WARISI
Sudah ada tiga pecahan SC daripada asal satu Silat Cekak yang dibawa oleh Ustaz Hanafi. Usahlah dibincangkan mana satu yang betul. Bakal penuntut yang ingin belajar SC akan lebih banyak bergantung pada persekitaran kawannya daripada tiga jenis guru tersebut. Kalau kawannya adalah SC pimpinan En Mat, maka En Mat-lah gurunya. Begitu juga dengan yang lainnya.
Cakap daripada segi kebenaran, sampai esok pagipun tak akan habis hujjah yang dikemukakan. Kalau adapun yang masuk SC atas panduan kebenaran, juga terikat dengan kumpulan perbincangannya. Tetapi kita tidak boleh menafikan betapa pandai cakap boleh mempengaruhi orang ramai. Putih boleh dibuktikan hitam dan hitam boleh dibuktikan putih.
Percayalah, ”ada ulu, ada parang, ada dulu, ada sekarang”. SC akan terus berpecah. Manusia yang suka berpecah masih wujud lagi. Mereka meninggalkan banyak contoh dan teladan. Barisan pelapis sekarang ini telah banyak belajar daripada mereka. Pastinya ilmu berpecah tersebut akan dipraktikkan oleh mereka apabila tiba saat dan ketikanya nanti. Bukankah angka empat puluh begitu sinonim dengan fahaman kebanyakan antara kita. Hingga ke tahun berapa agaknya, genap SC berpecah kepada empat puluh pertubuhan silat tetapi bertunjangkan kepada SC yang satu.
Tidak banyak perkara yang boleh dibincangkan tentang SC dewasa ini. Teori-teori kehebatannya terutama aspek falsafahnya begitu trajis untuk diutarakan. Kadang-kadang kita boleh berasakan seolah-olah diri sendiri menjadi hipokrat apabila membincangkan kelebihan SC. Umpama ludah ke langit, akhirnya terkena pada batang hidung sendiri. Teorinya hebat tetapi contoh-contoh aplikasinya banyak yang tak mengena.
Mengenangkan kisah-kisah lama tentang kehebatan SC, umpama berkaryakan sastera rakyat. Sangat molek jika penceritaan tersebut diiringkan dengan petikan gambus atau tiupan seruling. Bukannya cerita yang manarik, tapi nada iringannya yang mendayu-dayu pasti memukau si pendengarnya.
Tokoh-tokoh SC yang dulunya hebat, semakin luntur dek kerana penglibatan dalam persengketaan. Kepercayaan dan penghormatan padu yang selama ini mereka nikmati tetapi kini telah berbelah bahagi. Mungkin pada mereka itu semua tidak mendatangkan masalah. Ramai yang berusiakan Isyak. Menantikan habis waktunya. Tapi bagi mereka yang berwaktukan ”Asar” hingga ke "maghrib" masih rancak menghidupkan suasana. Jauh lagi perjalanan hingga tak sadarkan diri. Berada dalam asyik dan mahsyoknya.
Mutu SC sudah sukar terbela. Rujukan sebagai punca kuasa bagi menetapkan kepastian dalam gerak dua tangan dan dua kakinya semakin longgar. Kalau keretapi sudah berkepalakan tiga, maka tiga landasan akan ditujui. Itu tidak termasuk landasan-landasan kecil dek kerana banyak kepala yang muncul daripada tiga pecahan kepala yang ada.
Cuma yang tidak berubah ialah kepala wali jantan yang pastinya akan tetap mengikut arus dan aliran wali betina. Teknik dan taktiknya sahaja yang berbeza-beza. Bulan puasa lo.