Falsafah yang selama ini diterima pakai bukan terhasil dari kutipan sana sini kata-kata filosuf dan nukilan tokoh-tokoh sarjana ulung. Saya bukan selalu berdamping dengan mereka. Cuma melalui pengalaman mengharungi peristiwa demi peristiwa maka kisah dan pengajaran tersebut saya jadikan sandaran untuk falsafah yang hanya diri sendiri lebih memahami. Jadi kalau nak cerita falsafah kita tak serupa, itu bukan saya punya masalah. Lagipun matlamat utama penulisan ini bukan nak mencari siapa yang mempunyai falsafah yang sama. Itu gila punya cerita.
Saya tetap berpegang bahawa SC adalah silat yang mempunyai kehebatan. Tetapi kenyataan ini adalah bersandarkan kepada kemampuan untuk membuktikan kehebatan tersebut. Bukan melalui perasaan yang perasan mampu melakukan kehebatan. Ramai yang kagum sampai lupa kebolehan diri bila melihat kehebatan Us. Hanafi bersilat. Apa yang nak dihairankan, dia Guru Silat. Memang le sepatutnya hebat. Malangnya ialah mereka yang masih sampai sekarang dok terlopong mengkagumi kehebatan tersebut tanpa ada rasa nak mencuba untuk boleh melakukan perkara yang sama. Dah le tak boleh buat, sibuk sana sini mencanang hebat itu ini sampai generasi baru yang tak tahu apa-apa tumpang kagum sama dengan apa yang mereka dengar.
Perkara ni dah lama dan sekarang mungkin dah kematu. Payah nak diubah. Guru dah tak tahu nak buat apa sebab sibuk mencari falsafah terkini bagi nak tarik minat ahli-ahli baru. Tinggallah Jurulatih yang terkial-kial mengajar kaedah dan falsafah yang difahamkan bagus. Berdasarkan pengalaman, hujung cerita dah boleh dijangka. Akhir kalam pelajar pun dah boleh diteka. Tapi apa mau cakap ma. Tengok saja ma.
Betul ke SC ni hebat? Sekali lagi saya katakan, berdasarkan kepada kemampuan untuk mengamalkan segala gerak dan rahsia persilatan, memang silat ni hebat. Kita diajar untuk membentuk kecekapan melalui latihan yang berterusan. Sakit bukan perkara yang perlu disembangkan sebab yang dibelajar itu ialah silat. Kita diajar untuk berani berdepan dengan situasi. Dalam masa yang sama kita diasuh agar tahu mengunakan akal untuk merangka strategi. Bukan berdepan lawan mengkhinzir buta. Lepas tu setiap pergerakan mesti ada sebab musabab. Faham ini maka faham le kita dengan gerak lawan. Ukuran saiz, kalau ditimbang katinya sama, maka layak le bertanding secara adil. Lebih daripada itu, semuanya tergolong dalam kategori habuan sesak je. Silibus dan kaedah dah tak boleh diambil kira. Akal yang tenang lebih perlu untuk menguasai suasana. Kalah menang soal nombor dua. Yang pasti SC paling koman pun mesti draw.
Jadi kebenaran falsafah dan pegangan dalam kontek ini, perlu disandarkan dengan satu perkara khusus. Jika kita membicarakan soal SC maka sandaran kita ialah segala yang berkaitan dengan SC. Amat tidak adil untuk kita bandingkan kefahaman dan falsafah yang diperolehi dalam SC dengan segala bentuk idealisme yang dikutip secara rawak dari kiri kanan. Sebab itu ramai yang penyudahnya gagal untuk memahami isi kandung dan matlamat sebenar SC. Disebabkan ini jugalah ramai yang akhirnya mereka-reka bentuk kefahaman yang baru. Lebih malang lagi, berhempas pulas mereka mengembangkan ideologi baru tersebut ke merata alam dengan harapan ia menjadi satu teras yang kukuh. Saya tak kisah kalau ada yang bercanggah pendapat dalam hal ini. Bukan kerja saya nak bagi faham pada semua orang.
Ada yang cuba mengaitkan SC dengan apa yang dinyatakan oleh Ustaz dalam pantunnya. Inipun satu hal. Kaitan boleh dibuat tapi kaitan tersebut perlu ada kaedah yang sesuai digunakan. Pantun hanyalah pantun andai dibaca mengikut bunyi pantun. Bagi saya apa yang lebih utama ialah melihat keseluruhan pantun sebagai satu jigsaw puzzle yang sebenarnya berselerak tanpa ada aturan yang betul. Susunlah jigsaw tersebut mengikut gambar yang kita inginkan. Jadi janganlah selalunya baca pantun tersebut dengan nada pantun. Cuba sekali sekala baca ikut rentak rap atau keroncong. Olah semula kedudukan bait-bait mengikut kesesuaian nada. Bebaskan diri dari segala konsep nahu dan tatabahasa. Silap haribulan mungkin lebih enak bunyi ditelinga.
Pelik? Apa pulak. Ahli SC mesti sentiasa berfikir mencari pembaharuan dalam pendekatan. Tapi taklah sampai menggadaikan seni dan adat. Itu wajib dipertahankan. Soal orang lain dah mencipta perubahan sampai mengoyakkan istiadat, itu bukan tanggungjawab saya untuk memperbetulkan lagi. Dah cakap tapi nak buat jugak. Soal orang lain buat tak haluan pada anak kawan, pun bukan tugas saya nak cari jalan penyelesaian. Dulu lagi dah bagi amaran tapi depa buat tak heran. Yang diutamakan sekarang ialah usaha mesti diteruskan untuk menghidupkan tajuk persilatan. Jangan sampai tak ada langsung topik berkaitan silat yang boleh disembangkan. Biar generasi sekarang seronok mencari ilmu silat. Bukan ilmu ngelat. Biar anak-anak muda sekarang berhambat-hambat mengejar kefahaman persilatan. Bukan kealpaan berpersatuan.
Tak kisah apa orang nak kata. Saya cuma nak bagi tahu bahawa falsafah dan kefahaman ini bukan direka. Sebaliknya inilah tauladan dari sebahagian peristiwa yang dialami dan boleh dipelajari sepanjang berada dalam SC. Peristiwa yang akhirnya menjadi satu kebenaran yang hanya mampu diterjemah dengan baik oleh diri sendiri. Orang lain saya tak tahu. Terpulang. Tak paksa untuk terima dan tak pulak suruh menolak.