Thursday, April 1, 2010
BERTUKAR PENDAPAT DENGAN SILAT LAIN
Buah terjun ke bawah adalah salah satu buah semasa bertry dengan Ustaz satu ketika lalu. Buah ini digunakan untuk menyerang tapak berdiri lurus. Selalu digunakan dalam majlis pertunjukan. SC mempunyai kaedah bagi mengatasi serangan tersebut. Sebagai pengamal SC, kita juga perlu tahu taktik dan teknik silat-silat lain supaya mudah bagi kita apabila 'berhadapan' dengan mereka.
Sifat kita suka membanding. Membanding dalam silat bermakna juga beradu ketangkasan dalam gerak. Kita yakin pada SC kerana salah satu faktornya ialah gerak SC adalah berasaskan kaedah atau formula yang tertentu. Atas keyakinan tersebut menyebabkan ada dalam kalangan ahli SC yang suka bertry dengan silat-silat lain terutamanya dalam konteks sahabat.
Dalam perbandingan ketika berbincang, selalunya kita bahagikan kepada dua aspek perbincangan iaitu tentang gerak silat dan satu lagi ialah kefahaman yang ada dalam silat. Sekali lagi dalam tulisan ini saya ingin berkongsi pendapat berdasarkan pengalaman saya dengan para pembaca, betapa perlunya kita berhati-hati ketika majlis perbincangan dengan pesilat lain berlangsung.
Perbincangan dari segi fizikal, melibatkan pergerakan anggota kaki dan tangan. Pastikan kita mempunyai daya kecekapan jika ingin berbincang dengan mereka yang mahir dalam persilatan lain. Kalau tak makan congak, jangan buang masa. Lebih baik mendengar daripada mengutarakan pendapat. Sebabnya dalam silat semua gerak ada jawapan. Sampai ayam berkokok hingga ke pagi tak akan ada yang cuba mengalah melainkan mencuba gerak. Oleh itu berhati-hatilah ketika kita mencuba gerak dengan pengamal silat lain.
Kita sedar betapa SC mempunyai kelebihan-kelebihannya yang tersendiri sama ada kaedahnya, buahnya atau serangannya. Dalam hal ini saya rasa tidaklah perlu sangat kita membuktikan kelebihan SC secara melampaui had hingga kita perlu menerangkan segala-galanya. Jangan tunjuk semua. Simpan sikit. Maka baharulah ada umh.
Salah satu keistimewaan yang hanya kita ada ialah kaki berdiri lurus secara selari. Pergerakannya nampak seperti tanpa berkuda-kuda. Kalau berbicara dengan mereka yang tiada sebarang ilmu silat yang lain, tajuk berdiri menunggu serangan boleh menjadi amat menarik sekali. Kita boleh membuktikan konsep berdiri lurus sama dengan perkataan lurus dan konsep berdiri secara berkuda-kuda sama dengan perkataan bengkok. Kalau zaman dulunya, mereka yang pergi ke hutan untuk mencari rotan boleh ditanya sama ada mencari rotan bengkok atau rotan lurus. Jawapannya, pasti mereka akan mencari rotan yang lurus. Rotan yang lurus boleh dibentuk dalam pelbagai cara yang kita suka. Manakala rotan yang bengkok hanya sesuai dijadikan kayu api.
Oleh itu kita sama ertikan mereka yang berdiri lurus itu boleh bergerak bebas dalam pelbagai gerak. Geraknya sukar dibuat andaian melainkan orang yang berdiri lurus sahaja yang boleh menentukan pergerakannya. Hal ini tentunya berbeza dengan mereka yang berdiri bengok. Kita boleh membuat telahan akan gerak mereka selanjutnya.
Cakap –cakap yang sedemikian rupa tentunya tidak disenangi oleh pengamal silat Melayu yang lain. Rata-ratanya mereka berdiri menunggu serangan secara berkuda-kuda. Jika isu kedudukan berdiri ini kita jadikan satu topik perbincangan maka pastinya perbincangan kita akan menerbitkan suasana panas dalam kalangan kita.
Selain daripada itu perbincangan kaedah mengelak atau kaedah menepis pada kita, perlu juga dibuat secara berhati-hati. Menepis adalah merupakan salah satu keistimewaan silat kita. Kita boleh menepis kerana adanya kaedah-kaedah yang tersendiri. Lihat saja kaedah yang ada dalam SC. Kaedah A adalah antara kaedah yang begitu istimewa. Buatnya susah tapi peranannya besar. Melalui pengalaman dan kajian, Ustaz pernah mengatakan betapa kaedah itu tidak ada dalam persilatan Melayu yang lain. Kalau adapun, kaedah A pada mereka adalah gerak tangan secara terbalik. Oleh itu kelebihan ini tidak perlu ditekankan semasa perbincangan dengan pesilat lain. Kita akan membuka rahsia dan kelebihan kita. Cukup dengan penerangan betapa gerak SC adalah berdasarkan kaedah-kaedah tertentu. Kaedah yang ada ini membolehkan kita tidak melakukan gerak mengelak. Kalau boleh, cukup setakat memperlihatkan gerak Kaedah B sahaja.
Kita juga mengakui bahawa salah satu daripada keistimewaan kita ialah tumbuk serangnya. Menyatakan keistimewaan ini juga perlu berhati-hati ketika berbincang. Kalau boleh, lebih baik jangan bercakap tentang keistimewaan ini. Kita mungkin terperangkap. Berdasarkan perbualan, saya rasa penumbuk kita telah diketahui orang melalui pelbagai cara. Sama ada pengetahuan mengenainya mereka peroleh melalui kawan rapat yang belajar SC atau melalui adik beradik yang kurang boleh berahsia akan isi pelajaran yang diperoleh. Kalau kita terus memperkatakan kelebihan kita pada mereka yang telah mengetahuinya pasti kita akan dipandang secara sinis. Silap-silap, mereka pula yang akan menerangkan cara tumbukan kita atau ingin mendapatkan penjelasan lebih lanjut. Walau bagaimanapun secara tegasnya, jangan sesakali menggunakan istilah tumbuk gerak bagi menjelaskan maksud tumbuk serang. Janganlah kita memberi ruang dan membuka minda kepada pesilat lain ketika berbincang.
Ketika kita berbincang tentang buah-buah SC, pastikan kita sentiasa berhati-hati. Jangan bagi diri kita ditangkap untuk mereka memperlihatkan buah tangkapan. Kita perlu ingat bahawa kelebihan kita adalah memintas pukulan dan sentuhan. Oleh itu jangan biarkan mereka menangkap atau mengunci kita dengan buah-buah tangkapan silat mereka. Lakukan pintasan sebelum mereka berbuat demikian. Kalau tertangkap, kita perlu ingat, itu bukan pelajaran kita. Oleh itu berhati-hatilah dan sentiasa waspada. Tidak ada pelajaran kita untuk membuka tangkapan. Jangan biarkan pesilat lain menangkap kita. Kalau tertangkap dan kita gagal membukanya, maka mereka boleh jadikan alasan betapa kita gagal bertindak. Bila kita dikatakan gagal bertindak maka dikatakan kita tewas dan dihubungkan bahawa itulah kelemahan silat kita.
Apabila tiba giliran kita menunjukkan buah maka tegaskan pada diri kita bahawa setiap buah yang kita lakukan jangan diulang lagi buat kali yang kedua. Misalnya gerak pertama kali, kita tunjukkan buah pertama. Apabila disuruh ulang pada buah yang sama, jangan ikut arahannya. Kita boleh buat buah sendeng atau buah-buah yang lain. Jangan peduli bantahannya jika mereka tidak berpuas hati akan sikap dan perbuatan kita.
Kita juga selalu diingatkan supaya jangan termakan psikologi kawan. Disuruhnya tumbuk perlahan pada hal pemakannya kasar sekali. Oleh itu janganlah kita percaya dengan gerak lawan. Gerak kita tetap macam biasa. Semasa kita menumbuk kita perlu lebih berhati-hati. Teknik menumbuk biar pelbagai. Dalam satu-satu ketika penumbuk kita biar tersangat perlahan supaya menarik gerak perlahan yang sama daripadanya. Secara langsung mudah juga kita membuat pintasan buahnya.
Apabila kita membincangkan tentang kefahaman dalam SC dengan pesilat lain, kita perlu lebih berhati-hati. Amalan kita, kita saja yang memahami dan mengetahui tentang adap dan logiknya. Tentang amalan silat lain, biarkan mereka bercerita tanpa perlu ada komen daripada kita. Hal ini akan menyenangkan kita ketika berbincang.
Misalnya tentang mandi minyak. Pada silat lain amalan tersebut tersangat hebat dan bukan kepalang orang yang boleh melakukannya. Walhal pada kita amalan tersebut tidak mendatangkan faedah. Kehidupan harian kita adalah berasaskan air. Mandi wajib atau sunat dengan air, mandi jenazah dengan air dan apa bentuk mandipun semuanya berasaskan air. Mana datangnya minyak. Melainkan amalan pengikut agama lain. Malah tubuh badan kitapun peratusan besarnya mengandungi air. Kalau banyak minyak alamat badan kegemukan dan bila-bila saja akan berlaku serangan jantung. Cakap-cakap tentang mandi, perlu berhati-hati. Kalau mereka bercakap kelebihan mandi dengan minyak, dengar sahaja adalah lebih baik. Cuma bayangkan kalau kita mandi dengan minyak lintah. Tak payah urut melainkan terus mandi. Empat biji kelapa senang-senang diangkat. Sekali kena akan terdengar deruman dan ngauman cakaran kucing dan harimau.
Kebanyakan silat Melayu pasti akan menghubungkan silatnya dengan mandi minyak. Dikatakan mandi tersebut akan menyebabkan kulit pesilat akan mempunyai kelebihan dan pelbagai alasan lagi. Mereka berkeyakinan dapat menahan serangan dengan tangkisan tangan yang mantap. Oleh itu, jika mandi minyak merupakan sesuatu yang mereka banggakan maka biarkan mereka berada terus dalam kebanggaan tersebut. Tidak perlu berbincang atau melahirkan pendapat yang bertentangan. Kalau badan berminyak, eloklah bertemu dengan minah bergetah.
Kita juga diingatkan supaya jangan cuba kaitkan-kaitkan bilangan buah dengan tanggapan agama. Misalnya kita cuba kaitkan bilangan dua puluh satu dengan sifat Tuhan atau mengaitkan bilangan sembilan belas dengan huruf yang ada dalam bismillah. Kita bukannya pakar dalam bidang tersebut. Jangan bercakap dalam bidang yang kita kekurangan ilmu.
Berhati-hati ketika membincangkan mengenai konsep mandi dengan pesilat-pesilat lain. Pada dasarnya semua silat Melayu ada mandi silat. Cara mandi adalah pelbagai. Kebanyakannya mandi dengan menggunakan limau nipis dan sintuk. Di samping itu ada syarat-syarat lain seperti membawa jarum, garam, pulut dan sebagainya. Tentunya perbuatan mereka tersebut adalah berbeza dengan pelakuan yang ada dalam SC. Oleh itu lebih baik kita membuat pendekatan mendengar sahaja daripada berbincang atau membuat sebarang komen.
Begitu juga dengan amalan mandi empat puluh hari selepas tamat. Lebih baik jangan sesekali kita ceritakan kepada bakal penuntut yang mempunyai pebagai pengetahuan tentang silat. Hal yang demikian akan menyusahkan kita untuk mengubah pandangan mereka seperti mana yang kita mahukan. Kita perlu berhati-hati ketika membuat penerangan tentang konsep mandi dan peranan kain puteh. Kebiasaan silat, mereka mempunyai amalan bacaan selepas tamat silat. Berbeza dengan kita yang hanya mempraktikkan amalan mandi selepas tamat silat dengan bacaan-bacaan tertentu. Dari segi budaya silat nampak sangat perbezaannya.
Apabila menyentuh soal lambang, maka lambang Ahmad Muhammad jangan mudah dibincangkan. Senang bagi kita menyatakan konsep Muhammad di bumi dan Ahmad di langit. Bila dipersoalkan dengan lebih lanjut maka kita akan terperangkap. Falsafah atas perkataan tersebut biarlah dihuraikan oleh guru. Itupun bukan mudah pada guru untuk membuat huraian pada orang yang tak menentu.
Berdasarkan perbincangan saya di atas, saya cuba membawa para pembaca tentang kesedaran untuk berhati-hati semasa berbincang dengan pihak-pihak lain dalam usaha menarik mereka masuk silat. Pengetahuan tentang SC dalam kebanyakan pemikiran masyarakat telah semakin meluas dan sesetengahnya tidak ada rahsia lagi. Mereka juga mempunyai modal apabila berpeluang berbincang dengan kita. Jika modal itu digunakan untuk mendapatkan penjelasan maka perbincangan kita akan menjadi lebih bermakna. Sebaliknya jika modal mereka yang ada itu digunakan untuk menempelak kita semula maka berhati-hatilah ketika kita berbicara dengan mereka.
Sekian sahaja setakat ini.