Satu lagi dasar pegangan saya untuk menegaskan bahawa orang yang mendakwa akan dirinya rapat dengan Ustaz masih boleh dipercayai dan kata-katanya boleh dituruti jika mereka juga menghormati ahli-ahli SC yang lain. Penghormatan yang diberi itu juga meliputi ahli-ahli yang baru atau ahli-ahli SC yang telah lama. Jiwa bercampur atau bergaul mesra, memberi makna wujud sifat rendah diri dan menghormati sesama ahli. Dalam perjuangan SC, kita semua mempunyai peranan yang tersendiri. Besar atau kecil peranan tersebut bukan setakat diukur dari segi peribadi tapi ukurannya juga dari hasil yang telah berbakti.
Kita tidak boleh nafikan betapa ada segolongan ahli yang mendakwa seolah-olah mereka lebih tahu dengan SC tapi berada di sebelah pihak yang tak tentu hala. Ketika bicara dalam majlis silat yang ada, alasan mereka masih bersandar pada hubungan rapat dengan Ustaz. Saya amati dakwaan antara mereka. Ketika yang lalu, ada antara mereka yang mempunyai sikap yang agak janggal pada kaca mata saya. Bergaul hanya terhad dengan Ustaz. Kadang kala pergaulan mereka meluas juga tapi dengan kepimpinan tertinggi persatuan yang tertentu sahaja. Orang-orang lain langsung tidak diambil peduli. Seolah-olah merekalah manusia yang terpenting dan boleh besar diri.
Percakapan ahli silat biasa kurang dilayan. Kalau diajak bercakap maka cepat-cepat cuba mengelak diri. Berasa diri hebat sekali. Bila bersalam, hanya tangan dihulur. Mata memandang entah ke mana. Macamlah kita ini kucing kurap di sisi mereka. Konteks mereka hanya dengan Ustaz Hanafi. Dengan kebanyakan ahli, mereka kurang ambil peduli. Pada saya, orang-orang ini langsung saya tak hargai. Berlagak sombong dek berhubung erat dengan Ustaz Hanafi. Itulah golongan tak sedar diri. Apatah lagi dalam majlis-majlis besar. Mereka selalu disanjungi. Tempat duduk diletakkan sebaris dengan barisan kepimpinan tertinggi. Tinggi lagilah hidung belang mereka. Macam manalah saya nak percaya kata-kata mereka. Berasa seolah-olah faham tentang perjuangan SC. Perjuangan apa maknanya pada kita.
Pada saya, pergaulan ahli perlu mesra. Lafaz ikrar telah ada. Sesama kita tidak boleh bergaduh. Tak boleh gaduh maknanya juga adalah kemesraan dan bermesra. Tapi, memang mereka tidak bergaduh dengan ahli yang lain. Namun, sifat dan sikap kemesraan langsung tidak ada. Hubungan dengan Ustazpun lebih berbentuk formal. Kalau program di ibu pejabat, habis acara langsung ghaib diri. Susun semula kerusi jauh sekali. Macam mana percakapan mereka boleh kita ambil kira. Setakat bercakap rapat dengan Ustaz sememangnya mereka rapat dek biasa duduk di sebelah Ustaz Hanafi.
Saya berpendapat manusia jenis itu adalah manusia yang berkepentingan diri. Bersama dalam SC hanya berurusan dengan Ustaz Hanafi. Matlamat utama hanyalah untuk menambahkan ilmu buat diri sendiri. Bila ilmu diperoleh, langkah-langkah penyebaran ilmu tersebut mati begitu saja setakat pakaian diri. Bukankah itu juga namanya kepentingan buat diri.
Kita perlu akui betapa maksud kepentingan diri adalah begitu luas sekali. Ada yang mendakwa rapat dengan Ustaz walhal ada maksud tertentu. Telunjuk lurus, kelengkeng berkait. Ketika itu, dunia perniagaan tidak begitu terbuka luas dalam zaman Ustaz Hanafi. Ramai juga golongan muda yang belum lagi faham untuk berniaga. Aktiviti perniagaan hanya tersangat rancak di zaman PA dan di awal zaman En Mat. Mula nampak kemunculan golongan yang mengambil kesempatan pada ahli. Pelbagai macam program dibuat termasuk mengadakan sponser dalam satu-satu aktiviti. Tak payah disentuh isi ini kerana segala-galanya banyak berlaku selepas Ustaz Hanafi.
Walau bagaimanapun dalam zaman Ustaz Hanafi, istilah kepentingan diri mempunyai pengertian yang tersendiri. Penonjolah diri boleh dikaitkan dengan kepentingan diri. Kalau setakat menonjol diri tanpa menyusahkan orang lain maka itu adalah strategi diri sendiri. Malangnya manusia ini memijak kepala orang lain bagi menonjolkan kepala sendiri. Itulah maksud kepentingan diri. Biar orang lain lemas hingga mati. Pelbagai strategi dilakukan bagi menarik perhatian Ustaz Hanafi.
Salah satu caranya ialah ketika berbincang dikaitkan nama si polan di depan Ustaz Hanafi. Apabila Ustaz tertarik dengan perbincangan tersebut maka diberinya ruang untuk mendapatkan penjelasan. Maka bukan main lagi si tukang karut memainkan peranan. Wang seduit jadi sekupang. Yang sekupang jadi seringgit. Bentuk percakapan menuju ke arah menaikkan nama diri sendiri dengan cara menidakkan nama baik orang lain. Keadaan itulah yang kerap terjadi. Ada juga terpelanting membawa diri. Jauh hati. Tentu susah untuk menghargai percakapan dari orang yang sebegitu sifatnya.
Tok Guru selalu ingatkan kita supaya berhati-hati dan jangan mudah menjadi penyebar maklumat. Tambahan pula perkara-perkara yang mengaibkan. Kalau perkara tersebut disebarkan maka jadilah kita seorang pegumpat. Lebih malang lagi apabila berita itu tidak benar. Maka jadilah taraf kita sebagai pembohong dan pendusta termasuk sifat mengumput yang sedia ada. Macam mana kita ingin meletakkan kepercayaan pada orang yang berwatak jenis ini. Macam mana kita boleh bersandarkan percakapan mereka apabila menerangkan tentang perjuangan Ustaz Hanafi yang hakiki. Setakat bercakap tanpa menjiwai maka amat kurang maknanya pada kita.
Kesimpulannya, keempat-empat bentuk yang saya bicarakan perlulah bersepadu dan tidak boleh dipisah-pisahkan. Itulah pegangan saya untuk meletakkan harapan sama ada percakapan seseorang itu tentang perjuangan SC bersama-sama Ustaz boleh diterima pakai ataupun tidak. Andainya satu bentuk telah tiada maka pincanglah dakwaannya tentang hubungan rapat yang ada dengan Ustaz Hanafi. Tawar dan hambar semata-mata.
Walau bagaimanapun,
Lain padang lain belalang,
Lain orang lain fikiran,
Boleh juga jadikan panduan,
Sekurang-kurang jadikan renungan,
Hati tenang jiwa pun tenang,
Tidak tertipu dek gelagat orang,
Disangka hebat tapi temberang,
Gara-gara pengaruh kepentingan,
Lupa diri lupa daratan,
Asyik berada dalam lautan,
Kurang berpijak di dunia kenyataan.
Sekian dan bersambung lagi.