Wednesday, January 28, 2009

RINTIHAN PENUNTUT

Di satu pagi di sebuah restoran, saya terjumpa seorang penuntut SC yang sudah lama tidak bertemu. Selesai memberi salam tanpa duduk dalam suasana yang selesa, beliau terus melahirkan perasaan kecewa atas pepecahan yang berlaku dalam SC. Tak sempat bertanya khabar. Raut mukanya melambangkan kekecewaan yang terpancar di lubuk hati. Kata bualnya menggambarkan kekeliruan pada diri. Tidak tahu pada saluran mana harus bergiat lagi. Mana satu Silat Cekak yang betul. Semangatnya dalam SC menunjukkan kelenturan dan kekesalan. Pilihannya pada CH dulunya, dikiranya tepat sekali. Tapi itu pada satu ketika yang lalu. Pilihan itu disandarkan pada istilah hak. Tertegak yang hak maka lunturlah yang batil. CM diangapnya tidak sah dan tidak perlu diikuti kerana berpegang akan istilah ‘hak’.

Saya hanya mendiamkan diri bagi memberi peluang kepada sahabat tersebut meluahkan perasaannnya. Perasaan yang selama ini terbuku di hati. Nasib baik perasaan hati dan bukannya perasaan daripada perut yang tentu busuk sekali. Ujarnya lagi, hak yang sepatutnya ada pada CH telah menjadi pudar. CM yang dianggapnya batil, terus maju dan berkembang pesat tanpa sebarang gangguan. Berbeza dengan CH yang dianggapnya ‘hak’. Sebaliknya CH berpecah lagi. Mulalah beliau mempersoalkan akan hak yang dilaung-laungkan selama ini. Mana satu yang ada hak. Logiknya ada.

Saya hanya membiarkan kawan tersebut terus berbicara. Menurut beliau, banyak masa yang telah dikorbankannya demi perjuangan SC. Tapi padanya pengorbanan tersebut selama ini dianggap sia-sia sahaja. Beliau begitu emosional sekali. Orang yang beremosi pasti melenting dan akan terus menempelak jika kita memberi apa jua aksi atau alasan. Saya biarkan beliau bercakap kira-kira empat batang hisapan rokok lamanya. Beliau begitu puas sekali. Puas merokok dan puas mengeluarkan isi hati. Baharulah diteguknya teh tarik yang saya pesan ketika beliau bercakap. Hanya seringgit yang dikeluarkan bagi mendengar keluhan dan luahan hati penuntut lama tersebut.

Saya cuba mengelak daripada berbincang tentang isu pepecahan yang telah berlaku sejak dari zaman Ustaz Hanafi. Orang yang sebegitu bukan mudah untuk diyakini. Apatah lagi untuk berjumpa dengannya entah bila sekali. Saya lebih berminat untuk mengheret pemikirannya tentang Silat Cekak itu sendiri daripada berbincang tentang persatuan kita yang berpecah. Cekak yang diberi pelbagai tafsiran jika silap pembawaan dan pemikiran akan ‘mencekik’ perasaan dan hati si ahli. Itu sebabnya kita perlu berhati-hati. Minat atau penglibatan biarlah sederhana kerana kesederhanaan itu lebih selamat daripada turutkan hati.

Setelah habis luahan hatinya, tiba giliran saya untuk bercakap. Fikirannya saya bawa tentang perjuangan Silat Cekak. Teringat akan sejarah kepimpinan khalifah dalam sejarah Islam. Saya aplikasikan dalam perbualan. Saya yakinkannya bahawa jika kita berjuang kerana Ustaz Hanafi, beliau telah meninggalkan kita. Jika kita berjuang kerana PA, ikut saja karenahnya tanpa ada sebarang persoalan. Jika kita berjuang kerana En Mat, ikut saja perintah dan arahannya. Jika kita berjuang kerana Guru Persatuan, ikut saja perintah dan arahannya. Jangan banyak songeh. Jika kita berjuang kerana Guru Wawasan, Op! belum lagi tapi sebagai permulaan maka ikut saja arahan dan perintahnya. Juga, jika kita berjuang kerana kasihkan Pak Lan dan Pak Li maka ikut saja arahan dan perintahnya. Ke mana saja tempat yang ingin ditujui, silalah penuhi. Jaga hati mereka. Korbankan masa dan tenaga. Penuhi hajat mereka. Biar kita dimarahi asalkan kita tidak memarahi.

Saya katakan kepadanya bahawa saya faham akan perjuangan saya dalam SC. Perjuangan itu bagi saya adalah jelas. Saya tahu apa yang saya lakukan. Apapun tafsiran tentang perjuangan, tetapi saya tetap memegang falsafah perjuangan saya, hasil tafsiran daripada kata-kata Allahyarham Ustaz Hanafi. Saya tekankan kepada beliau betapa Silat Cekak tidak pernah berpecah. Yang berpecah hanya persatuan yang melayarkan perjuangan SC. Masing-masing persatuan mendakwa akan roh perjuangan Ustaz Hanafi. Sejauh mana diikuti, saya tak ambil peduli. Sebabnya, dakwaan ‘roh perjuangan’ banyak bergantung pada tafsiran. Apapun, punca kuasa telah tiada dan yang adapun telah tidak diakui. Ramai yang pandai-pandai sendiri. Namun begitu, sesuatu yang benar dan yang hak tidak mudah berkembang tanpa ada gangguan yang berupa ancaman atau dugaan yang didatangkan oleh Ilahi. Dari sinilah kita dapat menguji kualiti dan nilai diri. Adakah kita mudah dibeli atau nilainya tidak seberapa sen hingga mudah dicucuk tali. Lihat juga kualiti diri. Penakutkah, beranikah, yakinkah, tegaskah, sombongkah, lalangkah atau kah-kah yang lain. Kita yang tahu akan kualiti diri sendiri. Kualiti ini adalah juga akan mempengaruhi nilai diri. SC bukannya objek yang boleh dibawa ke sana ke mari. Kefahaman tentang SC perlu bersepadu dan sebati supaya kita mempunyai pegangan yang kukuh dan tidak mudah berubah mengikut hari.

Selalu saya tegaskan pada mereka yang menuntut dengan saya supaya benar-benar menikmati dan menghargai pelajaran SC. Atas kesedaran itulah maka SC tersangat perlu dikembangkan di kalangan masyarakat kita supaya masyarakat kita mempunyai pegangan yang kuat dalam konteks negara kita yang mempunyai pelbagai kaum dan pelbagai agama. ”Think big but start small”. Berfikirlah secara luas tapi mulakan langkah yang terdekat yang hampir dengan kita. Mustahil kita dapat mengubah masyarakat kita keseluruhannya. Tapi masyarakat silat yang berada dalam tangan kita begitu mudah untuk dilenturkan. Kata-kata ‘guru’ dalam silat mudah sangat diikuti. Tapi kalau pembawa silat pun tiada pegangan sejati dan mudah melatah, bagaimana ingin memimpin pengikut yang berada dalam genggamannya. Jadilah tragedi yang menyanyat hati. Penuntut-penuntut ‘ditipu’ mentah-mentah atau ditipu hidup-hidup. Tertipu kerana amanah sebenar kita memimpin silat tidak dipenuhi. Apakah amanah tersebut. Amanah itu bertali arus dari guru kepada jurulatih. Tapi apakan daya. Hujung pangkal sudah tidak tentu arah.

Silat Cekak begitu istimewa sekali. Keistimewaannya kerana SC berbeza dengan silat-silat yang lain. Perbezaan ini bukan sesuatu yang membawa maksud negatif.

‘Perbezaan antara silat yang biasa dengan silat yang luar biasa adalah kerana keluarbiasaannya’.

Keluarbiasaan ini melahirkan sesuatu yang luar biasa. Keluarbiasaan ini ada pada SC. Apakah keluarbiasaan yang ada dalam SC. Banyak sekali perbincangan dan perbicaraan tentangnya dalam tulisan-tulisan saya yang terdahulu. Walau bagaimanapun, jangan sekali kita pisahkan irama dan lagunya. Kelebihannya jangan hanya dibualkan dalam aspek fizikalnya sahaja. Soal langkah, tari, kekuda, geraknya dan semua aspek fizikal mesti dikaitkan dengan maksud tersirat yang seiring dengan prinsip dan falsafah silat. Malah kebolehan bersilat juga mesti dikaitkan dengan prinsip dan falsafah diri. Dari senilah lahirnya sesuatu yang luar biasa tentang SC pada diri setiap penuntut. Kalau aspek ini kita fahami, secara langsung akan terjawab tentang apa yang dicari dalam SC. Maka baharulah ada pegangan diri dalam SC. Kata-kata ikan di laut akan memberi makna pada diri kita dalam konteks penglibatan atau kegiatan kita dengan SC. Jika pendirian ini tidak tetap atau tidak mantap maka kita akan jadi seorang yang akan terus merintih, menyesal, kecewa atau pelbagai sifat yang negatif dalam kaitan kejadian atau peristiwa yang berlaku dalam SC.

Saya tidak tahu sejauh mana penerangan saya dapat meyakin dan memahamkan diri kawan berkenaan. Tetapi masih terdapat anggukan dan gelengan kepala. Apapun, masih ada respond. Namun, hati kita begitu cepat berubah kalau tidak ada pegangan yang kukuh. Sekali air bah maka sekali itu lantai berubah. Jong terbakar, habis tikus cabut lari. Jadilah manusia yang tiada pegangan dalam SC umpama lantai dan tikus. Tikus mondok agaknya. Montok dan gantheng.