Yang Mana Satu Mantap.
Walaupun persatuan yang mengendalikan SC berbeza dengan pelbagai nama tetapi semangat Ustaz Hanafi dalam gerak silatnya tetap sepancar. Pastinya semua persatuan tersebut cuba mendakwa bahawa pergerakan silatnya adalah sama dengan pegerakan silat yang dibawa oleh Ustaz dulunya. Namaun begitu tempat merujuk pergerakan SC semakin cupul. Kalau adapun, pandangan atau pendapat atau kemahirannya hanya diiktiraf oleh mereka yang sependapat dan sehaluan. Maka masing-masing akan bercakaplah tentang keaslian silatnya yang diwarisi asal daripada Uistaz walaupun kadang kala percakapan tersebut hanya sesuai didengar oleh manusia yang berada atas awan, bukannya di bumi yang nyata.
Tapi manusia mudah lupa. Kalau dirinyapun mudah lupa hingga tak sedar diri dalam konteks SC, maka apatah lagi dalam pergerakan silatnya. Lebih-lebih lagi kalau bersilat mengikut musim. Kerana itulah agaknya, bagi menjamin keaslian silatnya, banyak masa digunakan untuk maksud pelarasan buah. Apa yang saya lihat, lagi banyak pelarasan buah maka lagi banyak kaedah buah-buah yang berubah.
Pelarasan hanya sekali. Pelarasan yang unggul telah dilakukan pada zaman Ustaz. Pak Ak pun ada, Guru Persatuanpun ada. Hanya Guru Wawasan masih belum masuk jawi. Maka itulah satu-satunya punca kuasa dalam asal usul pergerakan SC. Itupun kalau mereka mendakwa bahawa pergerakan silatnya hasil pusaka gerak daripada Ustaz Hanafi. Oleh itu, semua aktiviti yang dikatakan sebagai pelarasan buah selepas pelarasan yang dibuat oleh Ustaz, sebenarnya tidak boleh dianggap pelarasan lagi melainkan dianggap sebagai pembetulan sahaja. Selaras hanya sekali. Kalau buat pelarasan lagi bermakna ada perubahan yang diperlukan dan pastinya akan berlaku perubahan dalam gerak SC. Itulah sebabnya seperti yang saya katakan, lagi banyak pelarasan yang dibuat maka lagi banyaklah perubahan yang berlaku dalam pergerakan SC. Labih-lebih lagi jika puak-puak tersebut tak faham-faham tentang konsep pelarasan.
Kelam kabut ini telah berlaku sejak zaman PA lagi. Rasa tergelak apabila beberapa orang jurulatih yang dihantar untuk maksud pelarasan kononnya, bila balik berbeza juga penerimaan geraknya. ”Laras apa namanya.” Dalam zaman tersebut juga Guru Wawasan memainkan peranan penting untuk maksud pelarasan. Maka berlakulah perubahan-perubahan dalam gerak SC. Menyelaras maknanya mengubah. Lahirlah pergerakan-pergerakan baru. Mana ada punca kuasa. Sebenarnya sering kali Guru ketika itu bersungut kerana tidak diberitahu. Lebih malang lagi selepas era PA, ramai yang anggap dirinya berkuasa dan berpengaruh. Makin banyaklah pelarasan. Maka makin banyaklah yang berubah.
Bila ada yang mencari-cari mana satu gerak yang asal maka nasiblah jawabnya. Kalau berfikiran terbuka, banyaklah pengetahuan yang diperoleh. Kalau fikiran tertutup, mana yang dia jumpa, itulah gerak yang asal pada tafsiran dirinya.
Menyingkap zaman dulu-dulu, jurulatih adalah wakil Guru untuk menyampaikan amanah buah. Sebelum ke kelas-kelas yang berkenaan, jurulatih-jurulatih tersebut akan berjumpa dengan Ustaz terlebih dahulu untuk mendapatkan restu ”menurun buah”. Ada kalanya Ustaz menyuruh mereka melakonkan kaedah mengambil buah tersebut. Selain daripada arahan tersebut, kerap kali juga aspek-aspek yang perlu dititikberatkan dalam pergerakan buah-buah tersebut diberikan penekanan. Dengan kaedah tersebut, mutu dan keaslian buah-buah dalam SC sentiasa akan terpelihara. Tetapi, mungkin kaedah ini bersesuaian jika kelas-kelas latihan silat tidak banyak. Kalau banyak kelas, tentu Guru akan sukar untuk berhubung dengan jurulatihnya. Kesulitan yang dihadapi tersebut nampaknya telah diatasi melalui jawatan Penyelia Kelas. Penyelia Kelas pastinya orang yang berpengalaman dan berpengetahuan dalam SC. Hubungan antara mereka dengan Guru sentiasa terpelihara. Jurulatih yang mengajar perlu mendapat kepastian buah daripada Penyelia. Dengan cara ini mutu SC tetap terpelihara dan sentiasa selaras dan asli. Tapi macam mana silat-silat kita terus berbeza kefahaman geraknya.
Seperti yang saya katakan, lagi banyak pelarasan maka lagi banyak perubahan.Saya tidak berminat sangat membincangkan sudut pandangan tersebut. Yang jelasnya, buah-buah silat kita banyak yang bercelaru akibat rancaknya pertunjukan silat. Kaedah dalam pertunjukan disesuaikan dengan pengajaran silat dalam kelas. Samalah agaknya konsep guru-guru di sekolah yang mengajar anak muridnya kerana peperiksaan atau kerana mata pelajaran tersebut. Jurulatih yang faham akan menerangkan perbandingan dan perbezaan gerak sebenar dengan gerak dalam pertunjukan. Malangnya ramai antara jurulatih yang buta kayu, mengajar Silat Cekak disesuaikan dengan pengajaran silat untuk pertunjukan. Hilanglah sikit demi sikit seni pukul dan seni tangkap atau seni tepis dalam SC.
Buah-buah dalam SC adalah lengkap dan tidak perlu ditokok tambah. Apatah lagi untuk mengurangkan ilmu pelajarannya. Tetapi bukan semua jurulatih yang dapat menguasai buah-buah tersebut dengan sempurna. Kalau tak boleh menguasai bermakna mereka akan menghadapi masalah dalam menurunkan buah-buah tersebut kepada penuntut. Itu sebabnya ramai jurulatih yang menyalahkan para penuntut beralasan tumbuk tak betul dan sebagainya. Pada hal mereka sendiri tidak dapat membuat buah tersebut dengan sempurna hinggakan ada di kalangan jurulatih yang berani dan sanggup menyesuaikan pergerakan buah-buah tersebut dengan kemampuan mereka membuat buah. Cuba bayangkan kalau ada sepuluh jurulatih yang mengajar sepuluh kelas yang berlainan dan menurun buah berdasarkan kemampuan yang ada pada diri mereka, maka pastinya berbezalah pergerakan antara penuntut tersebut akibat kurang kemampuan jurulatih.
Lebih malang lagi apabila kemampuan bercakap amat kurang. Penerangan yang diberikan akan menjadi kurang jelas. Penekanan-penekanan yang seharusnya diberatkan kepada penuntut semasa mengambil buah juga akan berbeza. Ada yang menekankan aspek pukulan, ada yang menekankan aspek tangkap, ada yang menekankan gerak pemulaan mengambil buah, ada yang menekankan gerak penghabisan gerak mengambil buah, ada yang menekankan kaedah yang betul, ada yang menekankan kebolehan ambil buah sahaja tanpa memberatkan kaedah, ada yang menekankan keselamatan diri, ada yang menekankan kulit jangan jadi kasar, ada yang menekankan kelembutan dalam bersilat, ada yang menekankan ketangkasan dalam silat dan ada yang pelbagai lagi penekanannya. Semua ini menjurus kepada perbezaan penerimaan antara penuntut-penuntut silat pada setiap kelas. Lagi lama masa berlalu maka lagi banyak perubahan dalam gerak silat. Lagi banyak kelas yang dibuka dan berbeza jurulatih maka lagi banyak perubahan yang berlaku.
Banyak juga kelas silat yang mementingkan khayalan yang tak tentu hala. Tujuan utama bersilat semakin longgar. Konsep patah, pengsan dan mati diwar-warkan begitu rupa. Kelebihan orang lain dijadikan tajuk utama. Kehandalan Bisik Semak pengikat setia. Bila diajukan soalan, akan dijawab di lain masa. Penuntut belajar dalam dunia fantasinya dengan harapan akan mendapat sesuatu yang luar biasa. Kain putih azimat utama. Mimpi menjadi punca kuasa. Maka jadilah pergerakan silat bicara kedua. Cakap saja banyak. Kalau kelas sembilan puluh minit, bercakap saja tujuh puluh minit . Tinggallah dua puluh minit membiayai kelewatan datang, minum, berehat atau melepaskan hajat kecil dan besar. Macam mana kita dapat melahirkan penuntut yang benar-benar hebat dalam penguasaan pergerakan SC. Tapi yang lahirnya ialah penuntut yang banyak bercakap dan mirip kepada politik persatuan kerana ingin mendapatkan pengaruh. Itu sebabnya apabila timbul kes En Mat, ramai yang suka bercakap dan membuat kesimpulan sendiri. Bukannya menjurus kepada tugas utama iaitu tugas untuk menyebarkan silat. Malang sekali SC.
Penerimaan buah-buah silat dalam SC juga berbeza-beza pada kalangan murid Ustaz. Semua ini bergantung pada faktor hubungan rapat dengan Ustaz, rajin berbincang dan kerap kali juga dihubungkan dengan konsep ”habuan.” Itu sebabnya mereka yang rapat dengan Ustaz pastinya ada kelebihan pada diri. Hal ini mungkin berbeza dengan mereka yang tidak berkesempatan mendapatkabn ilmu secara langsung daripada Ustaz. Oleh itu sudah semestinya juga peratus dan cara penyampaian ilmu SC kepada penuntut juga turut berbeza antara mereka dengan lapisan jurulatih berikutnya. Keadaan ini turut menyumbang akan jurang penguasaan pergerakan SC di kalangan penuntut.
Tujuan saya mengambil perhatian dalam perbincangan ini semata-mata melahirkan perasaan betapa perlunya kita menjaga tentang mutu SC. Penuntut kita telah diasak dengan kefahaman bahawa SC adalah satu-satunya silat Melayu yang berwibawa dan benar-benar asli serta boleh dijadikan sahabat ketika kita berada dalam kecemasan. Kita tidak mahu penuntut berada dalam dunia khayalan melainkan dunia kenyataan. Kepada generasi baru, teruskan usaha menggiatkan diri bagi menguasai sepenuhnya isi pelajaran SC. Rujuklah pada mereka yang berpengalaman dan berilmu tinggi tanpa mengira kefahamannya dalam SC. Pilihlah isi yang enak pada ikan yang banyak tulang. Dengan cara ini persilatan kita akan bertambah mantap dan bukannya bertambah mantat.
Sekian. Bertemu di lain siaran.