Tuesday, February 10, 2009

AKADEMIK SILAT CEKAK

Sudah banyak saya membincangkan tentang prinsip, konsep dan falsafah SC. Saya berhenti seketika untuk memberi komen tentang ura-ura penubuhan Akademik Silat. Saya cuba memberi ulasan dalam keadaan kepastian tentang bentuk Akademik tersebut masih belum diterjemahkan.

Walau bagaimanapun, saya difahamkan bahawa terdapat ura-ura untuk menubuhkan Akademik Silat Cekak pada satu masa nanti. Dalam konteks ini, sudah semestinya nama Hanafi akan digunakan sebagai punca kuasa akan hasrat penubuhan Akademik Silat tersebut. Mungkin ramai ahli yang menanti-nanti akan saat penubuhannya dan mungkin ada kalangan ahli yang berasa curiga atas kemampuan untuk berbuat demikian. Walau bagaimanapun konsep akademik ini masih awal untuk dibuat komen. Tapi dalam tulisan ini saya ingin membuat ulasan berdasarkan tafsiran dan pandangan saya yang boleh dibuat renungan dan boleh ditimbulkan soalan di kalangan ketua-ketua SC.

Apabila dinyatakan hasrat penubuhannya kepada saya, hati saya tetap tenang dan menganggap itu bukanlah sesuatu yang luar biasa. Setakat pengetahuan saya, Ustaz sendiri pernah melahirkan hasrat untuk berbuat demikian. Prinsip penubuhan yang diwar-warkan ketika itu lebih kepada usaha-usaha untuk memberi pendedahan kepada penuntut-ptnuntut SC tentang silat-silat Melayu yang ada kaitan dengan SC. Kaitan ini berdasarkan nama-nama buah dalam SC yang merujuk pada keputusan silat-silat Melayu yang lain. Namun, usaha-usaha tersebut bukanlah sesuatu yang mudah. Sepanjang ingatan saya, sebagai pemulaan atas idea yang dilahirkan oleh Ustaz, seorang guru silat dari utara Malaysia telah diambil dan ditempatkan di rumah persatuan untuk mengajar silatnya yang kaya dengan seni tari dan seni geraknya. Beberapa penuntut telah mempelajarinya dan dalam perayaan Silat Cekak kelima belas tahun (kalau tak silap saya) telah dipertontonkan kelebihan silat tersebut. Hal ini tidak berkekalan kerana sebab-sebab yang tersendiri.

Usaha-usaha untuk melanjutkan idea tersebut nampaknya sedang dilakukan oleh puak-puak yang memegang persatuan ketika ini yang mempunyai tokoh-tokoh yang berkemampuan untuk membuat perubahan. Perubahan ini sudah semestinya berdasarkan pemikiran mereka sendiri. Sejak zaman PA lagi, mereka sering membuat perubahan-perubahan berdasarkan pendapat sendiri hingga kadang kala tidak menyenangkan Guru Utama yang ada ketika itu. Banyak perkara yang tidak dirujuk kepada guru bagi membuktikan daya pemikiran mereka yang kreatif dan inovatif. Sejak dulu lagi saya jarang menyertai dan bersubahat dengan tindakan-tindakan yang mereka lakukan terutamanya oleh ”Pak” ... yang bakal menjadi Guru Wawasan. Insyaallah apabila beliau mendapat kuasa eksekutif dalam Akademik Silat Cekak nanti, pelbagai perubahan akan dilakukan hingga akan menyebabkan kita lupa akan prinsip, konsep dan falsafah asal SC yang dibawa oleh Ustaz Hanafi. Semuanya akan menjadi ilmiah dan mungkin akan mengharu-birukan pemikiran ahli atau mungkin juga akan memenuhi impian ahli. Tunggulah saat dan ketikanya nanti.
Sejak dulu lagi, kreativiti mereka dalam sejarah perjalanan SC amat banyak sekali. Antara lainnya, mereka berjaya merancang dengan menjemput artis-artis tempatan membuat persembahan bagi menarik minat penonton sebelum persembahan SC dilakukan. Secara tidak langsung, mungkin kedatangan penonton bukannya kerana SC tetapi kerana artis yang dijemput. Bagi mengeluarkan peluh, senam robik yang berdasarkan gerak SC telah direka bentuk tapi akhir-akhirnya timbul masalah akan sejauh mana gerak silat dapat digunakan dalam kaedah tersebut. Banyak lagi idea-idea baru yang dikeluarkan oleh mereka bagi menonjolkan diri. Selain daripada itu, idea-idea pembaharuan juga dilakukan dalam pentadbiran dan pengurusan persatuan yang memberi kesan besar kepada pergerakan silat. ”Terkeluarnya” En Mat sebagai penerima amanah Guru Utama juga ada kaitan dengan perancangan dan sistem yang mereka bentuk berkaitan dengan pelantikan guru. Hasil idea mereka juga maka gerak-gerak yang ada dalam SC mula ’lari’ daripada gerak yang diperturunkan oleh Guru Utama tempoh hari. Ramai yang tidak mampu menyanggah idea-idea yang mereka keluarkan, cuma dapat menyanggah dalam hati dan dijadikan topik perbualan. Tidak hairanlah percanggahan ini mencetuskan asas perselisihan pendapat yang hebat hingga kita merajuk dan membawa diri.

Saya yakin dan saya percaya dengan wujudnya Guru Persatuan, reformasi yang mereka inginkan dalam SC akan menjadi semakin hebat. Langkah penubuhan syarikat yang menggunakan nama Hanafi merupakan satu lagi idea jangka panjang mereka bagi memelihara kepentingan diri. Dengan penubuhan syarikat ini, saya dapat membuat telahan tentang perancangan seterusnya bagi mengkomesialkan SC. Syarikat inilah nanti yang akan menjadi asas kepada hasrat penubuhan Akademik SC.

Pada saya, perancangan yang dilakukan itu terpaksa dibuat bagi memelihara kedudukan para pemimpin persatuan yang ada sekarang. Kedudukan Guru mereka dalam konsep adat dan adab adalah terlalu longgar. Walaupun Guru Wawasan boleh mengambil alih tugas sebagai guru selepas Guru Persatuan tetapi salasilahnya tidak kuat. Salasilah ini berkaitan dengan soal mandat. Puak-puak kepimpinan persatuan telah bermati-matian membuktikan bahawa soal mandat tidak penting dalam SC. Sejauh mana pandangan ini dapat dikekalkan. Jika tidak dikawal, akhirnya tembelang mereka akan pecah dan asal usul pertalian Guru akan tetap dititikberatkan. Saya percaya bahawa mereka sedar akan perkara tersebut dan satu langkah yang strategik perlu dilakukan.

Bagi mengekalkan kedudukan Guru terutamanya selepas kembalinya Guru Persatuan, Akademik Silat dapat digunakan. Guru yang terpilih nanti sudah semestinya berkonsepkan Guru Berperlembagaan. Kedudukannya akan ditentukan dalam perlembagaan Akademik Silat. Dengan cara itu persoalan tentang mandat, warisan dan hak pada guru akan beransur reda dan minat serta tumpuan murid dalam Akademik Silat akan terumpu dan berfokas pada gerak silat yang ada.

Akademik hanya merupakan satu istilah yang mungkin sama tarafnya dengan sekolah. Bahasa Inggerisnya, sekolah dirujuk sebagai ‘school’. Di negara-negara barat umpamanya di England, segala bentuk pusat pengajian dinamakan ‘school’. Malah universiti yang ada di sanapun merujuk pada istilah tersebut. Pada kita mungkin istilah Akademik itu amat besar. Tetapi hakikatnya akademik itu dapat digambarkan sebagai sebuah institusi pengajian atau sekolah sahaja sepertimana institusi pengajian yang ada di negara kita.

Saya dapat gambarkan bahawa tempoh kursus di sekolah berkenaan adalah dalam satu tempoh yang tertentu. Kurikulumnya akan dipenuhi dengan teori dan praktikal yang berkaitan dengan SC. Minat untuk memperkenalkan silat-silat Melayu asli yang lain di kalangan murid sekolah tersebut mungkin sukar diramal walaupun usaha itu pernah dihasratkan oleh Ustaz Hanafi.

Walau bagaimanapun, saya dapat rasakan, untuk mengembangkan SC secara meluas di seluruh negara akan lebih mudah dengan adanya Akademik ini nanti. Sistem pengajarannya akan lebih tersusun. Pengambilan tenaga pengajar tidak mendatangkan sebarang masalah. Hal ini demikian kerana telah ramai siswazah di universiti yang telah mempelajari SC. Memandangkan kesukaran mendapatkan pekerjaan, tenaga mereka boleh digunakan sebagai tenaga professional. Dengan cara ini akademik silat dapat dibuka di seluruh negeri, malah di seluruh daerah. SC akan mudah berkembang dan tersebar dengan lebih luas.

Kajian-kajian ilmiah tentang SC dapat dilakukan dari masa ke masa, sesuai dengan kehendak institusi pengajian. Konsep pembelajaran secara berperingkat dapat disusun. Kita pernah dengar istilah-istilah SRP, SPM dan Universiti yang dibual-bualkan oleh Jurulatih SC. Inilah masanya konsep tersebut dapat dipraktikkan dalam Akademik Silat itu nanti. Sijil yang dikeluarkan akan mudah diiktiraf meliputi diploma dan ijazah. Bakal lepasan akademik tersebut boleh menggunakannya untuk menjadi pengawai keselamatan ataupun sebagai sebahagian mengumpul sijil di kalangan mereka yang telah berjawatan tetap.

Masih terlalu awal untuk kita membuat komen melainkan andaian semata-mata. Apa yang pastinya, gelombang perubahan dalam SC adalah merupakan sesuatu yang tidak boleh disekat. Apatah lagi perubahan ini sentiasa diburu oleh kepimpinan SC yang suka akan perubahan walaupun perubahan itu menusuk jiwa.