

Prinsip ketiga seperti yang nyatakan di atas ialah tenaga. Istilah sekarang ialah stamina. Alangkah hebatnya jika kelas-kelas kemahiran dapat dimulakan daripada buah jatuh, potong dan umum yang dilakukan secara bertali arus untuk sesi pertama. Selepas lima minit pelajaran di kelas tersebut, disambung pula dengan pelajaran-pelajaran berupa aplikasi. Kalau pelajaran potong, maka pelajaran akan bermula daripada kaedah dan buah jatuh sebelum masuk pelajaran potong. Tapi itu semua dapat dilakukan jika kita ada stamina. Kalau stamina tidak ada, para penuntut akan lesu. Keadaan ini akan menyebabkan pembelajaran mereka merosot. Mana boleh kita nampak akan seninya. Oleh itu latihan berjogging atau berjalan atau sebarang maksud latihan bagi menambahkan stamina adalah perlu. Keadaan ini perlu bagi menampakkan seni yang indah dalam silat kita.

Seni yang indah hanya dapat dinikmati oleh mereka yang melihat atau menontonnya. Kalaulah pergerakan kita mempunyai seni, mereka yang melihat akan berasa puas dan terangsang untuk menguasainya. Perbincangan saya di atas dapat dijadikan panduan untuk menguasai seni dalam SC. Lebih jelas kalau diterangkan secara praktikal.

Kita mengakui kebenaran bahawa pergerakan SC adalah benar, bukan diada-adakan hingga kita yakin bahawa SC sememangnya merupakan satu seni pusaka bangsa Melayu yang asli. Kaedah-kaedah yang ada adalah mencukupi dan tidak perlu ditokok tambah. SC dizahirkan dengan begitu lengkap dan kaya dengan unsur-unsur seninya yang semula jadi. Persoalannya, kita sebagai pengamal atau ahli SC, mampukah menguasai seni-seni SC tersebut. Saya yakin bahawa penguasaan ketiga-tiga aspek atau prinsip berkenaan akan membantu kita menguasai seni dalam SC.

Wednesday, January 28, 2009

RINTIHAN PENUNTUT

Di satu pagi di sebuah restoran, saya terjumpa seorang penuntut SC yang sudah lama tidak bertemu. Selesai memberi salam tanpa duduk dalam suasana yang selesa, beliau terus melahirkan perasaan kecewa atas pepecahan yang berlaku dalam SC. Tak sempat bertanya khabar. Raut mukanya melambangkan kekecewaan yang terpancar di lubuk hati. Kata bualnya menggambarkan kekeliruan pada diri. Tidak tahu pada saluran mana harus bergiat lagi. Mana satu Silat Cekak yang betul. Semangatnya dalam SC menunjukkan kelenturan dan kekesalan. Pilihannya pada CH dulunya, dikiranya tepat sekali. Tapi itu pada satu ketika yang lalu. Pilihan itu disandarkan pada istilah hak. Tertegak yang hak maka lunturlah yang batil. CM diangapnya tidak sah dan tidak perlu diikuti kerana berpegang akan istilah ‘hak’.

Saya hanya mendiamkan diri bagi memberi peluang kepada sahabat tersebut meluahkan perasaannnya. Perasaan yang selama ini terbuku di hati. Nasib baik perasaan hati dan bukannya perasaan daripada perut yang tentu busuk sekali. Ujarnya lagi, hak yang sepatutnya ada pada CH telah menjadi pudar. CM yang dianggapnya batil, terus maju dan berkembang pesat tanpa sebarang gangguan. Berbeza dengan CH yang dianggapnya ‘hak’. Sebaliknya CH berpecah lagi. Mulalah beliau mempersoalkan akan hak yang dilaung-laungkan selama ini. Mana satu yang ada hak. Logiknya ada.

Saya hanya membiarkan kawan tersebut terus berbicara. Menurut beliau, banyak masa yang telah dikorbankannya demi perjuangan SC. Tapi padanya pengorbanan tersebut selama ini dianggap sia-sia sahaja. Beliau begitu emosional sekali. Orang yang beremosi pasti melenting dan akan terus menempelak jika kita memberi apa jua aksi atau alasan. Saya biarkan beliau bercakap kira-kira empat batang hisapan rokok lamanya. Beliau begitu puas sekali. Puas merokok dan puas mengeluarkan isi hati. Baharulah diteguknya teh tarik yang saya pesan ketika beliau bercakap. Hanya seringgit yang dikeluarkan bagi mendengar keluhan dan luahan hati penuntut lama tersebut.

Saya cuba mengelak daripada berbincang tentang isu pepecahan yang telah berlaku sejak dari zaman Ustaz Hanafi. Orang yang sebegitu bukan mudah untuk diyakini. Apatah lagi untuk berjumpa dengannya entah bila sekali. Saya lebih berminat untuk mengheret pemikirannya tentang Silat Cekak itu sendiri daripada berbincang tentang persatuan kita yang berpecah. Cekak yang diberi pelbagai tafsiran jika silap pembawaan dan pemikiran akan ‘mencekik’ perasaan dan hati si ahli. Itu sebabnya kita perlu berhati-hati. Minat atau penglibatan biarlah sederhana kerana kesederhanaan itu lebih selamat daripada turutkan hati.

Setelah habis luahan hatinya, tiba giliran saya untuk bercakap. Fikirannya saya bawa tentang perjuangan Silat Cekak. Teringat akan sejarah kepimpinan khalifah dalam sejarah Islam. Saya aplikasikan dalam perbualan. Saya yakinkannya bahawa jika kita berjuang kerana Ustaz Hanafi, beliau telah meninggalkan kita. Jika kita berjuang kerana PA, ikut saja karenahnya tanpa ada sebarang persoalan. Jika kita berjuang kerana En Mat, ikut saja perintah dan arahannya. Jika kita berjuang kerana Guru Persatuan, ikut saja perintah dan arahannya. Jangan banyak songeh. Jika kita berjuang kerana Guru Wawasan, Op! belum lagi tapi sebagai permulaan maka ikut saja arahan dan perintahnya. Juga, jika kita berjuang kerana kasihkan Pak Lan dan Pak Li maka ikut saja arahan dan perintahnya. Ke mana saja tempat yang ingin ditujui, silalah penuhi. Jaga hati mereka. Korbankan masa dan tenaga. Penuhi hajat mereka. Biar kita dimarahi asalkan kita tidak memarahi.

Saya katakan kepadanya bahawa saya faham akan perjuangan saya dalam SC. Perjuangan itu bagi saya adalah jelas. Saya tahu apa yang saya lakukan. Apapun tafsiran tentang perjuangan, tetapi saya tetap memegang falsafah perjuangan saya, hasil tafsiran daripada kata-kata Allahyarham Ustaz Hanafi. Saya tekankan kepada beliau betapa Silat Cekak tidak pernah berpecah. Yang berpecah hanya persatuan yang melayarkan perjuangan SC. Masing-masing persatuan mendakwa akan roh perjuangan Ustaz Hanafi. Sejauh mana diikuti, saya tak ambil peduli. Sebabnya, dakwaan ‘roh perjuangan’ banyak bergantung pada tafsiran. Apapun, punca kuasa telah tiada dan yang adapun telah tidak diakui. Ramai yang pandai-pandai sendiri. Namun begitu, sesuatu yang benar dan yang hak tidak mudah berkembang tanpa ada gangguan yang berupa ancaman atau dugaan yang didatangkan oleh Ilahi. Dari sinilah kita dapat menguji kualiti dan nilai diri. Adakah kita mudah dibeli atau nilainya tidak seberapa sen hingga mudah dicucuk tali. Lihat juga kualiti diri. Penakutkah, beranikah, yakinkah, tegaskah, sombongkah, lalangkah atau kah-kah yang lain. Kita yang tahu akan kualiti diri sendiri. Kualiti ini adalah juga akan mempengaruhi nilai diri. SC bukannya objek yang boleh dibawa ke sana ke mari. Kefahaman tentang SC perlu bersepadu dan sebati supaya kita mempunyai pegangan yang kukuh dan tidak mudah berubah mengikut hari.

Selalu saya tegaskan pada mereka yang menuntut dengan saya supaya benar-benar menikmati dan menghargai pelajaran SC. Atas kesedaran itulah maka SC tersangat perlu dikembangkan di kalangan masyarakat kita supaya masyarakat kita mempunyai pegangan yang kuat dalam konteks negara kita yang mempunyai pelbagai kaum dan pelbagai agama. ”Think big but start small”. Berfikirlah secara luas tapi mulakan langkah yang terdekat yang hampir dengan kita. Mustahil kita dapat mengubah masyarakat kita keseluruhannya. Tapi masyarakat silat yang berada dalam tangan kita begitu mudah untuk dilenturkan. Kata-kata ‘guru’ dalam silat mudah sangat diikuti. Tapi kalau pembawa silat pun tiada pegangan sejati dan mudah melatah, bagaimana ingin memimpin pengikut yang berada dalam genggamannya. Jadilah tragedi yang menyanyat hati. Penuntut-penuntut ‘ditipu’ mentah-mentah atau ditipu hidup-hidup. Tertipu kerana amanah sebenar kita memimpin silat tidak dipenuhi. Apakah amanah tersebut. Amanah itu bertali arus dari guru kepada jurulatih. Tapi apakan daya. Hujung pangkal sudah tidak tentu arah.

Silat Cekak begitu istimewa sekali. Keistimewaannya kerana SC berbeza dengan silat-silat yang lain. Perbezaan ini bukan sesuatu yang membawa maksud negatif.

‘Perbezaan antara silat yang biasa dengan silat yang luar biasa adalah kerana keluarbiasaannya’.

Keluarbiasaan ini melahirkan sesuatu yang luar biasa. Keluarbiasaan ini ada pada SC. Apakah keluarbiasaan yang ada dalam SC. Banyak sekali perbincangan dan perbicaraan tentangnya dalam tulisan-tulisan saya yang terdahulu. Walau bagaimanapun, jangan sekali kita pisahkan irama dan lagunya. Kelebihannya jangan hanya dibualkan dalam aspek fizikalnya sahaja. Soal langkah, tari, kekuda, geraknya dan semua aspek fizikal mesti dikaitkan dengan maksud tersirat yang seiring dengan prinsip dan falsafah silat. Malah kebolehan bersilat juga mesti dikaitkan dengan prinsip dan falsafah diri. Dari senilah lahirnya sesuatu yang luar biasa tentang SC pada diri setiap penuntut. Kalau aspek ini kita fahami, secara langsung akan terjawab tentang apa yang dicari dalam SC. Maka baharulah ada pegangan diri dalam SC. Kata-kata ikan di laut akan memberi makna pada diri kita dalam konteks penglibatan atau kegiatan kita dengan SC. Jika pendirian ini tidak tetap atau tidak mantap maka kita akan jadi seorang yang akan terus merintih, menyesal, kecewa atau pelbagai sifat yang negatif dalam kaitan kejadian atau peristiwa yang berlaku dalam SC.

Saya tidak tahu sejauh mana penerangan saya dapat meyakin dan memahamkan diri kawan berkenaan. Tetapi masih terdapat anggukan dan gelengan kepala. Apapun, masih ada respond. Namun, hati kita begitu cepat berubah kalau tidak ada pegangan yang kukuh. Sekali air bah maka sekali itu lantai berubah. Jong terbakar, habis tikus cabut lari. Jadilah manusia yang tiada pegangan dalam SC umpama lantai dan tikus. Tikus mondok agaknya. Montok dan gantheng.

Saturday, January 17, 2009

sambung GERAK

Kita yang menerima pelajaran akan mentafsir apa yang kita dapat. Pentafsiran ini sangat bergantung pada ilmu pengetahuan dan pengalaman yang ada pada diri kita. Itu sebabnya penerimaan ilmu, konsep, buah dan sebagainya berbeza-beza antara sesama ahli. Masing-masing ada kelebihan dalam bidang-bidang yang tertentu. Cuma saya ingin meneruskan bicara pengalaman saya dalam tulisan ini berdasarkan apa yang saya dapat dan apa yang saya faham dan apa yang saya tafsirkan setelah proses penerimaan ilmu hampir tiga dasawarsa yang lalu.

Kalau gerak fizikal kita hebat, rasanya sangat memadai pada tahap kita sebagai orang awam. Namun jikalau kita juga dapat menguasai gerak hati sebagaimana yang saya bicarakan sebelum ini, maka kehebatan kita semakin terserlah. Siapakah yang menentukan kehebatan kita tersebut. Sudah semestinya kita sendiri dapat mentafsirkan kehebatan kita. Kita yang lebih mengenali diri kita. Bukan takbur atau cakap besar. Sakit demam atau sehat alfiat tentang diri kita, hanya kita yang lebih arif. Di mana sopak, kurap, parut, panjang pendek dan sebagainya yang ada pada kita, hanya kita yang tahu. Kalau dinding yang berwarna putih kita katakan putih maka itu bukan mengata namanya. Itulah kenyataan. Kalau diri dianggap pandai atas ukuran telah mendapat ijazah, bukan bangga diri atau cakap besar atau bersikap sombong. Itulah kenyataan namanya. Tapi orang kita ramai yang rendah diri. Self esteemnya rendah. Sikap ini cuba dikikis daripada penuntut SC melalui pembelajarannya. Kita berkeyakinan dengan penumbuk kita. Kehebatannya umpama peluru berpandu. Pasti mengena. Elaklah ke manapun. Hingga ada yang begitu yakin dengan meletakkan tanda di mana-mana bahagian anggota badan ‘musuh’. Orang-orang dulu menggelarnya calit kapur. Kita yakin dengan gerak penumbuk kita. Bukannya cakap besar tapi cakap benar. Dilepaskan penumbuk, di situlah hala tujunya dan mengena. Dua kali dua pastinya empat. Inilah salah satu konsep yang ditanam pada penuntut SC supaya sentiasa cakap benar dan yakin diri berasaskan kenyataan. Namun begitu cakap-cakap ini hanya bermakna pada penuntut-penuntut yang dapat menguasai gerak yang ada dalam SC tersebut.

Acap kali gerak hati dapat menyelamatkan diri daripada bencana dan kecelakaan. Setiap kejadian ada petandanya. Petanda itu hanya dapat dirasakan melalui gerak hati. Itu sebabnya ada yang berpengalaman, kerana selangkah gerak ke hadapan, telah dapat menyelamatkan dirinya daripada ditimpa sebiji kelapa. Selangkah gerak ke depan telah menyelamatkannya daripada ditimpa pokok atau dilanggar kereta. Banyak lagi contoh yang lain. Bila ini berlaku sepatutnya kita bersyukur kerana diri kita telah diselamatkan oleh Tuhan. Ada yang tegas memberitahu bahawa itulah kebatinan yang hakiki. Tuhan masih ‘sayangkan’ kita dengan cara menyelamatkan diri daripada ditimpa bencana. Tapi ramai yang memandang entang. Selamatnya diri itu dianggap nasib. Nasib baik. Sikap bersandar pada nasib ini menegaskan keupayaan dan kelebihan diri semata-mata tanpa menganggap itulah kelebihan Tuhan. Konsep bergantung pada nasib semata-mata, saya kira cuba dihapuskan di kalangan penuntut SC. Penuntut diasuh bahawa gerak itu datangnya daripada Empunya Gerak. Bukannya khayalan, tetapi boleh diusahakan penguasaannya. Hebat sekali prinsip yang ditanam pada kalangan penutut SC. Tapi prinsip itu hanya berkesan pada mereka yang mengetahuinya. Pada mereka yang sombong atau benak dan buta kayu, jadilah mereka umpama menjurus air di daun keladi. Dapatlah sikit-sikit akan air yang dijurus. Sebabnya, itulah harga diri. Tidak cuba untuk menaikkan kualiti agar harga diri dapat ditingkatkan.

Kita juga diperkenalkan dengan konsep ‘makan gerak dalam gerak’. Dalam konsep ini, penuntut-penuntut diasuh dan dididik akan kebolehan mentafsir dan bertindak pantas. Kebolehan ini memerlukan daya penglihatan, pengamatan dan petakkulan yang hebat. Secara langsung kebolehan ini akan dapat menjadikan diri kita licik umpama belut, jinak umpama merpati. Mereka ini dirasakan begitu senang didekati tapi sebenarnya amat payah sekali. Kenalah berhati-hati. Tak boleh langsung menggunakan tali utuk mencucuk hidungnya walaupun nampak luas ternganga. Kita berasa begitu senang untuk menguasai gerak yang ada pada ahli-ahli SC. Tapi pada hakikikatnya bukan mudah. Penuntut SC sepatutnya umpama padi, makin berisi maka makin tunduk. Bukannya lalang yang tiada pendirian dan membuat ‘kecoh’ dengan cengkaman dan sebaran akarnya yang merosakkan tanah tempat naungannya.

Mereka yang tidak mengaplikasikan konsep ini jelas memperlihatkan diri umpama kuli. Senang saja kerbau dicucuk hidungnya. Ikut sahaja perintah tanpa ada pemikiran yang berstrategi. Walaupun diri tidak rela tapi pembohongan tetap ada. Jadilah mulut tak sama dengan hati walaupun peranan yang diberi bukannya peranan hakiki.

Penuntut SC juga diasuh untuk mengatasi gerak secara bersaing gerak. Satu langkah musuh gerak, maka selangkah juga kita bergerak. Apabila gerak telah dikuasai, tak sempat selangkah gerak musuh maka langkah kita yang kita dahului. Konsep ‘potong’ amat bersesuaian dengan konsep ini. Jika konsep ini kita kuasai maka tabiat diri akan dipengaruhi. Kita akan sentiasa mendahului dan bergerak ke hadapan. Penuntut SC tidak sepatutnya merintih tetapi berusaha mengatasi rintihan tersebut. Kita tidak akan membiarkan perkara itu berlalu tanpa ada tindakan. Apakah bentuk strateginya. Bentuknya itu terpulanglah kepada kebolehan dan kepakaran yang ada pada diri seseorang ahli. Niat mesti ada. Niat adalah bersepadu dengan tindakan. Tanpa tindakan, niat itu sebenarnya di tahap cita-cita.

Gerak dalam SC bukanlah sesuatu yang bersahaja. Gerak kita adalah gerak yang dirancang. Seiring dengan gerak ini terdapat prinsip atau konsep kejutan dalam gerak. Konsep kejutan amat penting dalam gerak SC. Orang yang terkejut akan cepat melatah dan akan berada dalam suasana alpa dalam beberapa saat dan ketika. Ketika kita menyerang, kejutan pada musuh sangat diambil kira. Kelatahannya akibat kejutan memudahkan kita mengatasi pihak musuh. Begitu juga dengan pelajaran kaedah. Bukannya tampar atau tepis biasa. Apatah lagi ketika gerak membuat buah. Kejutan akan memudahkan kita mengemaskan pukulan dan tangkapan. Lagi cepat dan mudah musuh terkejut, maka lagi cepat dan mudah kita menyempurnakan gerak.

Kalau kita perlu membuat kejutan untuk mengejutkan gerak musuh, kita pula perlu berada dalam keadaan tenang. Kita tidak mahu dikejutkan pula oleh musuh kita. Kita mesti bersikap tenang sepanjang masa. Ketenangan akan memudahkan kita berfikir dan menyusun strategi. Kita tidak akan mudah melatah secara tak tentu hala. Orang yang tidak tenang selalunya mudah dipengaruhi oleh emosi dan senang dipergunakan oleh orang lain. Konsep dan prinsip ketenangan ini sepatutnya menyelubungi diri kita. Itupun jikalau kita benar-benar menjiwai SC.

Sebab itulah saya selalu mengaitkan diri kita dengan kiasan mata, telinga dan mulut yang Tuhan kurniakan. Jangan cepat melatah dan jangan cepat membuat kesimpulan. Kita boleh berbaik dengan sesiapa sahaja. Pada mereka yang agak meragukan, kebaikan kita adalah dalam konsep percaya boleh tapi yakin jangan. Ingatkan kembali latihan silat kita bersama kawan dalam kelas-kelas silat. Gerak rakan pasangan silat kita jangan mudah diyakini. Dia kata buat slow tapi aduh! kasar dan pantas sekali. Kita suruh dia tumbuk di bahagian dada, di bahagian anu kita pulak yang ditumbuknya. Percaya boleh, yakin jangan. Misalnya, kalau kita percaya dan yakin bahawa semasa latihan buah kilas belakang penumbuk rakan kita sepatutnya di bahagian dada, maka kita selalunya alpa. Kalau konsep gerak, ‘percaya boleh, yakin jangan’ kita amalkan, maka kita akan sentiasa bersedia. Kalau datang penumbuk di bahagian bawah, kita boleh terlatah atau buat-buat latah. Dalam masa buat-buat latah, penampar boleh bagi di mukanya kerana kita dalam keadaan sedar dan bersedia. Cuma bagi penampar sahaja tapi hanya saja-saja.

Kalau prinsip ini kita dapat kuasai, diri kita tak mudah dibeli. Harga diri kita dalam konteks silat amat berkualiti tinggi. Tiada untung yang kita cari. Tapi prinsip dan konsep SC perlu dipertahankan sepanjang masa. Pandai-pandailah bermain politik bagi melepaskan diri. Sebabnya kita tidak mahu teramai sangat orang yang terluka hati.

Jumpa lagi.

Thursday, January 15, 2009

FALSAFAH SILAT CEKAK

KONSEP GERAK.

Pada penghujung minggu ini ada lagi perjumpaan Jurulatih oleh pimpinan Guru Persatuan. Ikrar lagi. Guru Wawasan pasti akan sebok sekali. Maka sekali lagi menarik perhatian saya untuk menulis menceritakan pengalaman sebagai Jurulatih. Seperti yang dibincangkan sebelum ini, sebagai sepintas kenangan menceritakan pengalaman, sepanjang memimpin kelas-kelas latihan silat, saya berasa puas kerana dirasakan saya telah dapat menunaikan tanggungjawab untuk menyampaikan apa yang diamanahkan oleh Guru terutamanya dalam zaman Ustaz. Sudah semestinya, bidang persilatan adalah merupakan bidang utama yang perlu diperturunkan ilmunya kepada para penuntut. Hal-hal selain daripada bidang tersebut tak pernah rasanya dicampuradukkan terutama yang berkaitan dengan perniagaan. Dalam menyampaikan pergerakan silat, saya telah cuba berperanan dengan sebaik-baiknya agar apa yang diterima maka itulah yang diperturunkan kembali. Malah seboleh-bolehnya isi penerangan Ustaz tentang kaedah mengambil setiap buah juga diperturunkan kepada penuntut perkataan demi perkataan walaupun mustahil untuk mengingat akan turutan perkatan-perkataan tersebut secara tertib. Yang penting apa yang saya pelajari, perlu diberi kepada penuntut dalam kadar seratus peratus. Itulah harapan diri saya walaupun kadang kala mustahil dengan angka tersebut. Tapi saya yakin penyampaian saya hampir-hampir genap peratusannya.

Pergerakan fizikal dalam SC adalah merupakan perkara asas dan perkara utama. Itulah yang dicari dan ingin dikuasai oleh para penuntut. Namun seiring dengan tugas hakiki tersebut, penuntut-penuntut juga dididik dengan ilmu, konsep dan falsafah SC melalui pelbagai agenda tersembunyi yang ada dalam proses pengajaran dan pembelajarannya. Hal ini demikian, semua usaha yang dilakukan itu adalah bagi menghasilkan penuntut SC yang mantap, yakin akan kebolehan diri dan mempunyai pegangan yang kukuh. Banyak istilah tentang konsep dan prinsip yang saya nyatakan terdahulu. Keyakinan yang wujud bukan hanya bergantung pada kebolehan fizikal semata-mata tetapi juga melibatkan kebolehan mental dan kefahaman yang tinggi dan mantap. Itulah peranan besar kita sesuai dengan konsep SC adalah merupakan silat akhir zaman. Dalam tulisan ini, saya bincang satu daripada pelbagai konsep atau falsafah atau prinsip yang ada dalam SC. Konsep tersebut ialah GERAK. Banyak perkara yang kita kaitkan dengan perkataan itu semasa kita mempelajari SC.

Konsep, “Silat itu gerak dan yang bagi gerak ialah Yang Empunya Gerak” ditekankan dari masa ke masa. Penekanan ini adalah sebagai salah satu usaha bagi memupuk sifat yakin diri pada para penuntut. Hebat macam mana gerak kita sekalipun jika Tuhan tidak mengizinkan kejadian gerak pada satu-satu masa yang diperlukan, maka kehebatan itu hanyalah sia-sia sahaja ketika memerlukan gerak. Itu sebabnya orang yang mempamerkan kehebatannya dengan angkuh di depan kita, kita akan melayannya dengan sifat endah tak endah. Kita yakin bahawa kehebatan itu tidak mungkin berkekalan sepanjang masa. Kalau Allah tidak memberi keizinan maka mustahil gerak hebat itu akan berlaku. Berdasarkan konsep itu, oleh sebab gerak itu adalah kepunyaan Yang Empunya Gerak, maka hubungan kita dengan-Nya tidak boleh putus dan alpa. Kita perlu berada dalam satu konteks yang tegas dan rapat. Penuntut-penuntut SC diasuh supaya sentiasa berada dalam track yang betul dalam hubungan tersebut bagi menambahkan keyakinan dalam diri. Hubungan dengan Tuhan adalah perlu. Isi dalam konsep inilah maka Ustaz sentiasa menganjurkan tanggungjawab berselawat dan bertaubat setiap hari. Selaras dengan itu konsep syukur amat ditekankan di kalangan penuntut. Orang yang bersyukur juga adalah merupakan sebahagian daripada usaha perhubungan rapat kita dengan Tuhan. Lebih-lebih lagi jika hubungan ini dikaitkan dengan sembahyang. Malah ada yang berani mengungkapkan ayat dan kata supaya jangan tinggalkan sembahyang. “Tanpa gagal meninggalkan sembahyang,cuba tengok akan gerakmu.” Mungkin dalam bentuk tulisan, isu ini sukar dihuraikan. Takut timbul tafsiran yang berlainan.

Penuntut juga diasak dengan konsep bahawa,”Silat itu gerak dan yang bergerak itu ialah dua tangan dan dua kaki”. Penuntut ditanam dengan fahaman bahawa apa jua jenis seni mempertahankan diri yang wujud dalam dunia ini, seni-seni tersebut tetap menggunakan kekuatan dan kebolehan dua tangan dan dua kaki. Dengan sebab itu, kita tidak perlu peduli apa jenis nama pergerakan bela diri tersebut. Letaklah apa nama sekalipun. Penuntut-penuntut SC tidak akan ambil pusing. Malah mereka mungkin tersenyum sinis akan nama silat tersebut. Lebih-lebih lagi jikalau pengenalan silat itu diakhiri dengan perkataan ‘berantai’. Misalnya harimau berantai ke, singa berantai ke atau sebagainya. Kalau dah berantai, apa yang boleh digerakkan. Pandangan ini sangat berasas berdasarkan konsep gerak dua tangan dan dua kaki dalam sistem pembelajaran kita. Oleh itu penekanan dan ketelitian tentang kedua-dua jenis gerak itu sangat diambil berat oleh setiap Jurulatih SC. Hingga ada antara kita yang mentafsirkan seolah-olah kaedah tangan yang kita gunakan itu adalah merupakan buah. Boleh menepis bermakna akan jadilah buahnya. Kalau tak jadi, memang dah ada buahpun.

Dalam SC, konsep ‘Gerak’ amat penting. Dari hari pertama penuntut belajar dengan kita, penekanan pada gerak ini sangat diambil berat. Kita berkehendakkan mereka memerhatikan gerak musuh ketika menumbuk. Tumpuan kita adalah menyeluruh, tidak tertumpu hanya pada pusat atau anunya sahaja yang sering dilakukan oleh seni bela diri lain. Hinggakan ada yang mengambil kaedah berdasarkan gerak sentuh. Lebam-lebam badan. Tapi ada juga murid yang berasa megah dengan kelebamannya. Ketika kita mempelajari pelajaran potong, kita juga menekankan betapa perlunya memerhati akan gerak musuh ketika menumbuk. Dalam pelajaran peringkat menyerang, kebolehan memahami gerak juga amat diperlukan. Lagi cepat kita dapat menguasai dan memahami gerak maka lagi hebatlah diri kita sebagai pesilat.

Kebolehan mereka yang dapat membelah kelapa atau memecahkan batu bata atau atap genting, tidak menghairankan kita sangat. Benda-benda tersebut tidak bergerak, berbeza dengan manusia yang sentiasa bergerak. Kalau tak bergerak, memang senang untuk melakukan apa saja. Tak boleh melawanpun. Namun begitu, kita menghormati akan kelebihan orang tersebut yang telah berusaha gigih bagi mencapai apa yang dihajati.

Konsep Segerak amat ditekankan ketika kita mengambil buah. Pukulan dan kaedah perlu segerak. Kita akan mempastikan penuntut-penuntut kita tidak melakukan perbuatan dua gerak. Gerak tangan dan gerak kaki mesti selaras. Belum lagi kita bercakap antara gerak fizikal dengan gerak hati. Kalau kedua-duanya selaras, gerak kita amat cantik dan tepat. Melalui bantuan gerak hati maka kita pasti dapat membuat jangkaan yang tepat untuk memintas gerak dan muslihat musuh. Dalam konteks silat, mereka yang menguasai gerak berdasarkan mata hati semakin hebat di samping penguasaan gerak berdasarkan mata kepala. Kebolehan tersebut perlu diusahakan dan tidak mudah untuk dimiliki. Tapi untuk menjadikan tangan kita kasar, jauh sekali. Nanti sukar menyetimkan diri.

Kalau sampai ke tahap gerak fizikal dapat dikaitkan dengan gerak hati maka hati sentiasa diheret dalam tabiat dan tindak tanduk kita. Kita sentiasa berhati-hati sepanjang masa. Tidak mudah untuk menyebelahi mana-mana pihak tanpa bersandarkan prinsip dan pegangan yang wujud dalam SC. Hinggakan percakapan yang dikeluarkan daripada mulut merupakan kebenaran hakiki pada yang empunya diri. Apa yang terpancar dimulut maka itulah kebenaran hati. Setiap gerak tentu bersebab. Maka kita sentiasa berhati-hati. Dengan cara itu maka tidak mudah kita dipergunakan oleh sesiapapun terutama pada mereka yang berkepentingan diri. Satu masa dulu ramai pendekar kita yang hebat telah dijadikan ‘jaga’ oleh pihak penjajah. Sebabnya penjajah kita sangat pandai membaca gerak hati. Disanjung dan dipuji maka habis telingkup diri.

Oleh itu, rakan-rakan sekalian, jangan dek rokok sebatang, hilang pegangan diri. Jangan dek nasi sepinggan hilang pegangan diri. Jangan dek air secawan maka hilang pegangan diri. Jangan dek diangkat diri maka senang sangat jatuhnya maruah diri.

Jumpa lagi