Friday, February 11, 2011

KENANGAN 14.


TETAMU LUAR


Kadang kala terdapat juga ahli dari cawangan SC lain yang berkunjung ke kelas kita. Sebagai tetamu, saya rasa tidak salah kalau kita melayan mereka sebagai tetamu istimewa. Hal ini demikian supaya mereka berasa tidak tersisih ketika berada di tempat kita. Walau bagaimanapun, dalam kalangan tetamu yang hadir terdapat pelbagai ragam sikap dan sifat.

Pastinya tetamu luar yang hadir tersebut tidak terlepas daripada sifat suka membanding. Perbandingan itu ialah dari segi apa yang dilihat dan apa yang dialami dengan pengalaman yang ada ketika belajar di kelas sendiri. Komen dan kesimpulan diri sendiri akan wujud. Hal ini demikian kerana walaupun isi pelajaran sama, sudah tentu cara penyampaian tetap berbeza. Saya cuba mengelak daripada berbincang akan perbandingan-perbandingan tersebut. Banyak buruk dari baiknya.

Kita perlu sedar bahawa keberkesanan penyampaian buah banyak bergantung pada penerangan dan aplikasi yang ditunjukkan Jurulatih. Penuntut lebih banyak mempelajari isi pelajaran daripada apa yang dilihat, bukan apa yang didengar atau diterangkan. Pesilat akan memerhati perbuatan jurulatih yang mengajar. Di sinilah perbandingan akan timbul, sama ada dalam hati atau diluahkan sesama teman. Kadang-kala terfikir di hati saya bertapa pentingnya wujudnya satu garis panduan tentang adab sopan penuntut-penuntut dari kelas lain ketika berkunjung ke kelas lain.

Namun begitu, sebagai saudara seahli dan seguru, bagaimanakah bentuk layanan yang patut diberi kepada mereka. Ini juga boleh difikirkan. Tidak sesuai jika kedengaran ayat-ayat yang mengatakan bahawa “Diri mereka tidak dipedulikan, pada hal seguru dan seahli”. Saya rasa satu garis panduan mengenainya juga patut ada. Apakah bentuk-bentuk layanan yang boleh diberi dan sebagainya.

Ketika saya memimpin cawangan, layanan semasa berkunjung di ibu pejabat amat mendukacitakan. Zaman dulu tak mampu tinggal di hotel atau rumah-rumah tumpangan. Lebuh raya belum siap. Perjalanan jauh amat meletihkan. Kadang kala tak sempat minum kerana mengejar masa ke ibu pejabat silat. Layanan mesra dari ahli ibu pejabat tak pernah dapat. Ada dua soalan yang popular ditanya mereka. Pertama, dari mana dan keduanya sudah berapa lama belajar.

Itulah soalan yang sering berulang jawapannya kerana ditanya oleh beberapa orang. Hal yang demikian sudah menjadi satu budaya dalam kalangan ahli-ahli SC ibu pejabat ketika itu. Bukannya mengucapkan ’selamat’ kerana sudah selamat datang. Bertanyakan sama ada sudah makan atau minum, ’jauh panggang dari api.’ Kalau kami dahaga, cari sendiri minuman di mana-mana. Di pejabat ada mesin minuman yang memerlukan duit syiling. Bila mereka mendapatkan minuman kotak, selamba saja minum di depan kami. Tak tahu langsung adat mempelawa. Pada saya pelakuan mereka boleh dikategorikan sebagai biadab berbanding dengan budi bahasa yang kami ada. Langsung tidak ada budi bahasa. Kerana itulah saya menulis artikal berserta gambar kartun dan sajak yang memerli mereka. Saya siarkan gambar karton tersebut untuk tatapan semua.



Kami juga bercadang menempah baju T untuk dipakai ketika berkunjung ke ibu pejabat. Pada baju tersebut akan diletakkan pangkat berdasarkan bilangan tahun berada dalam SC. Bila ditanya berapa lama sudah belajar maka kami hanya akan menunjukkan pangkat tersebut. Satu calit melambangkan satu tahun. Namun begitu cadangan tersebut diketepikan bagi meredakan ketegangan antara ibu pejabat dan cawangan.



Ustaz menyedari suasana yang berlaku tersebut. Dalam satu mesyuarat, Ustaz membangkitkan isu tentang layanan pada ahli-ahli dari cawangan. Apabila Ustaz menyarankan sifat ramah tamah dalam kalangan ahli-ahli di ibu pejabat maka baharulah mereka mempelawa ke rumah dan ingin berbelanja. Tapi dah terlambat. Hati telah terluka. Lagipun pelawaan mereka terasa macam pelik.

Ketika mereka datang ke cawangan saya, yang saya tak kenal, hanya ditunjukkan kedai makan bagi mereka melepaskan haus dahaga. Pandai-pandailah bayar sendiri.


Dalam tulisan ini saya sertakan kembali kata-kata berirama yang pernah diterbitkan dalam risalah kami bagi tatapan pihak ibu pejabat dulunya. Supaya mereka berbudi sikit.

Berdebar hatinya melangkah ke hadapan.
Kelas latihan tempat tujuan.
Ramainya kelihatan saudara seperjuangan.
Hilang rasanya letih di badan.

Datangnya jauh berbatu-batu.
Lapar dan dahaganya sudahlah tentu.
Harapannya tinggi menjadi tetamu.
Maklumlah sebagai ahli cawangan tertentu.

Salam diberi tanda pengenalan.
Bertanya khabar sebagai permulaan.
Temenggu ke kiri dan temenggu ke kanan.
Agaknya sibuk rakan seperjuangan.
Langsung kami tidak dipedulikan.

Iblis membisik ke lubuk hati.
Manakah saudaramu seperjuangan sejati.
Lapar dan dahagamu belum diatasi.
Musafirmu kelihatan sudahlah pasti.

Hati menjawab dengan bangganya.
Saudaraku sibuk..sibuk.. tidak terhingga.

Sambung lagi.