Saturday, February 5, 2011

KENANGAN 12

TEMAN SETIA

Daya usaha para Jurulatih membuka kelas di cawangan, bukanlah merupakan satu kerja yang mudah. Banyak pancaroba yang harus dihadapi. Kadang kala mereka menghadapinya secara keseorangan. Sering kali, kawan yang lain hanya boleh membantu dan melahirkan rasa simpati. Manakala diri yang mengalaminya akan merasai betapa hebatnya dugaan yang terpaksa ditempuhi.

Kelas-kelas silat yang dibuka semakin meriah apabila para Jurulatih berjaya menambahkan ahli yang setia dari masa ke masa. Hal yang demikian kerana wujudnya satu kumpulan ahli SC yang boleh bersama-sama menyemarakkan kelas-kelas latihan yang dibuka. Mereka boleh bertindak membantu kelas-kelas silat dan urusan pentadbiran persatuan. Bersama mereka, susah dan senang boleh dikongsi bersama.

Walau bagaimanapun, mencari sahabat yang setia dalam semua perkara bukanlah satu pekerjaan yang mudah. Seperti yang pernah saya nyatakan, Ustaz pernah memberitahu saya tentang hal yang menyentuh mengenai sahabat setia. Kata-kata Ustaz masih diingati. Antara lain katanya, ”Jika dapat ahli-ahli yang setia seramai empat puluh orang, maka bolehlah ditutup kelas silat.”

Kata-kata Ustaz itu, saya anggap berbentuk cabaran. Cabaran adalah bermaksud sesuatu yang menguji kebolehan kita. Bukan senang untuk memenuhi cabaran tersebut. Walau bagaimanapun saya tetap berusaha mengumpul kumpulan mereka yang dimaksudkan Ustaz. Mereka yang boleh bersama atas dasar sehati dan sejiwa dalam perjuangan SC di cawangan saya. Untuk mencapai hasrat berkenaan, tidak ada strategi khas yang saya lakukan. Hasrat yang ingin dicapai adalah semata-mata berdasarkan tindakan seharian dalam hubungan.

Saya mentafsirkan maksud sahabat yang sehati dan sejiwa sebagai rakan seperjuangan yang kekal dalam SC. Rakan seperjuangan ini mempunyai hala tuju yang sama. Dalam konteks persilatan, cakap saya akan menjadi cakap mereka. Mereka sanggup bersama-sama mengharungi segala bentuk rintangan. Pendek kata, sama-sama akan merasai keseronokan dan kesedihan yang melanda diri dalam perjuangan SC.

Bagi mendapatkan rakan seperjuangan, saya sentiasa turun padang. Kemesraan sesama ahli silat adalah sangat penting. Bergaul dengan mereka boleh memupuk sifat kemesraan. Kenduri kendara yang mereka adakan sama ada berkaitan dengan diri mereka sendiri atau keluarga mereka, saya pasti hadir. Kecualilah jika ada rintangan besar yang tidak boleh dielakkan langsung. Kedatangan saya sangat dihargai oleh anak didik silat. Begitu juga hal-hal yang berkaitan dengan kematian yang bersangkutan dengan keluarga rakan-rakan berkenaan.

Dari segi kefahaman silat dan gerak fizikal persilatan, saya sentiasa membimbing dan mencurahkan segala ilmu yang ada untuk mereka. Sekurang-kurangnya perbuatan saya tersebut boleh menjadikan mereka berasa terima kasih atau bersyukur atas ilmu yang diperoleh. Saya percaya jika wujud perasaan terima kasih, tentunya ikatan mereka dengan saya bertambah erat. Hal yang demikian memudahkan saya mencari teman yang sehati dan sejiwa dalam persilatan SC.

Setakat mengajar atau menurunkan ilmu fizikal sahaja tentunya tidak memadai. Ilmu fizikal adalah menjurus kepada kemahiran dua tangan dan dua kaki. Kekuatan jiwa mesti ada. Oleh itu, kefahaman SC perlu dipupuk dari masa ke masa. Jika kefahaman fizikal dan kefahaman fikiran berada dalam landasan yang sama maka perjuangan dalam persilatan dan persatuan akan sentiasa selaras. Percanggahan pendapat sangat kurang. Krisis sesama rakan dapat dihindarkan. Hal yang demikian akan memudahkan SC berkembang pesat tanpa banyak rintangan.

Saya yakin bahawa ikatan yang membolehkan ahli-ahli silat itu bertahap seperjuangan adalah kerana mereka faham tentang segala yang berkaitan dengan SC. Kefahaman besarnya ialah kefahaman tentang ajaran-ajaran yang ada. Dalam setiap kelas, saya akan mengambil kesempatan untuk memupuk kefahaman SC dalam kalangan ahli. Tentunya kumpulan Jurulatih menjadi sasaran. Jurulatih adalah barisan kepemimpinan utama. Kalau kefahaman SC dapat diasaskan dalam kalangan mereka, maka kefahaman ahli yang bergiat akan berpegang pada satu tali yang sama. Saya amat percaya, kalau semua lapisan ahli dalam SC mempunyai faham atas prinsip yang sama, maka mudahlah saya bertindak terutamanya hal-hal yang berkaitan dengan soal membuat keputusan. Keputusan kami mesti sama.

Kefahaman yang disemai adalah berkaitan dengan konsep guru, ajaran-ajaran guru, adat dan adat dalam SC serta pelbagai upucara yang ada dalam SC. Semua kefahaman yang diberi pada ahli, telah membolehkan mereka berfikiran rasional dan melakukan sesuatu berdasarkan kefahaman. Tidak hanya berdasarkan ikutan semata-mata.

Rupa-rupanya usaha membentuk pasukan ahli SC yang sehati dan sejiwa bukanlah satu kerja yang mudah. Terdapat banyak halangan yang perlu dilalui. Banyak faktor yang mempengaruhi cita-cita bagi mendapatkan sahabat yang seperjuangan.
Halangan dari keluarga merupakan satu kekangan utama. Pastinya pihak isteri tidak gemar suaminya asyik menghilangkan diri terutamanya pada waktu malam. Hal yang demikian tidak terlepas dugaan pada barisan kepemimpinan.

Teringat peristiwa yang saya saksikan ketika SC berkembang di Jalan Putera. Sebelah banglow kita telah didiami oleh ahli. Memegang jawatan tinggi dalam persatuan. Kegiatan si suami tidak disenangi oleh si isteri. Maka banyaklah perlakuan tidak gemarnya yang ditunjukkan pada Ustaz. Cuma saya menarik perhatian pembaca. Jika Ustaz sendiri menghadapi pancarobanya, maka apatah lagi pada kita. Banyak sekali rintangannya. Rintangan-rintangan itu menjadi cabaran dan menguji kewibawaan kita.

Kerana isteri, kadang kala prinsip seperjuangan dalam konteks silat akan menjadi rosak. Sehingga kini saya tak tahu sahabat tersebut ada di mana. Pernah memegang jawatan Setiausaha. Saya tetap menganggap bahawa beliau juga adalah pengasas utama pepecahan SC dalam gelombang pertama. Hilang konsep rakan seperjuangan. Adakah mungkin kerana hasutan si anunya. Dalam ruangan ini amat sukar untuk saya berbicara.

Kadang kala ada juga dalam kalangan ahli yang marajuk hati. Pelbagai alasan mereka beri. Hanya berbentuk cakap-cakap belakang kerana tidak mahu bersemuka. Susahlah kita sebagai pemimpin untuk mengawasi ahli jenis ini. Kerana undangan kenduri tidak dipenuhi, maka hati merajuk dan menjauhkan diri. Ada yang menjauhkan diri kerana diri terasa diketepi.

Hal-hal yang remeh telah dibesar-besarkan. Tapi mungkin juga. Remeh pada kita tapi masalah besar pada mereka. Kalau mereka bersemuka maka senanglah bagi kita untuk menyelesaikan segala kekusutan yang ada.

Patutlah Ustaz bercakap dan mengeluarkan cabaran seperti yang saya nyatakan. Usahkan empat puluh. Mencari jumlah sepuluhpun amat seksa sekali. Namun begitu, kita tidak boleh berasa kecewa. Matlamat untuk mendapatkan jumlah empat puluh rakan sepasukan bolehlah dijadikan target utama. Usahakan target berkenaan. Berjaya atau gagal, bukannya kerja kita. Rancangkan strategi untuk mendapatkan ahli seperjuangan sebanyak mana yang boleh.

Sepanjang saya berada di cawangan, hubungan sesama ahli menampakkan satu bentuk perhubungan yang masih baik. Ahli silat yang ada, tetap bergerak dalam landasan yang sama. Cuma, persoalannya ialah sampai bila. Jawapannya tentu berkaitan dengan kepentingan diri yang ada. Jangan lupa tiga ”TA”. Kuasa merujuk pada jawatan, harta dirujuk pada keuntungan diri dan wanita merujuk pada glamor. Itulah pemusnah utama makna seperjuangan dalam SC. Sambung lain.