Sambungan.... DILUPA JANGAN
Perbualan yang singkat dengan rakan-rakan lama telah dipergunakan dengan sepenuh masa. Sebelah siang dengan kumpulan yang lain manakala di sebelah malam dengan kumpulan yang lain pula. Banyak pendapat yang menarik yang dikeluarkan dalam perbualan tersebut. Ada yang logik dan boleh diterima dan ada yang kurang masuk dek akal dan sukar untuk diterima. Apapun, isi perbualan tersebut tidak dapat elak daripada mengkisahkan peristiwa-peristiwa lalu ketika mabuk bersilat. Oleh sebab saya terlibat dalam alam kepimpinan silat yang pelbagai gaya dan berbeza, dulu dan sekarang maka dapatlah saya bandingkan maksud mereka. Hal ini agak berbeza dengan mereka yang telah lama meninggalkan kegiatan SC. Pandangan mereka tertumpu pada kisah-kisah silam tanpa dapat membandingkan secara tepat dengan apa yang sedang berlaku sekarang. Tentang pepecahan persatuan yang berlaku dari masa ke masa, kesimpulan antara mereka begitu mudah dalam bentuk sebab dan akibat.
”Kalau silat kita tetap mempertahankan kesukaran kaum wanita menjadi ahli maka banyak perkara yang dapat kita hindari.” Begitulah antara lain ayat sentimen yang terkeluar daripada salah seorang sahabat lama. Banyak dan panjang argumentasinya. Saya hanya mendiamkan diri sambil mengenang sejauh mana logik percakapannya. Banyak perkara yang memungkinkan saya bersetuju dengan pendapat mereka. Dalam penulisan ini, mungkin kita boleh berkongsi pengalaman tentang penglibatan kaum wanita dalam SC.
Seingat saya pengalaman Ustaz dengan fitnah yang bersabit dengan wanita banyak memberi pengajaran kepada Allahyarham. Agaknya kerana itu kemasukan wanita dalam SC amat kurang sekali. Saya juga sangat bersetuju dengan amalan yang ada. Tambahan lagi konsep ’Tiga TA’ sering diwar-warkan dalam kalangan ahli silat ketika itu. Seiring dengan itu saya juga sering melahirkan pendapat betapa SC patut mengawal kemasukan wanita sebagai ahli silat. Dalam era perayaan sepuluh tahun SC, terdapat sebilangan kecil ahli wanita yang begitu beria-ria sangat untuk memasuki SC. Saya tidak pasti sama ada mereka sempat ditamatkan atau ditamatkan separuh jalan. Tidak ramai yang ambil pusing atas penglibatan mereka. Apapun wajah mereka masih tertera dalam gambar sempena Perayaan Sepuluh Tahun SC yang diadakan di Kelab Sulaiman, Kampung Baharu.
Oleh sebab saya bersetuju dan berpegang dengan konsep tersebut jugalah maka ketika kelas pertama dibuka di salah sebuah universiti, kemasukan mereka dilarang sama sekali. Permintaan untuk masuk SC daripada kalangan mereka sangat banyak sekali. Tapi saya tetap bertegas untuk menidakkan kemasukan mereka. Hampir tiga tahun saya memegang tampuk pengurusan maka selama itulah kaum wanita menggigit jari untuk melibatkan diri sebagai ahli dalam SC. Semasa di cawangan, sikap ini masih saya pertahankan. Ustaz juga menyedari akan hal ini.
Ketika SC ingin bertapak dan mengembangkan sayapnya di ITM yang sekarang ini dikenali sebagai UITM, ketegasan ini mula dilonggarkan. Ketika kunjungan Ustaz ke tempat saya, saya menyuarakan sikap tidak bersetuju atas kelonggaran tersebut. Tapi pendapat saya itu tidak bertahan lama. Dalam satu majlis, saya masih ingat lagi kata-kata Ustaz betapa perlunya perubahan sikap atas kemasukan mereka. Hal ini demikian kerana kegiatan silat ingin dijadikan sebagai salah satu kegiatan kokurikulum di ITM dengan syarat kemasukan kaum wanita dibenarkan. Sejak itu mulalah wujudnya kelonggaran ke atas pengambilan kaum wanita dalam SC terutamanya di pusat-pusat pengajian tinggi. Kegiatan pengambilan kaum wanita ini berleluasa dari tahun ke tahun di cawangan-cawangan silat terutamanya di ibu pejabat. Tapi tidak di cawangan yang saya pimpin.
Cuma apabila timbul permintaan daripada pihak pentadbir salah satu pusat pengajian, maka hati saya longgar sedikit. Itupun atas persetujuan Ustaz. Namun begitu pengajaran yang dilakukan tetap tidak menyentuh fizikal mereka sama sekali. Terpaksalah dilakonkan pergerakan antara sesama jurulatih agar mereka dapat menirunya. Itupun ketika sampai buah Gayung Fatani pecahan tiga, nampak sangat buruk penyudahnya. Atas pengetahuan Ustaz, pengajaran buah tersebut diubah sedikit. Buahnya tetap kekal dan tidak ada niat untuk mentiadakannya. Maklumlah hak Ustaz. Mana mungkin dikurang-kurangkan.
Namun, berdasarkan pengalaman, sungguh seksa mengajar mereka bersilat. Banyak masa terbuang. Seingat saya itulah kali pertama dan kali terakhir kemasukan mereka dalam SC sepanjang kepimpinan saya di zaman Ustaz. Prinsip ini terus berkekalan di cawangan. Walau bagaimanapun, di pusat-pusat pengajian tinggi, kemasukan kaum wanita dalam SC tidak boleh ditahan-tahan lagi. Zaman telah berubah. Maka pemikiran juga turut berubah dan perlu berubah. Bilangan mereka semakin ramai tapi masih lagi belum mencapai tahap ketua di persatuan berkenaan.
Tapi sesetengah kelas ketika itu terutamanya di Ibu Pejabat, mengajar silat secara sentuhan lelaki dan wanita dianggap biasa pada mereka yang dikatakan rela. Saya kagum dengan aksi pengajar kita ketika itu. Termasuklah Pak K yang sering juling mata. Yang kurang adab maka ketika habis bersilat sanggup menanggal baju memerah peluh di depan mereka yang ada. Hakikatnya menayang body yang puteh juga. Banyak lagi gelagat yang ada. Ayam jantan yang tengah galak. Sentiasa cuba ngereng menunjukkan kejantanan yang ada. Meluatpun ada. Tapi tidak pernah terlintas di hati saya untuk memfotostat apa yang berlaku di cawangan ibu pejabat untuk dipraktikkan di cawangan pimpinan saya.
Walau bagaimanapun, di bawah Akademik Silat nanti, bolehlah dibuat kajian tentang penglibatan kaum wanita dalam SC. Adakah penglibatan tersebut telah mengganggu gugat SC atau telah mendatangkan kestabilan dalam persatuan. Atau pilih tajuk lain tentang peranan wanita yang meransang sifat ngereng di kalangan jejaka dalam SC. Atau pilihlah apa saja tajuk. Dalam akademik mesti ada kajian kes.
Seorang sahabat yang lain melahirkan perasaan sedih kerana sepanjang penglibatannya tidak dapat mewarisi pusaka lading. Menurutnya pemilikan tersebut penting sebagai tanda penglibatan dalam SC. Tapi apa nak dikata. Ketika itu bukan senang untuk mendapat anugerah lading. Anugerah tersebut adalah hak guru. Tak terfikirpun di benak ahli untuk mendapatkannya melainkan hanya setakat menaruh harapan bagi memilikinya. Saya yakin bahawa banyak syarat yang Ustaz tetapkan. Lading yang dianugerahkan adalah dalam satu majlis khas yang menyebabkan murid silat tertunggu siapa geranan yang sangat beruntung. Mungkin sekarang ini status lading agak berbeza. Pernah berlaku, anugerah lading umpama longgokan senjata di belakang ”lo kin.” Lebih menarik lagi ada terdengar cerita betapa ahli dipelawa mencari tempat untuk membuat lading. Dapat tempat maka adalah lading. Hilang sikit hak mutlak guru atas kebesarannya. Kalau buku di library, tentu berbeza antara buku di ’red spot’ dengan buka di rak reference.
”Kenapa dulu tak macam sekarang ini ye!. Tentu aku dah dapat lading.” kata sahabat saya tersebut.
”Dulu lain dan sekarang lain. Dunia berkisar-kisar,” mencelah seorang lagi sahabat.
Bila bercakap tajuk pergorbanan dalam SC maka suasana yang timbul semakin rancak kerana kedengaran suara yang bertukar-tukar nada. Seorang berhenti bercakap maka yang lainnya akan bersahut suara. Maklumlah banyak sangat pengalaman yang ingin disuarakan. Rata-rata saya perhatikan masing-masing berjuang tanpa mengharapkan apa-apa pulangan. Pepatah ’menangguk ikan di air keruh’, jauh sekali dari menjadi amalan ketika itu. Rasanya semuanya berkorban tanpa mengharapkan pulangan dan pujian. Semuanya puas bercerita atas pengalaman dan sumbangan yang telah diberi. Kepentingan diri amat jauh sekali. Nak berniaga tak erti-erti.
Pihak pusat tak pernah kacau. Untuk menyebar pengaruh atau memaksa menerima pendapat jauh sekali. Konsep hubungan adalah saling mengerti dan saling memerlukan. Oleh itu tiada kata-kata ugut atau desakan untuk berbuat sesuatu. Semuanya kerana konsep padu. Segenggam tanda kekuatan. Semua ahli bersatu tanpa ada muslihat tertentu. Maka jadilah cawangan dapat bergerak mengikut hala tuju. Hala tuju yang telah ditentu.
Sekian setakat ini