Tuesday, June 30, 2009

TERINGAT

Hari ini ada masa sikit. Saya buka-buka pelbagai laman web tentang SC. Salah satu laman Web tersebut ada membentangkan tajuk tentang nastolgia Rumah Persatuan di Jalan Putera. Banyak gambar orang-orang lama. Saya bedek-bedek gambar yang ada dan agak terkejut apabila terpandang wajah orang lama, berketayap putih dan berjambang putih. Kulitnya hitam hingga para sahabat menambah namanya dengan perkataan black. Seingat saya ketika itu juga ada seorang ahli yang namanya dikaitkan dengan warna iaitu brown.

Teringat kisah-kisah lama bersama si ’black’ (SB) tersebut. Secepat kilat saya teringat dan mengungkit kisah-kisah lama bersamanya. Saya tidak pasti sama ada beliau dalam CH atau masih setia dalam CM. Yang pastinya beliau adalah salah seorang orang kuat dalam CM sejak kita berpisah daripada persatuan tersebut. Adakah beliau masih bergiat cergas dalam CM atau telah mendiamkan diri, tidak saya ketahui.

Seingat saya, perkenalan dengannya bermula sejak di Lorong Haji Sirat lagi. Ketika itu dia masih bujang. Persandingannya pun bermula daripada rumah di lorong tersebut sebelum berangkat ke rumah pengantin perempuan di kawasan Ceras kalau tak salah saya. Saya turut menghadirinya. Dalam majlis perkahwinannya, apa yang menarik perhatian saya ialah kami dipersembahkan dengan satu persembahan silat. Guru silat tersebut adalah saudara rapat pengantin perempuan dan merupakan kenalan saya tapi tak rapat. Umurnya lebih tua daripada saya. Silat itu adalah serpihan daripada perguruan yang hebat dan terkenal ketika itu. Saya tidak pasti bagaimana boleh berpecah. Nama silat baru itupun hebat. Seingat saya guru tersebut adalah orang kanan Guru Silat yang saya pernah menuntut sebelum masuk SC. Walau bagaimanapun dalam karangan ini tak sesuai sangat untuk berbincang dengan lebih mendalam tentang serpihan silat tersebut. Tapi ketika itu pecah belah dalam alam persilatan Melayu memang sudah terkenal.

Ketika kita berpindah pusat di Jalan Putera, sahabat saya tersebut pernah menyewa bangunan banglow di sebelah bangunan banglow SC di Jalan Putera tersebut bersama isterinya. Ketika itu, Ustaz tinggal di rumah persatuan. Banyaklah perkara atau isu-isu yang timbul. (Cukup cerita setakat ini.)

Masih teringat lagi salah sebuah bilik di rumah beliau, telah disewakan pada seseorang. Malangnya orang tersebut tidak mahu membayar sewa. Padahal alat perabutnya banyak sekali. Beliau telah memanggil beberapa orang kawannya termasuk saya untuk bertemu muka dengan orang tersebut. Maka pergilah kami bersemuka dengan penyewa itu. (Cukup setakat itu saja ceritanya.)

Saya pernah bersamanya dalam Jawatankuasa Pusat SC. Fikirannya sealiran dengan saya. Seorang lagi yang berupa ’geng’ dengan kami ialah Pak Wan. Kami bertiga dalam AJK Pusat dan sering bertelagah pendapat dengan kumpulan Tiga Serangkai yang dianggotai oleh tiga orang yang lain iaitu Setiausaha PA, Setiausaha Penerangan PN dan Bendahari PK yang begitu setia sesama mereka. Setiap isu yang timbul, maka akan berbahaslah dua kumpulan itu yang selalunya berbeza pendapat. En J ketika itu juga AJK pusat tapi selalunya membatu diri. Rasanya tak pernahpun bercakap.

Walaupun berbeza pendapat tapi setakat pendapat sahaja. Hubungan sesama kami sangat akrab. Bertengkar dalam mesyuarat tapi tidak terbawa-bawa di luar mesyuarat. Perselisihan pendapat tidak melibatkan perselisihan peribadi. Bertengkar hingga bertegang leher tapi selepas mesyuarat, hubungan begitu erat sekali.

Dalam zaman pemerintahan Pak Ak, kebanyakan AJK tersebut telah naik pangkat dalam persatuan. Pak Wan telah lama tersingkir sejak zaman Ustaz sendiri. Diri saya jauh di negeri lain dan tidak melibatkan diri sebagai AJK Pusat lagi. Maka tinggallah mereka bergiat cergas dalam persatuan. Jawatan Setiausaha telah disandang oleh SB. Berperananlah beliau untuk menggerakkan persatuan. Tapi apakan daya. Kalau dah susah nak ngam dalam pendapat sekian lama, maka kesukaran itu tetap wujud sepanjang masa. Ketika itu geng SB telah beralih muka. Si Maidin dan Roslin telah bersamanya. Ikatan hubungan mereka begitu mantap dek kerana isu yang sama dan berpandangan sama.

Corak pengurusan PA amat berbeza sekali berbanding dengan zaman Ustaz. Ruang untuk menyuarakan perasaan tak puas hati amat terbuka luas. Kadangkala PA sendiri menaruh simpati. Maka lahirlah golongan-golongan tak puas hati dengan kumpulan Tiga Serangkai tersebut dalam AJK Pusat. Kemuncak perasaan ini dapat kita lihat melalui satu foram yang diadakan di USM. Saya menjadi salah seorang peserta foram. Tajuk utama foram lebih menitikberatkan soal Guru dari segi kedudukan dan adab kita berguru. Dalam foram tersebut saya juga menyentuh sedikit sebanyak tentang peranan Setiausaha yang menyebabkan perasaan tidak senang di kalangan ahli menjadi berleluasa. Dalam foram itu, saya cuba tidak menyebelahi mana-mana pihak. Saya telah membincangkan persolan berdasarkan tafsiran saya hasil pengetahuan dan pengalaman serta tunjuk ajar yang telah diberikan oleh Ustaz. Selesai foram, kedua-dua pihak menyinga tengok muka saya. Tapi saya buat nohin sahaja. Siapa suruh jemput saya untuk bercakap.

Setelah semua keadaan reda, lewat malam saya kembali ke asrama, tempat penginapan kami. Rupa-rupanya kawan saya tersebut si SB menunggu saya. Bila bersua muka maka beliau cuba menjelaskan kedudukan sebenar yang dihadapinya sambil mengeluarkan air mata. Banyak benda yang dibincangkan dengan saya. Saya pulak menjadi tempat luahan hatinya atas gejala buruk yang sedang melanda SC. Maka jadilah saya sebagai pendengar yang baik dan setia.

Selepas majlis Foram tersebut dan diikuti dengan mesyuarat tahunan, beliau tetap meneruskan kerjayanya dalam SC. Namun begitu keadaan SC semakin meruncing rupanya. Perselisihan pendapat dengan kumpulan tiga serangkai telah menjadi begitu peribadi. Serang-menyerang menjadi perbualan utama sesama ahli. Akhirnya mahkamah juga diperlukan untuk menyelesaikan angkara yang ada. Maka berpecahlah kita menjadi dua. Sayu dan hiba. Hilang semangat dan sumpah ikrar sesama ahli di zaman Ustaz. Kepentingan diri lebih utama. Biarlah apa yang akan terjadi pada SC asalkan hati berapa puas. Itulah moto kebanyakan ahli ketika itu dan ketika ini agaknya.

Sejak itu hubungan saya dengan beliau telah terputus. Apatah lagi saya memilih CH sebagai laluan seterusnya. Apa yang saya tahu ketika itu, beliau mempunyai pendapatan yang mantap hasil bidang perniagaan yang diceburinya. Semangatnya dalam SC disalurkan melalui persatuan SCM. Itulah singkapan ringkas ingatan saya tentang sahabat saya tersebut. Beliau mempunyai pendapat dan pandangan yang tersendiri tapi sangat sensitif. Wajah mukanya cepat bertukar menjadi marah apabila ada sesuatu yang tak kena dalam perbualan sesama ahli.

Rumah Persatuan di Jalan Putera sememangnya membawa banyak kenangan. Banyak perkara yang berlaku di rumah tersebut. Ada masa nanti akan saya ceritakan untuk kenangan generasi baru dan generasi lama. Cuma yang terkilan di hati ialah kita gagal untuk mendapatkan rumah tersebut kekal menjadi milik kita. Kalau tak salah saya, tuan rumahnya yang tidak sebangsa dengan kita pernah menawarkan penjualan rumah tersebut. Tapi harganya begitu tinggi. Tidak terjangkau dek kita untuk membelinya ketika itu.

Tapi hikmahnya tetap ada. Bangunan SC di Jalan Sentul telah tinggal kenangan kerana terlepas daripada tangan kita. Kalau kita telah dapat memiliki rumah di Jalan Putera, pasti rumah itu juga akan terlepas pada mereka. Sudah tentu usaha-usaha untuk mengumpul ahli-ahli yang berkaitan dengan rumah tersebut tidak dapat dijalankan. Pada mereka, pengumpulan ahli-ahli lama tersebut nak buat apa. Tapi pada kita pengumpulan ahli-ahli lama di rumah Jalan Putera amat besar maknanya. Itulah Strategic thinking namanya buat mereka.