Friday, April 17, 2009

FAHAMAN SONGSANG

Sejak tertubuh Akademik silat yang bernaung di bawah Syarikat Silat, telah banyak karenah dan perbualan silat yang timbul. Tiada sekatan atau tapisan pendapat lagi. Para pendukungnya pasti sebok menyusun strategi. Syarikat maknanya strategi, untung dan pelaburan. Ramailah yang sedang menyusun dan mencipta kata-kata dan teori buat bercakap sebagai bahan syarahan. Oleh itu hubungan akrab sesama ahli mungkin semakin dilupakan. Hubungan semakin renggang. Masing-masing ada haluan. Ketetapan diri telah dibuat. Rasa-rasanya, untung menjadi fokas utama. Untung maknanya duit. Hubungan dikira duit. Percakapan pun dikira duit. Berhubungpun duit. Sekurang-kurangnya kiraan bil telefon pun duit. Maka kuranglah lagi manusia yang bergelar ahli silat untuk berhubung sesama mereka. Segala-galanya duit. Kadang kala duit juga dikaitkan dengan apa pulangan yang akan dapat. Maka apabila berkunjung ke rumah, apa pulangan yang dapat. Setakat kopi secawan, sembang memanjang, sememangnya tidak memadai. Tengoklah diri ditahap mana. Lagi tinggi pengajian maka lagi tinggi pulangan duit yang diperlukan. Itulah konsep akademik namanya. Maka semakin luntur hubungan sesama ahli dalam bilang persilatan. Syarikat juga bertunjungkan perniagaan. Maka masa lega ahli silat perlu diisi dengan perniagaan. Macam-macamlah benda yang diniagakan. Berjumpa ahli akan ditanyakan khabar. Ada sakit maka ada produknya. Mana ada masa untuk berjumpa atau berhubung dalam ikatan mesra. Masa adalah bersamaan dengan pulangan. Pulangan ialah untung. Untung itu adalah duit.

Ketika ini ramai yang boleh buat ulasan dalam SC. Kurang ada sekatan bercakap. Punca kuasa dan mandat, sudah tidak keharuan. Mentang-mentanglah SC dikatakan hak masyarakat maka masyarakat boleh buat ulasan tentang SC. Oleh itu ramailah yang mengulas tentang SC. Semua ahli ada hak walaupun belum sampai akal balighnya dalam SC. Hak masyarakat adalah hak untuk semua. Ahli silat juga adalah merupakan ahli masyarakat. Cakaplah tentang apa yang nak dicakapkan. Asalkan logik maka semuanya boleh diambil kira. Hinggakan ada yang mengulas tentang silat mengikut rasa. Logik menjadi perkara utama. Konteksnya umum untuk semua. Adat dan adab telah kurang diambil kira. Warisan mutlak dianggap warisan masyarakat. Kalau SC dianggap sebagai warisan mutlak, maknanya pada mereka SC itu menjadi peninggalan dan hak kepada masyarakat. Hak individu telah dinafikan kalau mengikut tafsiran mereka. Tertegak hak masyarakat, terbenam hak individu. Itu sebabnya timbul gerakan pemikiran untuk menidakkan mandat pada guru yang ada. Fikiran ahli cuba dicelarukan lagi dengan istilah-istilah warisi dan pusakai. Hingga ada yang lantang bersuara bahawa “mana-mana ahli Silat Cekak Hanafi yang mempelajari, memahami dan menghayati perjuangan Allahyarham Ustaz Hanafi Hj. Ahmad dalam Silat Cekak Hanafi maka merekalah sebenarnya pewaris warisan mutlak.” Malah yang lebih berani, sanggup mengatakan SC bukan milik Ustaz Hanafi walaupun perjuangan menegakkan SC hasil usaha dan sumbangannya yang hakiki.

Saya penuh yakin bahawa dalam konteks silat, fahaman ini sangat berbahaya. Tujuan di sebaliknya amat ketara. Kalau bukan lagi hak Ustaz Hanafi maka kita tahu apa tujuannya. Tujuannya semata-mata untuk menafikan mandat yang diterima oleh Guru Silat yang ada. Tapi dalam konteks akademik silat, pandangan dan fikiran tersebut adalah merupakan fahaman biasa. Fahaman baru perlu diwar-warkan segera. Guru Persatuan perlu diberi pengiktirafan. Kalau menjadi hak masyarakat maka pelantikan Guru Persatuan barulah memberi makna. Selepas ini saingannya adalah secara terbuka. Sesiapa pun boleh menjadi peneraju utama, asalkan seperti yang cuba ditegaskan mereka, orang itu mestilah pelajari, memahami dan menghayati. Apakah kayu ukurnya ke atas ketiga-tiga aspek tersebut. Mereka saja yang mengerti. Inilah konsep akademik namanya.

Tapi, siapa pula yang berani menyanggahnya. Sebagai ahli yang telah sekian lama berkecimpung dengan SC, terasa sedih juga dibuatnya. Nak buat macam mana. Yang faham pun dah tak tentu hala. Ramai yang telah mempelajari aspek fizikal dan fahaman SC. Berlori-lori banyaknya. Penyudahnya, faham langsung takde. Apatah lagi untuk menghayatinya. Ada yang faham tapi sukar untuk menghayati kerana kawan dan kepentingan sudah semacam mesti. Kerana itulah agaknya ramai pencinta SC yang menganggap bahawa kita semakin lari daripada trek yang diasaskan oleh Ustaz Hanafi.

Timbul lagi satu fahaman baru dalam akademik silat. SC juga cuba dihubungkan dengan air mutlak. Menurut mereka, air mutlak membawa maksud, “Silat Cekak adalah satu warisan yang bersih dan suci daripada unsur-unsur tahyul dan khurafat kerana ia bertunjangkan tauhid. Ia bebas daripada segala ajaran sesat lagi menyesatkan dalam konteks ugama Islam yang suci. Dengan kata lain mereka yang telah mempelajari Silat Cekak telah membebaskan diri masing-masing daripada mana-mana seni bela diri yang mempunyai ciri-ciri tahyul dan khurafat.” Wau, hebat sekali!

Itulah konsep baru yang cuba diketengahkan. Selama berada dalam SC, inilah pertama kali saya tahu akan wujudnya pengertian SC bersumberkan jenis air. Dalam konsep akademik silat, keupayaan melahirkan idea-idea baru yang sebegitu adalah sangat digalakkan. Semuanya boleh dikeluarkan berdasarkan logik. Inilah fahaman bentuk akademik yang sangat sesuai dengan konsep akademik. Idea atau teori yang dihasilkan dikira logik jika dapat dihubungkait dengan situasi. Mana boleh diadakan kawalan pendapat kerana pada mereka SC adalah hak masyarakat. Kalau telah menjadi hak masyarakat maka mereka yang juga ahli masyarakat, bebas mengeluarkan pendapat. Perjuangan silat untuk masyarakat. Majulah silat untuk masyarakat.

Bila kita mentafsir sesuatu, kita selalu lupa akan diri kita. Itu sebab sekarang ini ramai yang banyak bercakap dalam semua segi tanpa diukur kebolehan diri. Sebenarnya, mentafsir dan berteori dengan merujuk pada aplikasi diri sendiri adalah merupakan ajaran SC seperti yang saya fahami sejak dulu lagi. Untuk mereka yang menjiwai SC, saya percaya fahaman apapun yang ada dalam SC tetap akan dirujuk pada diri kita sebagai pengamalnya.

Terpaut tentang kupasan SC yang dihubungkan dengan air, dalam konteks Silat Cekak, kalaulah kita boleh diibaratkan sebagai air, air yang macam mana agaknya kedudukan kita sebagai ahli sekarang.

Kalau berdasarkan air mutlak, konsepnya merujuk pada diri dan orang lain. Di samping kita membangunkan diri sendiri, seiiring dengan itu kita boleh memberi sumbangan kepada orang lain. Pembangunan diri dalam SC merujuk kepada kehebatan kita menguasai pergerakan fizikal dan kefahaman yang ada dalam silat itu sendiri. Kalau diri sendiri hebat, maka kita perlu juga menghebatkan orang lain. Peranan jurulatih amat besar maknanya. Mereka ini boleh diibaratkan dengan lebah yang memberi manfaat kepada objek yang dihinggapnya. Malah sarangnya juga boleh dijadikan ubat melalui madu yang dihasilkan.

Akan tetapi ada juga kalangan kita yang hebat bersilat tapi gagal untuk menyampaikan ilmu kepada ahli yang lain. Pada satu ketika dulu ada jurulatih yang tidak dibenarkan oleh Ustaz untuk menurun ilmu silat di kalangan ahli. Buat boleh, terang tak boleh. Orang-orang yang sebegini hanya mendapatkan ilmu untuk dirinya sahaja. Lebih-lebih lagi kalau golongan ini tidak pandai bercakap untuk menyampaikan fahaman silat. Kalau bercakap juga akan menambahkan kekecelaruan di kalangan penuntut. Jenis kumpulan ini boleh diibaratkan air mustakmal agaknya.

Terdapat juga golongan yang kurang mendatangkan faedah kepada persatuan. Mereka ini umpama lalat yang hinggap pada sesuatu yang akan menghasilkan suasana yang buruk. Hinggap pada makanan maka makanan tersebut akan tercemar. Masuk persatuan, persatuan akan hancur. Keahlian mereka mencemarkan masa depan silat. Kepentingan diri merupakan objektif utama. Memecahbelahkan ahli semacam sinonim dengan rupa bentuk mereka. Kalau dirujuk dengan air maka air Mutanajis pastinya.

Begitulah perkembangan terbaharu yang dapat saya kesan dalam perkembangan SC masa kini. Salah atau benar, fakir-fikirlah sendiri. Pada saya itulah hakikatnya yang ada.