Friday, February 25, 2011

KENANGAN 23.


AKUI APA YANG ADA


Nasib bangsa kita selalunya malang. Ada pepetah kita yang mengatakan, ”Yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran.” Tatkala kita diperintah oleh British, ramai yang inginkan perubahan. Kedatangan Jepun disambut. Akhirnya kita juga yang merana. Anak dara terpaksa disorok atas para. Kadang kala terfikir. Untuk bangsa kita, elok saja menerima apa yang ada. Seadanya. Kalau diperintah oleh kerajaan yang ada terima saja. Agak berosiko untuk beralih kerajaan lain. Sejarah banyak membuktikannya. Malang bangsa kita. Akhirnya tetap merana.

Pendapat saya tersebut selalu saya kaitkan dengan perjalanan persilatan kita. Hingga akhirnya terkeluar kata-kata dalam kalangan anak didik saya. “Yang ada disayang, yang tiada dikenang.”

Ayat tersebut mungkin menimbulkan implikasi yang pelbagai kepada para pembaca. Tapi ikut tafsiran masing-masing. Saya faham benar perasaan para pembaca, merujuk pada penulisan yang diutarakan. Di sini saya juga ingin berkongsi pengalaman untuk bahan renungan, khas kepada ahli SC yang ada sekarang bersama dengan En Mat. Bukan ada apa-apa keinginan. Cuma berbincang secara fikiran terbuka.

Saya masih teringat zaman saya menuntut dulu. Zaman Ustaz Hanafi. Ketika itu, ada disebut nama-nama handalan seperti Pak Sharif Tokai dan Hj.Zain. Saya tidak pernah mengenali mereka. Kehandalan mereka diwar-warkan setiap masa. Terutamanya di awal zaman Ustaz.

Segala kelebihan yang dinyatakan tentang mereka, saya dengar saja. Tak ada pengalaman bersama mereka. Saya hanya menyesuaikan percakapan mereka dengan fahaman saya. Fahaman yang disemai dan diasuh oleh Ustaz ketika itu. Jadi, setakat mendengar sahaja tanpa dapat menggambarkan apa-apa.

Dalam hal yang demikian, saya tidak pernah menceritakan semula kelebihan tokoh-tokoh tersebut. Malah, saya juga tidak pernah berbincang dengan rakan SC yang lain, termasuk penuntut-penuntut yang belajar SC di bawah pengawasan saya. Kalau saya sendiri tidak pernah bersua muka dengan mereka, apatah lagi penuntut yang sedang belajar di zaman saya. Langsung tak tergambar wajah tokoh-tokoh tersebut.

Saya ada tanggapan sendiri. Pada saya, bagaimana kita dapat menceritakan hal yang berkaitan dengan satu-satu tempat, kalau kita tidak pernah sampai ke tempat itu. Hal yang demikian bermaksud, bagaimana saya boleh menceritakan apa yang diceritakan kepada saya kalau saya tidak mengalaminya. Oleh itu, tidak sesuai kita menceritakan hal yang berkaitan dengan sesuatu itu kalau setakat dengar cerita sahaja tentangnya. Itulah pegangan saya.

Ketika melatih penuntut SC yang saya didik, segala bentuk penerangan adalah berdasarkan suasana dan ketokohan yang wujud pada waktu semasa. Walau bagaimanapun jika ada orang-orang lama yang bercerita berdasarkan pengalamannya, saya alu-alukan dan mendengar butiran percakapannya dengan teliti sebagai tanda hormat. Tetapi bukan tugas saya untuk mengupas isi penceritaannya kepada anak didik saya. Bukan prinsip utama.

Ketika ini, ramai anak murid SC yang tidak pernah bersua muka dengan Ustaz. Kalau saya menceritakan kelebihan Ustaz pada anak didik saya, mungkin ada kelebihan atau faedahnya. Saya tahu akan apa yang saya luahkan. Hal yang sama tentunya tidak sama jika penceritaan tersebut dilakukan oleh mereka yang mendapat cerita daripada saya. Hal yang demikian kerana mereka tidak pernah bersua muka dengan Ustaz.

Apabila ada pencerita yang terdiri daripada orang yang mendapat cerita daripada orang lain, pada saya penceritaan tersebut akan menjadi hambar. Sebabnya ialah tidak ada bukti pengesahan. Kadang kala kita rasa semacam ada satu perasaan bahawa, “Orang senang saja buat cerita. Ikut sedap. Tambah di sana sini.”

Apabila ditayangkan peristiwa lalu yang berkaitan dengan Ustaz secara audio visual dan sebagainya, pasti buaian perasaan saya tidak sama dengan perasaan mereka yang tidak pernah berjumpa. Hal yang demikian kerana hubungan saya dengan Ustaz tidak sama dengan mereka. Saya alami sendiri. Banyak kenangan di sebalik setiap peristiwa yang berlaku. Saya amat memahami keadaan itu. Jika sedih atau gembira, peratusnya pasti tidak sama antara saya dengan mereka yang tidak pernah bersua muka dengan Ustaz.

Berdasarkan fakta ini, saya suka berterus terang pada para pembaca. Lihat apa yang ada. Terimalah seadanya. Apa yang ada maka jadikan landasan untuk ikutan. Sama ada pergerakan silat atau kefahaman silat itu sendiri. Hal yang demikian adalah lebih mudah pada kita. Jangan menanggung risiko. Akhirnya akan menikam diri sendiri.

Ramai dalam kalangan Jurulatih yang teraba-raba mencari dahan untuk berpaut. Bergayutlah mereka dari satu dahan ke dahan yang lain. Tersilap pilih dahan maka terimalah padahnya. Dahan yang rapuh pasti akan membawa kecelakaan. Ramai yang tersilap pilih guru dan akhirnya diketepikan oleh guru yang berkenaan. Berpatah balik, terasa malunya. Akibatnya terus terkeluar daripada arus perkembangan SC.

Dalam konteks sekarang, anak murid En Mat perlu memberi perhatian pada kepemimpinan guru yang ada. Tumpukan ketaatan dan kebaktian padanya. Berikan kepercayaan sepenuhnya kepada kepemimpinan beliau tanpa ada apa-apa prasangka. Elakkan sebarang bentuk perbahasan yang melibatkan kesahan atau kebolehpercayaannya sebagai guru dan sebagai pemimpin persatuan. Masa berbahas telah lama berlalu. Terimalah seadanya. Tumpukan pada perancangan yang lebih stategik untuk mengembalikan semula kegemilangan Silat Cekak.

Seperti yang selalu saya tegaskan. Jurulatih adalah penghubung utama antara guru dan murid silat. Guru tidak berupaya mengawasi kesemua kelas dan kesemua anak muridnya. Jurulatih berperanan sebagai wakil guru. Jurulatih juga berperanan untuk mendekat dan merapatkan hubungan antara guru dan murid.

Oleh itu, Jurulatih juga berperanan untuk menyampaikan segala yang berkaitan dengan Guru Utama yang sedia ada kepada anak didiknya. Hal yang demikian meliputi segala hal yang berkaitan dengan watak dan perwatakan, pemikiran dan pegangan guru yang ada. Dalam proses penyampaian itu, jangan dicampur aduk kepemimpinan guru yang sedia ada dengan kepemimpinan tokoh-tokoh lain yang berkaitan dengan SC.

Maknanya, jika Jurulatih berkenaan tidak pernah bersua muka atau bersama dengan Ustaz, jangan sesekali menceritakan sesuatu yang berkaitan dengan Ustaz kepada anak didiknya. Apatah lagi jika membincangkan tokoh-tokoh lain yang jauh berada dari zaman kita. Penceritaan kita tentunya tidak tepat. Biarlah Guru Utama sendiri yang berbuat demikian.

Malah, saya berpendapat, jika sekalipun Jurulatih berkenaan pernah bersama dengan Ustaz, janganlah dibuat perbandingan antara guru dulu dan guru sekarang. Konteks zaman adalah berbeza. Konteks peranan pun turut berbeza. Acuan guru dulu dan acuan guru yang sedia ada, pastinya berbeza. Perbezaan itu akan memungkinkan perbezaan cara atau perbezaan strategi dalam proses mengembangkan SC.

Orang yang hebat sentiasa memandang ke depan. Perkara yang berlalu hanya sebagai panduan dan sempadan. Cuma yang penting, jangan salah sangka, seolah-olah kita ketepikan peranan orang-orang terdahulu yang berwibawa. Sejarah tetap sejarah. Kehebatan mereka tetap ada. Jasa mereka boleh dikenang dalam perbincangan yang berkaitan dengan aliran pemikiran mereka. Sekian, sambung lagi.