Monday, April 19, 2010

3. BENTUK PENGORBANAN DAN SUMBANGAN

Satu lagi faktor untuk melihat sama ada cakap seseorang yang mendakwa rapat dengan Ustaz itu boleh dipakai atau tidak ialah bentuk pengorbanan dan sumbangannya dalam perjuangan Silat Cekak. Darjah pengorbanan dan sumbangannya akan menentukan tahap kebolehpercayaan kita akan cakap-cakapnya tentang SC. Kalau darjahnya kurang maka bolehlah setakat dengar sahaja. Percaya bolehlah sikit-sikit tapi yakin jangan sekali-kali.

Pengorbanan dan sumbangan adalah merupakan dua perkataan yang saling berkait. Dalam konteks SC, kalau kita memberi sumbangan maka bermakna kita telah membuat pengorbanan. Pengorbanan yang kita lakukan pada SC adalah juga merupakan satu sumbangan. Sumbangan itu juga adalah satu pengorbanan. Sumbangan dan pengorbanan yang kita lakukan boleh disimpulkan dalam tiga bentuk utama. Bentuk-bentuk itu ialah masa, tenaga, perasaan dan wang ringgit. Lihat dan tinjau watak mereka dalam pengorbanan yang mereka pernah lakukan.

Faktor masa meliputi masa yang diuntukkan setiap hari bersama SC dan jangka masa penglibatan dalam SC. Saya sangat hormat pada mereka yang telah lama berkecimpung dalam SC sejak zaman Ustaz hingga sekarang. Walau bagaimanapun ada yang berubah angin. Namun, mereka telah melalui ranjau sepanjang jalan dan kesetiaan mereka pada Silat Cekak adalah terbukti jelas walaupun ada yang berlainan persatuan. Dalam konteks sekarang, saya juga sangat hormati pada mereka yang sanggup turun ke kelas menunaikan amanah guru untuk mengajar SC. Masa yang berjam-jam telah diuntukkan daripada kehidupan harian mereka. Tentunya keadaan ini jauh berbeza dengan mereka yang cuba bercakap tentang SC tetapi tenggelam timbul dari masa ke masa.

Mengorbankan masa bermakna mereka juga mengorbankan tenaga. Mengajar silat memerlukan tenaga. Menjalankan program silat juga akan memerlukan pengorbanan masa dan tenaga. Pengorbanan mereka melambangkan kesetiaan mereka pada SC. Cakap-cakap mereka lebih baik berbanding dengan mereka yang tenggelam timbul dari masa ke masa.

Begitu juga pengorbanan wang ringgit. Ramai yang telah berkorban wang ringgit dalam perjuangan SC. Tambahan pula di peringkat awal perkembangan SC. Kita kekurangan dana bagi membiayai sesuatu program. Terpaksalah ahli berkorban wang ringgit bagi membantu aktiviti yang ingin dijalankan.

Seiring dengan pengorbanan masa dan tenaga, mereka juga sentiasa mengorbankan perasaan pelbagai pihak. Lebih-lebih lagi perasaan yang terkorban menyentuh perasaan anak dan isteri. Banyak kali rancangan bersama anak dan isteri telah terpaksa dibatalkan gara-gara bertentangan dengan kepentingan SC. Sungguh hebat perjuangan mereka yang sanggup menafikan perasaan diri dan kaum keluarga sendiri demi menegakkan perjuangan Ustaz Hanafi. Cakap-cakap mereka amat saya sanjungi. Kalaulah megah bercakap telah berjuang bersama-sama dengan Ustaz tapi setakat berjumpa beberapa minit atau beberapa jam, mana mungkin percakapan mereka boleh dipakai.

Ada juga antara penceramah hebat yang baru timbul setelah sekian lama menghilang atau menyepikan diri. Ada yang ghaib tapi tiba-tiba muncul. Terus terpanggil membuat syarahan ke sana ke mari dengan alasan perjuangan dalam SC telah sebati. Diri dianggap sebagai pembela SC yang sejati. Unsur perasan telah meresap diri. Tambahan pula bila ada yang menyuntik dirinya sebagai pembela SC yang sejati. Mendabik dadalah mereka dengan kata-kata di suatu masa yang lalu pernah bersama Ustaz Hanafi. Merekalah pejuang hakiki yang terpencil diri. Akhirnya, terlupa diri dek kerana telah disanjungi. Orang sebegini selalu saya tegaskan supaya jangan terlalu sangat boleh dipercayai. Kalau penglibatanpun bermusim maka sikap mereka juga akan bermusim. Mereka akan sentiasa berubah-ubah pendapat berdasarkan musim. Musim itu adalah unsur kehidupan mereka yang telah sebati.

Selain daripada itu, setakat mendakwa diri rapat dengan ustaz tapi tidak pernah mengendalikan kelas silat, eloklah berhenti daripada bercakap sebagai pejuang hakiki. Orang yang dikatakan hebat kerana pernah bersama dengan Ustaz adalah mereka yang terus menerus terbukti kehebatannya meneruskan kesinambungan ilmu yang ditinggalkan Ustaz. Salah satu caranya boleh dibuktikan kerana kejayaan membuka kelas-kelas silat. Pengendalian kelas SC bermakna kekuatan meneruskan perjuangan Ustaz dalam SC. Orang-orang ini sudah terbukti akan jasa mereka dalam SC. Mereka telah berusaha untuk menyebarkan SC. Apa pun, lihatlah sumbang bakti mereka. Tentunya keadaan ini berbeza dengan mereka yang pandai berpura-pura. Bijak berlakon macam dia yang buat kerja. Hadir ketika majlis sahaja. Gah sambil mendabik dada. Disanjung ketika majlis. Selesai majlis maka ghaiblah diri buat seketika. Muncul kembali bila kesempatan majlis telah ada.

Berdasarkan perbincangan di atas, pengorbanan dan sumbangan yang hebat dalam SC dapat dijadikan satu ciri utama bagi mengukur hubungan dan jasa mereka dengan Ustaz. Cakap-cakap mereka bolehlah diambil kira. Kalau sumbangan pun tak ada macam mana kita nak buktikan betapa hebatnya mereka bersama Ustaz dalam perjuangan SC. Setakat hebat atas jawatan maka apakah maknanya. Itulah golongan hebat yang bermusim sahaja.

Sekian dan sambung lagi.