Mempelajari SC perlu serius dan jangan ambil mudah. Ramai yang terkeliru dengan konsep mudah yang ada dalam pantun SC. Mudah dalam pantun dikaitkan dengan hidayah. Tapi ramai yang tidak mempedulikan konsep hidayah dan hanya menegaskan semata-mata bahawa SC itu mudah. Perkara yang dipermudahkan-mudahkan menyebabkan lahir sikap tidak mengambil berat. Fikiran dibuai dengan kehebatan SC tanpa merujuk pada kehebatan diri. Apabila perasaan lebih banyak menguasai diri, usaha-usaha untuk memperlengkapkan diri dengan prinsip dan falsafah SC tidak diambil berat. Mereka lebih banyak bercakap daripada mempraktikkan ilmu yang diberi. Mereka lebih rela membiarkan masyarakat luar menghormati kehebatan SC tanpa merujuk diri sendiri. Lebih malang lagi apabila sikap ini menular di kalangan Jurulatih yang diberi amanah untuk menyampaikan ilmu SC di kalangan penuntut. Kerana sikap mudahlah menyebabkan usaha menjadikan penuntut SC hebat telah diabaikan. Mereka lebih banyak bercakap bagi membuktikan kehebatan SC tanpa merujuk kebolehan para penuntut. Teringat akan pepatah yang diberi oleh rakan saya, “If you throw peanut, you can only get monkey”. Kalau modal seringgit adatnya mustahil akan dapat untung seratus. Mempelajari SC perlu bersungguh-sungguh. Kita perlu lebih banyak membuat latihan daripada banyak bercakap.
Walau bagaimanapun pada mereka yang memahami konsep mudah pada SC, sesungguhnya mereka ini boleh menguasai falsafah tersebut dengan begitu sempurna. Dalam rangkap-rangkap pantun SC banyak perkara yang dapat dihubungkan dengan konsep mudah. Memahami betapa pentingnya untuk menjaga diri sendiri maka “kita hendaklah belajar bersungguh hati. Kesungguhan ini akan memahirkan seluruh anggotanya.” Tapi jangan lupa kepada tuan punya silat yang telah diberi amanah dan mandat untuk memperkembangkan SC. “Taat kepada guru membawa berkat, sedikit belajar banyak yang dapat. Jika durhaka menjadi mudarat, semua ilmu tiada yang lekat.” Kebolehan kita bersilat banyak juga bergantung pada niat kita dalam SC. Untuk menguasai ilmu dalam SC amat mudah sekali tapi pada mereka yang mengerti.
Kesimpulannya konsep mudah ini melibatkan tiga perkara utama. Kita hendaklah belajar bersungguh hati. Jangan banyak membuang masa dengan melibatkan hal-hal persatuan yang tidak banyak memberi sumbangan pada diri kita. Kita takut penglibatan ini akan menyebabkan kita berasa sombong diri dan menafikan tujuan asal kita bersilat. Di samping itu kita hendaklah memahirkan anggota tubuh badan kita. Pergerakan dua tangan dan dua kaki biarlah mantap dan berseni. Kaedah-kaedah dalam SC perlu dikuasai dengan sepenuh hati. Kaedah-kaedah ini merupakan asas pembelajaran SC. Menguasai kaedah bermakna akan menguasai keseluruhan pergerakan dalam SC. Perkara ketiga yang paling utama ialah sikap jangan lupa akan guru yang bertanggungjawab pada silat ini. Jangan banyak bermain pilitik silat dan berkepentingan diri. Hal yang berkaitan dengan guru, biarlah dia sendiri yang selesaikan. Kalau tak sesuai maka eloklah kita undurkan diri. Jangan ditanam prasangka buruk kepada guru yang boleh menyebabkan ilmu yang kita peroleh tidak membawa keberkesanan.
Jika ketiga-tiga aspek yang saya bincangkan di atas kita kuasai maka secara langsung kita akan menjadi seorang penuntut SC yang hebat sekali. Hal ini bukannya payah sebaliknya amat mudah. Tidak banyak belanja yang perlu dikeluarkan. Semuanya bergantung pada kekuatan dan keikhlasan hati.
Mudah juga dapat dikaitkan dengan perkataan ringkas. Salah satu pengertian Cekak ialah ringkas. Tapi itu dirujuk dalam bahasa Jawa. Kebenarannya, jika kita tidak merujuk pada bahasa Jawa sekalipun maka SC tetap ringkas. Dalam kamus, ringkas bermaksud tegas, pendek dan padat. Cuba kita bayang dan gambarkan penggunaannya dalam kehidupan kita seharian. Sejak dari bangku sekolah lagi, karangan yang panjang disuruh guru kita membuat ringkasan karangan. Kalau dalam disiplin novel, digunakan istilah sinopsis. Isi cerita yang beratus helai dapat diringkaskan dalam satu muka surat sahaja. Mungkin kerana ini juga SC boleh diibaratkan sebagai segenggam. Pelajarannya merupakan intisari silat dan bukannya cabang-cabang silat yang dianggap sebagai segantang. Dalam bidang penulisan, ayat-ayat yang panjang sukar ditulis terutamanya ketika kita menemu bual akan sesiapa pun . Maka kita digalakkan supaya mempunyai kebolehan menggunakan simbol-simbol dalam penulisan yang bergelar ‘teringkas’. Begitulah konsep ringkas yang dapat kita gambarkan berdasar situasi di sekeliling kita.
Dalam konteks SC, ringkas adalah merupakan satu falsafah yang menunjukkan kelebihan SC. Kelebihan ini adalah sesuatu yang luar dari kebiasaan silat-silat Melayu. Inilah keluarbiasaan silat kita. Kita diyakinkan bahawa SC adalah silat yang benar-benar asli dan bertanggungjawab untuk menjaga diri. SC bukanlah sejenis silat permainan atau silat pulut atau silat pengantin. Hal ini demikian kerana SC tidak ada gendang dan tari-manari dan melangkah ke kiri atau ke kanan dengan langkah-langkah tapak tiga atau tapak empat. Sebaliknya tapak SC ialah tapak dua yang begitu padat dan ringkas. Pergerakan dan sistem SC adalah sesuai benar dengan gerak semula jadi manusia yang berdasarkan fikiran yang sihat, jiwa yang tenang dan ternyata kesesuaiannya dengan pinsip agama.
Oleh sebab ringkasnya SC maka silat ini boleh dijadikan teman ketika berlaku pergaduhan. Dalam senarai pengertian Cekak, dalam bahasa Minang, Cekak juga membawa maksud gaduh. Tapi seperti yang saya nyatakan di atas, bukanlah kerana adanya bahasa Minang tersebut maka disesuaikan SC sebagai silat yang boleh dibawa gaduh. Pelajarannya adalah sangat sesuai untuk dijadikan teman ketika berlaku pergaduhan. Seperti yang dinyatakan bahawa gerak langkah SC biasa sahaja. Sedangkan dalam kebanyakan silat lain, geraknya bercorak sukan yang memerlukan kekuatan. Walau bagaimanapun ahli-ahli SC boleh memahami gerak-gerak sukan tersebut. Ini bermakna SC mempunyai kelebihan menangkis musuh tanpa menghitungkan kekuatan sedangkan silat-silat lain perlu imbangan kekuatan.
Dalam pelajaran umum terdapat pelajaran berdasarkan buah-buah ringkas atau kadang kalanya dikenali sebagai buah-buah hujung. Buah-buah ini berdasarkan kaedah dan buah-buah jatuh. Untuk membuat tangkapan ketika bilangan musuh yang ramai mungkin amat sukar dan kurang praktikal. Di sinilah peranan buah-buah ringkas memberi makna. Tetapi penggunaannya biarlah berpijak di bumi nyata. Kita jangan sekali-kali dibuai dengan istilah patah, pengsan atau mati tanpa mempunyai bukti dan sokongan yang kukuh. Ramai penonton yang mencemuh dan memerli ketika pertujukan menggunakan buah-buah ringkas ini dipertontonkan dalam pertunjukan. Macam mana boleh terjadi pada musuh yang kecundang begitu mudah dengan hanya menyentuh badan musuh sahaja. Seninya tidak ada dan kadang kala terkeluar daripada seni kaedah SC.
Oleh itu, walaupun konsep ringkas dan mudah wujud dalam pembelajaran SC, para penuntut harus berhati-hati akan falsafah di sebalik konsep tersebut. Berhati-hati dan berusahalah dengan sepenuhnya untuk menguasai konsep tersebut supaya konsep ringkas dan mudah membawa makna yang maksimum pada diri sendiri.
Dalam tindak tanduk kita, cuba praktikkan konsep tersebut. Permudahkan tindakan kita dalam membuat sesuatu penyelesaian. Dalam kes pepecahan kita, permudahkan dengan cara mengadakan mesyuarat agong dengan segera. Ingatlah akan salah satu makna yang ada mengenai tafsiran perkataan Cekak yang diertikan segenggam. Segenggam dihubungkan dengan istilah padu. Padu membawa pengertian bahawa pada kalangan ahli-ahli SC terdapat perpaduan serta sifat tegas dan berpendirian. Pendirian ini sudah semestinya dirujuk pada sifat tidak bertolak ansur atas unsur-unsur yang membawa pepecahan. Syaratnya ialah jangan ada sifat berkepentingn diri.
Sekian setakat ini.