PENGORBANAN.
Selamat berhari raya Aiduladha. Hari raya korban. Isi kutbahpun bercakap tentang korban. Maka perbincangan saya kali ini ialah tentang korban dan bagaimana pengorbanan ini membezakan pendapat antara orang-orang kanan Ustaz. Akhirnya porak peranda persatuan.
Kalau kita benar-benar berminat pada SC maka eloklah berkorban masa dan tenaga untuk Silat Cekak. Berjuanglah untuk memperkembangkan SC. Tapi jangan sesekali mengorbankan Silat Cekak untuk minat dan kepentingan diri kita. Hal ini tidak adil dan akan meranapkan kecemerlangan dan keindahan SC itu sendiri.
Tapi nak buat macam mana. Ramai yang tergamak mengorbankan SC semata-mata memenuhi kehendak dan pendapat sendiri. Oleh itu konsep dan falsafah SC yang selama ini cuba dipertahankan, sudah tidak menentu. Ramai yang bercelaru. Konsep Guru diperbahas secara terbuka dengan masing-masing ada pendapat sendiri. Maka runtuhlah kegemilangan dan kemantapan SC. Secara langsung terlaksanalah suasana SC dikorbankan untuk mencapai misi individu yang tertentu.
Seperti yang saya nyatakan terdahulu, walaupun pengetahuan kita seperdu tapi akhirnya boleh bertelagah dan berbeza pendapat atas asakan ilmu daripada punca yang satu. Seperti yang saya persoalkan terdahulu, ” Pada hal, mereka telah menerima pendidikan dari perdu yang sama. Mereka dididik dengan arah perjuangan yang sama. Mereka menerima pelajaran daripada punca yang sama. Mereka bergaul dan berbincang bersama. Tetapi mengapa mereka tidak sehaluan akhirnya. Apakah puncanya hingga tergamak untuk mencari pihak ketiga untuk membuat penyelesaian. Siapakah yang empunya angkara. ”
Tapi hal ini bukanlah sesuatu yang menghairankan. Lima sahabat Hang yang menuntut satu perguruan, akhirnya bertikam juga atas sebab atau alasan atau kepentingan tertentu. Sejarah telah menjelaskannya terlebih dahulu. Kenapa perkara ini boleh berlaku. Guru yang ada, patut membuat kajian dan pemerhatian semoga alasan yang sama tidak berlaku lagi. Sungguh malang apabila semua ahli mengangguk kepala tanda setuju di hadapan Guru. Apabila Guru telah tiada maka mereka akan berbeza kata. Maka punahlah lagi silat kita.
Kadang-kadang saya cuba fikir-fikirkan kenapa terjadi perbezaan pendapat pada akhirnya di kalangan murid-murid yang seguru. Mungkin banyak faktornya. Apa pun betapa setujunya kita pada pendapat Ustaz tapi nilai diri kita mungkin jauh berbeza. Ustaz bercakap atas sifat individu yang mempunyai ’self esteem’ yang tinggi. Pengalamannya banyak sekali. Segala yang diucapkan adalah atas keyakinannya yang begitu tinggi. Percakapannya dianggap masin. Cakapnya serupa bikin. Tapi dalam hal ini, tahap pengalaman kita mungkin tidak sama dan tidak setanding dengan tahap pengalaman Ustaz. Logik percakapannya ada tapi kita tidak dapat merasai kemanisan atau kepahitannya kerana ketiadaan tahap pengalaman yang sedemikian. Maka jadilah kita tok belatok yang mampu mengangguk tanda setuju walaupun kadang kala mungkin kita perlu akan penjelasan lagi. Namun pengalaman Ustaz tersebut sangat sesuai dan amat menarik untuk dicerita. Maka berceritalah kita pada yang lainnya. Kalau ada sedikit pengalaman atas cerita tersebut, maka semakin rancaklah dikaitkan dengan diri dan tafsiran sendiri. Banyak tokok tambahnya. Kadang kala sudah lari daripada tema asal cerita seperti yang dicerita oleh pencerita asal. Oleh itu, lain pencerita, maka lain pulak cara penceritaan atau isi yang dicerita. Lagi pandai bercakap maka lagi sedap didengar.
Tidak ada siapa yang dapat menafikan betapa pengetahuan Ustaz adalah begitu luas. Banyak ayat pertuturannya yang berkias. Mereka yang berilmu tinggi atau sentiasa berfikir akan isi percakapannya sahaja yang mampu membuat tafsiran jitu. Walaupun diselang seli dengan kata-kata lucu dan kata-kata tegas, ada perkara yang ingin disampaikan. Allahyarham mengalakkan kita berfikir. Atas pemikiran kita, jika timbul soalan dan dipersoalkan kepadanya, maka jawapan yang dikupas semakin memantapkan pengetahuan kita dan semakin mudah kita fahami. Agaknya itulah kaedah Guru selama ini. Kalau boleh kita kiaskan, jika ada sepuluh perkara dalam satu ilmu, guru akan memberi lapan sahaja. Yang dua adalah habuan buat kita berfikir. Bukan semuanya memperoleh yang dua tersebut. Konsep guru menyimpan ilmu adalah merupakan konsep yang hanya ada pada mereka yang tidak berfikir. Jika tidak berfikir, apa yang kita peroleh hanya berbentuk cerita penglipor lara. Tafsiran kita umpama berada di tahap dasar atau kulit sahaja. Kalau pengetahuan kita tidak mendalam, masakan kita boleh faham hingga ajaran tersebut dapat menusuk hingga ke jiwa dan dijadikan amalan. Ustaz sendiri rajin membaca buku bagi menambahkan pengetahuan. Ketika itu, jikalau kita seiring dengan tabiat Ustaz yang suka membaca maka mudahlah kita menerima maksud percakapannya. Tapi malangnya, bukan semua pendengar bersikap demikian. Ada yang mendengar sebagai hiburan. Seronok dan puas mendengar syarahan. Isi syarahan dikira sampingan. Itu sebabnya mereka mudah membuat tafsiran yang berubah-ubah kerana mendengar tak tentu keruan.
Oleh itu, ramai kalangan ahli yang mendengar syarahan Ustaz tidak memahami apa yang diucapkan. Bila ditanya hanya mampu mengatakan syarahannya sedap. Tapi apa yang dibahaskan atau diucapkan tidak mudah untuk ditafsirkan. Jadinya, mereka mudah lupa. Nak bertanya soalan pun tak tahu apa yang nak ditanya. Pada mereka yang ada pengalaman sikit atau pengetahuan yang sedia ada, mungkin mudah memahaminya. Tapi ramai yang membuat tafsiran sendiri berdasarkan ilmu yang ada, Maka apabila menceritakan perbualan Ustaz, ramai yang membicara mengikut pengetahuan yang ada. Ramai juga antara mereka yang tekun mendengar sambil mentafsir data yang diterima, berdasarkan ilmu yang ada tersebut secara serentak atau secara selari. Sikap mereka hanya mendengar sahaja tanpa ada usaha untuk mencungkil secara lebih mendalam. Agaknya mereka malas berbuat demikian atas alasan ilmu yang disampaikan bukannya sesuatu yang luar biasa. Biasa sahaja pada mereka. Tafsiran selari ketika itu sudah semestinya mengikut ilmu yang ada dan dipendam atau disimpan dalam hati. Bila tiba masanya mereka ini akan menyuarakan pendapat berdasarkan pendapat sendiri tapi masih disandarkan pada punca Ustaz. Tambah pulak kalau diri juga bergelar Ustaz. Pasti nak hebat. Maka jadilah itu juga satu punca wujudnya perbezaan pendapat.
Perbincangan saya di atas berdasarkan pemerhatian dan tafsiran saya sendiri bagi menjawab kenapa orang-orang kanan Ustaz sendiri boleh berbeza pendapat. Itu baharu pendapat, bukannya perbezaan pergerakan dalam silat. Pergerakan silat juga terut terlibat. Dulu ada saya sentuh sikit-sikit. Lain masa kita bincang pulak perkara ini.
.