IRAMA DAN LAGU
Biasanya Satu Muharam setiap tahun akan dinanti-nantikan oleh semua Jurulatih SC untuk meraikan diri mereka. Karaian tersebut akan diisi dengan ceramah, pemberian cenderamata dan ikrar. Ada yang menjiwai perhimpunan tersebut dan ada yang menganggapnya sebagai satu perayaan. Ada yang berikrar untuk terus memaju dan meluaskan perkembangan SC. Ada yang seronok-seronok berikrar kerana adanya glamor. Terpulanglah kepada penerimaan dan tanggapan masing-masing. Apapun, selesai perhimpunan, masing-masing akan kembali ke pusat-pusat latihan atau ke kelas-kelas untuk menyebarkan SC. Tapi ada yang tak sedar tentang tanggungjawab sebenar hingga memaksa diri terlibat dalam pelbagai bidang termasuk politik dalam SC. Yang berjuang akan terus berjuang dan yang “berjuang” juga akan terus “berjuang”. Itulah nikmat dak hikmah ketika menjadi Jurulatih.
Banyak kali saya menulis tentang peranan kita sebagai Jurulatih. Kita yang melatih para penuntut, maka tanggapan kita pada diri kita amat penting. Biarlah apa pun peranan dan tugas yang diberi atau ditafsirkan kepada kita, akhirnya tanggapan kita pada diri kita sendiri akan memainkan peranan penting tentang hala tuju kita semasa membimbing para penuntut. Peranan Jurulatih adalah sebagai wakil Guru. Jatuh bangun satu-satu kelas tersebut ada kaitannya dengan Jurulatih. Malah kehebatan penuntut yang menuntut SC juga bergantung pada kehebatan Jurulatih. Saya selalu melihat atau menyaksikan penuntut-penuntut yang hebat kerana adanya jurulatih yang hebat di kelas berkenaan. Dedikasi yang dipancarkan pada penuntutnya menyebabkan penuntut-penuntutnya hebat dan yakin serta menaruh harapan yang tinggi pada SC. Biasanya kelas berkenaan amat maju dan memberi sumbangan yang besar pada proses perkembangan SC.
Dari segi bahasa, Jurulatih memainkan peranan sebagai guru. Ahli yang menuntut SC daripadanya adalah merupakan murid kepada guru berkenaan iaitu jurulatih tersebut. Akan tetapi oleh sebab pengertian Guru dan Murid begitu istimewa dalam SC maka peranan Guru sebenar tetap ada dan tetap utuh. Selalu juga saya ingatkan kepada para jurulatih yang saya latih, “Jangan umpamakan diri sebagai lilin yang menyinari sekeliling tapi rela membakar diri. Jadikan diri umpama matahari yang menyinari alam.” Kiasan tersebut membawa maksud bahawa dalam usaha kita melahirkan bijak pandai fizikal di kalangan penuntut kita, kehebatan kita sendiri mesti terus bertambah dari masa ke masa. Lagi lama kita melatih dan melahirkan penuntut SC maka selagi hebatlah pergerakan kita. Begitu juga dengan kefahaman kita dalam SC. Lagi lama kita menanam kefahaman tentang SC kepada para penuntut kita maka lagi fahamlah kita akan prinsip dan falsafah yang ada dalam SC. Amat malang sekali jika murid atau penuntut yang kita lahirkan lebih pandai bersilat atau lebih pandai memahami konsep, prinsip dan falsafah yang ada dalam SC berbanding dengan diri kita sendiri.
Oleh itu, jika kita ingin benar-benar memainkan peranan sebagai Jurulatih yang hebat dan luar biasa, tambahkan ilmu dan pengalaman tentang pergerakan silat dan kefahamannya. Jangan mudah menganggap diri kita sudah lengkap. SC bukannnya bergantung pada teori semata-mata. Silat ini memerlukan kita terlibat dalam latihan yang berterusan. Punca-punca bagi mendapatkan kedua-dua bidang ilmu dalam SC tersebut amat banyak. Pilihlah puncanya daripada mereka yang benar-benar ikhlas untuk meluaskan SC tanpa melihat mereka terlibat dalam apa bentuk kepentingan. Lebih-pebih lagi mengejar galamor dengan pelbagai aksi.
Berdasarkan pengalaman berkecimpung memberi pengajaran SC kepada penuntut-penuntut saban tahun, pada saya, pengajaran SC meliputi dua perkara utama iaitu pergerakannya dan kefahaman berdasarkan konsep, prinsip dan falsafah setiap pergerakannya. Penuntut bukan setakat boleh membuat atau meniru pergerakan SC tetapi juga penuntut-penuntut digalakkan menjawab soalan Why?. Kenapa macam ini, kenapa mesti buat macam ini, kenapa tak buat macam ini dan banyak lagi kenapa. Secara langsung kita menggalakkan penuntut berfikir dan memahami sesuatu pergerakan itu sebelum menerima atau mengamalkannya. Tidak ada jawapan yang ditangguhkan apabila tamat nanti atau kemudian hari akan dijawab.
Dalam masa pelajaran Potong lagi kita mula menggalakkan penuntut dengan persoalan Why Not?. Konsep ini bertambah hebat penggunaannya ketika penuntut telah tamat. Setiap persoalan pasti ada jawapannya. Secara langsung kita menggalakkan penuntut berfikir dan boleh berfikir secara kreatif dan inovatif. Saya kira, sepanjang pengamalan saya dengan penuntut SC, kehebatan penuntut-penuntut yang dilahirkan adalah teruji. Usaha-usaha yang dilakukan bukan rekaan. Tetapi semuanya hasil ilmu pegetahuan dan pengalaman atas curahan dan kenangan saya dengan Guru Utama tempoh masa yang lalu.
Amat malang jikalau kita hanya melahirkan penuntut yang hanya boleh melakonkan buah-buah yang kita perturunkan kepada mereka tanpa mengetahui asal usul pergerakan tersebut. Kedua-duanya adalah bersepadu atau bersekali. Peranannya sama dengan “Irama dan Lagu.” Lagu tanpa irama atau irama tanpa lagu akan memincangkan pendengaran kita. Itu baharu kita bercakap tentang pergerakan silat. Belum lagi kita sentuh tentang Silat Cekak secara keseluruhan. Berdasarkan konsep irama dan lagu, lagunya ialah pergerakan silat dan iramanya prinsip dan falsafah silat itu sendiri. Mengajar silat semata-mata tanpa memasukkan kefahaman tentang SC adalah dikira kurang bermakna. Di samping silat, kita perlu tanamkan konsep institusi guru yang mengandungi soal-soal mandat dan perkara-perkara yang berkaitan. Adat dan adab dalam SC ditanam dan disemai di kalangan penuntut semasa proses penyampaian pergerakan SC dilakukan. Kita ingin lahirkan manusia yang belajar SC adalah terdiri daripada mereka yang ada pegangan dan pendirian tekal. Inilah yang akan membezakan sesama kita. Itu sebab dapat kita perhatikan ada cawangan yang dianggap keras kepala kerana prinsipnya, ada cawangan yang menurut sahaja dan ada cawangan yang tak tentu hala. Semuanya bergantung kepada hala tuju yang dibawa. Segala-galanya bergantung pada Jurulatih yang ada. Apakah tujuannya bersilat dan apa yang dicarinya dalam silat. Sudah tentulah tujuan dan perkara yang dicari oleh Jurulatih berkenaan akan disemai di kalangan penuntutnya. Kalau Jurulatih tersebut tiada pendirian atau pendiriannya umpama lalang, maka begitulah cara pemikiran penuntut-penututnya. Senanglah cawangan tersebut dipengaruhi oleh anasir-anasir yang berkepentingan. Sebaliknya jikalau cawangan tersebut berpegang pada “irama dan lagu” amat sukar cawangan tersebut dipengaruhi secara tak tentu hala.
Selama saya berkecimpung dalam dunia SC dengan begitu lama, pada tafsiran saya, saya rasa saya telah berjaya melahirkan tiga golongan penuntut SC berdasarkan tafsiran “irama dan lagu” tersebut.
Golongan atau peringkat penuntut pertama adalah mereka yang awal-awal lagi terlibat dengan pembukaan kelas SC. (Ketika ini ramai yang telah tua dan ada yang telah meninggal dunia. AlFatihah untuk mereka) Peranan saya ketika itu tidak banyak masalah. Tugas utama saya ialah menyampaikan pelajaran berasaskan pergerakan silat. Kefahaman silat, banyak yang disuntik oleh Ustaz sendiri. Setiap kali suntikan kefahaman maka kerap kalilah kami mengadakan perbincangan atas tajuk yang diberi bagi menambahkan kefahaman. Melalui pengetahuan dan pengalaman saya yang lebih dulu dari mereka maka mudahlah saya memimpin anak buah saya bagi memahami setiap kata yang diucapkan. Irama dan lagu berganding secara selari. Oleh itu, kesetiaan penuntut pada kepimpinan saya amat tinggi. Itu sebabnya apabila timbul usaha-usaha untuk melemahkan kepimpinan saya, tidak laku langsung. Mereka hanya menggigit jari.
Golongan atau generasi kedua yang saya lahirkan adalah terdiri daripada mereka yang saya bimbing seratus peratus irama dan lagunya iaitu dari segi pergerakan silat dan kefahaman SC itu sendiri. Ustaz telah tiada untuk membuat rujukan atau mendapat panduan. Guru yang ada terlalu sebok dan tidak dapat membantu untuk menyuntik akan kefahaman SC. Maka terpaksalah saya menggunakan segala kepakaran yang ada dalam gerak SC dan menggunakan segala tunjuk ajar Ustaz semasa saya bersama dengannya untuk menyuburkan kehebatan penuntut-penuntut yang menuntut SC dengan saya. Oleh sebab irama dan lagu di bawah tanggungjawab saya, kepemimpinan saya amat berharga. Ketika inilah puncak pergerakan SC di bawah pimpinan yang ada. Malang sekali, berlaku pepecahan dalam silat kita. Ahli-ahli SC seluruh negara menjadi resah. Tapi kami tetap tenang. Kesemuanya bersatu di bawah kepimpinan yang ada. Usaha-usaha untuk mempengaruhi cawangan, tidak semudah seperti dijangka. Semuanya kerana pegangan sudah ada. Sokongan kami umpama sokongan anak dara. Diri ini masih berharga. Setelah ditimbang segenap sudut maka CH pilihan utama. Tiada pertelingkahan pendapat antara yang ada. Ramai yang bertanya apakah di sebalik muslihat yang ada. Maka jawabnya, jangan dipisah Irama dan Lagu.
Golongan yang ketiga yang saya lahirkan merupakan golongan terhasil akibat antiklimak yang ada pada diri saya. Tenaga semakin kurang. Tapi tenaga anu masih ada. Pelapis perlu ada. SC mesti berkembang untuk selama-lamanya. Maka dengan itu irama dan lagu mula dipisahkan. Saya memegang iramanya tapi lagunya dinyanyikan oleh orang lain. Maka jarang sekali saya turun padang untuk mengalunkan lagu. Pada saya perkara yang penting, nada dan melodinya jangan sumbang dan sumbeng. Kefahaman silat jangan ketinggalan dan terkeluar daripada landasan.
Tapi saya lupa akan kata-kata, “Irama dan lagu jangan dipisahkan. Jika dipisahkan maka pincanglah nadanya.”
Setakat ini dulu ya. Sambung lagi berdasarkan masa yang ada.
.