DI SEBALIK FALSAFAH BERDIRI LURUS
Satu ketika lalu, penulisan tentang konsep, prinsip dan falsafah SC banyak sekali. Penulisan ini disalurkan dalam pelbagai penerbitan sama ada di peringkat pusat atau di peringkat cawangan. Idea penulisan adalah berdasarkan kefahaman ahli dalam falsafah SC. Ramai penulis yang muncul dalam penerbitan-penerbitan tersebut dan ini melambangkan kefahaman ahli yang jelas mengenai konsep, prinsip dan falsafah yang ada dalam SC. Penulisan mereka juga melambangkan bahawa mereka faham akan apa yang diperkatakan oleh Guru Utama. Tidak sia-sialah Guru Utama memberi syarahan dan kefahaman kepada penuntutnya. Pengetahuan ahli tidak terhad dalam bidang pergerakan silat sahaja. Di samping bersilat, mereka mempunyai banyak masa untuk membincangkan falsafah SC seperti yang diceritakan. Tambahan pula perhatian mereka lebih berfokas pada perkembangan SC. Kepentingan diri kurang menyerlah kerana masing-masing faham akan misi SC. Saya dapat rasakan bahawa tak banyak politik silat ketika itu berbanding dengan apa yang sedang berlaku sekarang. Penuntut disogok dengan dendangan pepecahan dan strategi yang berkepentingan diri.
Salah satu falsafah yang ada dalam SC ialah LURUS. Falsafah lurus adalah begitu luas dalam kefahaman SC. Perbincangan tentangnya meliputi aspek fizikal dan kefahaman.
Berdasarkan konsep kefahaman dalam SC, istilah lurus membawa pelbagai makna. Orang yang lurus kerap kali dikaitkan dengan orang yang bersifat jujur. Percakapan dan tindakan mereka lebih banyak sehala tanpa ada sebarang kepentingan dan maksud yang tersirat. Dalam pantun SC perkataan jujur memainkan peranan penting bagi kita menguasai SC dan mendapat keberkatan hasil daripada pembelajaran SC. Peranannya telah dinyatakan seperti dalam rangkap pantun yang berikut, “Silat Cekak pada lahirnya. Pengertian gerak pada batinnya. Hendaklah mahir seluruh anggota, Hendaklah jujur pada jiwanya.” Orang bersifat jujur kebiasaannya akan memudahkannya menguasai gerak yang ada dalam SC. Oleh itu, jujurlah pada diri kita, rakan-rakan dan semestinya kepada guru yang ada mandat. Mandat daripada tuan punya yang sah dalam SC.
Kita juga dianjurkan supaya memilih jalan yang lurus. Setiap hari, dalam sembahyang kita memohon supaya ditunjukkan jalan yang lurus. Dengan petunjuk lurus yang diperoleh akan menjadikan diri kita tidak terpengaruh dengan hawa nafsu dan kepentingan diri. Namun begitu, hal-hal dan cakap-cakap yang sebegini, biarlah guru kita yang mengupasnya dengan lebih lanjut
Walau bagaimanapun dalam tulisan ini saya hanya menitikberatkan istilah LURUS dalam prinsip, konsep dan falsafah berdiri lurus. Konsep berdiri lurus dalam SC adalah sebagai satu usaha membela diri dari segi fizikal. Tulisan dalam karangan ini juga adalah termasuk hasil pandangan ahli-ahli SC lain yang pelbagai tahap tapi berkaitan dengan falsafah berdiri lurus yang diterima faham daripada Guru Utama. Setengah-setengah ayat dalam karangan ini saya petik daripada pegangan umum ahli-ahli SC di satu masa yang lalu dan sering diperturunkan untuk kefahaman penuntut. Semua pengertiannya tidak menyimpang daripada apa yang disampaikan oleh Allayarham Ustaz Hanafi.
Berdiri lurus dalam SC sering dikaitkan dengan pendirian sembahyang. Walaupun kenyataan ini tidak menyenangkan beberapa pihak yang tertentu akan tetapi dalam kalangan penuntut-penuntut SC kaitan antara silat dan sembahyang telah ditegaskan dengan begitu yakin sekali. Dalam prinsip berdiri lurus ini, tapak kaki kanan dengan tapak kaki kiri tidak terlalu renggang dan tidak terlalu rapat. Jarak tapak adalah sederhana berdasarkan berdiri semula jadi kita. Pendirian yang demikian juga digunakan oleh SC dalam kaedah bela diri daripada serangan musuh. Akan tetapi, dengan pendirian lurus tegak inilah maka ramai orang yang mengatakan bahawa di situlah kelemahan SC. Namun begitu, jika dikaji dengan mendalam maka sebenarnya di situlah punca kekuatan dan kelebihan silat kita iaitu Silat Cekak. Kita berkeyakinan bahawa pendirian lurus tersebut dapat memberi keyakinan dan membawa beberapa pengertian pada diri kita sacara lahir mahupun segi falsafahnya.
Ramai yang persoalkan bahawa berdiri lurus adalah berdiri yang lemah. Pada mereka, berdiri yang kuat adalah berdiri secara kuda-kuda. Sebenarnya pada kita, berdiri secara berkuda-kuda itulah yang lemah dan boleh mendatangkan kemudaratan. Kita diyakinkan bahawa berdiri secara berkuda-kuda itu adalah pendirian yang bengkok. Adakah sesuatu yang bengkok itu kuat daripada yang lurus. Jika dikiaskan, kalau misalnya kita pergi ke hutan mencari kayu, maka sangatlah sukar kita mencari kayu-kayu yang lurus tetapi kayu yang bengkok amatlah mudah kita peroleh. Tapi kayu yang lurus boleh dibuat macam-macam. Kita boleh buat tiang rumah, meja, kerusi, papan dan berbagai bentuk lagi. Kayu bengkok hanya sesuai dibuat kayu api sahaja. Di sini, jelaslah bahawa sesuatu yang lurus banyak kegunaannya daripada yang bengkok. Begitu jugalah halnya dengan berdiri yang lurus. Berdiri lurus adalah penengah atau pusat daripada segala pergerakan sama ada pergerakan ke hadapan atau ke belakang dan pergerakan ke kiri atau ke kanan. Oleh sebab itulah pendirian lurus digunakan dalam SC kerana dengan pendirian tersebut, Cekak telah bersedia untuk menunggu pelbagai jenis serangan dari pelbagai penjuru sama ada hadapan, kiri, kanan mahupun dari belakang.
Berdiri lurus adalah berdiri yang normal bagi manusia. Munusia yang bercakap tatkala berdiri adalah melambangkan manusia yang mempunyai pendirian yang lurus atau normal dan bukannya atas pendirian yang bengkok iaitu pendirian yang dipaksa-paksa. Oleh itu, jika penuntut belajar silat dengan pendirian yang lurus maka pengamalnya akan sentiasa dapat bersedia sepanjang waktu tanpa diketahui oleh orang lain. Sebaliknya jika sedang menghadapi musuh, pasti musuh tidak tahu akan helah kita. Hal ini demikian kerana mereka melihat pendirian kita seperti pendirian orang yang tidak mahu bergaduh. Jika sekiranya kita menggunakan pendirian berkuda-kuda, musuh akan dapat mengetahui akan tipu helah kita. Mereka akan dapat membaca mana tangan atau kaki yang ‘mati’ dan mana tangan atau kaki yang ‘hidup’.
Selain daripada hujah-hujah di atas, pendirian lurus adalah kedudukan yang berada dalam posisi yang sangat rapat. Kedudukan sebegini adalah merupakan satu kelebihan dalam seni bela diri. Musuh dapat ditewaskan dalam masa yang cepat dan ringkas. Gerak yang kita lakukan adalah sangat menguntungkan. Keyakinan kita dalam posisi rapat ini kerana silat kita mempunyai kaedah yang cukup dan sempurna untuk mengawal seluruh anggota badan. Selain kaedah ABCD, kaedah gelek yang bersepadu dengan pukulan atau awasan, telah cukup untuk mengawal empat tahap anggota badan manusia. Sebagaimana pendirian lurus diambil dari gerak geri sembahyang, maka kaedah itu juga telah diambil daripada perbuatan sembahyang.
Hasil kajian pengamal SC, kelebihan-kelebihan seperti hujah di atas adalah sesuatu yang dapat dibincangkan secara ilmiah. Kajian telah dibuat tentang buruk dan baik segala macam pendirian ketika menanti serangan atau ketika menyerang dalam usaha untuk menjaga diri. Dengan penuh keyakinan, pengamal SC menerima kakikat bahawa pendirian lurus adalah pendirian yang ideal bagi menjaga diri. Pendirian yang sebegini adalah pendirian yang penuh makna di sebalik kegunaannya dalam usaha-usaha mempertahankan diri.
Pengamal SC mengamalkan konsep Cekak menunggu serangan dengan berdiri lurus, tidak berkuda-kuda dan tidak melangkah ke kiri atau ke kanan bahkan mara ke hadapan dalam gerak yang satu. Falsafah makan gerak dalam gerak adalah merupakan satu prinsip yang lebih meyakinkan hasil daripada kelebihan berdiri secara lurus. Sebab itulah kita berani menegaskan bahawa Silat Cekak pada kebenaran atau hakikatnya ialah Silat Gerak.
Sekian setakat ini. Kita bertemu di lain konsep dan falsafah buat rujukan generasi baru.