Hujung minggu ini dikatakan hari perjumpaan Jurulatih. Yang menganjurkannya ialah MMK yang menaung Guru Persatuan. Saya rasa ada sesuatu yang tak kena dengan perhimpunan atau perjumpaan tersebut. Sepatutnya hari tersebut merupakan hari perjumpaan atau hari perhimpunan Penyelia Kelas, walupun Penyelia Kelas juga mungkin seorang Jurulatih. Istilah Penyelia Kelas erat kaitannya dengan Persatuan yang berwariskan Guru Persatuan manakala istilah Jurulatih erat kaitannya dengan Silat yang berwariskan Guru Persilatan. Guru Wawasan letak di mana!. Setakat ini beliau sentiasa bernaung di bawah panji-panji persatuan sehinggalah beliau mendapatkan kebebasan.
Biasanya dalam perjumpaan tersebut, para Jurulatih akan disanjung kerana peranan yang dimainkan mereka. Atas peranan tersebut, mereka akan dihadiahi dengan beg , baju dan pernah juga pengepit bulu. Begitulah cara Jurulatih disanjung.
Peranan Jurulatih amat besar ertinya dalam perkembangan SC. Walaupun peranannya ada dinyatakan secara tersurat tapi pada saya Jurulatih adalah merupakan wakil Guru dalam sesuatu kelas. Mana ada Guru yang selalu datang menyaksikan penuntutnya berlatih. Amat jarang sekali. Tugas Guru hanya terhad dalam majlis ijazah. Biasanya pertemuan Guru dengan penuntut kelas SC tiga kali sepanjang sesi menuntut SC. Jurulatihlah yang memainkan peranan untuk menyebarkan ilmu dalam kelas. Di samping berperanan sebagai wakil guru, Jurulatih juga bertanggungjawab mempastikan bahawa ilmu yang disampaikannya ialah ilmu yang sebenarnya berkaitan SC. Mereka boleh meyimpang dalam pengajaran silat kerana pengawalan yang tegas tidak ada. Walaupun ada penyelia kelas, seperti yang dinyatakan, biasanya Penyelia Kelas juga adalah Jurulatih dan sesetengahnya adalah atas nama jawatan yang tiada pengetahuan mendalam tentang SC .
Dua tugas tersebut yang dimainkan oleh mereka amat besar sekali; iaitu tugas sebagai wakil Guru dan tugas sebagai penyebar ilmu. Jurulatih yang hebat akan dapat menghebatkan kelas yang dipimpinnya. Suasana kelas akan menjadi meriah dan kelasnya berkembang dari masa ke masa. Merekalah manusia yang akan bertindak memberi dorongan kepada murid yang belajar kerana Julatihlah yang sentiasa berkomunikasi dengan muridnya. Kebiasaanya sebarang masalah yang dihadapi oleh penuntut silat, akan diajukan kepada jurulatih untuk menyelesaikannya. Itu sebabnya ramai jurulatih yang amat popular di kalangan penuntutnya dan ada yang mengatasi populariti Guru. Ada kes setelah Guru dicucuk maka Guru berasa cemburu pada jurulatih tersebut. Amat malang sekali apabila kepercayaan ini dipersoalkan.
Untuk menjalankan tugas sebagai jurulatih, keupayaan dan penguasaan ilmu di kalangan Jurulatih mesti ditingkatkan. Mereka boleh menambah ilmu tersebut melalui pelbagai cara. Di samping terus berlatih sambil berfikir, jangan lupa ahli-ahli lama yang sentiasa berdamping dengan Ustaz dalam konteks silat. Seringlah berbincang atas tajuk silat. Ilmu-ilmu persilatan lain perlu ada sebagai bandingan untuk lebih memahami SC. Namun, kesetiaan pada Guru adalah merupakan asas yang penting. Mereka perlu sentiasa hormat dan setia pada Guru yang melantik mereka sebagai wakilnya. Sikap hormat dan setia perlu ditunjukkan sepanjang masa walaupun si dengki akan menggelar mereka sebagai taksub.
Kalau kita menjiwai peranan Jurulatih itu, merekalah merupakan benteng terawal dan benteng terakhir kepada Guru. Kalau Guru yang melantik mereka, maknanya peranan mereka pula adalah sebagai wakil Guru. Mereka juga adalah merupakan sebagiaan daripada Guru. Dalam konteks persilatan SC, apabila Guru ditimpa kesusahan, perasaan itu akan menular pada Jurulatih. Sakit dan senang, susah dan tenang yang dihadapi Guru adalah merupakan faktor yang memberi impak kepada Jurulatih kerana Jurulatih adalah sebahagian daripada Guru. Itulah yang sepatutnya ada pada Jurulatih. Tapi banyak kes yang menafikan keadaan tersebut.
Mereka perlu sedar bahawa para Jurulatih mestilah mempunyai pendirian yang tetap dan tegas serta sedar diri. Peranan Jurulatih tersebut hanya bermakna jika Guru mengizinkannya melatih penuntut silat. Oleh itu, janganlah tukar-tukar Guru seumpama bertukar-bertukar bini. Masa zaman Pak Ak kita berikrar sehati sejiwa dengan Pak Ak dalam memperjuangkan SC. Zaman En Mat, ikrar yang dilafazkan pada Pak Ak telah beralih kepada En Mat. Bila Pak Jo mengenepikan En Mat melalui senjata MMKnya, ikrar yang sama beralih kepada Pak Jo. Bila tugas Guru beralih tangan yang memungkinkan rampasan kuasa sacara politik Silat Cekak oleh Pak Bang, ikrar yang sama akan beralih kepada Pak Bang. Sampai ke tualah mereka berikrar. Kalau Guru tersebut telah tiada, logik juga. Tapi Guru tersebut masih ada dalam silat yang sama, cuma kita beralih ikrar. Kajilah maksud ikrar pada diri kita supaya kita tidak menjadi manusia hipokrit. Saja saya kemukakan isu ini untuk renungan kita bersama. Berdebatlah dalam diri sendiri. Apapun, ikrar hanya logik dan layak dilafazkan pada diri yang empunya hak. Mandatlah tu namanya!. Jadi, tidaklah rasa bersalah kalau ada Jurulatih yang beralih ikrar daripada Pak Ak kepada En Mat kerana faktor mandat. Lagipun kita telah bertekad meninggalkan Pak Ak dalam dunia persilatannya. Tapi yang boleh ikrar pada Pak Jo, mana pulak asal usulnya. Guru yang sah masih ada. Pak Jo lantikan Pak Am, Pak Sir, Pak Lan dan Pak Li melalui kaedah peraturan persatuan. Kalau silat, pakailah kaedah silat. Mana punca atau asal usul Pak-Pak tersebut dalam persilatan Silat Cekak walaupun sifat mereka sepusat sepusing.
Angka empat puluh merupakan salah satu angka keramat dalam SC. Ketika En Mat baru memegang jawatan Guru SC, umurnya belum menjangkau empat puluh. Ketika itu ramai ahli yang tidak bersetuju dengan pelantikannnya dan tetap menyokong Pak Ak. Semuanya semata-mata kerana faktor umur. Walau bagaimanapun, pada penyokong dan pendukung En Mat tetap mengatakan bahawa En Mat adalah seorang yang layak daripada segi mandatnya. Mereka pakat berazam untuk membina dan memimpin En Mat sebagai persediaan padanya menjadi Guru SC yang mantap menjelang umur empat puluh. Jika ada yang membuat komen maka lantas mereka menjawab, ”Tunggulah umurnya empat puluh tahun. Berilah peluang padanya untuk membina diri.” Tapi malangnya mereka tidak tunaikan janji. Hiduplah mereka umpama burung tok belatok yang hanya tahu mengangguk. Tiada teguran yang diberi. Berpura-puralah mereka menyetujui segala perubahan dan kehendak Guru. Sebagai contoh, apabila ahli memberi komen gelaran Tuan Guru, mereka pertahan berserta ugutan. Bila akhirnya ahli akur dan terima kehendak Guru dengan gelaran Tuan Gurunya, tiba-tiba mereka mengungkit mengatakan tak pernah setuju. Masing-masing menyalahkan orang lain. Apa punya haprak da! Kalau dah haprak, para penyokongpun dua kali lima ma!.
Walau bagaimanapun, begitulah hebatnya sokongan yang diberi Jurulatih kepada Gurunya. Mereka bertindak sebagai pembela barisan hadapan untuk menghadapi sebarang tohmahan. Para Jurulatih yang dilantik telah menjalankan tugas dengan begitu semangat untuk meneguhkan SC. Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun, SC kembali teguh di bawah pimpinan En Mat. Sudah semestinya beliau dibantu oleh para pendukung yang ikhlas pada mulanya.
Tapi masa tetap berganti masa. Perubahan manusia dalam SC amat ketara. Dengki khianat mula bertapak. Sakit hati sudah menjadi asam garam mainan hidup dalam SC. Ada Jurulatih bertukar arah. Mereka mula lupa asal usul punca kuasa dalam SC. Nak buat macam mana. Mereka ada tempat lain untuk bernaung. Naungannya pula sama taraf kuasanya dan pengaruhnya dengan Guru. Akhirnya Guru Utama terkorban setelah ramai yng dikorbankan. Mana perginya kebanyakan Jurulatih yang berikrar setia dengannya. Cabut lari ma!.
En Mat masih muda. Beliau mempunyai masa yang panjang untuk terus memimpin SC walaupun dalam pengenalan silat yang baru. Guru Persatuan sudah tua. Adatnya, tidak lama. Guru Wawasan bagaimana pula. Muda juga. Biarlah ahli yang akan menentukannya.
Namun apa yang terjadi telah membawa banyak pengajaran. Sekurang-kurangnya ialah pengajaran untuk melantik dan mempercayai para Jurulatih. Lantikan mereka tidak harus dibuat sewenang-wenangnya. Guru perlu menguji mereka dengan tepat sama ada berdasarkan ilmu fizikal atau ilmu dalaman seperti yang ada dalam SC. Lihatlah sifat fizikal mereka sama ada daripada segi jalannya, gerak tangan dan kakinya dan pelbagai lagi sifat fizikal seperti yang diajar dalam petua SC. Aplikasikan semua petua yang ada dalam SC. Kecualilah fizikal Guru dan Jurulatih bersifat sama. Senang sikit untuk berbicara.
Selain daripada itu, lihat juga kefahaman SC yang ada pada mereka. Para jurulatih tersebut mesti terdiri daripada ahli-ahli SC yang memahami konsep dan falsafah yang ada dalam SC. Merekalah yang bertanggungjawab menyampaikan ilmu SC kepada penuntut secara langsung. Guru jarang bersua muka. Ujian kefahaman dapat dilakukan secara bualan atau galakkan mereka memberi penerangan kepada penuntut. Mana-mana yang kurang, tokok tambahkan sebagai persiapan dan pelengkap ilmu mereka. Kesetiaan mereka mesti diambil kira. Guru perlu sentiasa berhubung dengan mereka. Mereka boleh dikumpulkan untuk bersemuka dalam bilangan yang kecil. Kalau Guru bersemuka dengan bilangan yang ramai, hubungan antara Guru dan Jurulatih tentu tidak mesra.
Seperti yang dikata, keupayaan Guru tidak boleh bergantung pada ilmu yang ada dalam SC sahaja. Luaskan ilmu dan fikiran. Fikirlah di luar kotak pemikiran yang ada. Insyaallah, barulah Guru boleh berjaya.
Kotak empat segi ke atau kotak tiga segi! Mana gua tau ma!