Wednesday, December 19, 2007

PENGORBANAN , MENGORBAN DAN TERKORBAN

Apabila datangnya Hari Raya Korban, teringat pengorbanan kita selama ini dalam SC. Ikhlas atau tak ikhlas, tiada siapa yang tahu. Darjah pengorbanan pun amat sukar disukat. Orang yang berkorban sahaja yang tahu akan banyak mana pengorbanan yang telah diberi dan sama ada pengorbanan itu ikhlas atau tidak. Walau bagaimanapun, yang pastinya masih ramai yang berkorban walaupun ada antara mereka yang akhirnya akan terkorban. Terkorban ketika bila! Masa yang akan menentukan segalanya. Tunggulah saat dan ketika. Namun, saya tetap terterterkenang tentang peristiwa terkorban di masa-masa lalu. Jangan lupa pepatah kita, ”ada hulu ada parang, ada dulu ada sekarang.”

Banyak alasan yang menyebabkan mereka terkorban. Semasa zaman Ustaz dahulu, faktor terbesar seseorang itu terkorban adalah kerana hasutan akibat dengki khianat. Apabila tidak ada tajuk cerita dengan Ustaz, diri seseorang menjadi asas perbualan dan asas cerita. Ada sahaja tukang cerita atau tukang karut yang muncul di depan Ustaz untuk melakon atau mempersembahkan cerita dan karutnya. Cerita dan karutnya banyak yang berkisar tentang hilangnya kesetiaan atau mengagung-agungkan silat atau guru agama yang lain. Lebih teruk lagi apabila timbul cerita-cerita yang menyentuh soal, ”lebih sudu daripada kuah”. Banyak cerita dan karut menjadi sedap kerana ditokok tambah. Yang pendek akan cuba dipanjang-panjangkan. Tak boleh dipanjang tetap dipanjangkan walaupun terpaksa diusap dengan minyak lintah. Yang sikit akan cuba ditambah. Walaupun yang dimakan itu nasi tapi yang ditambah itu kuah. Perbualan atas isi-isi cerita tersebut amat sensitif ketika itu. Terkorbanlah si hamba Allah tersebut.

Dalam era pemerintahan Pak Ak, golongan yang ramai terkorban adalah golongan yang tidak mengakui kewibawaan Pak Ak. Ada ramai juga hamba Allah yang perasan dan berasa diri mereka lebih hebat dan sepatutnya menerima amanah sebagai Guru SC. Ketika itu istilah kulit dan isi atau senjata dan sarung amat berleluasa. Golongan yang menyangka diri mereka hebat tersebut, ramai yang terpencil atau terpaksa memencilkan diri. Terkorbanlah mereka daripada arus perjuangan SC. Namun, terdapat juga manusia yang hampir-hampir terkorban tapi bertindak cepat dan tangkas dengan mengemukakan alasan yang kukuh. Mereka mempersoalkan kewibawaan Guru sebagai peneraju SC atas usaha mereka menyelamatkan diri. Guru dikatakan mata duitan, tidak tahu bersyarah dan pelbagai alasan lagi. Fakta wanita kurang berkesan kerana ilmu KK tiada pada guru tersebut. Tapi, fakta agama cukup kuat untuk mengorbankan guru. Mereka rela memporakperandakan persatuan agar diri sendiri tidak terkorban. Akhirnya, ramai yang terkorban kerana keputusan memilih pucuk pimpinan silat, sama ada Pak Ak atau En Mat. Tapi Pak Ak tidak terkorban walaupun hampir-hampir terkorban. Walau bagaimanapun, pengorbanan mereka berbaloi apabila SC berpecah. Berjuanglah mereka dalam arus perjuangan Cekak Malaysia.

Dalam era zaman pemerintahan En Mat, hasutan juga memainkan peranan penting hingga menyebabkan beberapa individu terkorban. Faktor penonjolan diri merupakan wadah utama bagi mendapat tempat di hati guru dan persatuan. Maklumlah generasi muda mula membangun dan berkembang. Orang yang muda di zaman Pak Ak, apatah lagi di zaman Ustaz telah semakin tua dan menjadi bangka di zaman En Mat. Mereka mula disisihkan atau hilang upaya untuk bersaing. Masa beralih masa dan mereka semakin lama semakin diketepikan. Murid En Mat semakin mantap dan menguasai segala jentera pergerakan SC. Kepercayaan Guru terhadap generasi baru semakin menebal tanpa perlu ikrar taat setia. Walau bagaimanapun akhirnya Guru juga terkorban atas kepercayaan yang diberi. Tapi golongan hilang upaya semakin tersisih dan mereka telah bertindak dengan bijak. Sebelum diri terkorban, lebih baik mereka membuat korban. Kewibawaan guru mula dipersoal. Tentunya seks menjadi bahan utama. Taukeh KK-lah. Akibat timbul kes cabul yang dikatakan angkaranya, Guru sendiri telah terkorban. Pastinya suku sakatnya pun turut terkorban. Mak Teh pun dikorbankan dalam konteks persengketaan. Malah, akan ramai lagi yang akan terkorban. Sekurang-kurangnya, atas keputusan menyebelahi En Mat. Silap-silap haribulan, persatuan SC pun mungkin juga akan terkorban.

Penghujungnya, secara rasmi belum diketahui. Akan tetapi untung nasib sudah pasti. Kalau En Mat dapat menguasai semula SC maka mereka yang menyokong Guru Persatuan akan terkorban dan tersingkir di pelusuk sudut yang ada. Sebaliknya jika pihak Persatuan beroleh kejayaan maka puak-puak En Mat akan langsung terkorban kerana diburu di segenap ruang hingga dapat dinyahkan daripada Persatuan SC. Ketika itu mereka tidak ada jalan lain melainkan meneruskan perjuangan Ustaz dalam bentuk pengenalan baru. Ramai pulak yang terkorban perasaan. Silat apa ya! Gasaklah Labuuuu.

Namun, semua pihak yang berpecah akan tetap mengaitkan pergerakan silatnya dengan nama Ustaz Hanafi. ”Berkat kot”. Apa pun, telah ada syarikat yang ditubuhkan atas nama Ustaz Hanafi hasil pengorbanan golongan pengusaha dalam SC. Pastinya mereka mengharapkan untung yang berlipat ganda. Nama Hanafi telah ada. Besar pengaruhnya di serata dunia Melayu. Baru puas pengorbanan mereka. Mereka marahkan En Mat kerana isu kereta marcedes, tapi akhirnya nanti mereka pulak yang memandu marcedes. Puak-puak penyokong yang berkorban, hanya cukup untuk disumbat dengan kereta kancil atau motor kapchai. Bijak sungguh si Pak - Pak dalam SC. Tapi ramai juga penyokong kuatnya. Setia kawan ma! Mana boleh terkorban.

Seiring dengan zaman En Mat, timbul zaman Pak Jo dan Pak Bang. Ketika ini golongan yang menjadi tua dan bangka masih ada tempat. Tapi lama-lama generasi murid baru bagi guru-guru tersebut akan muncul untuk mengambil tempat. Tersisih lagi puak-puak tua dan bangka. Apakah mereka boleh mengorban sebelum diri terkorban. Seronok juga bagi kita menantikan saat dan ketikanya. Sama ada golongan ikrar terus berdiri mantap atau berbaring mantat.

Ada juga golongan yang mengorbankan diri. Geram dengan suasana yang berlaku dalam SC ketika ini. Mereka berasa diri mereka telah dimalukan atau berasa diri mereka telah diperbodohkan walaupun mereka sememangnya bodoh. Kata rujuk daripada orang yang berada dalam SC untuk membicarakan SC telah diketepikan. Mereka rela merujuk golongan lain yang bukan ahli SC untuk bercakap tentang SC. Golongan ini semakin lama semakin haprak dan tidak tentu hala. Jadilah mereka golongan yang bertanyakan ikan di kedai kain. Semakin lama semakin sudah tak tentu hala. Perasaan mereka telah terkorban. Sebabnya sudah tentu kerana mereka telah mengorbankan perasaan dan pemikiran mereka selama ini. Bawah taruh ka!.

Bila kita sebut pengorbanan, erat kaitannya dengan perjuangan hingga kita boleh menafikan hak atau tuntutan pihak yang lain yang rapat dengan kita. Kerana pengorbananlah maka kita akan mengenepikan perasaan orang terdekat. Semestinya kaum keluarga. Kerana pengorbanan maka kita akan gunakan masa, tenaga malah wang ringgit pada benda yang kita perjuangkan. Dalam konteks ini ramai yang terkorban sekerat jalan dalam perjuangan. Hal ini terjadi, apabila pengorbanan yang dilakukan tanpa menggunakan pemikiran. Mereka inilah yang akhirnya akan mengungkit apabila dirasakan diri telah tertipu. Selama ini penglibatan mereka dalam SC lebih banyak membuta tuli tanpa memikirkan aspek penglibatan mereka sendiri dari masa ke masa. Itu sebabnya apabila timbul kes pepecahan kerana sesuatu isu, maka puak-puak ini cepat melatah dan mengambil keputusan yang cepat dan mudah.

Orang yang jelas akan penglibatannya dalam SC, sentiasa mengkaji setiap pengorbanan dan perkembangan yang berlaku serta tidak mudah melatah. Apabila pengorbanan dan matlamat perjuangannya jelas, mereka lebih tenang dan tidak mudah mengungkit di akhir-akhir penglibatan. Komen mereka sentiasa berterusan dan tidak mudah untuk mengikut rentak yang berlaku. Soal terkorban bukan menjadi bahan utama kerana mereka bijak menjangka dan tenang menghadapi suasana.

Itu sebabnya saya selalu menyarankan agar kita mengkaji penglibatan kita dalam SC dari semasa ke semasa. Seperti yang saya jelaskan, bagaimanakah rupa bentuk penglibatan dan pengorbanan kita. Dalam hal ini, kita perlu menentukan sama ada pengorbanan dan penglibatan kita tersebut adalah secara berterusan atau sebagai memenuhi masa lapang dek kerana minat yang mendalam dalam silat.

Berdasarkan perbincangan di atas, kita sebenarnya tidak mungkin mengetahui penghujung pengorbanan kita. Kita mungkin berasa diri kita telah banyak berkorban tapi hakikatnya tidak, pada pandangan orang lain. Kadangkala pengorbanan kita tidak diketahui oleh orang lain atas sebab kita sendiri tidak mencanangkannya. Mungkin alasannya untuk menunjukkan perasaan ikhlas dalam melakukan sesuatu perkara. Malangnya kerap kali golongan ini ketinggalan daripada mendapat sebarang pengiktirafan. Mana Guru tahu akan pengorbanan kita kalau tidak ditunjukkan. Tapi nampak macam tak ikhlas pulak kalau kita asyik menonjolkan diri. Ada juga hamba Allah yang dipelawa supaya berkorban pada SC atau pada persatuan dengan pelbagai cara termasuk ditawarkan tugas tertentu. Glamour ma!. Tapi berhati-hati. Silap gayanya hamba Allah tersebut akan terkorban atau dikorbankan. Walau bagaimanapun buatlah pilihan sendiri.

Apapun bukan semua pengorbanan kita boleh diterima oleh orang lain. Tafsiran orang lain lebih penting daripada tafsiran diri sendiri dalam konteks inginkan pengiktirafan. Kita kata ikhlas tapi orang lain kata sebaliknya. Kita buat ada tujuan tertentu tapi orang lain kata ikhlas pulak. Kadang-kadang kita boleh mengeloh atau ketawa sendiri. Lebih baiklah syok sendiri. Kita tak kacau orang lain. Tapi orang lain boleh jadi sakit hati. Terkorban pulak. Tapi kita sendiri yang boleh jawab. Kata Tok Guru, antara pengorbanan Habil dan Khabil pun ada yang ditolak dan ada yang diterima oleh Allah.
Pingat sudah dapat ka!